16 December 2013

Tak cukup kutip untung bersih naik kadar tol pula, respons Guan Eng kepada Menteri JPM

LIM Guan Eng
SYARiKAT konsesi tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sehingga 31 Disember 2010 pernah didedah mengutip keuntungan kira-kira RM18.3 bilion walaupun kos pembinaan lebuh raya utama yang menghubungkan Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia itu direkodkan RM5.9 bilion sahaja.

Dianggarkan, syarikat kroni untung 52 sen bagi setiap satu ringgit yang diperas daripada pengguna lebuh raya itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (5 Mei lepas) menangguhkan cadangan itu, tetapi, kadar tol PLUS dikatakan naik 5 peratus setiap tiga tahun bermula pada tahun 2016 nanti.

Bagaimanapun, kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof sebelum ini dan dalih terbaru Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Abdul Wahid Omar membayangkan kenaikkan harga tol lebih awal dari jangkaan, iaitu bermula tahun depan (2014).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam reaksi spontan petang tadi berkata, cadangan menaikkan kadar tol baru-baru ini merupakan antara kegagalan Kerajaan Pusat mengamalkan tender terbuka hingga membawa pada keengganan mendedahkan inti perjanjian dengan syarikat-syarikat konsesi walaupun dituntut oleh khalayak. 

Respons Guan Eng yang juga Setiausaha DAP Kebangsaan itu sekaligus menolak dalih Abdul Wahid yang dilaporkan mencadang rakyat menggunakan jalan raya 'biasa' bagi mengelak lebuh raya bertol.

"Tiada tender terbuka, maka syarikat-syarikat itu dapat menetapkan harga (kadar tol) dengan sendirinya, tanpa memastikan harga yang paling baik kepada para pengguna.

"Ini yang menguntungkan syarikat (konsesi), tetapi, rakyat Malaysia rugi. 

"Kita tahu bahawa semua syarikat tol untung besar dan ada yang sudah dapat balik pelaburan dan hanya kutip wang keuntungan sahaja," ujar Guan Eng pada petang tadi dalam satu sidang media di Komtar, George Town.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, syarikat konsesi Jambatan Pertama Pulau Pinang seharusnya tidak menaikkan kadar tol.

Ini kerana, katanya, kutipan tol sejak jambatan itu dibuka pada awal 1980-an sebenarnya sudah membayar balik kos pembinaan jambatan itu, sekarang.

Malah, Guan Eng sebelum ini pernah berkata, syarikat konsesi dengan sokongan Kerajaan Pusat tidak sepatutnya melanjutkan tempoh kutipan tol hingga 2038 serentak dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang memandangkan perjanjian konsesi jambatan pertama itu sepatutnya tamat pada 2018 nanti.

"Macam di Jambatan Pulau Pinang, sungguhpun kita dikenakan (tol) RM7 (untuk jenis kereta), telah lama kita bayar balik untuk kos pelaburan. 

"Sekarang, hanya kutip untung bersih sahaja, selain kos penyelenggaraan. Jika ia sudah untung bersih, mengapa naikkan harga (tol)," tanya Guan Eng ditujukan kepada pentadbiran Najib yang juga Presiden Umno.

Terdahulu, Abdul Wahid dilaporkan berdalih, kenaikan tol yang bakal berlaku tahun hadapan adalah munasabah, lapor The Malaysian Insider.

Abdul Wahid juga menegaskan pihak konsesi perlu menjalankan kajian daya saing untuk memastikan sama ada pengguna dapat menerima kadar tol baru yang dicadangkan sebelum ia dilaksanakan.

"Projek ini dicadangkan dan dilaksanakan oleh sektor swasta dan kerajaan kerajaan akan tentukannya berdasarkan keperluan memandangkan kita perlu pertimbangkan memperbaiki infrastruktur pada kos lebih rendah," terang beliau lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui dalam kes dengan pengendali terbesar lebuh raya negara, PLUS, kerajaan mempunyai perjanjian dengan mereka untuk mengekalkan kadar tol hingga tahun 2015.

"Sebagai contoh dengan PLUS, terdapat peluang untuk memanjangkan tempoh konsesi dan mengekalkan kadar tol sehingga tahun 2015 dan kami telah lakukannya," dalih Abdul Wahid.

Hujung minggu lalu, Abdul Wahid berdalih kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

Beliau berdalih telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi, tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana.

Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.

Pakatan Rakyat menentang cadangan tersebut kerana langkah itu hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi dan tidak kepada pengguna.

P.Pinang perkenal Tabung Usahawan Tani Muda selepas PTSR – TKM1

MOHD. Rashid Hasnon (berbaju Melayu hitam) bersama-sama YAB Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng (depan, tengah, bertali leher berbelang) serta Exco Kerajaan Negeri yang lain keluar pada sesi rehat pagi di DUN Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.

TiMBALAN Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Tabung Usahawan Tani Muda dengan jumlah pinjaman mikrokredit sebanyak RM5,000 seorang bermula tahun hadapan.

Beliau berkata demikian sebagai respons pada persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man berhubung peranan skim pinjaman

Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dalam membantu graduan kelahiran Pulau Pinang membina kerjaya masing-masing di negeri ini.

“Mulai tahun 2014, Kerajaan Negeri merancang pemberian dana Tabung Usahawan Tani Muda berjumlah RM5,000 seorang kepada bakal-bakal usahawan tani muda melalui skim mikrokredit (PTSR),” ujar Mohd. Rashid pada sesi penggulungan perbahasan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Mohd Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Ushaawan & Koperasi dan Perhubungan Kemasyarakatan berkata, pihaknya turut menyambut baik cadangan ADUN Komtar, Teh Lai Heng supaya skim PTSR itu turut diperluaskan kepada artis-artis beliau bagi meningkatkan aktiviti kesenian serta kebudayaan di negeri ini.

Sehingga 30 November lepas, direkodkan, sebanyak RM3.062 juta dana PTSR dikeluarkan untuk 719 peminjam.

Mohd. Rashid berkata, 80 peratus peminjam adalah Bumiputera, manakala, peminjam Cina dan India masing-masing mewakili 10 peratus.

Terdahulu, Mohd Rashid pada awal Oktober lepas mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) meluluskan RM5.907 juta kepada 1,491 usahawan kecil di negeri ini, tanpa riba atau ‘bunga’.

Beliau berkata, amalan Kerajaan Umno BN Pusat meluluskan permohonan pinjaman Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (TEKUN) kepada kroni-kroni mereka sahaja mendorong Kerajaan Negeri menubuh skim pinjaman makro kredit seumpamanya selepas mengambil alih Pulau Pinang.

Segera lulus 116 lagi TP1M – Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (enam dari kiri), Afif Bahardin (empat dari kiri) Zolkifly Md. Lazim (kiri sekali) dan Mohamd Ani Sirat (tiga dari kanan) bersama warga Taman Haji Mohd. Amin bergambar kenang-kenangan sambil memegang replika cek sebagai menghargai sumbangan HAPPY! daripada Kerajaan Negeri, di sini baru-baru ini.

KERAJAAN Pusat dinasihatkan supaya segera meluluskan 116 lagi permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan melalui Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang (HAPPY!).

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Pusat baru meluluskan tiga permohonan sahaja, termasuk projek menyelenggara serta mengecat semula lapan blok rumah pangsa dekat Taman Haji Mohd. Amin di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya.

“Kita (Kerajaan Negeri) segera meluluskan 10 peratus atau kira-kira RM45,000 (RM44,856.10) yang sepatutnya ditanggung oleh badan pengurusan di sini apabila mendapat tahu Kerajaan Pusat meluluskan TP1M.

“Setakat ini, 3 permohonon telahpun diluluskan. Kita berharap baki dari 119 permohonan TP1M ini segera diluluskan jika Kerajaan Pusat jujur mengutamakan kepentingan rakyat di negeri ini,” ujar Jagdeep  pada 4 Disember lepas semasa melawat kawasan rumah pangsa berkenaan yang baru siap diselenggara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Zolkifly Md. Lazim (Pengerusi Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa, RAGAS) turut bersama dalam lawatan kerja tersebut.

Difahamkan, Kerajaan Pusat melalui TP1M sedia menanggung kos membaiki infrastruktur asas serta kerja-kerja mengecat semula rumah kos rendah (KR) dan rumah kos sederhana rendah (KSR) dengan syarat persatuan penduduk menanggung 10 hingga 30 peratus dari keseluruhan kos penyelenggaraan yang dimohon. 

Persatuan penduduk bagi KR dan KSR masing-masing disyaratkan menanggung 10 peratus dan 30 peratus.

Jagdeep bagaimanapun berkata, Kerajaan Negeri menyedari kesukaran yang disyaratkan oleh Kerajaan Pusat, lalu, memperuntukan sebanyak RM50 juta melalui HAPPY! demi memastikan rakyat Pulau Pinang turut mendapat manfaat daripada dana TP1M itu.

Sebelum itu, Pengerusi Badan Pengurusan Rumah Pangsa Taman Mohd. Amin, Mohamad Ani Sirat, 49, melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat atas peruntukan keseluruhan kerja-kerja penyelenggaraan yang berjumlah kira-kira RM450,000.

“Wang ini diperlukan untuk kerja-kerja mengecat, pendawaian semula, membaiki bumbung serta selenggara tangki air yang bocor di rumah pangsa kami,” ujar Mohamad Ani gembira.



Berita berkaitan:

Tuntut RM100 Program Warga Emas di Komtar sekarang!

Warga emas yang mendaftar dengan Kerajaan Negeri peringkat Daerah Timur Laut layak menuntut RM100 Sumbangan Warga Emas di Tingkat 3 Komtar.
Proses tuntutan tunai boleh dibuat bermula 14 hingga 27 Disember lepas.
Harap maklum.

Rusuhan Indon di Betong andaian semata-mata, dalih polis

Kawasan Betong dekat Sarawak pula desas-desus rujuk rusuhan apabila warga Indonesia yang bekerja di Ladang Raja Udang, Pusa yang terletak 300 meter dari Kuching dilaporkan mati ditembak selepas menyerang polis.

Mangsa dikatakan mengamuk serta mencederakan rakan, sebelum cuba ditenangkan oleh polis hampir setengah jam.

Ekoran itu, khalayak mengaitkan insiden itu dengan peristiwa serupa yang tercetus di negara jiran, Singapura baru-baru ini yang turut mengorbankan jiwa warganegara.

Ketua Polis Betong, ASP Wan Zaizodin Wan Jaafar bagaimanapun berdalih, keadaan keselamatan di wilayah itu terkawal serta tiada rusuhan berlaku seperti yang dikhabarkan.

"Saya minta tiada lagi pihak yang menyebarkan khabar angin kononnya ada rusuhan berlaku. Apa yang berlaku hanya andaian semata-mata," dalih Wan Zaizodin dalam satu laporan Bernama, kelmarin.

Ujar Zaizodin lagi, sepasukan anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan, sekaligus menimbulkan pelbagai tanda tanya, termasuk mengenai insiden rusuhan yang dikhabarkan itu.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus