19 September 2014

90 peratus setuju tukang masak warganegara, kata MPSP

Oleh: ZAINULFAQRA YAACOB 

MAIMUNAH Mohd. Sharif (kanan) dan Rozali Mohamud (kiri).
SEBERANG JAYA - 90 peratus daripada 890 responden bersetuju warganegara diambil bekerja sebagai tukang masak di gerai penjaja serta kompleks makanan dekat sekitar Seberang Jaya.

Pengarah Pelesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Mohd. Ibrahim Md. Noor memberitahu, kaji selidik itu dijalankan dalam tempoh 25 Julai hingga 25 Ogos lepas.

“Keputusan ini, MPSP akan disampaikan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng,” kata Mohd. Ibrahim dalam satu sidang media bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Shariff di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta tiga Ahli Majlis lain, Tan Cheong Eng, Rizal Huzairi Md. Zaki dan Ahmad Kaswan Kassim turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah memberitahu, MPSP hanya melaksanakan bancian berwajib, manakala, syor menguatkuasa larangan buruh asing digajikan sebagai tukang masak utama gerai penjaja serta kompleks makanan adalah bergantung pada keputusan Kerajaan Negeri kelak.

Terdahulu, Maimunah mengakui bahawa isu buruh asing menjadi tukang masak di gerai-gerai penjaja serta kompleks makanan turut memberi impak negatif kepada MPSP belakangan ini.

Terdahulu, Guan Eng dalam satu kenyataan media meminta MPSP dan MPPP menjalankan satu bancian dan kaji selidik berhubung perkara berbangkit tersebut.

Syor Guan Eng itu sebagai reaksi pada satu laporan penguatkuasaan MPPP yang menyebut, lebih 119 buruh asing diambil bekerja sebagai tukang masak utama di 68 pusat penjaja makanan di negeri ini.

Laporan itu turut menyebut, kebanyakan dari 68 gerai makan yang dikenalikan oleh tukang masak buruh asing terbabit adalah di sekitar Bayan Baru, Relau, Jelutong dan Tanjong Tokong.

Justeru, Guan Eng meminta MPPP dan MPSP membuat kaji selidik dan bancian berwajib sebelum mempertimbang pelaksanaan dasar melarang buruh asing diupah menjadi tukang masak utama bagi gerai-gerai jaja dan kompleks makanan di negeri ini.

Losyen repellent mampu kurangkan risiko gigitan aedes – Exco Kesihatan

DR. AFIF Bahardin (tujuh dari kiri), Lee Khai Loon (lapan dari kiri) bersama-sama pemimpi komuniti setempat pada Majlis Kempen Penggunaan Repellent Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK - Produk losyen penghalau nyamuk (mosquito repellent) yang diperkenalkan oleh syarikat Fumakilla diharap turut menjadi alternatif kegunaan warga negeri ini dalam mengurangkan risiko dijangkiti wabak denggi, kata Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

“Kegunaan losyen repellent adalah satu lagi kaedah untuk mengurangkan risiko digigit nyamuk aedes, yang boleh kita cuba amalkan,” ujar Dr. Afif pada Majlis Kempen Penggunaan Repellent Peringkat negeri Pulau Pinang di pasar raya Tesco Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, wakil Jabatan Kesihatan Negeri dan wakil korporat syarikat Fumakilla turut hadir pada majlis tersebut.

Dr. Afif yang juga ADUN Seberang Jaya berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan apa jua kaedah yang difikirkan berkesan demi memerangi wabak denggi di negeri ini.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Dr. Afif turut memprotes tangkapan beramai-ramai anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) pada Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri, 31 Ogos lepas.

“Kalau PPS yang ditubuhkan berdasarkan bidang kuasa Kerajaan Negeri pun dianggap tidak sah, jangan pula penubuhan COMBI (Communication for Behavioural Impact) yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri untuk mencegak penyakit zoonotik pun selepas ini, turut dilarang atas alasan tidak ditubuhkan di bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan),” respons Dr. Afif yang juga ADUN Seberang Jaya.

Direkodkan, demam denggi di negeri ini meningkat sebanyak 531 kes atau 174.7 peratus kepada 835 kes bagi tempoh Januari hingga 14 Jun lepas, berbanding 304 kes bagi tempoh sama tahun lepas.  

Untung tender terbuka, pasar awam siap ikut jadual - Lim Guan Eng

WAJAH baru Pasar Awam Perkampungan Juru semasa majlis perasmian pembukaan di sini baru-baru.

(dari kiri) SOON Lip Chee, Rozali Mohamud, Maimunah Mohd. Shariff, Ong Chin Wen, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng dan P. Kasthuriraani pada majlis tandatangan perasmian pembukaan Pasar Awam Perkampungan Juru di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pembinaan Pasar Awam Perkampungan Juru yang menelan belanja RM1,398,000 dalam tempoh enam bulan dan siap pada 30 Mei lepas menjadi satu lagi rekod Kerajaan Negeri mengotakan janjinya demi keselesaan hidup rakyat di negeri ini.

“Ada orang kata rakyat Malaysia tak biasa dengan tender terbuka, tetapi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membuktikan bahawa amalan tender terbuka ini berjaya dibuat dengan baik sekali.

“Hari ini, sekali lagi kita buktikan bahawa Kerajaan Negeri tepati janji...tender dipanggil secara terbuka dan diberikan kepada (pamaju) Sifar Bina,” ujar Guan Eng pada Majlis Perasmian Pembukaan Pasar Awam Perkambungan Juru di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulistan dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Ong Chin Wen (Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan P. Kasturiraani (Ahli Parlimen Batu Kawan) turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai  (MSPS) Maimunah Mohd. Sharif dan Setiausahanya, Sr. Rozali Mohamud, serta Shafiqah Shobha Abdullah (Ahli Majlis MPSP).  

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, amalan tender terbuka yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri ternyata lebih memberi peluang kepada syarikat kontraktor yang berwibawa untuk memajukan projek-projek berkaitan Kerajaan Negeri.

“Sungguhpun nama syarikat ‘sifar’, tetapi, yang penting syarikat ini ada sifat kelemahan dan boleh siapkan projek ini seperti dijanjikan.

“Tender terbuka yang diamalkan menunjukkan kita berkebolehan dan mampu untuk melaksanakan projek-projek bagi bersama-sama anak-anak syarikat (daripada) anak-anak negeri tempatan,” ujar Guan Eng lagi yang juga ADUN Air Putih.

Difahamkan, Kerajaan Negeri mensasar siap projek baik semula 11 pasar awam di sekitar Pulau Pinang menjelang tahun 2014, selain, baik pulih kecil 23 pasar awam lain dengan peruntukan RM5 juta.

Dalam tempoh tahun 2014, tiga buah pasar awam dinaik taraf menggunakan RM1.134 juta bajet Kerajaan Negeri.

Manakala, Pasar Awam Perkampungan Juru pula terdiri oleh 88 unit gerai jualan, iaitu 25 petak am, 26 petak makanan, tujuh petak runcit, sembilan gerai jualan sayur, sembilan gerai jualan ikan, dua gerai jualan ayam, empat gerai buah-buahan dan enam gerai daging khinzir.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut menjelaskan, kos kontrak pembersihan pasar serta kompleks makanan bagi tahun 2013 berjumlah RM1,800,336, dan MPSP akan mengambil alih semua kerja pembersihan tersebut mulai bulan September tahun ini.

“Di dalam bajet 2014, MPSP telah memperuntukan sebanyak RM3,833,871.12 iaitu terdapat kenaikan sebanyak 113 peratus.

“Kenaikan ini adalah kerana kita menggunakan tenaga kerja rakyat tempatan untuk kerja-kerja pembersihan,” jelas Guan Eng lagi.

RM1.6 juta bina bangunan baru SAR, Anwar puji P.Pinang

ANWAR Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pendidikan kepada pelajar terpilih sambil diiringi Norlela Ariffin (paling kiri), Mohd. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) dan Mansor Othman (paling kanan) di sini baru-baru ini.

ANWAR Ibrahim diiringi Mohd. Rashid Hasnon menyempurnakan majlis pecah tanah pemajuan sebuah bangunan baru SAR Maahad Tarbiyyah di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI - Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meluluskan peruntukan RM1.6 juta bagi membina bangunan tiga tingkat baru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Maahad Tarbiyyah, yang terdiri oleh enam bilik darjah serta dewan serba guna di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datu Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya memuji pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana fokus pada pembangunan pendidikan, selain, giat mengembangkan potensi ekonomi negeri.

“Selepas Kerajaan Negeri diperintah oleh Y.A.B. Ketua Menteri, saya dimaklumkan peruntukan untuk SAR baru ada, sebelum itu semua disekat sungguhpun anak-anak kita sangat perlu bantuan serta infrastuktur pendidikan seumpama ini.

“Walau apapun perbezaan politik di peringkat pentadbiran, saya puji Y.A.B. Ketua Menteri kerana fokus pada pemberian pelbagai insentif pendidikan tanpa mengira kaum dan kepercayaan,” ujar Anwar dalam ucapan perasmiannya, sebelum menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bangunan SAR Maahad Tarbiah di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berucap mewakili Guan Eng, manakala, Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berucap mewakili Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP) , Datuk Mansor Othman (Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal), Dr. Norlela Ariffin (Ahli Dewan Undang Negeri Penanti) dan Ustaz Ibrahim Mat (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SAR Maahad Tarbiah).

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyokong hasrat pentadbiran Guan Eng memohon Kerajaan Pusat membiayai pemajuan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil pertama di Malaysia, di atas sebidang tanah dekat kawasan Parlimen Bagan yang akan disumbangkan oleh Kerajaan Negeri sendiri.

“Kerajaan Pusat sepatutnya tidak perlu menolak permohonan ini kerana ini pendidikan untuk anak-anak kita, baik berbangsa India atau beragama Islam...Ini Malaysia, yang lebih adil,” tegas Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia di depan hampir 300 hadirin.

Difahamkan, Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 hingga sekarang meluluskan peruntukan antara RM1.5 juta hingga RM1.75 juta kepada 102 SAR di negeri ini.

Itu, tidak termasuk peruntukan serupa yang diberikan kepada Sekolah Mubaligh dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), pada tiap-tiap tahun.

Kerajaan Negeri turut menyediakan program Sumbangan RM100 kepada Pelajar Emas, RM1,000 Siswa Daftar Masuk Universiti Awam, serta Bantuan Pendidikan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Sebelum itu, Ibrahim menjelaskan, jawatankuasanya hampir putus asas kerana permohonan pemajuan SAR itu daripada pihak berwajib pada era 1980-an dan 1990-an beberapa kali gagal.

Bagaimanapun, beliau melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini atas kelulusan permohonan tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus