18 March 2013

Umno jangan munafik sebab 947 rumah di 'pulau' terbengkalai :KMPP

MELAYU pulau paling rugi apabila Kerajaan Pulau Pinang era Umno Barisan Nasional gagal membina 947 rumah kos rendah di Telok Kumbar, Bayan Lepas sejak tahun 2004 lagi.

Presidennya Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) Rahmad Isahak berkata, kegagalan itu berpunca oleh dua syarikat pemaju lantikan Kerajaan Barisan Nasional Pusat.

"Umno Pulau Pinang jangan bersikap munafik dengan menuduh Kerajaan Negeri (Pakatan Rakyat) sekarang gagal membina rumah kos rendah di Pulau Pinang, khususnya di sebelah 'pulau'.

"Melayu majoriti di Teluk Kumbar, tetapi, Melayu pulau seakan dikhianati oleh pemimpin Melayu sendiri apabila dua projek (perumahan) ini terbengkalai sampai sekarang," ujar Rahmad petang semalam di George Town.

Menurut pendiri pertubuhan pendesak Melayu itu, pelan perancangan pembangunan perumahan di Teluk Kumbar Height diluluskan sejak 8 Mac 2004 lagi.

Di bawah skim Tabung Pusingan Perumahan Kos Rendah (TTPKR), syarikat TPPT Sdn. Bhd. diberi projek dan dilaksanakan secara bersama dengan pemaju Southdowns Corporation Sdn. Bhd..

"TPPT Sdn. Bhd. sebuah syarikat di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia...jika mengikut pelan asal pembangunan bercampur berkenaan mengandungi 2,212 unit, iaitu termasuk 712 unit rumah (pangsa) kos rendah

"Kenapa sudah hampir sembilan tahun janji tuan tanah (TPPT) untuk membina satu blok rumah pangsa kos rendah (setinggi) 19 tingkat yang mengandungi 712 unit dengan keluasan 650 kaki persegi berharga RM35,000 seunit tidak dapat dibangunkan," tanya beliau.

Satu lagi projek pembangunan bercampur di atas tanah berkeluasan 62.7 ekar di Jalan Teluk Kumbar juga, iaitu keluasan yang boleh diguna pakai daripada keseluruhan 105 ekar.

Rahmad mendedahkan, tanah itu asalnya milik I&P Development Sdn. Bhd. dan pelan pembangunan diluluskan sekitar tahun 2005.

Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) kemudiannya didedah membeli tanah serta pelan yang diluluskan itu .

Malah, PHBB didedah turut melantik syarikat Mutiara Premier Sdn. Bhd. sebagai tuan tanah yang baru, iaitu sebuah syarikat yang turut mempunyai hubungan dengan PPHB.

Rahmad berkata, PPHB kemudiannya melantik MRCB sebagai rakan kongsi Bagi tujuan pembangunan serta urus tadbir projek tersebut.

"Konsep asal, membina dahulu 235 unit rumah pangsa kos rendah dengan kekuasaan 700 kaki persegi dengan harga seunit RM35,000.

"Amat malang sekali, hampir lapan tahun berlalu, keadaan tapak projek samalah seperti 'padang jarak padang terkukur'," sindir Rahmad ditujukan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang.

Beliau menegaskan, PPHB ditubuhkan untuk memajukan tanah-tanah kerajaan untuk kepentingan penempatan orang Melayu.

Justeru, beliau berkata,  kegagalan kepemimpinan Umno melantik pemaju berwibawa nyata mengakibatkan projek 947 rumah kos rendah di Teluk Kumbar terbengkalai sehingga sekarang serta merugikan Melayu Pulau Pinang. -END

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus