14 July 2014

300 rai Hari Jadi TYT Ke-76

(Depan, dari kiri) ABDUL Malik Abul Kassim, Mohd. Rashid Hasnon, Tun Abdul Rahman Abbas, Wan Salim Wan Mohd. Noor, Mohd. Salleh Man, Farizan Darus, Abdul Walid Abu Hassan dan Mohd. Yussof Latiff di pentas utama majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Lebih 300 orang menyertai Majlis Kesyukuran dan Jamuan Berbuka Puasa di Masjid Syeikh Abdullah Fahim, sempena Hari Jadi Rasmi Kali Ke-76 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor memimpin bacaan Surah Yaa Sin dan Tahli pada majlis kesyukuran TYT Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Datuk Mokhtar Jait (Pegawai Kewangan Negeri) turut hadir pada majlis itu.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Mohd. Salleh Man, Datuk Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Mahkamah Sharie Pulau Pinang), Datuk Razali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, JHEIPP), Datuk Wira Abd. Rahim Hanafi (Ketua Polis Negeri), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff (Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, PEMENANG) serta Ketua-ketua Jabatan dan kenamaan lain.

Manakala, Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng, Datuk Law Choo Kiang (Yang di-Pertua Dewan Undangan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Utiliti) pula hanya menyertai jamuan berbuka puasa bersama Tun Abdul Rahman.

Hari Jadi Rasmi TYT diraikan tiap-tiap tahun pada hari Sabtu minggu kedua dalam bulan Julai.

Segera tangani kes agensi pelancongan tak bertanggungjawab - Zairil Khir Johari

ZAiRIL Khir Johari (kanan) bersama-sama Cynthia Lim (kiri) menunjukkan beberapa bukti mengenai penipuan agensi-gensi pelancongan berkaitan Lohas, pada sidang media di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Bukit Bendera, pagi tadi. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS - Kes Cynthia Lim, 49, dan suaminya Phua Tat Teik, 49, yang mengaku ditipu oleh syarikat pelancongan Lohas Premium Travel & Lifestyle Sdn. Bhd. akhirnya dirujuk kepada Ahli Perlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Zairil berkata, kes seumpama itu sepatutnya tidak berlaku kerana Menteri Pelancongan & Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 16 Jun lepas turut menyebut bahawa lesen satu lagi syarikat berkaitan, Lohas Leisure Holiday telahpun dibatalkan sejak tahun 2009 lagi.

"Lesen Lohas Leisure Holiday telahpun dibatalkan...bagaimana operasi menggunakan nama-nama syarikat berbeza boleh berlaku seperti Lohas Premium Travel & Lifetyle (dan Lohas Premium Vacation Sdn. Bhd), sedangkan syarikat-syarikat itu dimiliki oleh pihak yang sama.

"Penipuan tersebut telah berlaku walaupun pakej pelancongan dibeli dari Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang sah. Saya lihat ada kelompangan di sini walaupun kita ada Akta Industri Pelancongan, 1992 yang membenarkan denda atau membatalkan lesen mana-amana agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

"Saya minta mereka (Lohas Premium Travel & Lifetyle) segera membayar balik semua kos kepada pihak Cynthia," tegas beliau di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Bukit Bendera di sini, pada pagi tadi. 

Memetik jawapan lisan Mohamed Nazri, jelas Zairil lagi, kes penipuan membabitkan agensi pelancongan direkodkan sebanyak 3,611 kes dengan nilai RM14.1 juta, dalam tempoh tahun 2009 hingga bulan Mei tahun ini.

"Dalam banyak kes, bakal pelancong dan mereka yang ingin mengerjakan haji umrah akan menjadi mangsa apabila agensi pelancongan ingkar serta melarikan diri, selepas mengumpulkan deposit daripada mangsa," jelas Zairil.

Justeru, beliau meminta Kerajaan Pusat segera mengambil tindakan tegas berhubung semua aduan berbangkit tersebut, demi mencegah penipuan seumpama itu pada masa depan.

Terdahulu, Cynthia dan Tat Teik pada 28 Oktober tahun lepas membeli voucer pelancongan ke Kemboja bernilai RM999 daripada Lohas Premium Vacation Sdn. Bhd..

Sebanyak RM786 wang pendahuluan turut dibayar kepada agensi pelancongan tersebut, untuk beberapa yuran serta cukai berwajib.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa menerima emel pembatalan pelancongan awal dua minggu dari tarikh mereka percutian mereka, yang dijadualkan pada 22 hingga 26 April.

Sehingga kini, semua tuntutan pembayaran balik kedua-dua mangsa tersebut masih belum ditunaikan oleh agensi pelancongan terbabit.

"Selepas berminggu-minggu kami menghubungi (agensi-agensi pelancongan tersebut, namun, gagal. Sebelum ini pun, mereka hanya membalas (pertanyaan sususlan kami) menerusi emel sahaja," jelas Cynthia kepada wartawan, tadi.

Tak patut Perak jual air terawat, Guan Eng tuntut campurtangan Pusat

KETUA MENTERI menunjukkan surat rasmi yang telahpun dihantar kepada Dr. Maximus Johnity Ongkili pada 26 Jun lepas, antara lain memohon Kerajaan Pusat menunaikan janjinya untuk membiayai projek air mentah Perak ke negeri ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Hasrat Kerajaan Perak mahu menjual air terawat sahaja, walaupun Kerajaan Pulau Pinang berhasrat untuk membeli air mentah sahaja perlu campurtangan daripada Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya hanya bersetuju untuk membeli air mentah sahaja demi memastikan tarif air di negeri ini tidak melambung naik disebabkan impak berantai oleh pembelian air terawat dari Perak semahal kira-kira 73 sen setiap 1,000 liter padu.

Lagipun, kata Guan Eng lagi, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili sendiri pernah berjanji untuk memenuhi keperluan air mentah Pulau Pinang pada masa hadapan, sebagaimana disebut semasa pemeteraian perjanjian penghirahan aset dari Pulau Pinang kepada Pusat, sebelum ini.

"Saya tidak bersetuju kerana tarif air terawat Perak adalah 2.3 kali ganda tarif Air Pulau Pinang, (walhal) dalam cadangan tarif air domestik terbaru (Pulau Pinang) pun masih kekal terendah berbanding negeri-negeri lain.

"Mengapa Pahang boleh menjual air mentah kepada Selangor, mengapa Pulau Pinang tidak boleh membeli air mentah (dari) Perak...ini sama sekali tidak adil untuk rakyat Pulau Pinang.

"Saya berharap Pusat boleh campur tangan, serta menunaikan janjinya untuk memajukan SPRWTS (Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak) dengan peruntukan RM2 bilion, demi menjamin bekalan air mentah selepas tahun 2020 di Pulau Pinang mencukupi," ujar Guan Eng di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan & Utiliti, Lim Hock Seng dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri) turut menyertai sidang media itu.

Guan Eng dalam surat bertarikh 26 Jun lepas kepada Dr. Maximus Johnity ada  menjelaskan, tarif air domenstik Pulau Pinang yang dicadangkan adalah serendah 32 sen per 1,000 liter untuk kegunaan 35,000 meter padu pertama tiap-tiap bulan.

Surat sama turut menjelaskan bahawa Kerajaan Perak melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) pada 16 Disember tahun lepas bahawa mereka hanya bersetuju menjual air terawat sahaja kepada Pulau Pinang.

Justeru, Guan Eng menegaskan, pembelian air terawar daripada Kerajaan Perak akan mengakibatkan wujud peningkatan kos berantai pada pengurusan bekalan air terawat negeri, sekaligus, menjejaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengekalkan tarif air terendah berbanding negeri-negeri lain.

Dalam perkembangan sama, portal berita Berita Harian pada 10 Julai lepas turut melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan bahawa mereka hanya akan menjual air terawat, walaupun ada negeri tertentu mahu membeli air mentah daripada Kerajaan Perak.

"Tak payah segan-segan dan malu-malu untuk menyebut nama Pulau Pinang, memang kita (Kerajaan Negeri) mahu membeli air mentah demi memastikan bekalan air mencukupi sehingga tahun 2050, tanpa sebarang catuan (bekalan air mentah)," seloroh Guan Eng.

Terdahulu, Kerajaan Pusat pada 18 September tahun lepas menolak permohonan Kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai projek air mentah dari Sungai Perak ke negeri ini, serta meminta cadangan kajian tarif air yang baru segera dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) Ir. Jaseni Maidinsa dalam satu kenyataan pada hujung bulan April lepas menjelaskan, Kerajaan Negeri turut diminta menumpukan perhatian pada langkah mengurangkan penggunaan air yang tinggi, bukannya mencari sumber baru bagi menghadapi risiko kekurangan air pada tahun 2020 nanti.

Atas semua syor Putrajaya itu, Kerajaan Negeri mencadangkan tarif air domestik serendah 32 sen per 1,000 liter untuk kegunaan 35,000 meter padu pertama sebulan dilaksanakan, manakala, surcaj hanya dikenakan kepada pembazir bekalan air terawat sahaja.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus