13 October 2014

Pengecualian faedah bank mampu kurangkan jumlah hutang isi rumah - Guan Eng

SEORANG warga emas buta (bertudung) diiringi waris (paling kiri) menerima sumbangan daripada wakil penganjur di sini, pada Sabtu lepas. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM - Pengecualian bayar balik faedah pinjaman peribadi bagi mereka yang berpendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM5,000 wajar dipertimbang oleh Bank Negara Malaysia (BNM) demi mengurangkan risiko bankrap lebih ramai warganegara.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, syor itu sekaligus mampu mengurangkan lagi rekod hutang isi rumah di negara ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian semasa jumlah hutang isi rumah terus meningkat, sungguhpun dilaporkan dalam kadar perlahan sejak tahun 2010 lagi.

"Pengecualian bayar balik faedah (interest) sahaja, tetapi, dengan syarat jumlah pinjaman pokok mesti dibayar (kepada bank),"

"Jika dikecualikan pembayaran faedah ini, saya percaya lebih banyak hutang boleh dikutip kerana rakyat yang tidak mampu hanya bayar balik (jumlah hutang) 'pokok' saja," jelas Guan Eng pada Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali Kepada 500 Penerima Terpilih Daripada Pelbagai Bangsa, anjuran bersama Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Butterworth.

LIM Guan Eng menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan majlis pemberian sumbangan Deepavali kepada 500 penerima terpilih daripada pelbagai bangsa, anjuran Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A., di sini baru-baru ini.

(Dari kiri, depan) PHEE Boon Poh, P. Ramasamy, Lim Guan Eng, R. Arunasalam dan A. Thanasekaran di pentas utama di sini, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy dan Datuk Seri R. Arunasalam (Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Datuk Seri R.A.) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh, A. Thanasekharan (ADUN Bagan Dalam) dan Tan Sri Mohd. Yussof Latiff (Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, PEMENANG).

Difahamkan, BNM dalam laporan tahunannya pernah mendedahkan hutang isi rumah bagi tahun 2009 meningkat kepada 76.6 peratus dan pernah dikatakan rekod kedua tertinggi di Asia, berbanding 63.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2008.

Bagaimanapun, peningkatan jumlah hutang isi rumah sejak tahun 2010 pada kadar paling perlahan, iaitu sebanyak 9.9 peratus kepada RM904.3 bilion dan merangkumi 86.7% daripada KDNK nominal pada akhir Jun 2014. 

Daripada perangkaan itu, Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan turut mendedahkan, kadar hutang isi rumah menunjukkan penurunan daripada 11.5 peratus atau RM855.9 bilion yang dicatat pada akhir 2013. 

Laporan sama turut merumuskan hutang isi rumah termasuk pinjaman, terutama yang diberikan oleh sistem perbankan, institusi kewangan pembangunan, Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan dan institusi kredit lain.

KETUA Menteri dan pemimpin Kerajaan Negeri disambut sederhana oleh hadirin di sini, Sabtu lepas.

Sebelum itu, Guan Eng turut memuji insiatif tahunan pasukan Arunasalam sejak 35 tahun lepas konsistan menganjurkan program sumbangan kepada golongan terpilih di negeri ini.

Manakala, penerima, Abdul Razak Mohd. Shariff (kiri), 56, yang ditemui kemudian merakamkan penghargaan kepada penganjur majlis sumbangan tersebut.

"Saya terima sumbangan kali kedua hari ini walaupun sumbangan ini diberikan sempena Deepavali...sekurang-kurangnya ini boleh tambah sara hidup bulanan," ujar Abdul Razak, penduduk Kampung Kubur dekat Bagan.
Nada yang sama turut diluahkan oleh penerima, Ong Ah Shor, 83.





"Sudah banyak kali saya terima sumbangan ini...tentu gembira kerana kita sudah tua dan perlu sokongan," jelas Ah Shor.


Kharthar Singh, 71, pula berkata, penerima terpilih yang terdiri daripada pelbagai bangsa mencerminkan penganjur berjiwa 'Malaysia'.




"Saya sangat gembira...ini jiwa Malaysia yang sebenar di mana mereka yang pelbagai kaum ini dipilih (menerima sumbangan Deepavali) atas sebab keperluan mereka," jelas Khartar. 

Guan Eng anggap Bajet 2015 'indah khabar dari rupa'

LIM Guan Eng (tengah) menyempurnakan majlis menanam anak pokok teduhan specis Tecoma, sambil diperhatikan oleh dif kehormat lain di Taman Kimsar dekat Perai pada Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 
PERAI – Tawaran 10 peratus pinjaman tanpa faedah untuk mereka yang menyertai Skim Rumah Pertamaku sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini disifatkan bak 'indah khabar dari rupa' untuk rakyat terbanyak, termasuk  di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, tawaran itu secara logiknya sudah tentu sukar dinikmati memandangkan bank-bank masih mengamalkan syarat yang ketat ke atas pemohon pinjaman perumahan.

"Kalau pinjaman 90 peratus pun sangat sukar diluluskan oleh bank, bagaimana untuk mereka memohon 10 peratus pinjaman tanpa faedah ini (daripada Kerajaan Pusat)...peribahasa Melayu sebut ini 'indah khabar dari rupa'," tegas Guan Eng dalam satu sidang media, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cadangan Pengindahan Lanskap Taman Kimsar pada Sabtu lepas.

Menurut Guan Eng, Bajet 2015 sepatutnya mengembalikan semula amalan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (Developer Interest Bearing Scheme, DIBS) serta memperluaskan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) supaya pembeli kali pertama mampu memiliki rumah mampu milik antara harga RM72,500 hingga RM400,000.

Tambah Guan Eng, Bajet 2015 sewajarnya turut memperkenalkan Skim Milikan Bersama (Shared Ownership Scheme, SOS) sebagaimana yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri, demi memudahkan pembeli kali pertama perumahan awam dan rumah mampu milik rakyat.

"Bank Negara perlu mengembalikan semula skim-skim ini untuk pembeli kali pertama bagi membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri," tegas Guan Eng.

Difahamkan, DIBS dimansuhkan selepas diumamkan dalam Bajet 2014 oleh Kerajaan Pusat, serta turut disahkan dalam jawapan lisan menteri berwajib di Dewan Rakyat pada 16 Jun lepas.

Pinjaman SJKP yang diluluskan di seluruh negara pula untuk jaminan pinjaman rumah kos rendah (LC) dan kos sederhana rendah (LMC) adalah berjumlah RM180 juta sahaja, sungguhpun disyor RM3 bilion meliputi pembeli pertama untuk semua kategori perumahan.

Manakala, SOS pula adalah hartanah akan dimiliki secara bersama dengan kerajaan di mana pinjaman kerajaan akan diberi sehingga 30 peratus harga hartanah tanpa riba kepada golongan berpendapatan rendah.

Dengan pinjaman perumahan tanpa riba sebanyak 30 peratus daripada Kerajaan Negeri, pembeli rumah kos rendah hanya perlu meminjam 70 peratus nilai hartanah, sekaligus membolehkan lebih ramai layak mendapat kelulusan pinjaman bank.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu Bajet 2015 seakan langsung tidak meletakkan Pulau Pinang dalam arus pembangunan nasional, melainkan mengulangi rancangan pemajuan projek keretapi berkembar dari Ipoh ke Padang Besar sedia ada, yang akan melalui kawasan Butterworth di negeri ini.

"Tiada apa-apa untuk diulas kerana Pulau Pinang telah tidak mendapat apa-apa," kata Guan Eng kepada wartawan.

Majlis Pelancaran Cadangan Pengindahan Lanksap Taman Kimsar yang dirasmikan oleh Guan Eng itu turut disertai Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy, P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Jusni Ismail (Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah), Datuk Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) dan Kept. (B) Ir. Anuar Yahya (Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang).

Hadir sama, empat Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Tan Cheong Heng, M. Satees, P. David Marshel dan Omar Hassan, serta wakil Lion Club (penaja CSR)

Guan Eng dalam ucapannya memberitahu bahawa projek yang akan dijalankan secara berperingkat serta tertakluk pada penajaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut dianggarkan menelan kos pembinaan sebanyak RM467,134.

MIDA masih berminat potensi pelaburan PP, tanya Guan Eng kepada Menteri

LIM Guan Eng (kiri) menunjukkan data berwajib kepada wartawan mengenai inisatif InvestPenang dan MIDA yang dipetik daripada info rasmi agensi pelaburan pusat, sambil ditemani oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai (kanan) di sini pagi tadi. | Photo: Ahmad Adil Mohamad +BuletinMutiara Penang 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN
- Agensi Pusat, Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) seharusnya saling berkongsi maklumat secara telus dengan agensi negeri, InvestPenang mengenai potensi pelabur-pelabur asing baharu ke negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, MIDA dalam tempoh Januari hingga September tahun ini direkodkan merujuk dua pelabur asing baharu sahaja kepada InvestPenang, sedangkan, agensi negeri dalam tempoh sama direkodkan merujuk 13 pelabur asing baharu ke Pulau Pinang dengan agensi pusat berkenaan.

Justeru, Guan Eng menasihatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya tidak mempolitikkan isu pelaburan asing langsung (FDI) ke negeri, yang kononnya merudum kini.

"Saya tidak berniat untuk membuat serangan balas secara peribadi sebagaimana yang dilakukan oleh beliau (Mustapa) kerana isu pelaburan (FDI) lebih utama dilihat sebagai kepentingan negara.

"Kalau sesuatu (FDI) baik untuk negeri, akhirnya ia akan baik untuk Malaysia, (dan) kalau sesuatu baik untuk Malaysia, akhirnya ia akan baik untuk semua negeri di Malaysia.

"Saya pun tidak tahu mengapa bilangan pelabur asing berpotensi baharu yang dirujuk oleh MIDA kepada InvestPenang boleh begitu berkurangan.

"Sungguhpun bilangan pelaburan telah naik, tapi yang dirujuk oleh MIDA telah turun, adakah MIDA telah hilang minat ke atas Pulau Pinang," tanya Guan Eng ditujukan kepada Mustapa dan MIDA, di sini pada pagi tadi.

Berdasarkan rekod rasmi terkini agensi pusat tersebut pada 13 Oktober lepas, MIDA telah merujuk 26 pelabur asing kepada InvestPenang pada tahun 2011, diikuti, 2012 (24 pelabur), 2013 (14 pelabur) dan Januari hingga September 2014 (dua pelabur sahaja).

Rekod sama turut mendedahkan, InvestPenang telah merujuk 17 pelabur asing kepada MIDA pada tahun 2013, dan 13 pelabur baru dalam tempoh sama Januari hingga September tahun ini.

Sumber rasmi MIDA turut merekodkan FDI Pulau Pinang bagi tahun 2010 adalah sebanyak RM12.2 bilion, 2011 (RM9.1 bilion), 2012 (RM2.5 bilion) dan 2013 (RM3.9 bilion).

Terdahulu, Guan Eng mempertikai kewibawaan MIDA gara-gara merekodkan FDI negeri untuk sektor pengilangan sahaja yang berjumlah RM2.34 bilion, bukan semua sektor pelaburan di negeri ini.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri pada bulan Ogos lepas sahaja telahpun mengumumkan pelaburan RM1.05 bilion daripada Seagate ke negeri ini, tetapi, angka itu langsung tidak direkod oleh MIDA.

Kerajaan Negeri, katanya, pada tahun ini turut mengumumkan pelaksanaan Hub Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan (IT-BPO) dekat Bayan Lepas dan Penang International Technology Park (PITP) dekat Batu Kawan yang kedua-duanya bernilai pelaburan RM11.3 bilion, tetapi, angka itu tidak direkodkan secara rasmi oleh MIDA.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk pembinaan enam hotel baru di negeri ini, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM693 juta.

Bagaimanapun, rekod rasmi terkini MIDA pada 13 Oktober tahun ini mendedahkan FDI Pulau Pinang dalam tempoh bulan Januari hingga September lepas adalah sebanyak RM3.1 bilion sahaja.

Bajet 2015: Malaysia patut ikut dunia turunkan harga minyak - Guan Eng


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


PERAI - Harga RON95 dan diesel sepatutnya tidak dinaikkan 20 sen lagi memandangkan harga minyak peringkat dunia menurun rendah sehingga AS$90 setong.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa membahaskan Bajet 2015 yang baru dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Dalam tahun belakangan ini, harga minyak dunia turun paling rendah (iaitu) AS$90, satu dunia potong harga minyak (seperti) India potong 4 sen, United Kingdom potong 27 sen.

"Malaysia sepatutnya potong (turunkan harga minyak) antara 4 sen hingga 27 sen, ada potong tak...satu dunia turun (harga minyak), Malaysia boleh naik 20 sen," tanya Guan Eng semasa berucap pada Majlis Jamuan Malam Analisis Bajet di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy, Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong), Tony Puak Kiam Wee (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) dan Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Taiping) turut hadir sebagai penganalisis pada majlis tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kenaikan harga minyak tetap memberikan kesan berantai pada kos sara hidup rakyat, sungguhpun Kerajaan Pusat berdalih bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan ke atas bahan bakar tersebut.

Terdahulu, harga runcit terbaru seliter RON95 dan diesel mulai 3 Oktober lepas masing-masing naik menjadi RM2.30 dan RM2.20.



BERITA BERKAITAN:
Minyak Singapura jauh lebih murah jika dibeli dalam mata wang mereka berbanding harga minyak Malaysia jika dibeli dalam RM

Bajet 2015: PM mungkir janji beri BR1M RM1,200 - Guan Eng


LEBIH 1,500 hadirin mengikuti analisis Bajet 2015 oleh Lim Guan Eng di Dewan Serbaguna Taman Chai Leng, Perai pada malam tadi.
 
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI
- Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak wajar dinaikkan dari RM650 kepada RM900 memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas telahpun berjanji untuk menaikkan bantuan sumbangan tersebut kepada RM1,200.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ucapannya berkata, perbentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat baru-baru ini sekaligus menyerlahkan amalan Kerajaan Pusat memungkiri janji, serta mengkhianati harapan rakyat.

"Dia (Kerajaan Pusat) patut naik BR1M kepada RM1,200 seperti yang dia janjikan...ini (Bajet 2015) bukti dia sudah mungkir janji dan bohong rakyat Malaysia," ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Jamuan Malam Analisis Bajet 2015 di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy, Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong), Tony Puak Kiam Wee (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) dan Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Taiping) turut hadir sebagai penganalisis pada Majlis itu.

Majlis jamuan makan malam tersebut disertai lebih 1,500 hadiri, daripada kalangan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan sebagainya.

Terdahulu, Najib menjelang pilihan raya umum lepas berjanji untuk menaikkan BR1M kepada RM1,200 sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.

Bagaimanapun, Najib dalam satu kenyataan kepada Bernama pada 8 Februari lepas berdalih bahawa proses agihan BR1M dinaikkan dari semasa ke semasa dalam tempoh 5 tahun sehingga mencapai RM1,200. 
 
Najib sehingga kini turut memungkiri janji politik yang diumumkannya menjelang PRU13 lepas, iaitu membina 20,000 rumah mampu milik serta monorel di negeri ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus