03 November 2014

MP syor hospital baru di Batu Kawan

P. Kasthuriraani (bawah, sembilan dari kiri) dan T. Jayabalan (bawah, 10 dari kiri) bersama-sama pasukan penganjur Kem Kesihatan Peringkat Parlimen Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani berharap Putrajaya mempertimbang syor memajukan sebuah lagi hospital kerajaan di Parlimen Batu Kawan memandangkan infrastuktur Hospital Sungai Bakap yang sedia ada di sini tidak mampu lagi menampung lambakan pesakit yang kian ramai.

Katanya, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya sendiri dalam satu kenyataan sebelum ini pernah mengakui realiti lambakan pesakit di hospital  yang menjadi tumpuan komuniti dari Daerah Seberang Perai Selatan tersebut.

"Dr. Hilmi sendiri mengaku pernah bekerja di sini (Hospital Sungai Bakap) dan tahu keadaan sebenar di sini.

"Maka, saya harap Kerajaan Pusat boleh pertimbang untuk bina sebuah hospital di atas tanah (berkeluasan) 35 ekar yang dicadangkan di Batu Kawan.

"(Ini) kerana, bandar-bandar baru khususnya di kawasan Parlimen Batu Kawan sendiri kian berkembang pesat," ujar Kasthuriraani kepada wartawan, selepas merasmikan Kem Kesihatan Peringkat Parlimen Batu Kawan di Taman Chai Leng di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dr. T. Jayabalan turut menyertai program komuniti tersebut,

Dalam ucapannya, Kasthuriraani turut memuji penganjur bersama, Kolej Pergigian Antrabangsa Pulau Pinang (PIDC) kerana giat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.

"PIDC adalah contoh terbaik, menghimpunkan bakat berkualiti dan diiktiraf, serta kehadiran mereka dalam program CSR bersama-sama komuniti seperti hari ini cukup dirasai," ujar Kasthuriraani lagi, sambil merakamkan penghargaan kepada sukarelawan daripada penuntut kolej berkenaan.

Lebih 100 peserta, rata-rata warga emas direkodkan menyertai Kem Kesihatan tersebut.

Lima terima pampasan MPSP

S. Basudevan (duduk atas kerusi roda) menerima cek ex-gracia berjumlah RM37,472.15 daripada Maimunah Mohd. Sharif  (tiga dari kanan) sambil disaksikan oleh beberapa pemimpin MPSP lain di sini baru-baru ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Lima kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang pernah mengalami kemalangan semasa menjalankan tugas hingga mengakibatkan hilang upaya kekal menerima pampasan berwajib baru-baru ini.

Mereka, S. Basudevan menerima pampasan sebanyak RM37,472.15, Muhamad Alif Yusoh (RM31,797.41), Abdul Halim Mat (RM13,448.03), Mohd. Hazli Harun (RM5,555.99) dan Azmezi Yusoff (RM5,311.88).

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif berkata, pemberian pampasan itu berdasarkan kelulusan ketetapan Mesyuarat Penuh pada 30 Jun 2012 yang meluluskan cadangan bayaran Skim Ex-Gracia Bencana Kerja bagi kakitangan majlis berkuatkuasa pada 1 Julai 2011.

"Bagaimanapun, tarikh pembayaran mula dibuat pada 1 Januari 2012...permohonan telah diterima daripada lima kakitangan majlis yang mengalami kemalangan atau bencana semasa menjalankan tugas rasmi.

"Pampasan atau ex-gracia ini diberikan setelah mendapati mereka yang berkenaan mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan dalam tugas rasmi," ujar Maimunah kepada wartawan di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta tiga Ahli Majlis lain, Tan Cheong Heng, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Kaswan Kassim turut menyertai majlis pemberian sumbangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Maimunah pada bulan Ogos lepas turut menyerahkan RM25,631.62 pampasan kepada balu Allahyarham Mohamad Fauzi Hasan, yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa menjalankan tugas rasmi majlis.

Sebanyak RM100,000 diperuntukan dalam Bajet MPSP 2014 untuk tujuan pampasan atau ex-gracia kepada kakitangan majlis yang layak.

Pameran solo Abdul Rahman Rahim bawa kelainan di DUN P.Pinang

LAW Choo Kiang (dua dari kiri) saling berinteraksi dengan Abdul Rahman Rahim (empat dari kiri) dan Ketua Menteri (tiga dari kiri), sambil diperhati oleh Lee Khai Loon (paling kiri) dan Maktar Shapee (paling kiri) di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sekali lagi dipilih sebagai tapak pameran solo oleh pelukis catan minyak tersohor, Datuk Abdul Rahman Rahim baru-baru ini, selepas kejayaan pameran pertama dulu yang menampilkan karya-karya saudara Chong Hon Fatt yang bertemakan ‘Jambatan Kedua Pulau Pinang’. 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya memuji insiatif Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang kerana membawa sedikit kelainan di institusi yang lazim menjadi tempat mengubal undang-undang negeri tersebut.

"Pameran Solo Yang Berbahagia Datuk Abdul Rahman Rahim ini merupakan satu lagi bukti betapa Kerajaan Negeri komited dalam menghargai karya seni anak tempatan tanpa mengira garis kaum, politik mahu pun agama.

"Inisiatif Datuk Law ini menganjurkan pameran ini harus dipuji juga...bertepatan dengan misi Kerajaan Negeri untuk 'menjambatankan' rakyat dengan para pemimpin negeri," ujar Guan Eng semasa merasmikan Pameran Solo Yang Berbahagia Dato’ Abdul Rahman Rahim, bertemakan ‘Journey of a Travel Painter: Landscape Inspiration’ di sini baru-baru ini.

Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Maktar Shapee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon turut menyertai majlis perasmian pameran selama sembilan hari bermula pada 18 hingga 26 Oktober tersebut.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berharap, penganjuran pameran solo tersebut dapat menggamit lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke negeri ini.

Abdul Rahman merupakan anak jati Pulau Pinang yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam serta pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang kesenian di Universiti Malaya, seterusnya ke Canberra School of Art, Australia.

Dengan kerjayanya sebagai seorang diplomat, Abdul Rahman berpeluang merantau ke pelbagai negara selama 30 tahun untuk mengembangkan ilham serta menghasilkan karya yang bertemakan lanskap.

Pada tahun 1997, lukisan berjudul 'Datai-Langkawi' merupakan antara karya terbaik Abdul Rahman hingga memenangi anugerah dalam pertandingan kesenian peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, dengan kerjasama Galeri Senilukis Negara.

Manfaatkan dewan JKKK demi kuasakan komuniti – ADUN Sbrg. Jaya

DR. Afif Bahardin (berdiri) meramahi anak-anak komuniti setempat pada majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat KADUN Seberang Jaya di sini, semalam. | Foto: Ahmad Adil Mohamad @BuletinMutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berharap kemudahan infrastruktur sedia ada di sini seperti dewan serbaguna untuk memperkuasakan komuniti setempat.

Exco Pertanian & Industri Asas Kecil, Pembangunan Desa dan Kesihatan itu berkata demikian pada Majlis Hari Terbuka Deepavali Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya.

"Dewan Serbaguna JKKK (Jawatankasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Seri Tenggeri ini telahpun kita ambil alih pengurusannya, (maka) saya harap dewan ini dapat digunakan semaksimum mungkin untuk program komuniti," ujar Dr. Afif di depan lebih 100 komuniti India di sini, semalam. 

Beliau turut meminta JKKK berwajib supaya mengenakan kadar sewa dewan paling rendah supaya tidak membebankan mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengadakan kenduri kendara atau program komuniti di sini..

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Afif turut menyeru semua pihak supaya membuat persiapan berwajib untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dalam perbicaraan kes Fitnah Liwat II di Mahkamah Rayuan Putrajaya kini, yang membabitkan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Dalam laporan perubatan, dia (Mohd. Saiful Bukhari Azlan) mengaku kena (liwat) selama 30 minit, masuk dalam mahkamah, dia kata lima minit sahaja (diliwat).

"Masuk mahkamah, dia (Mohd. Saifil Bukhari) pernah yang dia kena paksa (diliwat), tetapi, kenyataannya kepada pendakwaan dia boleh kata rela sama rela.

"Di mana-mana mahkamah dalam dunia, kes seperti ini sudah lama dibuang dalam tong sampah.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim kena (difitnah meliwat Mohd. Saiful Bukhari) kerana dia bercakap di pihak rakyat (seperti) bantah kenaikan 20 sen harga minyak dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) di Parlimen untuk kita semua," tegas Dr. Afif.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus