12 June 2013

Tolak program immunisasi bayi di internet perlu cakna Pusat

AFIF Bahardin (kanan) bersama-sama Zairil Khir Johari menunjukkan beberapa laporan penolakan program immunisasi yang dicetak keluar dari internet. | Foto: Buletin Mutiara

Kementerian Kesihatan perlu menangani kempen menolak Program Immunisasi Bayi Kebangsaan yang dikesan kian meledak dalam laman sosial seperti Facebook dan blog belakangan ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, langkah itu penting demi kelangsungan program pencegahan sakit berjangkit dalam negara.

Beliau bagaimanapun berkata, anasir menolak program immunisasi bayi itu masih tidak dikesan berlaku di Pulau Pinang.

"Alasan penolakan antaranya keraguan pada kandungan vaksin, status halal vaksin serta jaminan tidak berlaku kesan sampingan pada penerima vaksin," ujar beliau di Komtar, George Town.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari turut hadir pada sidang media itu.

Justeru, Dr. Afif berkata, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam  (Menteri Kesihatan) sepatutnya cakna dengan perkembangan anasir itu dalam internet.

"Sekurang-kurangnya (Kementerian Kesihatan) beri penerangan mengenai pri penting tidak menolak program (immunisasi) ini," ujar Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Bercakap pada sidang media sama, Zairil menasihat semua pihak supaya menyaring terlebih dahulu lambakan informasi di media sosial sebelum membuat keputusan untuk menolak program immunisasi yang hakikatnya baik untuk anak-anak mereka.

Ini kerana katanya, Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 pada 5 dan 6 Jun 1989 nyata memharuskan pengambilan vaksin demi mencegah penyakit berjangkit seperti campak, tibi, batuk kokol, dipteria, tetanus  dan polio.

Fatwa itu diwartakan berbunyi, "vaksin-vaksin yang digunakan dalam imunisasi bagi penyakit-penyakit tersebut hendaklah diambil daripada bahan yang suci, sekiranya vaksin daripada bahan yang suci tidak diperolehi atau sukar diperolehi, maka penggunaan vaksin yang sedia ada adalah diharuskan."

Difahamkan, lebih 95 peratus bayi kelahiran negara telahpun menerima immunisasi saban tahun.

Impaknya, Malaysia mencatat rekod setaraf dengan United Kingdom, iaitu hanya 3 bayi daripada 1,000 kelahiran mati akibat pengakit-penyakit berjangkit.

Perkembangan terbaru itu menyerlahkan Kementerian Kesihatan supaya tidak memandang enteng mengenai anasir menolak program immunisasi bayi kebangsaan menerusi media sosial belakang ini. -END

Wan Ji bongkar doktrin melampau bakal Naib Presiden PAS mendekati Syiah

Idris Ahmad menulis:
"Sikap Nabi SAW telah menjadi suri teladan kepada kita. Baginda yakin terhadap apa yang baginda bawa.
Ummu Hani’ pernah melarang baginda daripada menceritakan kepada orang ramai, kerana yakin orang Quraish akan menolak cerita tersebut.
Baginda menjawab dengan tegas, samaada orang percaya atau tidak ini bukan urusan beliau, kewajipannya hanya menyampaikan risalah ini kepada orang ramai.
Inilah qudwah yang wajib diteladani oleh kita sebagai anggota harakah Islamiah. Tidak takut dengan penolakan orang, yang penting risalah mesti disampaikan."
Ustaz Wan Ji At-Ta'addudi dalam entri terbaru yang berjudul Kritikan manja terhadap Ustaz Idris Ahmad ada menulis:
"Dakwaan cerita isra’ dan mikraj ini ada kaitan dengan Ummu Hani cukup meragukan.
Ini kerana, dari tradisi sunni bahawa Isra’ dan mikraj itu berlaku setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. al-Zuhri ada menyatakan perkara itu dalam al-Sirah al-Nabawiyyah[1]. (al-Sirah al-Nabawiyyah, jld 2, hlmn 93)
Adapun Islamnya Ummu Hani, dinyatakan oleh al-Zahabi sebagai antara orang yang terlewat masuk Islam. (al-Zahabi, Siyar al-A’lam wa al-Nubala’, jld 2, hlmn 312)
Dari sudut yang lain pula, dalam kisah Isra’ yang dikaitkan dengan Ummu Hani diceritakan bahawa Nabi Muhammad mula isra’ dari rumahnya, sedangkan dalam al-Quran menyatakan bahawa Isra’ itu bermula dari Masjidil Haram.
Jika Ustaz Idris Ahmad berfahaman Syiah, tidak mengapa menyandarkan kisah isra’ ini dengan Ummu Hani, kerana dalam riwayat Syiah, memang mereka menyatakan bahawa Isra’ itu dikaitkan dengan Ummu Hani.
Dalam Kitab al-Kharaij al-Jaraih, tulisan seorang tokoh Syiah bernama Abu al-Husain Said bin Abd Allah bin al-Husain bin Hibah Allah bin al-Hasan, atau dikenali sebagai Qutb al-Din al-Rawandi yang meninggal pada 573 Hijrah menyatakan bahawa pulangnya Nabi Muhammad ke rumah ummu Hani dan beliau menyatakan kepada Baginda SAW bahawa jika diberitahu kepada manusia, pasti manusia lebih mendustainya berbanding membenarkannya[2]. (Qutb al-Din al-Rawandi, Al-Kharaij al-Jaraih, jld 1, hlmn 85)"

_______
[1] أسرى برسول الله صلى الله عليه وسلم قبل خروجه إلى المدينة بسنة
[2] لما رجع من السُّرى نزل على أم هاني بنت أبي طالب فأخبرها ، فقالت: بأبي أنت وأمي والله لئن أخبرت الناس بهذا ليكذبنك من صدقك

Jangan TP1M Pusat sabotaj P.Pinang :Jagdeep

DARI KIRI: Jagdeep Singh Deo, Afif Bahardin, Abdul Jalil Che Ros menerima penjelasan lanjut daripada  Mohd. Radzi Awang (paling kanan) mengenai status tangki air bocor tanpa penyelenggaraan di Blok A1, Lengkok Tenggiri dekat Seberang Jaya baru-baru ini. | Foto: BM
Jagdeep Singh Deo (kiri) dan Afif Bahardin menunjukkan antara kawasan retak ekoran limpahan air tangki bocor di bumbung flat hatta menjerap struktur konkrit bangunan berkenaan.

Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang ditubuhkan sejak 31 Januari 2010 dengan peruntukan awal sebanyak RM37.6 juta nampaknya terus dinanti-nantikan oleh warga Pulau Pinang, khususnya kawasan flat Seberang Jaya sampai sekarang.

S.Sarasvathy (kiri) dan adiknya, S.Nagajothy
S.Sarasvathy, 48 yang ditemui baru-baru ini mengadu bahawa tangki Blok A, Lengkok Tenggiri bocor hatta mengakibatkan air melimpah di kali lima flat serta membahayakan penghuni setempat.

"Kawasan berair dan licin. Semua lampu koridor rosak akibat litar pintas selepas tangki (air) pecah.

"Keadaan sini yang sangat teruk sampai menjadi sarang pembiakan nyamuk dan biawak...ular pernah masuk ke (dalam) rumah kerana tiada penyelenggaraan (sekitar kawasan flat)," ujar beliau baru-baru ini di sini.

Beliau berkata, rumah pusaka tinggalan mendiang ayah itu kini menjadi tempat berteduh beliau bersama-sama adiknya, S.Nagajothy, 35, yang kini mengidap sakit buah pinggang pada tahap kronik.

"Sudah 28 tahun, saya tinggal di sini (iaitu) diwarisi daripada (mendiang) bapa," ujar beliau.

Fadhilah Abdullah
Nada yang sama turut diluah oleh Fadhilah Abdullah, 33, seorang suri rumah sepenuh masa di rumah tingkat 5, iaitu tingkat paling atas flat yang sama.

"Tangki bocor. Kalau buka (pili air tangki), mesti ditutup balik dalam masa kurang empat jam.

"Kalau tidak, air akan melimpah di bumbung (flat) dan menjerap masuk...bahaya kerana boleh runtuhkan (struktur) bangunan serta merosakkan kabel elektrik dalam rumah," ujar beliau.

Menurut beliau, beberapa penghuni asal di aras yang sama dengan rumahnya ada yang tidak lagi tinggal di rumah masing-masing.

"Memang ada (penduduk) tidak lagi tinggal di sini walaupun tidak pindah keluar barang disebabkan masalah tangki bocor tidak dibaiki," ujar beliau sambil mempersoal inisiatif pihak berwajib.

Wong Chew Foon, 36, Setiausaha Persatuan Penduduk Blok A2 - bersebelahan dengan Blok A1 - pula dalam perkembangan sama mengadu bahawa penduduk di flat tersebut masih belum mendapat sijil layak menduduki (OC) sejak 28 tahun lepas.

Malah, beliau mendakwa, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar langsung tidak menjawab permohonan TP1M yang dimohon oleh persatuan penduduk berkenaan sejak dua tahun lepas.

Mohd. Radzi Awang
Mohd. Radzi Awang, wakil Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam reaksi spontan berkata, status bangunan itu di bawah penyelenggaraan pihak swasta, bukan pihak berkuasa tempatan (PBT) sungguhpun dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Justeru, katanya, perbadanan pengurusan (MC) seharusnya ditubuh di Blok A1 dan Blok A3 terlebih dahulu bagi proses mengutip bayaran penyelenggara daripada setiap pemilik unit rumah kos rendah berkenaan.

"Penduduk mesti tubuh MC terlebih dahulu sekiranya mereka mahu memohon TP1M.

"MC perlu kutip yuran selenggara jika mahu kawasan flat ini kembali diselenggara," nasihat beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dalam reaksi spontan berkata, pihaknya akan memulakan interaksi dengan penduduk berwajib supaya MC boleh ditubuhkan lalu memohon peruntukan dari TP1M.

"Ini (kawasan Seberang Jaya) adalah salah satu pintu masuk ke Pulau Pinang, ertinya kawasan flat di sini menjadi sebahagian imej bagi negeri ini.

"(Justeru), kita perlu lihat ke depan, kita (Pusat Khidmat ADUN Seberang Jaya) akan membantu menubuhkan MC dan meneruskan interaksi dengan penduduk setempat ke arah itu," ujar beliau yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan.

Bekas Pegawai Penyelaras Kawasan (PPK) DUN Seberang Jaya, Abdul Jalil Che Ros turut hadir pada majlis melawat kawasan berkenaan.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh pula cuba mendapatkan maklum balas pihak berwajib - termasuk MPSP dan PDC - selepas bersama-sama Dr. Afif, Mohd. Radzi dan Abdul Jalil turun padang bagi menyaksikan kawasan kediaman tidak terselenggara itu.

Daripada maklum balas yang diterima, beliau berkata, sebanyak 53 MC melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telahpun memohon TP1M sejak tahun lepas.

Jagdeep Singh Deo  (kiri)menunjukkan salah satu punca
kawasan takungan air hingga mengakibatkan lintar pintas
di kawasan koridor lima tingkat flat itu sambil diperhat
oleh Afif Bahardin (kanan). 
Tambah beliau, 46 MC lain melalui MPSP turut memohon peruntukan TP1M bagi membaik pulih flat masing-masing.

Pun begitu, beliau berkata, kementerian meluluskan satu permohonan sahaja, iaitu projek membaik pulih Flat Taman Sungai Batu di Teluk Kumbar dalam kawasan DUN Bayan Lepas.

"Dari 99 permohonan yang dibuat, Kerajaan Pusat hanya lulus satu sahaja di bawah TP1M.

"Saya fikir Kerajaan Pusat jangan sabotaj (warga) Pulau Pinang kerana TP1M ini untuk semua rakyat, termasuk warga Pulau Pinang.

"Sekurang-kurangnya jawab lah permohonan yang dibuat oleh 99 MC ini (supaya) jika ada dokumen permohonan tidak lengkap, kita akan lengkapkan," tegas beliau.

ADUN Datuk Keramat itu dalam kenyataan lain sehari kemudian berkata, pihaknya baru menulis surat kepada kementerian berwajib supaya segera memberi respons mengenai status peruntukan sebenar TP1M untuk rakyat Pulau Pinang.

"Dalam surat itu, saya memberi masa selama 30 hari untuk kementerian jawab mengenai isu berbangkit ini sebelum kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) merancang tindakan susulan," tegas Jagdeep. -END  

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus