09 July 2013

TKM1 nasihat pemaju selenggara pangsapuri ikut jadual

MOHD. Rashid Hasnon bersama-sama pegawainya (belakang) melintasi kawasan lecak di bumbung Pangsapuri Jelutong Indah yang berpunca oleh tangki air bersih bocor. |  Foto: Saiful Azwan
LIM Siew Khim turut memanjat sampai ke bumbung Pangsapuri Jelutong Indah baru-baru ini bagi meninjau kawasan yang tidak diselenggara oleh pemaju. 

JKP Sdn. Bhd. selaku syarikat lantikan Kerajaan Pusat dinasihat supaya segera memulihara semula kemudahan asas yang rosak pada kesemua rumah pangsa kos rendah bawah selenggaraan pemaju berkenaan di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon menasihat demikian semasa mengadakan lawatan kilat ke Pangsapuri Jelutong Indah dekat kawasan Parlimen Jelutong di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kedua-dua lif pangsapuri itu rosak, manakala, dua tangki air di atas bangunan yang sama turut dikesan bocor hatta menyukarkan hidup penduduk setempat.

“Kedua-dua lif itu memang rosak sejak beberapa minggu lepas lagi...ada OKU (orang kurang upaya) terpaksa dipapah naik turun pangsapuri 10 tingkat itu menggunakan kanvas sahaja.

“Ada dua tangki bocor yang airnya senantiasa keluar (menitik) di dalam satu rumah.

“Saya telah menghubungi pemaju JKP, saya berharap mereka (pemaju) berbincang dengan JMB (badan pengurusan bersama) secepat mungkin...pemaju perlu bertanggungjawab,” tegas beliau selepas melawat kawasan pangsapuri berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut menyertai lawatan kilat itu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Rashid sebelum ini turut mengadakan lawatan kilat di Flat Seri Bagan dekat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam dan sebuah lagi flat kos rendah di kawasan DUN Perai.

Beliau berkata, kemudahan asas di kedua-dua flat yang dimajukan JKP Sdn. Bhd. itu turut tidak diselenggara mengikut jadual sebagaimana di Pangsapuri Jelutong Indah.

Hasil lewatan kilat itu, beliau berkata, penduduk setempat mengadu mengenai masalah pam air acapkali tidak berfungsi dengan baik hatta menyukarkan warga setempat mendapatkan bekalan air bersih.

“Saya berharap kolaborasi antara pemaju ini (JKP Sdn. Bhd.) dan semua JMB yang sedia ada amat penting untuk memastikan proses penyelenggaraan kesemua pangsapuri kos rendah ini mengikut jadual.

“Jangan tunggu rosak (kemudahan asas berwajib ini) kerana kos menggantikannya (alat-alat yang diselenggara) sebenarnya lebih besar berbanding kos menyelenggara kemudahan-kemudahan itu mengikut jadual,” nasihat beliau lagi.

Tuntas itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan JKP Sdn. Bhd. hatta Kerajaan Pusat sendiri demi memperbaiki keselesaan hidup rakyat di negeri berkenaan.

“Dengan HAPPY! (Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang), kita (Kerajaan Negeri) komited bekerjasama dengan UKP untuk menyelesai masalah ini. Kerajaan Pusat melalui TP1M (Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia) wajar mempercepat kelulusan permohonan JMB kita di sini,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus