19 June 2014
Speaker DUN P.Pinang nasihat polis, AG jangan cabuli kuasa eksekutif dewan
GAMBAR Law Choo Kiang (berdiri) dalam satu majlis rasmi di DUN Pulau Pinang, George Town. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Percubaan mendakwa ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer di Mahkamah Tinggi Geogre Town pagi tadi akan menjejaskan prinsip pengasingan kuasa badan kehakiman dan badan eksekutif, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sendiri.
Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata demikian dalam kenyataannya petang tadi, sambil menyifatkan percubaan tersebut sebagai tindakan polis dan Peguam Negara (AG) mencabuli bidang kuasa DUN Pulau Pinang.
"Di bawah prinsip pengasingan kuasa, dewan undangan negeri memiliki status tertinggi kerana tugas badan eksekutif adalah jelas untuk melaksanakan apa saja usul atau dasar yang telah diluluskan di dewan undangan negeri.
"Manakala, tugas badan kehakiman pula adalah untuk memastikan usul dan dasar yang dijalankan itu tidak mengandungi elemen penyalahgunaan kuasa.
"Justeru, keputusan yang dibuat oleh dewan undangan negeri wajar dan wajib dihormati oleh semua, di mana segmen eksekutif dan kehakiman tidak boleh menceroboh bidang kuasa yang telah termaktub ada pada dewan undangan negeri," ujar beliau dalam kenyataan bertulis pada petang tadi.
Menurut Choo Kiang, Rayer bukan sahaja diberikan amaran Rayer berpandukan pada Peraturan Tetap, malah, ADUN pembangang turut dibenarkan mengemukakan usul untuk merujuk ADUN Seri Delima tersebut ke Jawatankuasa Hak & Kebebasan dewan.
Namun, kata Choo Kiang lagi, kegagalan UMNO untuk mendapat undi yang mencukupi telah menyebabkan usul ini tidak diteruskan.
"Saya telah membuat keputusan berlunaskan konteks yang terkandung di dalam Peraturan Tetap, dan dengan itu segala perkara berbangkit mengenai isu ini harus dihentikan segera," tegas Choo Kiang sambil melahirkan rasa kesal.
Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut memberi pendapat mengenai percubaan AG mendakwa Rayer di bawah Akta Hasutan.
"Di bawah peruntukan Artikel 63 atau Artikel 72 di dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun Ahli Parlimen atau ADUN memiliki imuniti, namun dalam keadaan tertentu seperti pelanggaran hak asasi, hak taraf kedudukan, keistimewaan & kedaulatan, bahasa kebangsaan dan status raja-raja, mereka boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
"Walaubagaimanapun, topik ‘UMNO Celaka’ tidak tercatat di dalam mana-mana bahagian di dalam perlembagaan, melainkan ia hanyalah merupakan perkaraan yang tidak baik yang telah diucapkan oleh seorang ADUN semasa perbahasan di dalam dewan undangan negeri," jelas beliau lagi.
Pagi tadi, Rayer yang sepatutnya dibicarakan di bawah Akta Hasutan pada berhubung kenyataannya menyebut “Umno Celaka” dalam persidangan lepas dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tiba-tiba ditangguhkan.
Peguamnya, Gobind Singh Deo dalam reaksi spontan kepada wartawan memberitahu, beliau sendiri tidak tahu punca pengguguran dakwaan tersebut.
“AG (Peguam Negara) minta pendakwaan dimulakan hari ini, sebab itu, saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya berlaku di sini.
“Saya tidak boleh memberitahu hal ini secara terperinci, tetapi, tiada pendakwaan pada hari ini sehingga ada suatu notis lanjut kelak,” ujar Gobind, yang juga Ahli Parlimen Puchong di perkarangan di Mahkamah Tinggi George Town.
Zestron buka industri di P.Pinang, pelaburan RM15 juta
(Dari Kiri) JAMES Yeoh, Dr. Herald Wack, Lim Guan Eng dan Dr. O.K. Weck pada upacara gimik perasmian pembukaan Industri Zestron di sini baru-baru ini. |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PERAI - Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berharap lebih banyak syarikat peneraju teknologi tinggi dari Jerman membuka industri di Pulau Pinang, apabila Zestron dengan nilai pelaburannya sebanyak RM15 juta membuka kilang di Kawasan Perindustrisn Perai di sini baru-baru ini.
Guan Eng turut berharap Pulau Pinang akan terus menjadi destinasi pelaburan asing pilihan utama di rantau ini disebabkan infrastruktur awamnya yang mementingkan tadbir urus baik, ketelusan dalam membuat dasar serta menggalakkan persaingan demi mengembangkan potensi ekonomi negeri.
Tambah beliau, keupayaan ekonomi negeri ini dapat dibuktikan melalui rekod pelaburan asing langsung (FDI) Pulau Pinang dalam tahun 2010 hingga Ogos 2013 berjumlah RM19.7 bilion, atau hampir 20 peratus daripada FDI negara yang keseluruhannya sebanyak RM103 bilion.
"Terima kasih kerana telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan dengan nilai fasiliti RM15 juta, hari ini secara rasminya ibupejabat industri Zestron Asia yang baru ada di Pulau Pinang.
"Dengan kehadiran Zestron, Pulau Pinang berharap dapat menarik minat lebih banyak syarikat peneraju teknologi tinggi yang mesra alam sekitar ke negeri ini," ujar Guan Eng pada majlis perasmian kilang tersebut di sini.
Pengasas serta pemilik Dr. O K Wack Holdings, Dr. O.K. Wack, presdiennya, Dr. Harald Wack, serta James Yeoh (Pengurus Besar Zestron Precision Asia Tenggara dan Malaysia) turut hadir pada majlis tersebut.
Difahamkan, Zestron menguasai 60 peratus pasaran produk dan perkhidmatan pembersihan jitu berteknologi tinggi global, dengan 35 peratus adalah di pasaran Malaysia.
Di Pulau Pinang sahaja, Zestron menguasai 40 peratus pasaran produk serta perkhidmatan pembersihan jitu berteknologi tinggi, khususnya untuk keperluan peralatan industri.
Guan Eng memberitahu, kejituan teknologi tinggi pembersihan peralatan elektronik yang ditawarkan oleh Zestron di negeri ini kini, antaranya kepada Osram, Bosch, Flextronics, Jabil, National Instruments.
Sebelum itu, Dr. Herald Wack dalam ucapannya memberitahu, pembukaan kilang pertama peringkat Asia Tenggara di Pulau Pinang diputuskan kerana negeri ini mempunyai persekitaran ekonomi yang baik untuk aktiviti pelaburan industri berteknologi tinggi.
Selain di Pulau Pinang, kata Dr. Herald Wack lagi, Zestron turut membuka ibupejabat industrinya di Shenzhen dan Shanghai dekat China, Kanagawa (Jepun), Ingolstadt (Jerman) serta Manassas (Virginia).
"Malaysia, khususnya di Pulau Pinang akan menjadi salah kuasa ekonomi di Asia Tenggara.
"Saya dan kami menyikai Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan penting yang sedang berkembang, peluangnya cukup dinamik serta memberi harapan dan impian kepada mereka (pelabur) untuk datang ke sini," ujar Dr. Herald Wack.
Perkembangan terbaru ini, menurut Guan Eng, sekaligus menyerlahkan Pulau Pinang sebagai pusat industri elektronik dan elektrik (E&E), serta kemudahan-kemudahan bahan industri lain di Malaysia.
Majikan DAP punca Putrajaya batal kelulusan pinjaman Tabung Perumahan Bumiputera P.Pinang Siti Nur Shazreen
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PADANG LALANG - Siti Nur
Shazreen Mohd. Jilani berkata, kelulusan permohonan pinjaman Tabung Perumahan
Bumipetera Pulau Pinang yang diterimanya baru-baru ini dibatalkan pula,
gara-gara beliau dikenal pasti bekerja dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Padang Lalang, Chong Eng.
Menurut beliau, layanan
tidak wajar itu diterima hanya melalui panggilan telefon daripada pihak Bank
Persatuan.
“Tak lulus sebab
pertama, YB Chong Eng itu ADUN DAP. Kedua, rumah yang saya mohon itu (Projek
Rumah Kos Rendah Sanctuary Court) di
bawah Kerajaan Negeri.
“Kalau macam itu,
tak perlulah ICU JPM (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri)
meletakkan pinjaman ini sebagai Tabung Pinjaman Bumiputera Pulau Pinang,” kata
Siti Nur Shazreen di sini baru-baru ini, sambil melahirkan rasa kesal terhadap
pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Siti Nur Shazreen berkata,
beliau turut diberitahu bahawa penarikan balik kelulusan pinjaman tersebut
turut atas dalih bahawa rumah kos rendah yang dimohon tersebut adalah bukan di
bawah bidang kuasa ICU JPM.
“Katanya, rumah
yang saya mohon bukan tertaklum pada MoU (perjanjian persefahaman) mereka. MoU
mereka hanya melibatkan rumah (yang dimajukan) JKP (Jawatankuasa Penyertaan
Bumiputa Pulau Pinang), PERDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) dan UDA
(Lembaga Kemajuan Bandar) sahaja,” jelas beliau lagi.
Bercakap pada
sidang media sama, Chong Eng memberitahu, hak Siti Nur Shazreen sepatutnya
tidak dinafikan oleh Kerajaan Pusat memandangkan wanita tersebut adalah
berbangsa Melayu serta berstatus Bumiputera.
“Walaupun beliau
(Siti Nur Shazreen) bekerja dengan ADUN DAP sekalipun, beliau tetap Bumiputera,”
tegas Chong Eng yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat.
Tambah beliau, isu
penafian hak wanita Bumiputera berkenaan akan cuba dirujuk kepada Ketua
Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid pada sidang dewan akan datang, memandangkan Jahara merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Sasar Perumahan dan Hartanah
Bumiputera Pulau Pinang.
Terdahulu, Kerajaan
Pusat melancarkan RM14.5 juta Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang, yang
disempurnakan oleh Jahara sendiri.
Memetik laporan
Utusan Online pada 17 April lepas, Jahara yang juga Ketua Pembangkang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang memberitahu, pinjaman sehingga RM200,000
ditawarkan kepada Bumiputera yang pendapatan isi rumah RM5,000.
Siti Nur Shazreen
dalam surat bertarikh 28 April lepas kepada ICU JPM ada menyatakan permohonan pinjaman
perumahan berwajib.
Permohonan itu
dibuat selepas Siti Nur Shazreen mendapat Surat Tawaran daripada Pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 11 Mac lepas, berhubung seunit
rumah kos rendah Sanctuary Court berharga
RM42,000.
IJM Land Sdn. Bhd.
selaku pemaju perumahan tersebut dalam satu surat berasingan bertarikh 24 Mac
lepas turut memberitahu bahawa, permohonan rumah kos rendah Siti Nur Shazreen
diluluskan.
ICU JPM dalam
balasan suratnya bertarikh 7 Mei lepas menyatakan bahawa permohonan pinjaman
Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang yang dibuat oleh Siti Nur Shazreen
telahpun diluluskan, sebelum wanita Melayu berkenaan menerima panggilan
penarikan balik kelulusan tersebut atas dalih penama bekerja dengan ADUN DAP.
Chong Eng puji aktiviti beladiri belia Desa Wawasan
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PADANG LALANG - Exco Belia &
Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng memuji inisiatif
Persatuan Penduduk Desa Wawasan yang dianggap giat mengaktifkan kegiatan belia
setempat melalui Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM).
Beliau berkata
demikian pada majlis penyerahan pelbagai kelengkapan beladiri kepada persatuan
penduduk berkenaan di sini baru-baru ini.
“Kos semua
kelengkapan bela diri ini (berjumlah) RM2,000 sahaja, selepas pejabat saya
menerima permohonan daripada persatuan penduduk.
“Saya rasa apa yang
dilakukan di sini adalah sangat baik untuk latihan beladiri, selain,
mengaktifkan lagi belia di sini,” ujar Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Padang Lalang, sambil merakamkan penghargaan kepada Briged Wanita
setempat.
Pengerusi Persatuan
Penduduk Desa Wawasan, A.P. Wijaya yang ditemui kemudian turut merakamkan
penghargaan atas sumbangan Chong Eng itu.
Nada sama turut
diluahkan oleh Jurulatih PSSLM Gelanggang Desa Wawasan, Hafiz Abdul Aziz.
Tambah beliau, dua
pelatih dari gelanggang tersebut, Atika Elias, 17, dan Nurfirzahah Mohd. Idris,
17, pada 5 September tahun lepas selama 13 hari menyertai satu kejohanan
beladiri peringkat antarabangsa di Seoul, Korea.
“Ini antara
sumbangan anak Melayu kita dari gelanggang ini mewakili Malaysia dan Pulau
Pinang.
“Saya pun harap
sumbangan ini memberi semangat kepada lebih 30 pelatih antara umur tujuh tahun
hingga 17 tahun di gelanggang yang berusia lapan tahun ini,” ujar beliau lagi,
sambil merakamkan penghargaan kepada Chong Eng atas sumbangan tersebut.
Dakwaan ‘Umno Celaka’ Rayer gugur?
(Depan, dari kiri) GOBIND Sing Deo, R.S.N. Rayer, Jagdeep Singh Deo dan Ramkarpal Singh Deo di perkarangan Mahkamah Tinggi George Town, pagi tadi. | Foto: FB Jeffrrey Chew |
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Adun Undangan
Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer yang sepatutnya dibicarakan di bawah Akta Hasutan pada pagi ini
berhubung kenyataannya menyebut “Umno Celaka” dalam persidangan lepas dekat Dewan Undangan Negeri
(DUN) Pulau Pinang tiba-tiba ditangguhkan.
Gobind Singh Deo
yang mewakili Rayer dalam kenyataannya kepada wartawan memberitahu, beliau sendiri tidak tahu punca pengguguran dakwaan tersebut.
Pun begitu, beliau
mengaku menerima panggilan daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Datuk Ghazali
Cha pada detik 9.15 pagi tadi memberitahu hal sama.
“AG (Peguam Negara)
minta pendakwaan dimulakan hari ini, sebab itu, saya sendiri tidak tahu apa
sebenarnya berlaku di sini.
“Saya tidak boleh
memberitahu hal ini secara terperinci, tetapi, tiada pendakwaan pada hari ini
sehingga ada suatu notis lanjut kelak,” ujar Gobind, yang juga Ahli Parlimen
Puchong di perkarangan di Mahkamah Tinggi George Town.
Justeru, beliau
tidak menolak kemungkinan ada perbezaan pendapat dalam Pejabat Peguam Negara
membabitkan AG Tan Sri Abdul Ghani Patail dan Ghazali sendiri.
Ahli Parlimen Bukit
Gelugor, Ramkarpal Singh Deo, dan V. Raveentharan (bekas ADUN Batu Uban) yang
turut mewakili pasukan pembelaan turut hadir pada pagi tadi.
Jagdeep Sing Deo,
Chong Eng dan Datuk Abdul Malik Abul Kassim antara Exco Kerajaan Negeri yang
hadir memberi sokongan moral kepada Rayer.
Semalam, Abdul
Ghani dalam satu kenyataanya dilaporkan mengesahkan bahawa Rayer akan didakwa
di Mahkmah Tinggi George Town.
Ketetapan terbaru
itu menggamit pelbagai reaksi di kalangan khalayak, antaranya sebutan mana-mana
wakil rakyat sama ada di dalam DUN atau Parlimen sepatutnya kebal dari
pendakwaan di Mahkamah.
Terdahulu,
sekumpulan penyokong Umno bertindak menceroboh DUN Pulau Pinang sambil
menggambarkan Rayer menyebut “Melayu Celaka”.
Walhal, Rayer nyata
menyebut penyokong serta pemimpin Umno yang menyemerakan api perkauman di
negeri ini sebagai “celaka Umno”.
Satu usul
dipersetujui DUN Pulau Pinang pada hari kejadian mengarahkan Polis serta pihak
berkuasa berwajib mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terbabit.
Keesokan hari ini,
satu lagi usul dipersetujui DUN Pulau Pinang, mengarahkan mereka dibicarakan di
Mahkamah, serta menerima hukuman yang keras jika didapati bersalah.
Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya baru-baru ini turut mengsyorkan Pejabat Peguam Negera mengenakan hukuman keras hatta penjara seumur hidup kerana tindakan mereka menceroboh DUN Pulau Pinang boleh dianggap melawan Yang Di-Pertuan Negeri serta mencemar kemuliaan dewan, sebagaimana ditakrifkan daripada Perlembagaan Negeri.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?
SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...