12 June 2013

Jangan TP1M Pusat sabotaj P.Pinang :Jagdeep

DARI KIRI: Jagdeep Singh Deo, Afif Bahardin, Abdul Jalil Che Ros menerima penjelasan lanjut daripada  Mohd. Radzi Awang (paling kanan) mengenai status tangki air bocor tanpa penyelenggaraan di Blok A1, Lengkok Tenggiri dekat Seberang Jaya baru-baru ini. | Foto: BM
Jagdeep Singh Deo (kiri) dan Afif Bahardin menunjukkan antara kawasan retak ekoran limpahan air tangki bocor di bumbung flat hatta menjerap struktur konkrit bangunan berkenaan.

Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang ditubuhkan sejak 31 Januari 2010 dengan peruntukan awal sebanyak RM37.6 juta nampaknya terus dinanti-nantikan oleh warga Pulau Pinang, khususnya kawasan flat Seberang Jaya sampai sekarang.

S.Sarasvathy (kiri) dan adiknya, S.Nagajothy
S.Sarasvathy, 48 yang ditemui baru-baru ini mengadu bahawa tangki Blok A, Lengkok Tenggiri bocor hatta mengakibatkan air melimpah di kali lima flat serta membahayakan penghuni setempat.

"Kawasan berair dan licin. Semua lampu koridor rosak akibat litar pintas selepas tangki (air) pecah.

"Keadaan sini yang sangat teruk sampai menjadi sarang pembiakan nyamuk dan biawak...ular pernah masuk ke (dalam) rumah kerana tiada penyelenggaraan (sekitar kawasan flat)," ujar beliau baru-baru ini di sini.

Beliau berkata, rumah pusaka tinggalan mendiang ayah itu kini menjadi tempat berteduh beliau bersama-sama adiknya, S.Nagajothy, 35, yang kini mengidap sakit buah pinggang pada tahap kronik.

"Sudah 28 tahun, saya tinggal di sini (iaitu) diwarisi daripada (mendiang) bapa," ujar beliau.

Fadhilah Abdullah
Nada yang sama turut diluah oleh Fadhilah Abdullah, 33, seorang suri rumah sepenuh masa di rumah tingkat 5, iaitu tingkat paling atas flat yang sama.

"Tangki bocor. Kalau buka (pili air tangki), mesti ditutup balik dalam masa kurang empat jam.

"Kalau tidak, air akan melimpah di bumbung (flat) dan menjerap masuk...bahaya kerana boleh runtuhkan (struktur) bangunan serta merosakkan kabel elektrik dalam rumah," ujar beliau.

Menurut beliau, beberapa penghuni asal di aras yang sama dengan rumahnya ada yang tidak lagi tinggal di rumah masing-masing.

"Memang ada (penduduk) tidak lagi tinggal di sini walaupun tidak pindah keluar barang disebabkan masalah tangki bocor tidak dibaiki," ujar beliau sambil mempersoal inisiatif pihak berwajib.

Wong Chew Foon, 36, Setiausaha Persatuan Penduduk Blok A2 - bersebelahan dengan Blok A1 - pula dalam perkembangan sama mengadu bahawa penduduk di flat tersebut masih belum mendapat sijil layak menduduki (OC) sejak 28 tahun lepas.

Malah, beliau mendakwa, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar langsung tidak menjawab permohonan TP1M yang dimohon oleh persatuan penduduk berkenaan sejak dua tahun lepas.

Mohd. Radzi Awang
Mohd. Radzi Awang, wakil Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam reaksi spontan berkata, status bangunan itu di bawah penyelenggaraan pihak swasta, bukan pihak berkuasa tempatan (PBT) sungguhpun dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Justeru, katanya, perbadanan pengurusan (MC) seharusnya ditubuh di Blok A1 dan Blok A3 terlebih dahulu bagi proses mengutip bayaran penyelenggara daripada setiap pemilik unit rumah kos rendah berkenaan.

"Penduduk mesti tubuh MC terlebih dahulu sekiranya mereka mahu memohon TP1M.

"MC perlu kutip yuran selenggara jika mahu kawasan flat ini kembali diselenggara," nasihat beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dalam reaksi spontan berkata, pihaknya akan memulakan interaksi dengan penduduk berwajib supaya MC boleh ditubuhkan lalu memohon peruntukan dari TP1M.

"Ini (kawasan Seberang Jaya) adalah salah satu pintu masuk ke Pulau Pinang, ertinya kawasan flat di sini menjadi sebahagian imej bagi negeri ini.

"(Justeru), kita perlu lihat ke depan, kita (Pusat Khidmat ADUN Seberang Jaya) akan membantu menubuhkan MC dan meneruskan interaksi dengan penduduk setempat ke arah itu," ujar beliau yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.

Bekas Pegawai Penyelaras Kawasan (PPK) DUN Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros turut hadir pada majlis melawat kawasan berkenaan.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh pula cuba mendapatkan maklum balas pihak berwajib - termasuk MPSP dan PDC - selepas bersama-sama Dr. Afif, Mohd. Radzi dan Abdul Jalil turun padang bagi menyaksikan kawasan kediaman tidak terselenggara itu.

Daripada maklum balas yang diterima, beliau berkata, sebanyak 53 MC melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telahpun memohon TP1M sejak tahun lepas.

Jagdeep Singh Deo  (kiri)menunjukkan salah satu punca
kawasan takungan air hingga mengakibatkan lintar pintas
di kawasan koridor lima tingkat flat itu sambil diperhat
oleh Afif Bahardin (kanan). 
Tambah beliau, 46 MC lain melalui MPSP turut memohon peruntukan TP1M bagi membaik pulih flat masing-masing.

Pun begitu, beliau berkata, kementerian meluluskan satu permohonan sahaja, iaitu projek membaik pulih Flat Taman Sungai Batu di Teluk Kumbar dalam kawasan DUN Bayan Lepas.

"Dari 99 permohonan yang dibuat, Kerajaan Pusat hanya lulus satu sahaja di bawah TP1M.

"Saya fikir Kerajaan Pusat jangan sabotaj (warga) Pulau Pinang kerana TP1M ini untuk semua rakyat, termasuk warga Pulau Pinang.

"Sekurang-kurangnya jawab lah permohonan yang dibuat oleh 99 MC ini (supaya) jika ada dokumen permohonan tidak lengkap, kita akan lengkapkan," tegas beliau.

ADUN Datuk Keramat itu dalam kenyataan lain sehari kemudian berkata, pihaknya baru menulis surat kepada kementerian berwajib supaya segera memberi respons mengenai status peruntukan sebenar TP1M untuk rakyat Pulau Pinang.

"Dalam surat itu, saya memberi masa selama 30 hari untuk kementerian jawab mengenai isu berbangkit ini sebelum kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) merancang tindakan susulan," tegas Jagdeep. -END  

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus