07 April 2014

Gambaran aneh isu air Pinang

Pulau Pinang digambarkan tidak mengambil pengajaran daripada penswastaan air kepada Syabas di Selangor.

Suka saya sebutkan, penghijrahan aset air Pulau Pinang kepada Putrajaya bukan suatu bentuk penswastaan, kerana Putrajaya itu adalah Kerajaan Pusat.

Kedua, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) adalah bentuk penswastaan pengurusan sahaja.

Sebab itu, tarif air di Pulau Pinang masih rendah, tidak seperti beberapa negeri lain yang mengamalkan penswastaan pemilikan.

Secara mudah, orientasi penswastaan pengurusan senantiasa menguruskan air sebagai mutu keperluan manusiawi.

Sebab itu, tarif air Pulau Pinang masih kekal terendah pada kadar 32 sen bagi 1,000 hingga 35,000 liter padu air yang pertama kerana untung terbanyak bukan urusan utama PBAPP.

Manakala, orientasi penswastaan milikan pula lebih terdorong menjadikan sumber air sebagai komoditi komersial.

Untuk perkongsian pendapat pada malam ini, penswastaan ada dua jenis:

1. Penswastaan pengurusan
2. Penswastaan milikan

Penswastaan milikan sahaja mendekati larangan sebagaimana maksud nas "supaya kekayaan itu tidak hanya berlegar dalam kalangan orang-orang kaya di antara kamu sahaja..." [Surah Al-Harsy: 7], bukan semua jenis penswastaan sebenarnya.

Tak salah Ustaz nak ulas isu air Pulau Pinang sebagai modal ceramah di surau/masjid malam ini, tetapi, biarlah mempunyai gambaran yang jelas mengenai isu ini terlebih dahulu.

Ini kerana kaedah fiqh pun menyebut, "...al hukmu 'ala sya'in far'un 'an tasuwurihi..."

Setuju?

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
0194241583

Punca isu air P.Pinang...

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB*

Kerajaan Negeri merancang kenaikan tarif air demi mencegah pembaziran sumber asasi itu, selain, mengelak risiko catuan seperti yang terjadi di beberapa negeri lain pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada Sabtu lepas masih belum mengumumkan tarif air yang baru, tetapi, memberi jaminan bahawa rakyat akan tetap menikmati tarif air termurah di Malaysia.

Sebelum ini, katanya, tarif air negeri terendah di Malaysia,  iaitu masih pada kadar 32 sen bagi 1,000 liter padu hingga 35,000 liter padu air yang pertama.

Guan Eng, yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan terbarunya dipetik menjelaskan, diskaun 60 peratus bagi surcaj pemuliharaan air (WSC) akan tetap diberikan kepada keluarga yang terdiri oleh isi rumah lapan orang dan ke atas berkuatkuasa 1 Mei depan, demi memastikan kenaikan tarif nanti tidak membebankan pengguna.

"Mereka hanya perlu ke PBAPP dan menunjukkan kad pengenalan ahli keluarga yang tinggal di rumah untuk layak menerima diskaun ini," kata Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP.

Presiden Water Watch Penang, Prof. Dr. Chan Ngai Weng pada satu reaksi berkata, pihaknya bersetuju bahawa tiada kenaikan untuk 20 kubik meter pertama air di negeri ini.

Beliau mencadangkan tarif pada harga kos akan dikenakan pada kegunaan 21 hingga 30 kubik meter air.

Tambahnya, dua kali ganda daripada harga kos akan dikenakan pada kegunaan 21 hingga 40 kubik meter air.

Pembaziran?
Purata kegunaan air Pulau Pinang adalah 311 liter per kapita sehari, berbanding purata negara pada 212 liter per kapita sehari.

Angka ini digambarkan sebagai kegunaan air di Pulau Pinang paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Cadangan menaikkan tarif air serta pengenaan surcaj kepada pembazir air negeri ini adalah berdiri atas angka kegunaan air terbanyak ini.

Sesetengah pihak menganggap angka per kapita sehari yang ditunjukkan ini bukanlah gambaran sebenar kegunaan air isi rumah di negeri ini.

Ini kerana, menurut pihak tersebut, kegunaan air berlebihan atau major adalah dalam sektor perindustrian, berbanding kegunaan minor di rumah.

Ertinya, purata 311 liter per kapita di negeri ini adalah bukan kegunaan isu rumah semata-mata, tetapi, angka itu merupakan jumlah kalkulatif penggunaan sumber sama daripada sektor perindustrian juga.

Justeru, angka yang sedia ada ini sewajarnya dilihat secara mikro dan makro, agar langkah konstruktif yang diambil oleh pihak berwajib benar-benar berdiri atas gambaran cabaran sebenar yang sedang didepani di Pulau Pinang, belakangan ini.

Pembaziran atau produktiviti?
Sebagai misalan lanjut, perindustrian di Pulau Pinang lebih besar produktivitinya berbanding perindustrian di Perlis.

Ertinya, kegunaan air untuk tujuan perindustrian di Pulau Pinang secara subjektif dan logik tentulah lebih banyak berbanding kegunaan air di Perlis.

Jika kalkulatif ini diguna pakai, tentu akan menolak kayu ukur menggunakan liter per kapita sehari, yang digambarkan ini - iaitu pengguna Pulau Pinang paling membazir air di negara ini (termasuk jika dipertandingkan dengan Perlis) kerana angka kegunaan air di negeri ini adalah 311 liter per kapita sehari ini.

Kalau jumlah kegunaan air sebenar negeri dilihat bersama-sama dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) untuk nilai RM1 umpamanya, mungkin kegunaan air Pulau Pinang akan ditentukan menurut dimensi yang lebih realistik, sama ada suatu pembaziran atau bertujuan produktiviti perindustrian?

Sesungguhnya, formula perkiraan yang berbeza sudah tentu akan melahirkan justifikasi yang berbeza.

Major kegunaan air di Pulau Pinang sebenarnya mendekati maksud pembaziran atau produktiviti?

Keutamaan industri.
Jika benar major kegunaan air di negeri ini bukanlah berpunca oleh pembaziran isi rumah, kejuruteraan sumber asasi itu perlu dilakukan di sektor perindustrian terlebih dahulu sebelum kaedah penguatkuasaan dilakukan ke atas pengguna terbanyak.

Mustahil sebuah Kerajaan akan memusuhi perindustrian sendiri atas sebab kegunaan sumber air negeri berlebihan, walhal pendapatan negeri antaranya bergantung pada upaya sektor perindustrian.

Sebab itu, jarang didengar gangguan air turut didepani oleh kilang atau sektor perhotelan di Selangor impiannya, walaupun langkah catuan sumber asasi tersebut acap kali dialami oleh rakyat yang tinggal di rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Polisi
Di negara-negara maju seperti Scotland umpamanya, beberapa amalan kejuruteraan semula (re-engineering) dilakukan di sektor perindustrian dan di semua jenis kediaman demi memulihara kegunaan sumber air.

Sistem paip air rendah aliran akan digunakan untuk mengelak kegunaan air secara berlebihan.

Tangki flush ditukar kepada tandas simbah.

Oleh kerana kilang lebih banyak menggunakan air, hampir semua kilang di Scotland mempunyai sistem kitaran semula air tersendiri.

Sistem penyejuk mesin turut direka untuk menjimatkan sumber air serta sumber tenaga lain.

Denda yang tinggi turut dikenakan kepada industri yang gagal merawat air sebelum dilepaskan ke parit.

Lanskap pengairan, iaitu penyusun pola kegunaan air turut diperkenalkan untuk memastikan kelestarian sumber.

Sebagai contoh, tarif kegunaan air selepas tengah malam diturunkan supaya menggalakkan aktiviti penggunaan air (dan elektrik sebenarnya) di rumah (contoh: basuh kain) pada bukan waktu puncak, iaitu masa sektor perindustrian beroperasi.

Selain itu, pengkalan data mengenai info pengguna mengikut isi rumah, rekod operasi sistem paip, meter dan rumah pam, aduan pelanggan, kualiti air, sistem pemilihan sumber mentah dibangunkan secara komprehensif untuk mengurus serta meluaskan sumber air.

Kempen nilai menjimatkan air serta pengenaan surcaj kepada pembazir sumber sebagaimana diamalkan di Pulau Pinang merupakan antara langkah yang dikenakan kepada sektor perindustrian sahaja; kerana sumber air adalah percuma untuk isi rumah rakyat dekat Scotland.

Punca
Cadangan kenaikan tarif air, inisiatif penyusunan semula surcaj hatta kemungkinan langkah catuan sebenarnya untuk menghukum pembazir air serta menjimatkan sumber bekalan air negeri.

Jika Putrajaya meluluskan permohonan Skim Bekalan Air Mentah Dari Sungai Perak ke Pulau Pinang, seperti yang dicadangkan George Town, tentulah semua isu berkaitan sumber air ini tidak timbul sekarang.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximum Ongkili tidak wajar menjadikan rekod kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghadapi musim kemarau berpanjangan baru-baru ini dengan tidak menggalakkan sebarang catuan air rakyat sebagai dalih untuk menolak permohonan Skim Bekalan Air Mentah Dari Sungai Perak ke Pulau Pinang, 18 September tahun lepas.

Sepatutnya cadangan permohonan tersebut tidak diabaikan secara semberono memandangkan surat Guan Eng bertarikh 18 Jun tahun lepas antara lain meminta skim itu disegerakan, sepertimana dalam inti perjanjian penghijrahan aset air negeri yang dimeterai oleh Putrajaya dan George Town, tahun 2011 lalu.

Federalisme Adil
Pulau Pinang adalah sebahagian Malaysia. Rakyat Pulau Pinang pun adalah rakyat Malaysia.

Janganlah disebabkan perbezaan politik pentadbiran George Town dan Putrajaya, krisis air yang sengaja diada-adakan di Selangor sejak beberapa tahun lepas, mahu ditimpa pula ke atas rakyat Malaysia yang bermukim di Pulau Pinang.

Malaysia sebelum ini sanggup membekalkan air kepada Singapura dengan bayaran 3 sen per 1,000 gelen, walhal Melaka sendiri membayar 30 sen per 1,000 gelen air dari Johor.

Sekarang, Singapura membina logi air diperbaharui serta memperkenal 'New Water' kepada pengguna negara republik itu, sejak menolak iltizam politik Malaysia untuk memperbaharui perjanjian air pada tahun 2011.

Jika Singapura pernah dilayan 'istemewa' sehingga era pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiga tahun lepas, tidak bolehkah Putrajaya melayan Pulau Pinang sekurang-kurangnya secara adil atas semangat federalisme Malaysia?

"Dan janganlah sesekali kebencian kamu terhadap satu-satu puak, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adil lah kerana (sikap) adil itu lebih dekat pada ketakwaan." [Surah Al-Maidah: 8]

___________
* Penulis adalah fotojurnalis kelahiran Pulau Pinang, pemegang ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya, serta ahli seumur hidup PAS bagi Kawasan Batu Kawan. Penulis boleh dihubungi di talian 0194241583, emel zainulfaqary@gmail.com atau blog faqar.blogspot.com.

Cinta inklusifkan dakwah Islamiah di Seoul, George Town - Zolkifly Md. Lazim

SUANASA inklusif komuniti umat Islam selepas Solat Fardhu Jumaat dekat Seoul Central Masque, di mana aspek kecintaan sesama manusia yang membawa pada aktiviti perkahwinan campur antara Muslim dengan gadis tempatan Korea dikatakan salah satu punca perkembangan dakwah Islamiah di sana. 

ZOLKIFLY Md. Lazim (empat dari kiri) berkongsi pengalaman dakwah antarabangsa di Korea pada Kolokium Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs) dakwah di sini, Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN BARU - Aspek kecintaan yang diterapkan dalam Islam mempu mendekati fitrah manusia di kalangan bukan Islam, kata penasihat NGO Infaq Kebajikan Ummah Takaful (IKUT) Zolkifly Md. Lazim satu kolokium yang membabitkan kira-kira 20 pertubuhan dakwah peringkat antarabangsa dan nasional di sini pada Sabtu lepas.

“Saya pernah berjumpa dan memberitahu seorang Imam Masjid di Korea - yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Islam Libya - enam tahun lepas bahawa Islam lebih mudah disebarkan ke negara itu melalui jalan perkahwinan kerana cinta akan menjadikan agama Islam inklusif untuk semua manusia.

“Saya terkejut apabila banyak anak-anak kecil berambut kerinting dan bermata sepek memberi salam semasa saya menziarahi Imam masjid itu (di Korea) baru-baru ini...mungkin disebabkan perkahwinan campur antara orang Islam (peranakan) Nigeria dan Pakistan dengan gadis-gadis tempatan (Korea) sejak beberapa tahun lepas,” ujar Zolkifly yang juga AJK Perhubungan PAS Pulau Pinang di sini.

Menurut beliau, dakwah serupa dengan menekankan aspek cinta sesama manusia sebenarnya turut dapat memberi gambaran sebenar Islam kepada non-Muslim di Pulau Pinang.

Tambah beliau, dakwah Islamiah kepada non-Muslim dengan menitik beratkan unsur kecintaan sesama manusia ini sebenarnya mendekati maksud ayat 31 daripada Surah Ali Iimran, yang bermaksud: 


"Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

IKRAM Malaysia, GEMA, MACMA, PERSALAM, OUTREACH ABIM, YMSC, SOLACE, ICS, IQ, Pusat Islam USM, Darul Hidayah, HCPP dan Pusat Dakwah Islamiah antara perubuhan dakwah yang menyertai kolokium tersebut.

Idea 'rumah ganti rumah' bukan mustahil di P.Pinang - Rashid Hasnon

MOHD. Rashid Hasnon (empat dari kiri) menyaksikan penyerahan perjanjian persetujuan (MoA) antara perundi pemaju, Mohamed Azhar Abdul Gafoor (lima dari kiri) dengan wakil penerima rumah ganti rumah di sini baru-baru ini
TKM1 puji Seraimas Bina beri penduduk asal rumah percuma

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK - Empat penduduk asal Kampung Permatang Nibong Tengah di sini bersetuju dengan budibicara pemaju Seraimas Sdn. Bhd. menerima rumah pangsa kos rendah dan serta tunai RM15,000 atas tanah sama di sini, sungguhpun idea 'rumah ganti rumah' itu dianggap mustahil oleh sesetengah pihak.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon selepas majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) berwajib memberitahu, pihaknya akan membantu pemaju Seraimas Bina Snd. Bhd. untuk mendapatkan kebenaran melaksanakan projek di atas tanah tersebut daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sesegera mungkin.

"Langkah ini akan membantu Kerajaan Negeri membuat satu garis panduan supaya hak penduduk asal tidak diabaikan dalam mana-mana projek pemajuan dengan budi bicara pemaju, tuan tanah serta sikap bertolak ansur penduduk sendiri," ujar Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak di Pusat Khidmat Rakyatnya.

MOHD. Rashid Hasnon (empat dari kiri) mempengerusikan majlis menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) antara perundingan pemaju Seraimas Bina Sdn. Bhd. Mohamed Azhar Abdul Gafoor (tiga dari kiri) dan keempat-empat penerima rumah ganti rumah secara percuma di sini baru-baru

Wakil perunding pemaju, Mohamed Azhar Abdul Gafoor dan Pengerusi Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS) Zolkifly Md. Lazim turut menyertai majlis perjanjian persetujuan (MoA) yang membabitkan lima penduduk asal terbabit.

Penduduk asal terbabit, Mohamed Abdullah M.R.M. Mohd. Rowther, Fandy Sulaiman, Mohamed Mydin Ala Pichay dan Syed Baharin Mohd. Yusoff masing-masing dijanjikan menerima rumah pangsa kos rendah berkeluasan 680 kaki persegi bernilai RM42,000 secara percuma.

Mereka turut menerima RM12,000 kos sewa rumah sepanjang tempoh pemajuan projek itu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun, selain, RM3,000 kos mengosongkan rumah sedia ada dalam masa dua minggu dari tempoh perjanjian MoA dimeterai bersama.

Difahamkan, penduduk asal lain di Kampung Sungai Nibong Tengah tersebut sebelum ini bersetuju menerima pampasan berupa wang tunai daripada pemaju.

Sebanyak 500 unit rumah, termasuk 65 unit rumah kos rendah (KR) dan 65 unit rumah kos sederhana (KSR) rendah di atas tanah seluas kira-kira empat ekar milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Mohd. Rashid berkata, pihaknya berharap kerja-kerja pemajuan tersebut dapat siap mengikut jadual, supaya lima penduduk asal dapat kembali menghuni di kampung halaman mereka.

"Kalau boleh, cepat siap ikut jadual supaya mereka ini boleh kembali tinggal (bermastautin) di kampung halaman mereka," ujar Mohd. Rashid lagi.

MOHD. Rashid Hasnon (empat dari kiri) pada sidang media bersama-sama Mohamed Azhar Abdul Gafoor (lima dari kiri) dan Zolkifly Md. Lazim (dua dari kiri) di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Pantai Jerejak di sini baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media yang sama, Zolkifly pula mencadangkan, budibicara yang ditunjukkan oleh Seraimas Bina wajar diraikan oleh Kerajaan Negeri dan pihak berwajib lain supaya diteladani oleh tuan tanah atau pemaju-pemaju lain di negeri ini.

"Saya memuji budi bicara yang ditunjukkan oleh pemaju dan penduduk hingga situasi 'menang-menang' dicapai dalam perundingan yang disaksikan oleh Datuk Mohd. Rashid ini pada malam ini.

"Kalau boleh, langkah murni pemaju ini diraikan oleh Kerajaan Negeri sendiri supaya menjadi inspirasi kepada semua pihak yang menghadapi isu seperti ini, seperti penduduk asal di Kampung Permatang Tok Subuh (dekat Bukit Mertajam) umpamanya," ujar Zolkifly yang juga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Penerangan Negeri.

MOHD. Rashid Hasnon (kanan) saling berbincang Mohamed Azhar Abdul Gafoor (kiri) mengenai idea mengekalkan warga bandaran dalam bandar, selepas selesainya majlis menandatangani MoA di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Mohamed Azhar mengaku bahawa pihaknya masih untung, walaupun memberi rumah secara percuma kepada empat penduduk asal Kampung Permatang Nibong Tengah di sini.

"Walaupun Seraimas Bina mempunyai hak atas pemajuan projek ini, kita memberi rumah kepada mereka atas budibicara kita.

"Untung tetap untung walaupun kita melakukan budibicara ini, selepas berunding dengan penduduk dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon sendiri," jelas beliau pada sidang media sama.

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan kemampuan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam melaksanakan inisiatif mengekalkan warga bandaran dalam bandar melalui rundingan situasi 'menang-menang' membabitkan pemaju, penduduk asal dan tuan tanah.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus