14 February 2014

Perincikan pelaksanaan MyHome, gesa Exco Perumahan



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo (gambar) menggesa Putrajaya memperincikan kaedah pelaksanaan MyHome supaya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang layak.

Permintaan itu sebagai reaksi pada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa sebanyak RM300 juta diperuntukan kepada pihak swasta untuk membina kira-kira 10,000 unit rumah, manakala, mereka yang memohon rumah di bawah program ini bermula pada 1 April depan layak diberi subsidi maksimum sehingga RM30,000.

"Siapakah 10,000 yang akan dapat subsidi ini. Siapakah pemaju swasta yang akan mendapat manfaat dari MyHome ini.

"Berapakah unit rumah yang akan dibina di Pulau Pinang. Bagaimanakah kaedah memilih pemohon yang benar-benar layak," tanya Jagdeep pagi tadi di sini.

Pengerusi Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan dan dua pegawai lain dari Jabatan Perumahan Negeri turut hadir pada sidang media tersebut.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, pihaknya berharap rakyat Pulau Pinang tidak terus diabaikan dari menikmati program terbaru ini.

Sejak tahun 2008, kira-kira 70 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah diperuntukan oleh Putrajaya di Pulau Pinang, iaitu jumlah paling sedikit berbanding negeri-negeri lain.

Dari 99 permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) sejak tiga tahun lepas, direkodkan, Putrajaya baru meluluskan projek penyelenggaraan semula rumah pangsa kos rendah di negeri ini.

Itu, tidak termasuk 'janji berkembar' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya umum lepas untuk membina 20,000 rumah mampu milik dan monorel demi kepentingan rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun, Putrajaya melalui Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Seri Dr. Ir. Jamaluddin Jarjis dalam pertemuan dengan Jagdeep pada 8 Februari lepas memberi komitmen menamakan tiga tapak cadangan di negeri ini untuk pembangunan PR1MA sebelum bulan Jun depan.


Riba pinjaman perumahan bank membebankan :Exco DAP


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kadar faedah atau riba yang ditetapkan oleh bank kepada pemohon pinjaman perumahan wajar dipertimbang semula oleh Bank Negara Malaysia (BMN) kerana dianggap cukup membebankan rakyat.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo (gambar) berkata, beliau akan berusaha mengetengahkan perkara tersebut, sekiranya berpeluang sekali lagi bertemu dengan wakil Putrajaya kelak.

Dalam pertemuan dengan  bertemu Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Datuk Seri Dr. Ir. Jamaluddin Jarjis pada 8 Februari lepas, Jagdeep berkata pihaknya sempat mengetengahkan beberapa isu berkaitan perumahan rakyat di negeri ini.

“Saya sangat berbesar hari sekiranya pihak Kerajaan Pusat dapat mempertimbang cadangan kepada pihak bank agar mengurangkan kadar faedah untuk pemohon-pemohon perumahan mampu milik.

“Nilai sebenar yang dibayar oleh peminjam kepada bank hampir sekali ganda dari harga sebenar rumah mampu milik yang dibeli,” ujar Jadeep pagi tadi di sini, sambil memberitahu media bahawa beliau mengutus surat penghargaan atas komitmen Jamaluddin itu.

Pengerusi Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan dan dua pegawai lain dari Jabatan Perumahan Negeri turut hadir pada sidang media tersebut.

Jagdeep pada sidang media itu secara terperinci menjelaskan kira-kira kadar faedah atau riba yang ditanggung oleh pemohon pinjaman perumahan bank.

Sebagai contoh, katanya, pembeli ditawarkan pinjaman 90 peratus atau RM180,000 untuk membeli rumah mampu milik yang berharga RM200,000.

Jika mereka membayar RM900 tiap-tiap bulan selama 30 tahun, bermakna keseluruhan bayaran untuk memiliki rumah itu adalah sebanyak RM344,000, termasuk kadar faedah RM144,000.

Contoh lain, katanya, pemohon ditawarkan pinjaman 90 peratus atau RM270,000 untuk membeli rumah mampu milik yang berharga RM300,000.

Jika mereka membayar RM1,350 tiap-tiap bulan selama 30 tahun, ertinya keseluruhan bayaran untuk memiliki rumah itu adalah sebanyak RM516,000, termasuk kadar faedah RM216,000.

Katanya lagi, pembeli ditawarkan pinjaman 90 peratus atau RM360,000 untuk membeli rumah mampu milik yang berharga RM400,000.

Jika mereka membayar RM1,350 tiap-tiap bulan selama 30 tahun, ertinya keseluruhan bayaran untuk memiliki rumah itu adalah sebanyak RM688,000, termasuk kadar faedah RM288,000.

Dalam perkembangan sama, Jagdeep melahirksan rasa gembira kerana Putrajaya akhirnya memberi komitmen menamakan tiga tapak cadangan untuk pembangunan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang sebelum bulan Jun depan.

Terdahulu, Jagdeep berkata pihaknya beberapa kali menulis surat kepada Putrajaya bagi menuntut penjelasan mengenai status projek PR1MA, 99 permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) serta janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas untuk membina 20,000 rumah mampu milik di negeri ini.

Exco panggil pemaju beri tunjuk sebab


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN  - Kerajaan Negeri sekali lagi memanggil pemaju Centrio Aveneu untuk memberi penjelasan mengenai rungutan kira-kira 20 pembeli yang terpaksa membayar antara RM160,000 hingga RM180,000 bagi seunit rumah kos sederhana rendah di dua blok pangsapuri 31 tingkat dekat Bukit Gambir, Batu Uban.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo (gambar) berkata, rumah-rumah kos sederhana rendah itu sepatutnya dijual dengan harga RM72,500 seunit, sebagaimana digariskan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak-ansur dengan pemaju walau sebesar mana mereka ini.

“Mereka (pembeli yang layak) boleh beli dengan rela hati, tetapi, tidak boleh dipaksa oleh pemaju kerana harga rumah kos sederhana rendah itu RM72,500 sahaja.

“Saya akan panggil pemaju untuk beri tunjuk sebab, mengapa mereka tidak boleh patuh dengan polisi Kerajaan Negeri ini,” tegas Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang pada pagi tadi di sini.

Pengerusi Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan dan dua pegawai lain dari Jabatan Perumahan Negeri turut serta dalam sidang media tersebut.

Jagdeep berkata, isu tersebut sepatutnya tidak berbangkit lagi kerana pemaju sebelum ini telahpun bersetuju dengan pendirian Kerajaan Negeri dalam pertemuan tertutup kedua-dua pihak pada 6 dan 12 Januari lepas.

Semalam, satu laporan media online dipetik memberitahu, pembeli-pembeli rumah terbabit merungut selepas menerima notis daripada pemuju pada 29 November tahun lepas bahawa rumah yang dibeli oleh mereka berharga antara RM160,000 hingga RM180,000.

Mereka menuntut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sendiri campur tangan mewakili mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan pemaju.

Pengubahsuaian pada rumah tersebut, tidak termasuk RM28,500 kos lot parkir antara punca pemaju menaikkan harga jualan rumah kos sederhana rendah tersebut.

Bantu yatim walau bukan Islam, kata Penasihat Mutiara Infaq


NIBONG TEBAL - Michael Khor, 12, dan Fanamugesan a/l Maram bersama-sama  18 anak yatim beragama Islam lain menerima pelbagai sumbangan pada Karnival Raudhah @Masjid di Sungai Bakap, malam tadi.

Penasihat Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Mutiara Infaq Malaysia (Mutiara Infak) Zolkifly Md. Lazim berkata, ajaran sebenar Islam menuntut dibantu anak-anak yatim walaupun mereka bukan beragama Islam.

"Nak bantu bukan perlu tunggu anak yatim ini mesti Islam, sebab apabila Allah jemput ibu atau ayah mereka, ertinya semua kita ada tanggungjawab sebagai ibu ayah anak-anak ini seperti dilihat pada malam ini," ujar Zolkifly semasa merasmikan majlis ini di perkarangan Masjid Kepala Gajah di sini.

Selebriti TV9, Aqhil Hai Rawa turut hadir sebagai tetamu utama keraian tersebut.

Hadir sama, penganjur karnival DUA Event Sdn. Bhd. Khairudin Hj. Ahmad (Din Ulaq Ayaq), Izham Hashim (Presiden Mutiara Infak), Abdul Rahman Ramjan (Yang di-Pertua PAS Kawasan Nibong Tebal) dan Cikgu Mohd. Rashid Abdul Hamid (Pengerusi Persatuan Surau At-Tahalli) turut hadir pada majlis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zolkifly memuji penganjur kerana bekerjasama dengan pihak masjid serta kaum peniaga dalam menjayakan program karnival anak yatim.

Menurut beliau, konsep penganjuran bersama karnival tersebut mendekati maksud "allazi barakna haulahu" atau "keberkatan di sekelilingnya (masjid)" yang disebut dalam al-Quran.

Firman Allah yang dimaksudkan, "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), YANG KAMI BERKATI SEKELILINGNYA, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al Isra':9)

Bagi Zolkifly, karnival ini akan terus disambut oleh khalayak sebagaimana empat elemen keberkatan berwajib terus disemarakkan.

"Empat elemen keberkatan saya dapat lihat dalam karnival ini, iaitu keberkatan anak yatim, doa waris anak yatim yang tiada hijab di sisi Allah, kaum peniaga yang Allah amanahkan khazanah dunia untuk manfaat orang yang memerlukan, dan keberkatan karnival ini kerana dianjurkan atas keberkatan tapak masjid ini," ujar Zolkifly yang juga AJK PAS Pulau Pinang.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus