15 October 2014

Guan Eng nasihat Menteri berhenti prejudis terhadap SJKC

(Dari kiri) LIM Hock Seng, Ketua Menteri dan Phee Boon Poh masing-masing menyempurnakan istiadat di Tokong Sum Thye Choo, sebelum berucap di depan lebih 1,000 hadirin di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PUYU - Kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini sejak sebelum merdeka sebenarnya menyumbang pada perpaduan nasional dan tidaklah meretakkan hubungan antara kaum seperti didakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Razali Ibrahim baru-baru ini.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merayu Razali membatalkan hasrat untuk menghentikan pembinaan SJKC yang baharu kelak, serta melemparkan kenyataan prejudis kepada mana-mana kaum di negara ini.

"Ada sekolah aliran Cina telah wujud sejak sebelum merdeka lagi dan kemudiannya diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan persekolahan negara.

"Di SJKC pun sudah menjadi pilihan murid-murid Melayu dan India kerena mereka mahu menguasai lebih daripada empat bahasa.

"Tak kiralah apa jenis aliran persekolahan sekalipun, semuanya mengajar ilmu yang sebenar berdasarkan sistem pendidikan nasional dan tidak pernah mengajar murid-murid untuk saling prejudis atau perkauman melampau," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Jamuan Amal Menyokong Dana Pembangunan SJKC di perkarangan Tokong Sum Thye Choo di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu) turut hadir pada majlis interaksi komuniti tersebut.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut memuji insiatif komuniti tokong berkenaan mengadakan majlis jamuan amal saban tahun untuk mencari dana sokongan kepada SJKC terpilih di negeri ini.

"Setiap tahun, keraian seumpama ini tak kurang dari 100 meja yang jelas menunjukkan kepimpinan serta semangat kerjasama, seperti sumbangan RM2,000 kepada SJKC Kwang Hua di sini.

"Kerajaan Pusat sepatutnya mempunyai semangat nasional seperti yang ditunjukkan oleh komuniti tokong dengan menyalurkan sumbangan kepada sekolah, tak kiralah sekolah aliran Cina atau Tamil atau Mubaligh atau Sekolah Agama Rakyat (SAR) sendiri," jelas Guan Eng.

Difahamkan, Kerajaan Negeri melalui Bajet 2014 umpamanya mengumumkan peruntukan tetap kira-kira RM12 juta kepada semua sekolah bantuan modal berwajib di negeri ini.

Terdahulu, Razali dalam satu kenyataan pada 4 Ogos lepas dilaporkan berkata, sudah tiba masanya perkara itu dipertimbangkan memandangkan keharmonian antara kaum ketika ini semakin renggang dengan pelbagai isu.

Menurut beliau, perpaduan kaum perlu dipupuk sejak peringkat sekolah rendah lagi dalam iklim 'Sekolah Wawasan', berkonsepkan suatu kawasan pembelajaran tanpa mengira kaum atau agama.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus