15 August 2014

Perlembagaan PAS sebut syura Muktamar lagi tinggi daripada cakap Hadi, Geng Bas Sekolah

SIAPA LEBIH BERKUASA DI DALAM PAS, MUKTAMAR ATAU MAJLIS SYURA ULAMAK MENGIKUT PERLEMBAGAAN PAS.

Rujuk Fasal 7. Perlembagaan PAS

Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.

(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuarat Agung PAS.

Peruntukkan Fasal 7 (1) ini mempunyai dua (2) aspek iaitu :-

a) Berkaitan Hukum rujukan tertinggi iaitu Kitabullah (al-Quran), Sunnah Rasul (Hadith), Ijmak Ulamak serta Qias yang terang dan nyata.

b) Berkaitan kekuasaan PAS iaitu Muktamar Tahunan.

Fasal 7 (1) dengan JELAS, TERANG dan NYATA menegaskan bahawa KEKUASAAN PAS adalah dipegang oleh MUKTAMAR TAHUNAN.

Fasal 7 (2) juga jelas bahawa segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.

Itu jelas.

Apa pula kedudukan Majlis Syura Ulamak (MSU)?

MSU ditubuhkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang telah meminda Perlembagaan PAS dengan memasukkan Fasal 8 iaitu Majlis Syura Ulamak.

Fasal 8. Majlis Syura Ulamak

(1) Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan "Majlis Syura 'Ulamak" dan diberi kepadanya kuasa-kuasa seperti berikut: (a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam 8 Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

(c) Mendengar dan memutuskan semua rayuan semula tatatertib yang dikemukakan oleh ahli PAS mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini.

Fasal 8 (1) menyebutkan bahawa MSU ditubuhkan adalah dengan tujuan untuk menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini.

Jelas bahawa penubuhan MSU adalah untuk menjamin Kekuasaan PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 7 (2) supaya tidak terkeluar daripada landasan yang ditetapkan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS di dalam Fasal 3.

MSU bertanggungjawab memastikan perjalanan semua badan di dalam PAS iaitu Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (JKPP), Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) dan Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) tidak terkeluar dari hukum pegangan PAS dalam Fasal 7 (1) iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias serta tidak terkeluar daripada perintah dan kekuasaan PAS di dalam Fasal 7 (2) iaitu keputusan Muktamar. MSU juga bertanggungjawab memastikan perjalanan semua badan di dalam PAS supata tidak berlawanan dengan dasar Pas di dalam Fasal 3 iaitu ISLAM. Walaubagaimana pun MSU sendiri tetap tidak boleh terkeluar daripada kekuasaan tertinggi PAS iaitu Muktamar Tahunan PAS.

Fasal 8 (1) (a) memberikan kuasa kepada MSU menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS iaitu ISLAM dan mana-mana peruntukkan Perlembagaan yang samar.

Fasal 8 (1)(b) memberikan kuasa kepada MSU mengeluarkan arahan dan perintah supaya ketetapan yang dibuat melalui Fasal 8 (1)(a) dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua badan di dalam PAS.

Fasal 8 (1)(c) memberikan kuasa mendengar rayuan tatatertib yang dikemukakan oleh ahli.

Berpandukan Fasal 8 tersebut adalah jelas bahawa penubuhan MSU dan fungsi MSU adalah sebagai “Supreme Council” yang mengawal perjalanan PAS supaya tidak terkeluar daripada landasan ISLAM.

Bagi mengesahkan lagi entiti mana yang tertinggi di dalam PAS mengikut Perlembagaan PAS, maka peruntukkan Fasal 88 Perlembagaan Pas perlu dibaca bersama.

FASAL 88. Lain-lain Perkara

(1) Segala perkara yang berbangkit dan perselisihan faham dan pendapat di atas tafsiran Perlembagaan ini, serta Aturan dan Peraturan yang diperbuat mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Perlembagaan ini hendaklah dirujukkan kepada ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ dan sebarang keputusannya adalah muktamad, jika tidak diubah oleh Muktamar.

(2) ‘MAJLIS SYURA ‘ULAMAK’ adalah berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukan dalam Perlembagaan ini dengan syarat keputusan itu hendaklah tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan ini dan tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar

Fasal 88 (1) menyatakan bahawa MSU adalah badan tertinggi yang menjadi rujukan tentang apa saja perkara berbangkit yang menimbulkan perselisihan berkaitan Perlembagaan, Aturan dan Peraturan yang dibuat dan keputusan MSU adalah muktamad. Tetapi dalam masa yang sama keputusan muktamad MSU tersebut boleh diubah oleh Muktamar. Ini sekali lagi jelas menunjukkan bahawa kekuasaan tertinggi dalam PAS mengikut Perlembagaan PAS ialah Muktamar kerana Muktamar boleh mengubah keputusan MSU.

Fasal 88 (2) juga jelas menunjukkan bahawa Muktamar adalah kekuasaan tertinggi di dalam PAS apabila memperuntukkan bahawa MSU berkuasa membuat sebarang keputusan atas perkara-perkaya yang tidak diperuntukkan di dalam Perlembagaan (lacuna) dengan syarat keputusan itu tidak bercanggah dengan dasar PAS dan yang paling penting ianya tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar.

Sejauh mana kekuasaan Muktamar?

Muktamar mempunyai kuasa yang paling tinggi dan paling luas serta paling muktamad. Muktamar boleh memansuhkan kewujudan Majlis Syura Ulamak jika mahu. Perlu diambil perhatian bahawa Majlis Syura, JKPP dan semua badan di dalam PAS hatta PAS sendiri boleh dimansuhkan atau dibubarkan atas kehendak Muktamar.

Rujuk Fasal 87.

Fasal 87. Cara Memansuhkan PAS

(1) PAS ini tidaklah boleh mansuh atau bubar melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripad ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut.

(2) Jika persetujuan bagi memansuh dan membubarkan PAS ini dipersetujukan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang waki harta-harta dan apa jua yang berkait dengannya terserahlah kepada keputusan Muktamar itu.

(3) Kenyataan berkenaan dengan memansuh dan membubarkan PAS ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh empat belas hari dari tarikh diambil keputusan itu.

Fasal 87 (1) jelas menegaskan bahawa PAS boleh dimansuhkan atau dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima ahli Pas yang membawa menyatakan persetujuan bersendiri ke Muktamar.

Sejauh itulah kekuasaan Muktamar. Bukan sekadar memansuhkan MSU atau mana-mana badan di dalam PAS tetapi sehingga ke tahap memansuhkan PAS.

Kesimpulan.

Kekeliruan tentang kekuasaan tertinggi PAS ini timbul kerana tidak faham apa itu kekuasaan. Konsep syura di dalam PAS bukan hanya terletak pada Majlis Syura Ulamak tetapi dalam semua badan di dalam PAS baik JKPP, DUPP, DPPP, DMPP dan DHPP. Malah konsep syura yang tertinggi di dalam PAS ialah Muktamar Tahunan PAS dan itulah kekuasaan tertinggi PAS.

Sumber: Facebook Zulhazmi

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus