25 October 2013

Veteran DAP P.Pinang letak jawatan parti

VETERAN DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd.Noor hari ini umum melepaskan semua jawatannya, tetapi kekal sebagai ahli biasa dalam parti masa depan itu.

Beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen Bayan Baru, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri dan Pengarah Penang Global Tourism (iaitu anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

"Cara pemerintahan sekarang adalah bertentangan dengan prinsip dan pegangan hidup saya," ujar beliau menerusi emel, petang tadi.

Zulkifli menyertai DAP sejak 26 tahun lepas.

KM terima kunjungan hormat Nik Amar, 120 kakitangan KN Kelantan

MOHD. Amar Nik Abdullah (empat dari kiri) menyerahkan cerderamata kenang-kenangan kepada Lim Guan Eng (lima dari kiri) di sini pada pagi tadi, sambil dilihat oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. Dr. P. Ramasamy (kanan sekali) dan dua dif lain.

KETUA Menteri, Y.A.B., Tuan Lim Guan Eng menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta 120 kakitangannya di Komtar, pagi tadi.

Mereka, ketua-ketua pentadbir dan ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah Daerah diraikan dalam satu majlis jamuan tengah hari secara sederhana.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri Kelantan, ADUN dan lima Ahli Parlimennya turut menyertai kunjungan hormat itu.

Roasfanizam Din selaku Setiausaha Sulit bagi Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya mengadakan kursus berkaitan hal ehwal tanah selama dua hari di sebuah hotel sekitar George Town.

Serentak itu, katanya, mereka mengadaka kunjungan hormat di Komtar yang menempatkan Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Skandal PKFZ: Liong Sik tipu Malaysia pun boleh terlepas?

Tun Dr Ling Liong Sik hari ini berjaya melepaskan diri dari dakwaan menipu Kerajaan Malaysia berhubung projek Don Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mahkamah Tinggi, lapor Bernama.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membebaskan Dr Ling selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ.

Dia didakwa menipu kerajaan apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan, dalam menentukan nilai itu, telah mengambil kira kadar kupon.

Dr Ling juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri
fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Belanjawan PR 2014: Akademis kata relevan, MP Umno kata 'cerita lama'

AKADEMIS Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir berkata Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 masih relevan walaupun ada perkara sama yang diulang.

Analisis Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial itu sekaligus menolak dakwaan Ahli Parlimen Umno bagi kawasan Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyebut, 'Bajet PR tidak realistik.

"Ini bukan soal perkara lama atau baru, sebaliknya apa yang ditawarkan perlu dilihat dari segi keperluannya untuk rakyat.

"Pendidikan percuma, rumah mampu milik, misalnya, adalah perkara asas yang membabitkan rakyat secara langsung.

"Walaupun sudah diulang banyak kali oleh PR, ia masih relevan kerana ini yang diinginkan rakyat," katanya, dipetik dari akhbar Sinar Harian hari ini.

Tambah beliau, Belanjawan PR 2014 lebih menumpu pada kepentingan asas yang diperlukan rakyat.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan PR 2014 di Parlimen, bertemakan 'Mempertahan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang'.

Dr. Jeniri berkata, diharap Bajet 2014 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menekankan aspek keperluan asasi rakyat.

"Hampir setiap tahun, bajet kerajaan tidak akan lari daripada mengambil kira keperluan semasa rakyat.

"Aspek begini yang dilihat lebih dekat dengan jiwa rakyat dan perlu diutamakan dalam mana-mana belanjawan," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Nur Jazlan pula dilaporkan berdalih, Belanjawan PR 2014 tidak meliputi semua aspek yang diperlukan negara dan rakyat.

"Belanjawan mereka macam cerita lama. Mereka tak cerita pasal hasil negara, apa yang mereka ceritakan adalah mengenai ketirisan dan rasuah.

"Pembangkang kata penjimatan boleh dilakukan melalui hapuskan rasuah. Mana mereka dapat jumlah rasuah itu," tanya Nur Jazlan semasa diminta ulas mengenai Belanjawan PR 2014 di lobi Parlimen semalam. 

Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, hasrat Kerajaan Umno Barisan Nasional Pusat mahu mendapatkan sumber pendapatan tambahan melalui pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dianggarkan kira-kira RM20 juta setahun hanya cukup untuk menampung ketirisan, pemabaziran, penyelewengan serta rasuah dalam pentadbiran Najib sahaja.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu menyanggah hasrat Pusat melaksanakan GST semasa mengulas mengenai beberapa unsur ketirisan, pemabaziran, penyelewengan dan rasuah dalam pentadbiran Najib, sebagaimana didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 baru-baru ini.

Hudud Brunei: Harmonisasi undang-undang sivil, syariah lebih mudah di P.Pinang, kata Ketua Hakim Mahkamah Syarie



 WACANA AMAL ISLAMi "Brunei dah laksana Hudud. Malaysia bila lagi?" Itu, mungkin menjadi cakap-cakap rakyat selepas Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di Brunei Darussalam bermula tahun depan.

Isu menarik ini sedikit banyaknya menggamit perhatian rakyat Pulau Pinang sendiri.

Umum mengetahui, Malaysia, termasuk Pulau Pinang dikatakan unik kerana mempunyai sistem dwi perundangan, iaitu sivil dan syariah, hingga kerap kali membawa pada konflik perundangan di antara kedua-duanya.

Sebagai contoh, proses mengadili pihak bukan Islam dalam mahkamah syariah.

Bapa Perundangan Malaysia, Allahyarham Tan Sri Professor Ahmad Ibrahim, Tun Abdul Hamid Mohammad (bekas Ketua Hakim Negara) dan Tan Sri Harun Hashim (bekas Hakim Mahkmah Agung) adalah tokoh-tokoh penting yang mencadangkan percantuman beberapa bahagian khusus antara mahkamah syariah dan sivil.

Fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB sempat mengadakan wawancara dengan Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang yang baru, Y.A.A. Datuk Abdul Walid Abu Hassan, 50, mengenai hal berbangkit tersebut.

Ini, memandangkan Kerajaan Negeri belakangan ini dilihat giat memartabatkan Islam di Pulau Pinang, sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Walid berkata, perbezaan yang ada pada amalam perundangan Mahkmah sivil dan Mahkamah Syariah sepatutnya tidak ditajamkan.

Sebaliknya, beliau berkata, undang-undang sivil dan mahkmah itu perlu terus diharmonikan secara beransur-ansur dan cermat.

“Syeksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah bunuh umpamanya, semuanya tidak bertentangan dengan Islam, kecuali, dua perkara sahaja yang memerlukan penambahbaikan.

“Satu, bab pengampunan, perlu dimasukkan peranan ahli keluarga. Yang kedua, bab ganti rugi, kuasa perlu diberikan kepada keluarga untuk membenarkan ganti rugi.

“Ertinya, hukum bunuh balas pada Seksyen 302 ini mendekati maksud hukum qisas. Usaha memasukkan peranan ahli keluarga mangsa dalam bab pengampunan pula mendekati konsep diat yang ada dalam syariat Islam.

“Selagi tidak bertentangan (dengan syariat Islam), maknanya boleh dipakai. Yang bertentangan sahaja perlu diubah sekadar apa yang dimaksudkan bertentangan itu,” ujar belau di Kompleks Mahkamah Syarie Pulau Pinang dekat George Town.

Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Rosidi Hussain turut menyertai interbiu menarik kali ini. 

Personaliti & Pengalaman
Abdul Walid mempunyai enam cahaya mata hasil perkahwinannya dengan seorang bekerjaya guru, Shaterah Annujma Ismail, 45.

Abdul Walid pernah menjadi Penolong Pengarah Undang-Undang Syariah di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) selama dua tahun bermula pada tahun 1989.

Beliau pernah menjadi Kadi Daerah Bukit Mertajam dari tahun 1990 hingga 1995, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syarie Butterworth dan Kepala Batas (1996 hingga 1997).

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang selama lima tahun.

Peranannya dalam mengkaji, meneroka serta mengharmonikan semangat syariah Islamiah dalam kerangka perundangan sivil melayakkan beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelidik Kanan kepada Ketua Pengarah atau Ketua Hakim Syarie Malaysia di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dari tahun 2002 hingga 2005.

Beliau dipanggil menyertai Jabatan Peguam Negara dari tahun 2005 hingga 2010 bagi mengetuai Unit Pembangunan Undang-Undang Keluarga Islam dan Sistem Kehakiman Syariah.

Abdul Walid sempat menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari tahun 2000 hingga 20012, sebelum dilantik ke jawatan sekarang. 

Hamonisasi Undang-Undang

“Undang-undang di Mahkamah Syariah hampir lengkap. Ada orang tanya, mengapa tidak dilaksanakan Hudud. Saya kata, itu antara sebahagian kecil yang tidak dilaksana.

“Ada juga dimomokkan, jika tidak melaksanakan Hudud, ertinya negara tidak Islam.

“Bagi saya, masih banyak ruang amal Islami yang perlu dilaksanakan seperti yang saya sebut tadi, (iaitu) usaha harmonisasi semangat syariah Islamiah ini dalam perundangan sivil,” ujar beliau.

Penjelasan Abdul Walid itu dilihat mendekati kaedah fiqh yang menyebut, al-hukmu yaduru ma ‘ala musamma la ‘ala Islami (maksud: kehukuman itu berlegar pada perkara yang diberikan nama, bukannya jenama).

“Proses melaksana syariah Islamiah sepatutnya dilakukan secara beransur-ansur, bersesuai dengan kondisi atau masa atau tempat ia dilaksanakan.

“Dalam konteks Pulau Pinang, umpamanya, pelaksanaan amar makruf (menyuruh kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) memang sedia dilakukan sendiri oleh sebuah kerajaan (melalui) mahkamah, polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Amal Islami yang seperti dakwah Islamiah, pendidikan Islam, kehakiman syariah, memerangi jenayah, kesemuanya boleh dilakukan dalam ruang lingkup undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada sekarang.

“Justeru, kita (umat Islam) perlu meneroka dinamika undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada, tidak perlu tunggu pun undang-undang Hudud dilaksanakan, baru kita nak mengiktiraf negara ini mengikut Islam.

Menurut beliau, undang-undang sivil kebanyakkannya mendekati syariah Islam, cuma tidak dipanggil syariat Islam sahaja.

“Berdasarkan kajian saya pada Kanun Keseksaan 302, (Seksyen) 304, Akta Kontrak, Akta Sewa Beli dan banyak lagi undang-undang sivil yang sedia ada, kebanyakkannya mendekati syariah Islam. 

“Apa yang terdapat dalam Kanun Jenayah Syariah, itu juga diambil dari Undang-Undang Sivil, cuma dibuang beberapa perkara melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil, seperti tahanan tanpa bicara tidak diamalkan dalam Mahkamah Syariah. 

"Sebab itu, perlu usaha harmonisasi undang-undang syariah dalam kerangka sivil,” ujar beliau lagi.

Tranformasi Syariah
Kesempatan dilantik menjadi Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang, Abdul Walid berkata, beliau sedang berusaha memudahkan proses perbicaraan di Mahkamah Syariah supaya khalayak melihat Islam agama mudah.

“Proses perbicaraan yang lazim adalah adversarial, iaitu perhujahan melibat kedua-dua belah pihak (plaintif dan defenden) di Mahkamah Syariah.

“Yang saya sedang usaha wujudkan adalah inquisitorial, iaitu iaitu Hakim sendiri yang memainkan peranan utama dengan turun padang siasat satu-satu kes.

“Contoh lain, cerai di luar Mahkamah, sepatutnya tidak memerlukan perhujahan sebab seorang Hakim Syarie sudah boleh membuat keputusan berdasarkan ikrar kedua-dua belah pihak di mahkamah. 

“Sudahlah kedua-dua pihak susah sebab konflik rumah tangga, ditambah pun susah sebab perlu cari sumber untuk bayar kos guaman, sedangkan Islam itu sebenarnya agama yang mudah,” ujar beliau.

Justeru, katanya, penerokaan pada tatacara Mahkamah Syariah diperlukan dengan menggabungkan dua proses perbicaraan tersebut, iaitu adversarial dan inquisitorial supaya kehakiman lebih mudah dan cepat.

Rasionalisasi Syariah
Abdul Walid berkata, hukuman rotan didepan khalayak atau public caning telah lama diamalkan di sekolah, hatta boleh diterima sebagai sesuatu yang rasional.

Beliau berkata, khalayak boleh menerima ketetapan Hakim Mahkamah Syeksyen Ampang pada September lepas yang mengarahkan tiga juvana masing-masing disebat dua kali oleh Pegawai Penjara Kajang atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan.

“Sebat juvana ini dilakukan dalam Mahkamah dengan disaksikan oleh waris ketiga-tiga juvana tersebut, bukan sebat untuk jenayah berat sampai luka tubuh...boleh jadi bebat juvana ini macam public caning atau mungkin mendekati sebat syariah juga.

“Penerokaan pada tatacara sebat syariah ini akan dilihat rasional macam public caning kerana pelaksanaan hukuman depan khalayak itu boleh membuatkan si pesalah malu dan insaf, serta menjadi teladan buat yang lain.

“Sebat syariah ini boleh diusahakan, cuma Hakim (Syariah) sahaja dilihat tidak berani meneroka pelaksanaan ini,” ujar beliau.

Semasa menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beliau berkata, beliau selalu meneroka proses pelaksanaan sebat syariah, malah, membenarkan permohonan khalayak untuk melihat sendiri proses sebatan di Penjara Kajang.

Harapan
Abdul Walid berkata, usaha harmonisasi perundangan sivil dan syariah wajar dimainkan secara beransur-ansur oleh semua pihak, bukan sekadar cakap-cakap politik sahaja.

“Harmonisasi dua perundangan ini juga merupakan antara amal Islami yang perlu diteroka, selagimana tidak bertentangan dengan undang-undang yang sedia ada,” ujar beliau. 

Itu, katanya, termasuk cadangan mewujudkan Mahkamah Tengah dan Majlis Rayuan Syariah dengan Hakim Syarie dilantik sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong.

“Di antara Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi, kita wujudkan Mahkamah Tengah Syariah, kita juga mewujudkan Majlis Rayuan Syariah supaya pada setiap peringkat ini masih ada peluang untuk proses rayuan dibuat.

“Ini pun antara usaha yang sedang dilakukan supaya peranan Mahkamah Syariah lebih besar dan kuat, ini pun satu lagi usaha harmonisasi perundangan dalam Mahkamah Syariah sendiri,” ujar Abdul Walid.

"PELAKSANAAN SYARAK DIMENSI PULAU PINANG ITU AMAL ISLAMI..." -BJ Zainulfaqar.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus