05 June 2014

Musafir ke Selatan Thai, dekati budaya Melayu-Islam kini

ALHAMDULILLAH, kerja-kerja editing berita di pejabat selesai.

Saya dan kawan-kawan dalam perjalanan ke Thailand.

Kalau ikut jadual, lewat petang ini ada pertemuan dengan grup wartawan di Thailand.

Nama wartawan yang saya nak berjumpa Haji Badri.

Beliau adalah orang penting di TVM, iaitu antara siaran televisyen yang giat melaporkan mengenai aktiviti perniagaan serta koperasi komuniti Melayu Thailand.

Menurut Penasihat Infaq Kebajikan Ummah Takaful (IKUT) Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim, Melayu di Utara Semenanjung Malaysia sebenarnya mempunyai hubungan darah yang erat dengan komuniti Melayu Islam di Selatan Thai.

"Dulu, ada Kerajaan Islam Patani. Kerajaan Patani pernah 'futuwwah' sampai ke Bengkok, semasa Kerajaan Tua Siam tewas dalam perang dengan Burma.

"Tradisi Melayu Islam seperti di pondok-pondok dekat Selatan Thai adalah rahmat Allah daripada Kerajaan Islam Patani dulu," jelas Zolkifly yang juga AJK Perhubungan PAS Pulau Pinang.

Katanya, delegasi dakwah antarabangsa IKUT kali ini, adalah kesinambungan pertemuan mahabbah yang diadakan di D'BM Hospital Permatang Pauh, Januari lepas.

"Kalau sempat, Kita bertemu dengan Haji Suhaimi, di Klongek Singoro," ujar Zolkifly lagi.

Hujung tahun 1980-an, semasa Harakah baru ditubuhkan, Haji Suhaimi merupakan salah seorang wartawan muda di bilik berita organ penerangan PAS.

Sekarang, Haji Suhaimi mempunyai empayar media Melayu Islamis tersendiri, di Selatan Thai.

Haji Suhaimi, katanya, masih di Bangkok sekarang, harap-harap dapat berjumpa dengan beliau kerana saya nak tahu mengenai projek budaya di Selatan Thai.

"Baju telok belanga kini kian popular di Selatan Thai, terutama dalam program rasmi negara kerana komuniti Melayu Islam giat mencari identiti mereka balik," ujar Zolkifly lagi.

Saya kata, Haji Suhaimi yang saya kenalpun giat turun ke Kuala Lumpur kerana beliau aktif dalam GAPENA.

Dalam asyik-asyik bersembang dengan dua wartawan besar di Selatan Thai berkenaan, Ustaz Izham Hashim (Pengerusi Pertubuhan Membela Anak Yatim Mutiara Infaq Malaysia) tanya, "hang tahukah Faqar ke mana Kita akan pergi?"

"Klongek Singora...." saya menyahut.

Abang Zolkifly dan Ustaz Izham saling gelak dengan telatah saya.

"Tempat rakyat Malaysia 'pasang cawangan nombor 2, 3 atau 4," celah Ustaz Izham.

Bermusafir dengan orang lama macam mereka, selalulah kena usik.

"Tak habis-habis mengusik kita...tau lah anak dan isteri berjauhan dengan kita," bisik saya seorang diri.

Bersambung...

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang | 4.06 petang
Hutan Kampung

+60194241583

Gadis tanggung tumor 20Kg selama enam tahun stabil selepas dibedah, kata Dr. Afif

DR. AFIF Bahardin (berdiri, tiga dari kiri) meramahi Thum Mei San (berbaju hijau), sambil diiringi oleh dua tetamu lain di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT - Derita ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kiri Thum Mei San selama enam tahun berakhir walaupun pembedahan yang dilakukan di Hospital Besar Pulau Pinang baru-baru ini terpaksa memotong lengan kiri gadis tersebut.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa membuat lawatan rasmi di sini, memberitahu, Mei San dalam keadaan STABIL dan masih menerima rawatan rapi di sini.

"Saya pun tidak dapat memastikan bila beliau dibenarkan pulang, tetapi, dari apa yang saya lihat, keadaannya stabil...beliau mendapat rawatan rapi yang baik di sini," ujar Dr. Afif kepada wartawan.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata, pihaknya berharap Mei San tabah dengan ketentuan takdir tersebut, serta bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

Sebelum itu, Dr. Afif turut mengadakan pertemuan tertutup dengan pentadbir Hospital Pulau Pinang, untuk mendapatkan maklum balas berwajib berhubung status pembedahan Mei San.

Terdahulu, Soon Seng menjadi perhatian apabila gadis berkenaan melahirkan rasa kecewa kerana pembedahan berwajib ke atas dirinya terpaksa ditangguhkan, atas faktor masalah kewangan.

Selepas itu, beberapa pihak melancarkan operasi mengutip dana serta berdoa kepada Soon Seng, hingga gadis berkenaan selamat menjalani pembedahan.

Pelanggan MPPP syor Bajet 2015 tumpu infrastruktur

KEiNDAHAN Town Hall dekat Padang Kota Lama, pada sebelah malam.

GEORGE TOWN - Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) disyor memberi tumpuan pada perancangan menaiktaraf Tapak Penjajaan Sementara (TPS), selain, memperbaiki penempatan semula penjaja-penjaja kecil sekitar kawasan pulau.

Demikian maklum balas pelanggan pada sesi Perjumpaan Bajet MPPP 2015 yang dilangsungkan di Dewan Bandraan dekat Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail memberitahu, rata-rata pelanggan secara umumnya mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) memperbaiki infrastruktur awam berwajib.

Tambah Patahiyah, MPPP turut disyor memperbanyakkan pemasangan alat-alat permainan, alatan gym serta gelanggang fitsal dan badminton di kawasan kediaman komuniti.

Pada pertemuan tersebut, Patahiyah turut merakamkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak mengetengahkan aduan rakyat demi meningkatkan mutu perkhidmatan PBT.

“Mereka lebih dekat dengan rakyat. Kita perlukan input dari ADUN dan NGO untuk sama-sama memberi pendapat dan kemukakan cadangan mambantu Majlis dalam penyedian bajet yang lebih baik,” ujar Patahiyyah.

Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye dan Joseph Ng Soon Siang (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan MPPP) turut menyertai majlis interaktif pelanggan tersebut.

Perjumpaan Bajet MPPP 2015 diadakan demi menyuburkan semula demokrasi tempatan, dengan menggalakkan warga pulau dalam membuat keputusan belanjawan bersama-sama MPPP.

Maklum balas pelanggan masih boleh dikemukakan menerusi laman sesawang www.mppp.gov.my sehingga 14 Jun ini.

Musim Durian Balik Pulau kembali!

AFIF Bahardin (tengah) menggunakan alatan khas membuka durian sebagai gimik Perasmian Musim Durian Balik Pulau Telah Bermula di Anjung Indah, Balik Pulau baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara
AFIF Bahardin (tengah) menggunakan alatan khas membuka durian sebagai gimik Perasmian Musim Durian Balik Pulau Telah Bermula di Anjung Indah, Balik Pulau baru-baru ini.

BALIK PULAU - Musim durian sekitar Balik Pulau yang ditunggu-tungu oleh penggemarnya tak kira warganegara atau pelancong asing kembali kini.

Pegawai Daerah Balik Pulau, Daud Abd. Hamid berkata, jenama 'Durian Balik Pulau' yang dipromosi saban musim di negeri ini sekaligus mereputasi nama Pulau Pinang di rantau ini.

“Berkonsepkan dusun, pengunjung dijanjikan pengalaman yang berbeza tahun ini.

"Mereka bukan sahaja dapat menikmati durian terbaik di sini, tetapi, turut menambahkan pengalaman baru kepada penggemarnya menikmati durian di dalam lebih enam buah dusun terpilih," ujar beliau pada Majlis Perasmian Musim Durian Balik Pulau di Tapak Rekreasi Telah Bermula Di Anjung Indah, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, majlis kali ini dijangka menerima lebih ramai pengunjung, memandangkan penganjurannya secara kebetulan serentak dengan musim cuti sekolah.

Majlis itu dirasmikan oleh Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“Tarikan Durian Balik Pulau begitu kuat. Bukan sahaja di kalangan masyarakat Pulau Pinang, tetapi, hingga ke luar negara.

“Para pekebun di sini diberikan sijil supaya membolehkan mereka memasarkan keluaran buah durian ke peringkat antarabangsa,” ujar Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Pelbagai jenis durian boleh dinikmati di Balik Pulau, antaranya, Udang merah, Musang King, Ang Hae, Ho Lor, D24 dan Ang Bak Kia.

Dijangkakan, musim Durian Balik Pulau kali ini lebih panjang berbanding musim-musim lalu, iaitu bermula pada pertengahan Mei hingga Ogos depan.

Syor ayah saya di fesbuk demi meningkatkan mutu zakat P.Pinang

Di bawah ini adalah respons ayah saya, Yaacob bin Salleh yang saya copy & paste dari facebook untuk perkongsian di sini.

"Saya terpanggil untuk renungan semua. Sejak akhir2 ini kita dihebohkan dengan dna babi dalam cadbury, dah lama kits diberitahu tentang bihun diproses dekat kandang babi tetapi kita masih beli dan makan juga.
Dimanakah yang tak kenanya? Saya tidak nak salahkan sesiapa, adakah kita cuma berpeluk tubuh dengan buat bising sudah cukup.
Pada saya kita ada kekuatan tetapi tidak pula dimanfaatkan. 
1. Pusat zakat kutip berjuta dan bertambah saban tahun dirasakan tidak memadai hanya beri kepada asnaf fakir miskin saja tetapi perlu bertindak kepada skop yang lebih luas.
2. Bagaimana jika zpp sasarkan satu tahun satu produk makanan halal iaitu contohnya bihun. Cari pengusaha kecilan bihun bagi bantuan, kilang awasi mereka insya-Allah kita orang islam dapat makan bihun jalal tanpa was-was.
3. Buat senarai keperluan makanan mengikut keutamaan teruskan setiap tahun moga2 akhirnya nanti kita dapat makanan halal seterusnya ia akan menjadikan daging darah yang tidak tercemar dan kita berasa sayang agama kekal taqwa kepada Allah.
4. Persoalan timbul tentang pemasaran nanti. Pada peringkat kita boleh guna masjid supaya tubuh koperasi buka kedai runcit jual keperluan harian untuk semua orang islam seluruh p.pinang."

AYAH, Yaacob Salleh.

Taman Tanjung Indah dipilih kajian perintis sisa sifar Bank Dunia

MAIMUNAH (paling kiri) mengagihkan bekas sisa makanan kepada penduduk Pangsa Taman Tanjung Indah untuk mengasingkan sisa organik untuk dikompos di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

BUTTERWORTH - Bank Dunia memilih Taman Tanjung Indah sebagai tapak kajian perintis sisa sifar kerana penduduk rumah pangsa di sini dinilai menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap amalan memulihara alam sekitar.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sisa Organik CCAC/Bank Dunia tersebut baru-baru ini.

“Semoga komitmen ini dapat dijalankan dengan berterusan sehingga dapat mengurangkan jadual kutipan sampah iaitu tiga kali seminggu buat masa sekarang sehingga sekali seminggu pada masa akan datang,” kata Maimunah, sambil merakamkan penghargaan atas komitmen komuniti setempat terhadap kempen sisa sifar yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsa Taman Tanjung Indah, Mah Yin Fun turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Maimunah, kempen sisa sifar bukan sahaja menjimatkan kos pengurusan MPSP, malah, dapat mengurangkan risiko penyakit yang berpunca oleh bawaan vektor serta penghasilan sisa ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

“Dengan adanya program sisa sifar ini, lalat, lipas dan tikus juga akan berkurangan kerana tiada penghasilan sisa buangan yang menarik minat haiwan berkenaan,” tambah beliau.

Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh pula dalam ucapannya berharap, tuah komuniti pangsa Taman Tanjung Indah yang dipilih untuk menjayakan projek perintis Bank Dunia tersebut wajar dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Pulau Pinang telah dipilih sebagai salah satu daripada empat bandar di Asia yang untuk program ini oleh Bank Dunia.

“Saya berharap agar penduduk di sini dapat menjadikan program perintis ini sebagai batu loncatan untuk mengubah gaya hidup supaya lebih menjaga alam sekitar," ujar Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Google AdWords kini dalam bahasa Melayu

Matthew Zaheen pada sesi fotografi selepas peluncuran Google AdWords berbahasa Melayu di Hotel G dekat Persiaran Gurney, pagi tadi.
MODEL tak berbayar Google AdWords ini bernama Zainulfaqar Yaacob. (Maaf la gambar kurang berkualiti sebab pakai telefon klon China) Keh keh keh

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS - Platform pengiklanan berbayar dalam talian Google yang dikenali sebagai Adwords kini boleh didapati menggunakan kata kunci bahasa Melayu, memandangkan 40 juta adalah penutur asal bahasa Melayu.

Ketua Pemasaran Google Malaysia, Matthew Zaheen memberitahu, itu tidak termasuk lebih 220 juta penduduk dunia yang turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Justeru, katanya, langkah terbaru Google tersebut adalah selari dengan realiti lebih 60 peratus populasi warganegara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

"AdWords dalam bahasa Melayu boleh membantu meluaskan lagi capaian perniagaan mereka di kalangan mereka (pelanggan) yang selesa menggunakan bahasa pengantar tersebut di dalam talian," jelas Matthew Zaheen kepada wartawan di Hotel G, pagi ini.

Dianggarkan, terdapat 700,000 perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia, tetapi, kira-kira 15 peratus sahaja yang berada dalam talian maya harian.

Pun begitu, menurut Matthew Zaheen, hampir 20 juta daripada keseluruhan 29 juta rakyat Malaysia adalah pengguna internet.

Ditambah dengan lebih 35 peratus penembusan telefon pintar kini, katanya lagi, terdapat potensi yang hebat bagi perniagaan yang bertindak bagi menangani jurang ini.

"Salah satu motivasi utama untuk kami menjadikan AdWords boleh didapati dalam bahasa Melayu adalah untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana mengembangkan capaian dan menjadikan mereka lebih mudah dicari melalui pengiklanan dalam talian.

"Kami berharap lebih banyak perniagaan kecil dan sederhana datang ke dalam talian dan memasarkan perniagaan mereka di dalam talian," jelas Matthew Zaheen lagi.

Info lanjut mengenai AdWords, layari google.com.my/adwords.

Lafaz syahadatain sebab Islam tak jauh berbeza dengan Kristian


Malam tadi, saya berpeluang mengikuti majlis syahadatain atau mengucap dua kalimah syahadah seorang lagi saudara baru di kediaman Timbalan Pengerusi Hidayah Centre Pulau Pinang, Muhammad Asyraf Tan Abdullah dekat Sungai Nibong.

Saudara baru ini adalah seorang gadis, berusia 22 tahun. Beliau orang Perak, dan masih tinggal bersama-sama ibu dan ayah di Sungai Ara.

"Saudara baru kita ini bekerja sebagai penolong pentadbir di salah sebuah industri di sini. Saya mengenali saudara baru ini melalui seorang kawan peguam," kata aktivis NGO IKUT Pulau Pinang yang mewakili 10,000 saudara baru, Abang Azran Chan.

Sambil-sambil menunggu abang Azran mengatur pertemuan majlis syahadatain, saya melahirkan rasa kagum dengan kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Abang Azran Chan.

"Dia masuk Islam kerana dia buru hidayah Allah, tentulah dia paling kedepan untuk memujuk kawan-kawan yang belum Islam untuk buru hidayah Allah juga," kata Penasihat IKUT, Tuan Haji Zolkifly Md. Lazim.

Di rumah Muhammad Asyraf Tan Abdullah, saudara baru ini dipelawa berkongsi keimanan sampai terdetik memeluk Islam.

"Saya beragama Kristian. Ayah dan ibu saya juga beragama Kristian, Ada beberapa persamaan agama Islam dengan agama Kristian menyebabkan hati saya lebih terbuka untuk (memeluk) Islam," kata gadis tersebut.

Jawapan itu mengingatkan saya pada firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah: Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun..." [Surah Ali Iimran: 64]
Tak tahu kenapa, tiba-tiba seluruh rumah jadi sebak apabila menyaksikan gadis tersebut melafazkan syahadatain.

"Saya yang mengaji agama di Universiti pun belum tentu boleh buat kerja dakwah macam aktivis IKUT kepada mereka yang belum Islam," saya bisik kepada diri saya sendiri.

AstaghfiruLLah.


ZAiNULFAQAR YAACOB
Bukit Mertajam | 2.09 pagi

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus