24 September 2012

Provokasi Perkasa: Mansor utus surat kepada Peguam Negara

MANSOR Othman
POLiS yang didakwa tidak bertindak tegas ke atas ahli-ahli Perkasa yang memijak, mengoyak dan membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng  akhirnya dipanjangkan kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman bertanya, mengapa mereka yang mengancam Guan Eng masih bebas sedangkan polis pada masa yang sama menahan serta merta kesemua saspek yang memijak serta membakar gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Janji Bersih pada 30 Ogos lepas bagi membantu siasatan.

"Malangnya tindakan keras yang dikenakan ke atas mereka yang memijak gambar Y.A.B Perdana Menteri, tidak pula dikenakan ke atas ahli Perkasa yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang tidak kurang biadapnya terhadap Y.A.B Ketua Menteri," ujar beliau.

Mansor mengutus surat tersebut kepada Abdul Ghani sebagai reaksi pada kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Assisten Komisioner Mazlan Kesah di akhbar The Star pada 8 September lepas yang menyebut "polis tidak mempunyai bukti yang mencukupi" ke atas mereka yang didakwa mengancam Guan Eng sekeluarga.

"Jawapan itu susah untuk diterima (apa)bila ada saksi, gambar dan pengakuan oleh mereka yang terlibat," ujar beliau sambil mengemukakan bukti berwajib untuk perhatian Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Komtar yang menempatkan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pernah menerima kek replika tahi manusia sempena Hari Lahir Guan Eng.

10 Mei lepas, pemuda Perkasa turut melancarkan majlis upacara kematian menurut adat agama Hindu ke atas Guan Eng di depan kediaman Ketua Menteri itu.

"Demi mendaulatkan undang-undang tanpa pilih kasih atau 'double standard', YBhg. Tan Sri (Abdul Ghani) harus mengambil tindakan tegas ke atas Perkasa," ujar Mansor.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Guan Eng dalam satu sidang media berasingan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengecam tindakan individu-individu yang memijak gambar muka Najib sungguhpun beliau berbeza ideologi politik dengan perdana menteri itu.

"Jika Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein boleh berjanji bahawa kementerianya akan mengambil tindakan dan mempercepatkan proses undang-undang ke atas pelaku-pelaku tersebut, adakah tindakan yang sama akan diambil ke atas penyokong-penyokong BN yang melakukan tindakan yang serupa ke atas gambar-gambar pemimpin Pakatan Rakyat," soal beliau.

Beliau turut mempersoal wibawa Hishamuddin yang didakwa langsung tidak mengambil tindakan ke atas insiden mengancam peribadi Datuk S.Ambiga sekeluarga di kediaman Pengerusi Bersama bagi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum ini.

Malah, beliau turut mempersoal kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) merangkap Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menuduh pemimpin pembangkang tidak menghormati pemimpin negara ekoran insiden gambar muka Najib dipijak oleh sekumpulan anak muda di Dataran Merdeka menjelang detik 31 Ogos lepas.

"Adalah sangat tidak bertanggungjawab (apabila) menuduh pembangkang (Pakatan Rakyat) untuk suatu tindakan yang jelas bukan kerja kita.

"Kecaman Koh Tsu Koon terhadap insiden memijak gambar perdana menteri sementara berdiam (diri) apabila gambar saya dipijak dan upacara pengebumian dilakukan dengan (menggunakan) gambar saya," tegas beliau.

"Koh (Tsu Koon) tidak memanggil untuk tindakan yang sama terhadap pemprotes Datuk Ambiga yang dihina dengan "tarian punggung" dan "protes burger"  yang dimasak di depan rumahnya walaupun beliau (Ambiga) seorang (penganut) Hindu dan vegetarian," tegas beliau.

Tuntas dari itu, beliau berkata, layanan dwi-standard beberapa pemimpin Kerajaan Pusat berkenaan sekaligus menyerlahkan wajah sebenar pemimpin Barisan Nasional yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk memainkan politik perkauman melampau serta politik pecah-belah demi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus