24 January 2014

Baiki 51 rumah Tmn. Seruling Emas sebelum sewa beli RM100 sebulan - Guan Eng

KERAJAAN Negeri membeli 51 rumah pangsa kos rendah di Taman Seruling Emas dekat Seberang Perai Selatan (SPS) dan akan dijual kepada pemohon yang layak secara sewa beli pada kadar RM100 sebulan, tidak termasuk RM20 kos penyelenggaraan tiap-tiap bulan.

Atas maksud itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan RM71,000 lagi untuk menyediakan kelengkapan asas seperti kipas dan lampu di kesemua rumah berkenaan demi memberi keselesaan kepada bakal pembeli yang layak.

Itu, katanya, tidak termasuk kos RM679,362 yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri bagi membaiki kerosakan sedia ada di unit-unit rumah tersebut, khususnya pada bahagian bumbung.

"Memandangkan cadangan ini dikemukakan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR), maka, perbincangan lanjut telah dibuat bersama (pemaju) Syarikat Asas Dunia Berhad," ujar Guan Eng dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pengurusan 51 unit rumah ini akan diserahkan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sejurus perjanjian pembelian dan pembaikan selesai ditandatangani.

"Pengagihan dan penawaran akan dibuat oleh Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPECS) untuk memastikan pengagihan dibuat secara adil dan telus kepada golongan yang memerlukan dengan diaudit bersama oleh syarikat perakaunan," ujar Guan Eng lagi.

Tambah beliau, pemohon yang layak akan menandatangani perjanjian  bersama Kerajaan Negeri di bawah Skim Sewa Beli pada kadar RM100 sebulan beserta RM20 kos penyelenggaraan tiap-tiap bulan dalam tempoh 15 tahun.

Terdahulu, Rumah Pangsa Kos Rendah lima tingkat di Taman Seruling Emas dibina pada tahun 1994, dengan keluasan setiap unit adalah ada 51 meter persegi (548.96 kaki persegi) dan mempunyai dua bilik.

Sebanyak 170 unit rumah di Blok A, manakala, 190 unit lagi di Blok B.

Dari 360 unit rumah di taman tersebut, 309 unit rumah telahpun diduduki.

Manakala, baki sebanyak 51 unit rumah masih kosong, iaitu enam unit di Blok A dan 45 unit di Blok B.

Dalam perbentangan Bajet 2014 Pulau Pinang lepas, Guan Eng membentangkan pelan Sewa Beli 51 unit rumah kos rendah tersebut dan dipersetujui di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan pinjaman tanpa riba untuk pembelian 104 unit rumah kos rendah jenis 'town house' di Taman Sungai Duri Permai dekat SPS.

Difahamkan, pembeli perlu membuat pinjaman bank 70 peratus harga pasaran rumah RM38,000 untuk membeli 104 unit rumah berkenaan, manakala, baki 30 peratus lagi adalah pinjaman tanpa faedah daripada Kerajaan Negeri.

Siasat peniaga daging khinzir terbuka ikut garis panduan - Exco

MAJLIS Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diminta menyiasat kes perniagaan daging khinzir secara terbuka di beberapa lokasi sebagaimana yang dibangkitkan oleh Pertubuhan Perpaduan dan Kebajikan Islam (ISCO), pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, operasi tiap-tiap gerai terbabit perlu dilihat sama ada mengikut garis panduan MPPP atau sebaliknya.

"Memang ada garis panduan MPPP tentang penjualan daging khinzir di luar pasar, jadi, saya akan minta MPPP siasat aduan ini.

"Kita perlu meneliti situasi penjualan khinzir sebagaimana dalam memorandum itu, sama ada ikut garis panduan MPPP atau tidak," ujar Abdul Malik pada satu sidang media bersama-sama Ahli Lembaga Perbadanan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (Halal Penang), Datuk Mohd.Salleh Man pada tengah hari tadi di Komtar, George Town.

Abdul Malik berkata demikian pada satu sidang media mempromosi Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidon yang dijadualkan pada 1 Februari depan bermula jam 8.00 malam di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) dekat Bayan Lepas.

Heliza Helmi, 'Iman Muda' Asyraf, 'Pencetus Ummah' Rahmat, Halim Ahmad (dari kumpulan nasyid Devotees dan Daqmie antara artis yang akan turut dijadualkan mengisi pentas konsert islamis itu.

Pagi tadi, ISCO menyerahkan memorandum isu perniagaan babi secara terbuka kepada wakil Ketua Negeri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan wakil Datuk Mohd.Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) serta Mohd. Salleh (Yang di-Petua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP).

Mereka turut menghantar aduan bertulis serta memorandum serupa kepada Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail.

Dalam memorandum itu, mereka memberitahu, perniagaan khinzir secara terbuka antaranya di Lebuh Chulia, Jalan Kuantan, Jalan C.Y. Choy serta beberapa kawasan lain di sekitar pulau.

Justeru, mereka meminta MPPP supaya lebih peka dengan sensitiviti umat Islam di negeri ini dengan mengharamkan aktiviti tersebut, termasuk mengambil tindakan tegas ke atas peniaga tanpa lesen.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus