13 October 2014

MIDA masih berminat potensi pelaburan PP, tanya Guan Eng kepada Menteri

LIM Guan Eng (kiri) menunjukkan data berwajib kepada wartawan mengenai inisatif InvestPenang dan MIDA yang dipetik daripada info rasmi agensi pelaburan pusat, sambil ditemani oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai (kanan) di sini pagi tadi. | Photo: Ahmad Adil Mohamad +BuletinMutiara Penang 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN
- Agensi Pusat, Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) seharusnya saling berkongsi maklumat secara telus dengan agensi negeri, InvestPenang mengenai potensi pelabur-pelabur asing baharu ke negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, MIDA dalam tempoh Januari hingga September tahun ini direkodkan merujuk dua pelabur asing baharu sahaja kepada InvestPenang, sedangkan, agensi negeri dalam tempoh sama direkodkan merujuk 13 pelabur asing baharu ke Pulau Pinang dengan agensi pusat berkenaan.

Justeru, Guan Eng menasihatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya tidak mempolitikkan isu pelaburan asing langsung (FDI) ke negeri, yang kononnya merudum kini.

"Saya tidak berniat untuk membuat serangan balas secara peribadi sebagaimana yang dilakukan oleh beliau (Mustapa) kerana isu pelaburan (FDI) lebih utama dilihat sebagai kepentingan negara.

"Kalau sesuatu (FDI) baik untuk negeri, akhirnya ia akan baik untuk Malaysia, (dan) kalau sesuatu baik untuk Malaysia, akhirnya ia akan baik untuk semua negeri di Malaysia.

"Saya pun tidak tahu mengapa bilangan pelabur asing berpotensi baharu yang dirujuk oleh MIDA kepada InvestPenang boleh begitu berkurangan.

"Sungguhpun bilangan pelaburan telah naik, tapi yang dirujuk oleh MIDA telah turun, adakah MIDA telah hilang minat ke atas Pulau Pinang," tanya Guan Eng ditujukan kepada Mustapa dan MIDA, di sini pada pagi tadi.

Berdasarkan rekod rasmi terkini agensi pusat tersebut pada 13 Oktober lepas, MIDA telah merujuk 26 pelabur asing kepada InvestPenang pada tahun 2011, diikuti, 2012 (24 pelabur), 2013 (14 pelabur) dan Januari hingga September 2014 (dua pelabur sahaja).

Rekod sama turut mendedahkan, InvestPenang telah merujuk 17 pelabur asing kepada MIDA pada tahun 2013, dan 13 pelabur baru dalam tempoh sama Januari hingga September tahun ini.

Sumber rasmi MIDA turut merekodkan FDI Pulau Pinang bagi tahun 2010 adalah sebanyak RM12.2 bilion, 2011 (RM9.1 bilion), 2012 (RM2.5 bilion) dan 2013 (RM3.9 bilion).

Terdahulu, Guan Eng mempertikai kewibawaan MIDA gara-gara merekodkan FDI negeri untuk sektor pengilangan sahaja yang berjumlah RM2.34 bilion, bukan semua sektor pelaburan di negeri ini.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri pada bulan Ogos lepas sahaja telahpun mengumumkan pelaburan RM1.05 bilion daripada Seagate ke negeri ini, tetapi, angka itu langsung tidak direkod oleh MIDA.

Kerajaan Negeri, katanya, pada tahun ini turut mengumumkan pelaksanaan Hub Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan (IT-BPO) dekat Bayan Lepas dan Penang International Technology Park (PITP) dekat Batu Kawan yang kedua-duanya bernilai pelaburan RM11.3 bilion, tetapi, angka itu tidak direkodkan secara rasmi oleh MIDA.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk pembinaan enam hotel baru di negeri ini, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM693 juta.

Bagaimanapun, rekod rasmi terkini MIDA pada 13 Oktober tahun ini mendedahkan FDI Pulau Pinang dalam tempoh bulan Januari hingga September lepas adalah sebanyak RM3.1 bilion sahaja.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus