15 October 2014

PasMa lebar sayap ke Borneo fokus kukuh Pakatan, semarak semangat federalisme

MESYUARAT PasMa Pulau Pinang di Restoran Nashmir Bandar Perda dekat Seberang Jaya, malam tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan melebarkan sayap politiknya secara sederhana ke Malaysia Timur pula, selepas penjelahan NGO tersebut ke hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia nyata menggamit kritikan serta harapan banyak pihak.

Pengerusi PasMa Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim berkata, dua ahli jawatankuasa kerja negeri akan turut terbang bersama-sama delegasi NGO peringkat Pusat berkenaan ke Malaysia Timur, lusa.

"PasMa yakin projek mengukuhkan Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak akan mengukuhkan semangat federalisme," ujar Zolkifly yang juga AJK PAS Pulau Pinang di sini.

Zolkifly berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat sulung pembentukan jawatankuasa PasMa peringkat negeri di Uptown Perda dekat Seberang Jaya, malam tadi.

Menurut Zolkifly, sentimen warga Sabah dan Sarawak dikatakan menuntut berpisah dari Malaysia belakangan ini sebenarnya berpunca oleh kegagalan Putrajaya mengagih kekayaan negara di dua negeri berkenaan sejak lebih 50 tahun lepas.

"Penyertaan lebih ramai wakil rakyat Sabah dan Sarawak dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak tahun 2010, sebenarnya untuk servival BN, bukan menguntungkan rakyat.

"Datuk Husam Musa (Naib Presiden PAS) pada PRU13 pernah syor royalti minyak naik dari lima peratus kepada 20 peratus jika PR kuasai Putrajaya, sebenarnya untuk kukuhkan semangat federalisme.

"Hari ini (14 Oktober 2014), Ahli Jawatankuasa Tertinggi Eksekutif DAP Dr Tan Seng Giaw pula dilaporkan menafikan bahawa parti masa depan itu menyokong tuntutan pemisahan Sabah atau Sarawak atau mana-mana negeri dari Malaysia.

"Nampaknya kunjungan kita (PasMa) tepat pada masanya, untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat serta semarakkan semangat federalisme Malaysia," jelas Zolkifly.

Terdahulu, DAP Sarawak dilaporkan pernah menyatakan hasrat untuk keluar daripada Pakatan Rakyat negeri, gara-gara saling mempunyai khilaf yang tajam dengan PAS peringkat Negeri serta di Semenanjung Malaysia.

Manakala, Ahli politik Sabah Datuk Jeffrey Kitingan pula dilaporkan berkata, semakin ramai rakyat dari Malaysia Timur menandatangani petisyen menuntut supaya Sabah dan Sarawak dipisahkan daripada Malaysia walaupun diancam dengan dakwaan mengikut Akta Hasutan.

Bercakap pada satu forum di Kuala Lumpur pada 30 September, beliau yang juga presiden Parti Pembaharuan Negeri Sabah (STAR) berkata, setakat ini, 20,000 tandatangan sudah dikumpul.

Petisyen itu akan dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membuka jalan kepada satu perbicaraan sama ada Sabah dan Sarawak berhak untuk mentadbir sendiri.

Petisyen itu masih diteruskan walaupun polis melancarkan siasatan terhadap kumpulan lain yang mengumpul petisyen secara atas talian bagi menentukan sama ada Sabah dan Sarawak perlu meninggalkan Malaysia.

Pemimpin daripada parti pembangkang itu berkata, siasatan polis itu sebaliknya mencetuskan lagi kebangkitan di kalangan rakyat biasa Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus