31 July 2013

Exco syor pinjaman perumahan melalui SJKP

JAGDEEP Singh Deo
PEMOHON yang gagal ditawarkan pinjaman perumahan daripada bank-bank berwajib disebabkan tiada penyata gaji atau bekerja sendiri disyor mendapatkan jaminan pinjaman melalui skim Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, masih ramai tidak tahu mengenai skim tersebut, hatt,a mengakibatkan mereka gagal mendapatkan pinjaman bank sungguhpun layak.

“Skim ini terbuka kepada pembelian rumah pertama untuk didiami meliputi pangsapuri kos rendah, sederhana rendah, subsale ataupun lelongan.

“Saya percaya bahawa ini merupakan satu usaha Kerajaan Pusat terhadap 'reconciliation' (pendamaian) sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri," ujar beliau di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Pulau Pinang merupakan negeri yang menerima pinjaman kedua terbesar melalui skip SJKP sejak Januari 2008 hingga kini, iaitu berjumlah RM21.7 juta untuk 467 permohonan.

Menerusi skim SJKP, beliau berkata, pemohon layak mendapat jaminan pinjaman perumahan 100 peratus atau sehingga RM100,000 dengan syarat memenuhi kriteria yang digariskan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, Kritaria yang dimaksudkan antaranya, warganegara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas dan bekerja sendiri atau berpendapatan tetap purata minimum RM1,000 sebulan.

Tambah beliau, pemohon turut perlu mendapatkan surat pengesahan pihak ketiga mengenai sumber kewangan dan jumlah pendapatan mereka untuk diproses oleh SJKP.

Selain itu, katanya lagi, pemohon mestilah bermastautin dalam lingkungan cawangan bank tempat permohonan dibuat.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata,  Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru memberikan reaksi positif mengenaistatus kesemua permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) oleh warga Pulau Pinang bersama-sama Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang (HAPPY!) yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri.

Berikut adalah bank-bank yang menyertai skim SJKP:
  1. Bank Simpanan Nasional (BSN)
  2. Bank Islam (M) Bhd.
  3. Affin Bank Bhd.
  4. Affin Islamic Bank
  5. Malayan Banking Bhd.
  6. Maybank Islamic Bank
  7. AmBank Bhd.
  8. AmIslamic Bank Bhd.
  9. Alliance Bank Bhd.
  10. Alliance Islamic Bank Bhd.
  11. Hong Leong Bank Bhd.
  12. Hong Leong Islamic Bank Bhd.
  13. Bank Kerjasama Rakyat

YB bukan 'pertahanan terakhir' lulus binaan haram - Soon Hin

CONTOH penambahan struktur tanpa kebenaran dan menutup longkang di sebuah kondominum di Relau baru-baru ini.

JANGAN jadikan ahli politik bergelar Yang Berhormat (YB) sebagai 'pertahanan terakhir' untuk menghalalkan struktur binaan haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berkata demikian ketika melawat satu kondominium dekat Relau, Paya Terubong yang dikesan membuat penambahan struktur binaan secara haram.

Menurut beliau, beberapa unit rumah di sini dikesan melakukan kesalahan penambahan struktur binaan hingga menutup longkang asal.

“Ini (penambahan struktur binaan haram) memang satu kesalahan serius (yang) akan mengakibatkan kesulitan ketika kerja pembersihan dilakukan. Lantas akan mengakibatkan air bertakung, denggi dan sebagainya,”

“Selalunya pemilik premis dengan sesuka hati akan melakukan penambahan struktur tanpa merujuk kepada pemaju, mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT), iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Maka, apabila pemeriksaan dilakukan dan ternyata penambahan itu salah, mereka akan menghubungi YB untuk mempertahankan tindakan mereka," ujar beliau di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga sebenarnya terikat pada undang-undang seperti Seksyen 72 Akta Jalan dan bangunan 1974 MPPP memperuntukan, mana-mana individu yang sudah didapati menyalahi akta ini dengan membina penambahan haram, mereka boleh didenda tidak lebih RM250 sehari, bagi setiap hari dari tempoh diberikan notis jika tidak mengambil tindakan meroboh.

Justeru, katanya, MPPP berhak untuk meroboh mana-mana binaan yang dikenal pasti 'haram' selepas notis berwajib dikeluarkan.

Yayasan Islam anjur Festival Etnik Rawo 17 Ogos

MUJAHID Yusof Rawa menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Pembukaan Pusat Khidmat KADUN Padang Lalang anjuran Chong Eng di sini baru-baru ini.

YAYASAN Islam Pulau Pinang (YIPP) akan menganjurkan Festival Etnik Rawo di perkarangan Masjid Melayu Lebuh Acheh dalam lingkungan bandar warisan dunia UNESCO pada 17 Ogos depan.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, penganjuran itu diharap dapat menghidupkan suasana budaya dan sejarah Lebuh Acheh yang dikatakan kaya dengan pengalaman multi etnik.

"Adat 'Jojak' atau pantang tanah akan dipersembahkan, selain, pantun dan sesi bercakap (dalam) bahasa dialek Rawo oleh pesara guri dari bangsa India yang mahir dalam dialek Rawo.

"Program ini mampu membuktikan erti kepelbagaian yang menjadi resepi kejayaan Pulau Pinang...(serta) menyemarakkan lagi perkembangan Pulau Pinang melalui kekayaan budaya," ujar beliau semasa berucap pada Majlis Pembukaan Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Danny Law Heng Keang (Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan) dan Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam) turut hadir pada majlis anjuran ADUN Padang Lalang, Chong Eng.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk,  Lee Khai Loon dan Zolkifly Md. Lazim (Presiden D'BM Hospital).

Mujahid yang juga pengarah program festival tersebut berkata, keraian sehari bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu turut memuatkan info budaya serta sejarah etnik Rawo di negeri berkenaan dan Malaysia melalui pameran serta persembahan kebudayaan lain.

Tambah beliau, selebriti dakwah seperti Ustaz Akil Hayyi Rawa dan Ustaz Don Danial Don Biyajed turut akan menyertai festival antarabangsa itu.

Menurut beliau, Penaung YIPP, Datuk Mansor Othman turut berkongsi hasrat yang sama melalui penganjuran festival tersebut.

Difahamkan, Etnik Rawo yang datang ke Pulau Pinang serta membina identiti komuniti berniaga sejak penghujung kurun ke-18 lagi.

Sehingga kurun ke-20, mereka menguasai peniagaan (dalam) bidang kitab agama, percetakan dan pemborong kain.

RM40,000 buka Little Penang dua kali sebulan - KM

PERTUNJUKKAN tarian kebudayaan tradisonal etnik Serani Portugis antara persembahan menarik di Little Penang Street Market di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (tiga dari kiri) bersama-sama pihak penganjur memotong kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ketujuh Little Penang Street Market di sini baru-baru ini.

KERAJAAN Negeri memperuntukan RM40,000 untuk mengembangkan fungsi Pasar Kraf Tangan Little Penang di sini dengan cadangan pembukaan dua kali dalam sebulan berbanding sebelum ini, iaitu pada hari Ahad setiap hujung bulan sahaja.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketujuh Little Penang Street Market di sini baru-baru ini.

“Saya suka menyatakan supaya pasar ini diadakan sebanyak dua kali sebulan supaya lebih dapat menarik para pelancong dari dalam dan luar negara," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih itu lagi, jawatankuasa penganjur pasar pelancongan itu boleh datang berbincang dengan Penang Global Tourism (PGT) sekiranya berhasrat untuk menambah bilangan hari jualan di pasar berkenaan.

“Walaupun banyak tempat-tempat komersial baru yang lahir di Pulau Pinang seperti New World Park, Gurney Plaza, Queensbay Mall, Straits Quay dan lain-lain, namun, Little Penang masih menjadi pusat kepada pengiat dan peminat seni,” ujar beliau lagi.

Difahamkan, Street Market mula ditubuhkan oleh Majlis Seni Pulau Pinang sejak tahun 1954 lagi.

Penubuhan pasar itu turut disokong oleh Majlis Perbandangan Pulau Pinang (MPPP) dari segi menentukan lokasi strategik dan sebagainya.

Pasar kraf tangan pula mula dibuka di Street Market pada hari Ahad setiap hujung bulan bermula sejak tahun 2006.

Sejak itu, pasar tersebut dijadikan medan bagi para penggiat seni kraf tangan, tradisional, kontemporari serta pelbagai cabang seni lain di sini untuk mempamerkan hasilan masing-masing.  

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus