16 July 2014

MPSP 100% ambil alih pengurusan sisa pepejal - Maimunah

(Dari kiri) AHMAD Kaswan Kassim, Tan Cheong Eng, Mohd. Rizal Hamid (Ahli Majlis MPSP), Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Sharif dan Rezal Huzairi Md. Zaki merakamkan gambar dengan tiga lori baru kompaktor yang baru diterima di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengumumkan pengambilalihan 100 peratus perkhidmatan pelupusan sampah serta pembersihan am di seluruh Seberang Perai mulai 1 Julai lepas.

Yang di-Pertuanya Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sebanyak 21 lori kompaktor telahpun dibeli untuk memenuhi keperluan tersebut.

"Majlis dijadualkan menerima 21 buah lori kompaktor yang baru dibeli ini mengikut jadual secara berperingkat, mulai Julai hingga Disember tahun ini," ujar Maimunah kepada wartawan, di Kompleks Ibupejabat MPSP di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ke-480 Bil.6/2014  MPSP.

Tiga Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Eng, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Kaswan Kassim, serta Sr. Rozali Mohamud (setiausaha MPSP) turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah menjelaskan, seramai 1,743 orang telahpun diambil sebagai pekerja am kontrak, manakala, 467 lain sedang dalam proses lantikan.

Menurut beliau, projek kutipan sampah dilakukan secara dua syif, iaitu dari jam 6.00 pagi hingga 3.00 petang, dan 5.00 petang hingga 2.00 pagi.

"Ini pelan kontigensi kita untuk melicinkan pengambilan semula pengurusan sisa pepejal, kini," ujar beliau.

Layari laman web rasmi MPSP, www.mpsp.gov.my untuk mendapatkan info mengenai kawasan-kawasan yang disenaraikan dalam syif pertama dan kedua tersebut.

Semua automatik ada lesen jika 'memandu' jadi subjek di sekolah menengah

TUJUAN sekolah memandu adalah murni, iaitu memastikan pengguna jalan raya selamat, berhemat serta mengikut undang-undang jalan raya.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kalau ditanya mengenai isu kenaikan yuran mengambil lesen memandu, mungkin akan memanipulasi hujah rasional di atas.

Di sebalik semua ini, yang paling untung adalah kroni yang menguruskan sekolah memandu.

Lesen membuka sekolah memandu ini kerja Pusat.

Takkan pusat nak lantik orang kuat DAP Pulau Pinang umpamanya sebagai kroni Sekolah Memandu, dalam konteks negeri ini.

Sebab itu dalam kampung saya Kebun Sireh pun, orang kuat Umno dapat lesen Sekolah Memandu.

Dia baik, saya tak pertikai peribadinya yang baik, tapi, saya pertikai tadbir urus Putrajaya dalam isu ini.

Inilah rahsia umum yang semua orang perlu tahu.

Sebab itu, saya memang tak setuju dengan kenaikan ini. Tetapi, ada komentar sebaliknya berhubung isu ini di Facebook.

Kenaikan ini dikatakan baik, kerana akan menggamit amarah rakyat, khususnya pengundi muda pada PRU14 nanti kerana rata-rata mereka tentu akan menanggung semua ini.

Terlanjur mengulas mengenai isu ini, saya ada satu syor.

Apa kata Sekolah Memandu ini dijadikan subjek elektif peringkat sekolah menengah, mungkin dalam semacam subjek kemahiran hidup.

Saya berasa kosnya jauh lebih murah, serta semua pelajar secara aotomatik mungkin sudah mempunyai lesen memandu jika diperkenalkan seawal Tingkatan 4 umpamanya.

Kalau Putrajaya tidak mahu mempertimbang pelaksanaan syor ini sekarang pun tak apa, esok lusa diharap pengundi muda menyumbang pada proses menumbangkan Umno BN masa PRU14 nanti.

Setuju?

Tambah seganda bilangan penjaja Melayu realistik, kata PAS P.Pinang

ZOLKIFLY Md. Lazim (paling kanan) menyantuni "Mohd. Salihin" (tiga dari kiri) dan dua rakan niaganya di Uptown Bayan Lepas, semalam.

Oleh: ZAiNULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS - Jual beli domestik negara di sepanjang bulan Ramadan kali ini dianggarkan RM9 bilion, kata Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang Zolkifly Md. Lazim memetik satu sumber kerajaan.

Justeru, Zolkifly berkata hasrat PAS Pulau Pinang untuk menambah sekali ganda bilangan peniaga kecil Melayu daripada 3,500 orang yang sedia ada berdaftar di negeri ini adalah realistik untuk dicapai dalam tempoh setahun ini.

"Kalau tengok pada jual beli sepanjang bulan Ramadan ini, saya rasa idea tambah sekali ganda penjaja Melayu di Pulau Pinang ini realistik.

"Jom tambah peniaga dan tambah ekonomi umat," kata Zolkifly yang juga Penasihat Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSB) semasa melawat Uptown Bayan Lepas, malam tadi.

Zolkifly yang juga Presiden D'BM Hospital Permatang Pauh turut memujui Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan timbalannya Datuk Mohd. Rashid Hasnon kerana menyusun baik aktiviti penjajaan seperti Uptown dan Bazaar Ramadan.

Kali pertama Zolkifly menyuarakan hasrat untuk menambah sekali ganda penjaja Melayu di negeri ini adalah semasa melawat Bazaar Ramadan Batu Kawan.

Beliau meminta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya tidak tunduk pada hasrat TEKUN selaku penganjur Bazaar Ramadan Stadium Batu Kawan mahu menggandakan tekanan kepada penjaja-penjaja Melayu yang berniaga di Bazaar Ramadan Batu Kawan.

Respons itu selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Surau At-Tahalli, Cikgu Mohd. Rashid Abdul Hamid, yang juga penganjur Bazaar Ramadan Batu Kawan.

“Kalau ikut PAS, orang Mekah lebih tahu mengenai orang Mekah, orang Madilah lebih tahu mengenai orang Madinah (amal Ahl Madinah). Biar peniaga putuskan kawasan mana strategik untuk mereka niaga.

“Manakala, PBT (MPSP) perlu memberi fasiliti dan garis panduan, supaya Pulau Pinang ini benar-benar menjadi negeri paling istimewa untuk orang berniaga cari makan,” ujar Zolkifly kepada wartawan.



Berita berkaitan:
Rekod hutang tak berbayar sifar, KPATSBB hasrat jumpa Guan EngGerakan koperasi penjaja mampu banteras 'Along' - Zolkifly Md. Lazim

Hasrat Jagdeep temani umat Islam berbuka puasa tertunai

JAGDEEP Singh Deo (tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan penerima terpilih pada majlis sumbangan dan berbuka puasa di perkarangan Masjid Sheikh Eusoff di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT -  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo menjelang masuk bulan Ramadan pernah menyatakan hasrat untuk menemani umat Islam berbuka puasa, dan niat murni itu tertunai dalam satu majlis di perkarangan Masjid Sheikh Eusoff dekat Kampung Dodol di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan turut menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan hamper kepada sejumlah penerima terpilih sempena menyambut Ihya Ramadan.

“Dalam satu majlis gotong-royong di sini (Kampung Dodol) sebelum ini, saya ada menyatakan keinginan untuk menyertai majlis berbuka puasa, dan, sekarang saya diberi peluang untuk mememani mereka berbuka puasa,” ujar Jagdeep kepada wartawan.


Beliau berkata demikian pada satu majlis gotong royong di Kampung Dodol di sini, yang diadakan serentak dengan majlis penyampaian sumbangan hamper kepada 70 penerima terpilih.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan keharmonian komuniti di negeri ini, walaupun berbeza kepercayaan dan bangsa.

Sumbangan 500 kaca mata percuma dapat pujian Guan Eng

KETUA Menteri (tiga dari kiri) menyarungkan kaca mata kepada salah seorang pelajar terpilih, sambil diperhati oleh Mohd. Rashid Hasnon (paling kanan), Lim Hock Seng (paling kiri) dan R. Arunasalam (empat dari kiri) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Ahli Perniagaan Terkemuka, Datuk Seri R. Arunasalam melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Butterworth beliau baru-baru ini menyumbang 500 kaca mata percuma kepada mereka yang terpilih.

Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng yang menyertai majlis tersebut dalam ucapannya merakamkan penghargaan serta memuji pasukan Arunasalam atas aktiviti amal berterusan mereka kepada komuniti setempat, sejak beberapa tahun lepas di negeri ini.

"500 pasang di mana sekurang-kurangnya sepasang berharga RM100, bermakna beliau telah mengeluarkan RM50,000 pada petang ini untuk 500 penerima," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Lim Hock Seng (ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), A. Tanasekharen (ADUN Bagan Dalam), serta Dr. R. A. Lingesh (anak Arunasalam) turut menyertai majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih memberitahu, pentadbirannya pernah dipertikai sebelum ini kerana mencadangkan pemberian anugerah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri' kepada Arunasalam.

Katanya lagi, khalayak mempertikai Kerajaan Negeri semasa itu antaranya atas alasan bahawa Arunasalam dikatakan kurang dikenali, serta kurang memberi sumbangan kepada Pulau Pinang berbanding tokoh-tokoh lain di negeri ini.

Pun begitu, Guan Eng berkata, aktiviti amal secara berterusan yang dilakukan oleh Arunasalam sehingga kini meyakinkan Kerajaan Negeri bahawa ahli korporat berkenaan memang layak menerima darjah kebesaran berwajib.

"Di Pulau Pinang mungkin tidak mengenali beliau. Tetapi, di Bagan ini, kalau tak pakai kaca mata pun, sumbangan beliau dirasai oleh rakyat," jelas Guan Eng lagi.

Difahamkan, pasukan Arunasalam sejak kira-kira 35 tahun lepas menyampaikan sumbangan tahunan berupa beras serta makanan kepada golongan terpilih.

Manakala, pemberian 500 kaca mata secara percuma kepada pelajar serta warga emas terpilih pada majlis amal baru-baru ini merupakan kali keempat dilakukan oleh pasukan Arunasalam.

Perkembangan terbaru itu, sekaligus, menyerlahkan bahawa komitmen Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 memberi tumpuan pada aktiviti kebajikan rakyat, turut menerima partisipasi langsung sektor korporat di negeri ini.

Impak berantai bank jerung makan bank anak ikan

The Malaysian Insider hari ini melaporkan Putrajaya berdepan kritikan berhubung cadangan penggabungan bank.

Ini cerita bank jerung makan bank anak ikan.

Tun Dr Mahathir Mohammad dulu pun pernah buat.

Contoh, Bank Commerce makan Bank Bumiputera, sebelum menjadi Commerce International Merchant Bankers (CIMB).

Hari ini, konsolidasi serupa dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pula.

Contoh, konspirasi CIMB Bank, RHB Bank dan Malaysian Building Soviet Bhd (MBSB).

Langkah terbaru Putrajaya ini tentu bersebab.

Apabila Najib memberi tumpuan pada liberalisasi ekonomi, ertinya kebergantungan Putrajaya pada pelaburan swasta tidak dapat dielakkan lagi.

Konsolidasi CIMB-RHB tentu ke arah itu, supaya loan yang lebih besar boleh diberi pinjam kepada sektor swasta bagi projek pemajuan, seperti perumahan umpamanya.

Bank tidak boleh membuat keuntungan melalui pemajuan hartanah.

Akan tetapi,  sebuah bank boleh membuat duit melalui pinjaman perumahan atau cagaran hartanah sendiri daripada sektor swasta atau rakyat.

Dahulu, Kerajaan sendiri yang membina rumah melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Maka, harga lantai rumah ditentukan oleh Kerajaan sendiri.

Liberalisasi pemajuan perumahan yang dilakukan sejak era Dr Mahathir sendiri mengakibatkan berlaku spekulasi pada nilai hartanah berwajib.

Harga rumah dan tanah tidak lagi boleh dikawal seperti dulu, kerana Kerajaan Pusat sendiri seperti pada era Najib juga lebih bergantung pada keupayaan sektor swasta.

Di sinilah kita perlu tahu bahawa Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) hanya indah khabar dari rupa, kerana semua rumah itu hakikatnya dibina atas kepentingan sektor swasta.

Dari segi lain, CIMB sendiri telahpun berjaya menelan Southen Bank Berhad, serta berjaya broker secara senyap berhubung pemeteraian perjanjian MAS-AirAsia, sebelum ini.

Sebab itu, konsolidasi bank kali ini cukup penting untuk Najib dan adiknya, Datuk Seri Nazir Tun Razak untuk mencengkam keuntungan, yang sepatutnya pergi kepada Kerajaan.

Konsolidasi akan mengakibatkan peranan tersendiri bank-bank kecil untuk kepentingan komuniti akan diabaikan. Contoh seperti kehilangan fungsi Bank Bumiputera.

Bank Rakyat yang asalnya ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pinjaman peniaga yang tiada slip gaji sendiri pun sudah mengalih kiblatnya apabila kepentingan dalam bank komuniti itu dikuasai oleh pemegang spekulatif.

Malaysia akan mendapati krisis kewangan yang kian runcing jika liberalisasi ekonomi dan kebergantungan kewangan Kerajaan Pusat sendiri mulai cenderung pada sektor swasta.

Setuju?

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus