16 March 2014

Royalti, kuasa undi anak perantauan relevan di Kajang - Husam

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BANGI - Bekas Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa tengah hari tadi mengajak anak Pantai Timur di perantauan tanpa mengira perbezaan politik supaya tidak ketinggalan untuk melakukan perubahan melalui kuasa mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sekarang.

Menurut beliau, isu tuntutan royalti minyak untuk rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang relevan di PRK kali ini kerana pengundi di Kajang pun asalnya banyak anak Pantai Timur.

Husam yang juga Naib Presiden PAS turut menyatakan persetujuan untuk dilantik sebagai Penaung Persatuan Anak Pantai Timur (PERAPAT).

"Bukan kita (rakyat Kelantan) nak berbalah dengan Kerajaan Pusat. Dia (Kerajaan Pusat) ambil sekerat (hasil royalti minyak), Bagi lah kita sikit (wang royalti).

"Tak perlu tajamkan perbezaan parti politik...kalau di depan saya ini orang Umno pun, keceklah (beritahulah) orang Umno - bagaimana nak beri balik royalti minyak kepada rakyat Kelantan umpamanya, yang di dalamnya ada juga orang Umno," ujar Husam pada majlis jamuan tengah hari dekat Restoran Mesra D'Kenali di Seksyen 13 Bangi.

Hadir sama, anggota Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Zolkifly Md. Lazim, Mohamad Sayuti Omar (penulis politik terkenal), Amir Md. Ghazali (Pengerusi Skuad Keadilan Malaysia, SKUAD) dan 'DAP Melayu' Khairul Ishak.

Menurut Husam, Projek Lebuh raya Rakyat serta cadangan 'keretapi kelajuan peluru' di Kelantan boleh direalisasikan jika kuasa mengundi rakyat di Kajang mampu memujuk Putrajaya untuk mengembalikan hak royalti minyak ke negeri berkenaan.

"Kalau dapat RM12 bilion (royalti minyak yang sepatutnya diserahkan kepada rakyat Kelantan), tiga biji kereta api paling pantas di atas muka bumi seperti di China boleh dibina di Kelantan.

"Kita ada royalti minyak RM12 bilion, cuma orang di sana (Kerajaan Pusat) tidak mahu beri lagi. Kalau beri, sekarang pun (Projek) Lebuh raya Rakyat boleh disiapkan untuk rakyat, termasuk orang Umno dan orang PAS," ujar Husam di depan hampir 100 anak Pantai Timur di perantauan.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus