23 February 2012

Layakkah Europlus terima projek lebuh raya RM7.07 bilion? - Guan Eng


PENTADBIRAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak digesa menjelaskan proses pemberian projek membina Lebuhraya Banting-Taiping yang bernilai RM7.07 bilion kepada Kumpulan Europlus Bhd (Europlus), sama ada dilakukan secara tender terbuka atau sebaliknya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng baru-baru ini berkata, beliau berasa curiga kerana Europlus mendahului kerajaan pusat dengan mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima surat kelulusan membina projek tersebut.

"Apakah tender terbuka dijalankan untuk perjanjian ini, dan jika tidak kenapa? Jika ya, siapa lagi yang menyertai (proses tender terbuka) dan kenapa mereka dipilih?," tanya beliau pada satu kenyataan media, di Kuala Lumpur.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, pengumuman yang dilakukan oleh Europlus itu hakikatnya berlanggaran prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban awam.

Beliau turut mempersoal kelayakan Europlus kerana pemaju itu dikatakan tidak mempunyai rekod prestasi bina-kendali-pindah (BOT) yang baik.

"Kenapa Europlus dipilih...pemiliknya mempunyai rekod permasalah dalam projek perumahan?," tanya Guan Eng (kiri).

Lebuh raya sepanjang 316 kilometer itu adakah projek di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Najib yang juga Menteri Kewangan didedah menyerahkan konsesi lebuh raya itu kepada Europlus selama 60 tahun.

Projek bernilai RM7.07 bilion itu jika dihitung, menyamai RM22.3 juta bagi setiap kilometer, iaitu dua kali ganda berbanding kos pembinaan lebuh raya yang serupa di India yang menelan kos kira-kira RM10 juta per kilometer.

Europlus turut dianugerahkan pinjaman mudah RM2.24 bilion, subsidi faedah 3 peratus untuk 22 tahun serta geran sebanyak RM980 juta dalam pengambilan tanah berwajib atas alasan demi kepentingan awam.

"Apakah rasional kerajaan menganugerahkan pinjaman muda sebanyak RM2.24 bilion dari tahun 2013 pada kadar 4 peratus serta subsidi faedah 3 peratus untuk pinjaman komersial selama 22 tahun?

"Kedua-dua subsidi ini berjumlah RM4 bilion jika prinsipal pinjaman adalah RM6 bilion.

"Kenapa perlu kerajaan membayar RM980 untuk pengambilan tanah sedangkan itu projek swasta?" soal beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoal rancangan pusat membina lebuh raya dari Banting ke Taiping.

"Kenapa berhenti di Taiping saja jika konsesi tol terbaru ini adalah alternatif pada Lebuhraya Utara-Selatan yang sesak?

"Kenapa konsesi Europlus tidak dilanjutkan ke Pulau Pinang yang mengalami kesesakan kian teruk?" soal beliau sambil menganggap rancangan pembangunan pusat itu seakan tidak adil bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Dalam perkembangan yang sama, beliau mengingatkan pentadbiran Najib supaya tidak mengulangi skandal Lebuhraya Utara-Selatan yang diberi konsesi 50 tahun sehingga 2038 walaupun sudah didedah mengaut keuntungan berbilion ringgit.

"Setakat 31 Disember 2010, pengendali tol sudah pun menerima RM24.3 bilion, iaitu keuntungan sebanyak RM18.3 bilion.

"Konsesi yang begitu lama hanya akan menguntungkan segelintir kroni (dalam) mengaut keuntungan (bagi)  'maha-Firaun' manakala yang rugi adalah 28 juta rakyat Malaysia.

"Cukup-cukuplah! Kerana itulah Pakatan Rakyat menekankan pemansuhan tol NSE," tegas beliau. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus