05 July 2013

Papar senarai nama penerima rumah dalam Buletin Mutiara :Jagdeep

EXCO Perumahan, Perancang Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo mencadangkan senarai nama pemohon yang ditawarkan rumah mampu milik dipaparkan dalam akhbar Buletin Mutiara terbitan Kerajaan Negeri serta di pusat-pusat khidmat wakil rakyat

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat itu berkata, inisiatif tersebut diharap lebih melancarkan rakyat mengemukakan bantahan terhadap mereka yang sudah mempunyai rumah mampu milik.

"Ini saringan yang lebih ketat," ujar Jagdeep malam tadi dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN), George Town.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sebelum ini hanya memaparkan senarai penerima rumah mampu milik kepada umum di Tingkat 3, Komtar di sini sahaja.

Penjelasan Jagdeep itu sebagai menjawab soalan yang dibangkit ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Yeoh Soon Hin (ADUN Paya Terubong). -END

Lulus segera permohonan TP1M, ucap T.Y.T P.Pinang

T.Y.T yang diiringi isteri, Toh Puan Hajjah Majimor Shariff (kanan) semasa berucap pada istiadat pembukaan DUN Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

TUAN Yang Terutama (T.Y.T.) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas berharap Kerajaan Pusat segera meluluskan permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) demi kepentingan rakyat di negeri berkenaan.

Beliau berucap demikian semasa majlis pembukaan mesyuarat penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-13 pada 2 Julai lepas.

“Sehingga sekarang, hanya Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Sungai Batu di Teluk Kumbar telah diluluskan sebanyak RM100,000.

“Adalah diharapkan, pihak Kerajaan Persekutuan akan meluluskan pemberian baki kos pembaikan 90 peratus dan 70 peratus dengan segera,” ujar beliau di DUN Pulau Pinang, George Town baru-baru ini.

Beliau turut menyokong rancangan Kerajaan Negeri mewujudkan program HAPPY! atau Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang demi “menjayakan program Kerajaan Pusat TP1M.”

Melalui program HAPPY!, Kerajaan Negeri menawarkan pembiayaan baki sebanyak 10 peratus dan 30 peratus kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan yang perlu dikeluarkan oleh pemilik rumah kos rendah (LC) dan kos sederhana rendah (LMC) bagi memperbaiki tangki air, kabel elektrik, lif mahupun mengecat semula rumah pangsa.

Difahamkan, sebanyak 99 permohonan TP1M dibuat oleh perbadanan pengurusan (MC) bagi membaiki rumah kediaman masing-masing di Pulau Pinang.

53 permohonan dibuat melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan 46 permohonan lain dibuat melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Dari jumlah itu, hanya satu permohonan dikenal pasti lulus oleh Kerajaan Pusat sebagaimana disebut dalam ucapan Abdul Rahman.

“Untuk menaik taraf bangunan-bangunan perumahan bertingkat yang dimajukan oleh Kerajaan Negeri perlulah diteruskan untuk kemudahan rakyat,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri merancang pembangunan rumah mampu milik pelbagai ketegori di tujuh lokasi sekitar kawasan pulau dan Seberang Perai.

Harga rumah pelbagai ketegori itu bernilai antara RM72,500 hingga RM400,000 seunit dengan penekanan ke atas rumah bernilai antara RM200,000 hingga RM250,000.

Sebanyak RM500 juta diperuntukan oleh Kerajaan Negeri bagi membina 22,172 unit rumah mampu milik di kesemua lokasi pembangunan berwajib.

Dari jumlah itu, 3,152 unit rumah mampu milik akan dibina di sebelah pulau, manakala, bakinya bakal dibina di sebelah Seberang Perai.

Itu, katanya,  tidak termasuk rancangan terbaru Kerajaan Negeri menambah pembinaan sekurang-kurangnya 5,000 unit lagi rumah mampu milik di kawasan pulau dengan mengambil alih sebidang tanah di Balik Pulau serta menebus guna tanah di Middle Bank di sini.

Beliau turut melahirkan rasa gembira dengan insitif kerajaan negeri merancang pembinaan 2,420 unit, iaitu 1,900 di Jalan SP Cheliah dan 520 unit di Bandar Cassia dekat Batu Kawan, hatta, menarik minat lebih 19,000 orang membuat permohonan.

Isu Pemilihan Masjid bergolak dalam DUN. Pinang, Salleh Man hilang!!!!

ISU pemilihan Masjid panas di DUN Pulau Pinang, tetapi, ADUN Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man (PJ PAS merangkap YDP MAINPP) tidak kelihatan di Dewan Mesyuarat, sekarang.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim keseorang diserang pembangkang.

Pandai buat pilihan raya masjid saja, tetapi lepas tangan dan biar Exco negeri jawab!!!

Kon Yeow dedah nama 'Tan Sri' gondol Bukit Gambir

NAMA Tan Sri Tan Kok Peng disebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sebalik kontroversi kes penggondolan Bukit Gambir.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow mendedahkan nama itu sebagai menjadi pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Delima, R.S.N.Rayer.

“Mengitu laporan yang diterima, Tan Sri yang dimaksudkan adalah Tan Kok Peng,” ujar Kon Yeow semasa sesi penggulungan petang tadi.

TerkiniKon Yeow turut menafikan satu laporan akhbar berbahasa Cina yang menyebut, beliau ada menyebut untuk merujuk Kok Peng ke Mahkamah.

"Saya tidak menyebut perkara ini. Saya menyebut syarikat yang terbabit akan dirujuk ke Mahkamah," ujar Kon Yeow baru-baru tadi.

Terdahulu, Kon Yeow berkata, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan mengambil langkah perundangan ke atas pemilik tanah Cangkat Bukit Gambir yang didakwa memugar tanah persendirian itu tanpa kelulusan majlis.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Dr. Lim Mah Hui dalam menyuarat penuh majlis pula mendesak ditubuhkan satu jawatankuasa bebas bagi menyiasat projek penarahan Bukit Gambir yang dilaporkan kian menjadi tanda tanya banyak pihak.

Rai Hari Lahir T.Y.T. P.Pinang selepas Hari Raya Puasa – Speaker DUN

KERAiAN penuh Hari Lahir Tuan Yang Terutama (T.Y.T.) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ke-75, Tun Abdul Rahman Abbas pada 13 Julai ini ditangguh ke tarikh 26 Ogos depan demi memberi laluan pada sambutan bulan Ramadan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Law Choo Kiang bagaimanapun berkata, majlis kesyukuran, tahlil serta jamuan berbuka puasa sempena keraian hari lahir T.Y.T. itu akan diadakan di Masjid Negeri pada Jumaat, 12 Julai 2013 bersamaan 3 Ramadan 1434 Hijrah, bermula jam 6.00 petang.

Ketetapan itu, menurut beliau, sekaligus membawa Istiadat Kawalan Kehormat serta Istiadat Pengurniaan Kebesaran, Bintang dan Pingan Kehormatan Negeri di Dewan Sri Pinang di sini dijadual semula bermula pada 26 hingga 29 Ogos depan.

Itu, tidak termasuk Jamuan Malam sempena sambutan Hari Lahir T.Y.T. pada 26 Ogos di Hotel Equatorial dekat kawasan Parlimen Bayan Baru.

“Ketetapan ini diharap menjawab tanda tanya mengenai majlis Sambutan Hari Jadi T.Y.T. serta Istiadat Pengurniaan sama ada tetap diadakan dalam bulan Ramadan atau selepas Hari Raya Puasa,” ujar Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun di DUN Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus. -END

P.Pinang bayar caj air Perak bersebab - KM

KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan Negeri hanya akan membayar caj pengambilan air mentah kepada Perak sahaja.

“Ini kerana, (pengambilan) air (mentah) mengalir 100 peratus dari (Sungai di) Perak dan tak alir masuk ke Pulau Pinang langsung.

“Yang itu, kita (Kerajaan Negeri) sedia bayar kerana itu undang-undang,”  ujar Guan Eng dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di George Town tengah hari tadi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak wajar membayar caj air mentah kepada Kerajaan Negeri Kedah memandangkan sumber air mentah yang diambil adalah dari Sungai Muda sebelah Pulau Pinang.

“Takkan kita (Kerajaan Negeri) perlu bayar (caj) air (mentah) yang diambil dari alir (Sungai Muda) sebelah Pulau Pinang,” ujar beliau.

Justeru, beliau sekali lagi menggesa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir supaya menjernihkan mengenai status tuntutan yang didakwa tidak berperundangan itu.

Sebelum itu, Guan Eng semasa sesi penggulungan menegaskan bahawa Projek Pemindahan Tadahan Hujan Perak-Pulau Pinang (Sungai Perak-Sungai Ijok-Sungai Kerian) untuk memastikan negeri ini tidak akan menghadapi risiko kemungkinan kekurangan air selepas tahun 2020 telahpun dilaksanakan.

Menurut beliau, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali sendiri semasa masih menjadi Menteri Besar Perak memberi jaminan dana pembiayaan projek-projek air berwajib kepada Pulau Pinang dalam perjanjian penstukturan semula air yang ditandatangani dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Sehingga kini, 80 peratus dari sumber air Pulau Pinang diambil dari Sungai Muda sebelah negeri berkenaan dan bekalan air mentah itu cukup untuk memenuhi permintaan pengguna sehingga tahun 2020.

“(Pendirian Kerajaan Negeri) ini demi membela kepentingan rakyat Pulau Pinang,” tegas Guan Eng. -END

Umno tak terkata apa apabila Guan Eng dedah Menterinya tak lindungi Kg.Warisan Melayu P.Pinang



Lindungi Kampung Warisan P.Pinang bawah Pusat :KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri telah mengutus beberapa surat penyataan hasrat kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan demi melindungi Kampung  Batu Uban dan Kampung Tanjong Tokong sebagai  ‘Kampung Warisan’, namun, tiada tindakan langsung daripada Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada sesi  penggulungan sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Sr. Muhammad Farid Saad, sebelum ini.

“Kuasa mewartakan mana-mana kampung sebagai Kampung Warisan terletak di bawah kuasa Kerajaan Pusat menerusi Akta Warisan Kebangsaan, 2005,” ujar Guan Eng di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu berkata, surat bertarikh pada 10 Mei 2012, 12 Julai 2012 dan 24 Ogos 2012 menyatakan hasrat melindungi Kampung Batu Uban atau mana-mana bahagian berwajib telah diutus kepada Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim semasa masih menjadi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Demi melindungi Kampung Tanjung Tokong pula, beliau berkata, dua surat bertarikh 9 Mac 2010 dan 16 Mac 2012 turut diutus kepada Rais.

“Sehingga sekarang, tidak ada sebarang tindakan diambil (oleh Kerajaan Pusat),” tegas Guan Eng sambil meminta partisipasi daripada pembangkang Pulau Pinang.

ADUN Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dalam reaksi spontan meminta Guan Eng membekalkan surat-surat penyataan hasrat berwajib itu untuk dipanjangkan kepada Kerajaan Pusat. -END

Jangan bawa isu perkauman ke hospital :KM

KETUA Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng mendesak pembangkang Pulau Pinang supaya tidak terbawa-bawa isu perkauman dalam institusi kesihatan sekiranya tiada bukti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dalam sesi perbahasan ucapan T.Y.T. sebelum ini yang menyebut, wujud doktor berbangsa Cina di Hospital Kepala Batas sanggup tidak melayan pesakit Melayu.

“Tak timbul langsung isu perkauman di Hospital,” ujar Guan Eng dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di George Town baru-baru ini.

Lantas, beliau mendesak Roslan supaya mengemukakan nama doktor tersebut dalam dewan.

“Sila kemukakan bukti dalam dewan ini. Kalau ada, dia (doktor) tak layak untuk menjadi doktor di bawah (seliaan) Kemneterian Kesihatan...dia (doktor) patut dipecat jika benar-benar wujud.

“Warga doktor di Pulau Pinang sebenarnya senang hati kerana tiada perkauman, mereka menyelamatkan nyawa sahaja,” ujar beliau sambil menyeru semua pihak supaya menghormati profesionalisme doktor di negeri berkenaan.

Roslan dalam reaksi spontan enggan mengemukakan nama doktor yang dimaksudkan itu sambil menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan kononnya berpunca oleh ‘Tsunami Cina’ pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

ADUN Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah pula kemudiannya bangkit berdalih bahawa perkara yang dibangkitkan Roslan itu sebagai kes terpencil.

Malah, dalihnya lagi, nama doktor tersebut wajar tidak disebut kononnya atas faktor keselamatan serta mengelak laporan langsung daripada pihak media.

Guan Eng dalam reaksi balas menyebut, “ini suatu kes terpencil atau kes provokasi (pihak pembangkang Pulau Pinang.”

Exco Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin lantas bangkit mempertahan profesionalisme doktor di tanah air ini tanpa mengira kaum.

“Ini melibatkan etika doktor. Rasisme untuk masa depan Malaysia, tidak layak lagi. Untuk parti yang rasis, ia (perkauman) akan mati.

“Yang kita minta Pinang Tunggal (Roslan) tarik balik. Yang dibangkitkan adalah ‘Tsunami Cina’, apa kena mengenanya dengan doktor...kalau betul Pinang Tunggal wakil kepada umum, tunjukkan nama,” tegas beliau sebelum Guan Eng meneruskan ucapannya. -END

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus