21 December 2013

MPSP naik taraf 11 lagi pasar awam menjelang 2014 - @cmlimguaneng

KETUA Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menjangkakan 11 buah lagi pasar awam di sekitar Seberang Perai akan siap dibaik pulih serta dinaik taraf menjelang tahun 2014.

"Pasar Awam Sri Bandar ini telah dibina pada awal tahun 80-an, tetapi, tidak pernah dinaik taraf sehinggalah MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) mendapat peruntukan RM5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk membaik pulih (memperbaharui) Pasar Awam Sri Bandar dan juga dua pasar awam lain.

"Sebanyak 23 pasar awam juga telah menjalani pembaikan kecil dengan peruntukkan sebanyak RM5 juta.

"Dijangka, ada 11 buah pasar awam lagi akan dibaik pulih dan dinaik taraf menjelang tahun 2014," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada majlis pembukaan semula Pasar Awam Sri Bandar dekat Butterworth, pagi tadi.

Yang di-Petua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif  turut berucap pada majlis rasmi itu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Utiliti, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang & Alam Sekitar) dan Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa & Kesihatan, Michael Tan Cheong Heng (Ahli Majlis bagi MPSP) dan Arshad Md. Salleh (Pegawai Penyelaras Pas Kawasan DUN Pinang Tunggal).

Guan Eng menjelaskan, Kerajaan Negeri pada tahun 2011 memperuntukkan RM10 juta untuk menaik taraf pasar-pasar awam meliputi ketiga-tiga daerah di Seberang Perai.

Dari jumlah itu, beliau berkata, RM5 juta untuk menaik taraf 21 pasar awam, manakala, baki RM5 juta lagi diperuntukkan untuk memperbaharui tiga buah pasar lain.

Tiga buah pasar yang diperbaharui itu adalah Pasar Awam Sri Bandar dekat Seberang Perai Udara (SPU), Pasar Awam Samagagah dekat Seberang Perai Tengah (SPT) dan Pasar Awam Taman Berjaya dekat Seberang Perai Selatan (SPS).

Projek pembaharuan Pasar Awam Sri Bandar menelan peruntukan sebanyak hampir RM1.9 juta (RM1,894,674.55) peruntukan Kerajaan Negeri.

Kerja-kerja pembaharuan pasar itu bermula pada 1 Jun 2012 dan siap sepenuhnya pada 19 Disember lepas.

Pasar awam itu menyediakan 131 unit gerai, dilengkapkan dengan sistem 'greasetap', iaitu sistem perangkap sampah berpusat demi melestari kebersihan di situ.

Itu, tidak termasuk kemudahan tiga tandas lelaki, tiga tandas perempuan serta satu tandas khas untuk orang kurang upaya (OKU).

Bumbung setinggi lebih 20 kaki untuk tujuan pengudaraan selesa serta bangunan mesra orang kurang upaya (OKU) merupakan antara elemen istimewa pada projek pembaharuan Pasar Awam Sri Bandar tersebut.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, langkah Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta itu antara lain untuk menyelamatkan MPSP sendiri yang dikatakan hampir bankrap, iaitu semasa Kerajaan Negeri baru berpindah tangan kepada Pakatan Rakyat pada bulan Mac 2008.

"Sebelum (tahun) 2008, MPSP tidak pernah melaksanakan kerja-kerja naik taraf kerana MPSP sendiri semasa itu hampir bankrap.

"(Bagaimanapun,) bagi prestasi kewangan tahun 2013 ini, saya difahamkan, MPSP telah memperoleh pendapatan sebanyak RM177.9 juta, manakala, perbelanjaan MPSP pula adalah sebanyak RM172.3 juta.

"Ini bermakna, MPSP terus mengekalkan rekod surplas sepanjang lima tahun ini dengan lebihan pendapatan sebanyak RM5.6 juta," ujar Guan Eng sambil merakamkan penghargaan kepada 'pasukan' Maimunah.

Sebelum itu, Maimunah menjelaskan, MPSP pada tahun 2012 memperuntukkan hampir RM500,000 (RM494,759) untuk menaik taraf satu pasar awam serta dua kompleks makanan.

Kerajaan Negeri pula, katanya, memperuntukkan hampir RM5 juta (RM4.73 juta) kepada MPSP pada tahun yang sama untuk menaik taraf tiga pasar awam lain.

Pada tahun 2013 pula, katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.569 juta untuk mendirikan sebuah pasar awam serta menaik taraf sebuah pusat penjaja.

MPSP, katanya lagi, pada tahun sama turut menaik taraf lima kompleks makanan yang menelan belanja RM345,438.

Tambah Maimunah, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.119 juta untuk menaik taraf dua buah lagi pasar awam, dijangka pada tahun 2014.

Itu, katanya, tidak termasuk peruntukan MPSP sebanyak RM1 juta menaik taraf sembilan buah kompleks makanan dan pasar awam, juga dijangka pada tahun hadapan.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus