31 October 2014

TKM II persoal wibawa Putrajaya urus lesen kolej swasta AUCMS

DR. ZAINUNDDIN Md. Wazir (depan, tengah) menjelaskan mengenai pelan pembangunan kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (kini bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, JPM) (depan, kanan) dalam satu majlis dahulu, yang turut disertai oleh ADUN Pulau Betong Sr. Mohamad Farid Saad di sini. | Foto: TheStar
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy menggesa Putrajaya memberi penjelasan mengenai pemberian lesen pendidikan kepada Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze (AUCMS) dekat Kepala Batas tanpa terlebih dahulu meneliti krisis kewangan yang dihadapi oleh kolej swasta tersebut.

P. Ramasamy
"(Pengasas merangkap Presiden AUCMS) Datuk Dr Zainuddin Md Wazir tiada di sini (tanah air), dia sudah pergi ke UK (United Kingdom) atas pelbagai tuduhan.

"Kolej ini telah mengalami krisis kewangan dan tutup sementara atau selama-lamanya, kita (Kerajaan Negeri) belum pasti.

"Bagaimana Kerajaan Pusat atau Kementerian (Pengajian Tinggi) boleh meluluskan lesen untuk kolej ini dan kemudian bagi lesen untuk menjalankan program (pengajian) perubatan tanpa kolej ini memberi bukti bahawa mereka adalah kukuh dari segi kewangan," tanya Ramasamy pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini, semalam.

Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi mendedahkan, kira-kira 160 dari keseluruhan 400 pelajar perubatan di kolej swasta tersebut telahpun dipindahkan ke kolej-kolej swasta lain, manakala, baki 240 mahasiswa lain masih diabai kursus pengajian mereka sehingga kini.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, lebih 100 kakitangan kolej swasta tersebut termasuk pensyarah perubatan yang rata-rata warganegara Pakistan masih tidak dibayar gaji berwajib oleh pentadbiran AUCMS.

Dr. Zainuddin Md. Wazir
Dalam perkembangan berkaitan, sumber portal MyMassa melaporkan, Zainuddin telah melarikan diri ke UK dan didakwa menjalankan aktiviti palaburan hartanah di sana menggunakan dana kewangan AUCMS, termasuk yuran 250 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Sebelum mengasaskan serta memimpin AUCMS pada tahun 2002, Zainuddin merupakan doktor bahagian pembedahan di Hospital Pulau Pinang di sini.

Perkembangan terbaru itu sekaligus mempertikai wibawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memulihara kepercayaan awam terhadap institusi pengajian tinggi swasta di tanah air ini.

Kafe Sains Pulau Pinang terbesar akan dibina di Wisma Yeap Chor Ee

OOI Peng Ee (tengah) menunjukkan demontrasi robotik pintar hasilan PCC kepada wartawan sambil diiringi oleh Shidah Ahmad (kanan) di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Wisma Yeap Chor Ee yang dianggap sebagai salah satu ikon bandar warisan George Town akan dipajak selama 15 tahun kepada Kluster Sains Pulau Pinang (PCC) untuk dijadikan Kafe Sains Pulau Pinang terbesar di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata inisiatif terbaru itu diumumkan serentak dengan promosi Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang yang dijadualkan berlangsung 15 hingga 16 November depan di Pusat Pameran Antarabangsa Pulau Pinang (sPICE) dekat Bayan Lepas.

"Pusat ini akan berfungsi sebagai ibu pejabat dan pusat tumpuan untuk Kluster Sains Pulau Pinang untuk memberikan yang terbaik untuk generasi muda Malaysia bagi mengembangkan inspirasi serta minat inovatif mereka dalam bidang sains," ujar Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam kepada wartawan di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Sumber Manusia dan Sains, Teknologi & Inovasi turut menyertai majlis tersebut.

Mereka menyaksikan majlis tandatangan sub-pajakan antara Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif PCC, Ooi Peng Ee, serta Naib Presiden merangkap Pengurus Besar Keysight Technologies, Shidah Ahmad selaku peneraju utama Kafe Sains Pulau Pinang.

Pemegang Amanah Lembaga Amal dan Wakaf Yeap Chor Ee, Datuk Seri Stephen Yeap, Friiscor Ho (Pengarah Kejuruteraan Motorola), Datuk Yoon Leong Chon (Pengarah Urusan Bizwise Sdn. Bhd.) dan Chang Wing Mow (Ketua Pegawai Komunikasi PDC) turut menyaksikan majlis.

Difahamkan, PDC telah memajak tingkat bawah Wisma Yeap Chor Ee berkeluasan 12.921 kaki persegi sahaja kepada PCC dengan tidak dikenakan bayaran untuk 10 tahun pertama, manakala, baki lima tahun berikutnya dikenakan sewa sebanyak RM1 untuk sekaki persegi.

Kafe Sains Pulau Pinang yang bakal dimajukan tersebut terdiri oleh bengkel, ruang pembelajaran kendiri, pustaka makalah sains kontemprari, gerai alatan sains kanak-kanak, ruang pemeran dan forum sains, ruang kafe, ruang cipta inovasi dan sebagainya.

Guan Eng memberitahu, kos operasi Kafe Sains Pulau Pinang sebahagian besarnya dibiayai oleh pihak swasta serta sumbangan beberapa pihak, seperti SPA; B Braun, Intel, Perniagaan Wise, Dreamcatcher, Exabytes, Motorola, Minicircuits dan National Instruments.

Kerajaan Negeri melalui PDC pada Jun lepas menandatangani satu perjanjian sub-pajakan selama 30 tahun Wisma Yeap Chor Ee daripada Wawasan Open University Sdn. Bhd., serta memperuntukan RM5 juta untuk untuk memulihara bangunan warisan itu.

Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan pusat pembangunan multimedia kreatif yang dikenali sebagai Creative Animation Triggers (CAT) di bangunan warisan berkenaan.

PCC yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2009 bagi menghimpunkan ahli akademik serta peneraju industri pembuatan diberi tanggungjawab untuk menghidupkan semula potensi bakat Pulau Pinang dalam bidang sains, teknologi inovatif.

Dalam tempoh lima tahun ini, lebih 51 buah sekolah di negara ini berjaya dihimpunkan untuk mendapat manfaat daripada insiatif PCC, termasuk dalam bidang inovasi robotik.

Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang merupakan antara program PCC yang menerima kunjungan kira-kira 50,000 tiap-tiap tahun penganjuran, sekaligus memangkin hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Kafe Sains Pulau Pinang di negeri ini kini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus