23 February 2012

Jika Lynas selamat, kenapa tidak dibina di Australia?


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan rasa kesal dengan amalan kerajaan pusat kerana memberi lesen kendalian sementara (TOL) kepada syarikat Australia Lynas Corporation bagi membina loji nadir bumi terbesar di dunia dekat Pahang.

Beliau berkata amalan tersebut seolah-olah mencerminkan kerajaan pusat yang diteraju oleh Barisan Nasional terlalu mengejar keuntungan sehingga mengabaikan aspek pembangunan mapan dan hijau rakyat.

“Lebih baik Barisan Nasional menjelaskan kenapa loji nadir bumi di Kuantan dibenarkan untuk beroperasi, sedangkan projek itu berbahaya.

“Susulan pemberian TOL bersyarat, saham syarikat Lynas telah melonjak …jelas bahawa Kerajaan BN yang tidak bertanggungjawab ini sedang berpakat dengan pihak-pihak industri sehingga menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan beratus-ratus ribu rakyat Malaysia yang tidak bersalah,” ujarnya melalui e-mel kepada Nota Kecil.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendedahkan bahawa projek Lynas telah mendapat kelulusan “fast-track” oleh Jabatan Persekitaran (DOE) Pahang.

DOE pula menerima Penilaian Awal Impak Alam Sekitar (PEIA) pada 21 Januari 2008 dan meluluskannya pada awal bulan Februari.

“Kenapakah DOE memberi kelulusan dengan begitu tergesa-gesa dalam sebuah projek yang bukan sahaja rumit dan melibatkan sisa-sisa radioaktif yang berbahaya, tetapi juga tidak mempunyai pelan pembuangan dan penyimpanan sisa yang jelas,” soal beliau.

Disebabkan itu, beliau mendesak pihak berwajib supaya menghentikan projek membahayakan kesihatan rakyat tersebut secara serta merta.

“Ekoran daripada bencana nuklear yang terjadi di negara maju seperti Jepun, kerajaan BN harus meninggalkan sahaja rancangan mereka untuk membina dua loji nuklear menjelang 2020.

“Lynas selalu berkeras mempertahankan loji mereka yang akan memproses nadir bumi yang diimport dari Australia sebagai selamat, tetapi jika memang selamat kenapa tidak bina sahaja loji itu di Australia?

“Adakah ia kerana Lynas tidak dapat meyakinkan pihak pengawal selia persekitaran dan kesihatan di Australia bahawa loji mereka betul-betul selamat?” soal beliau. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus