10 November 2014

ANALISIS BAJET 2015 PP: Jika 79 PASTI didaftar sebagai TADIS, semua gurunya dapat bonus RM200 Disember ini

KETUA Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng semasa membentangkan Bajet 2015 di DUN Pulau Pinang pada Jumaat lepas antara lain menyebut:

58. Sama seperti tahun lepas, di samping pejabat awam, pemberian bonus sebanyak RM300 seorang juga akan diberi kepada guru-guru dan penyelia KAFA, bonus pada kadar RM300 seorang juga akan diberikan kepada guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Sekolah Cina Persendirian, manakala guru Sekolah Tahfiz, Sekolah Pondok dan TADIS (Tadika Islam) akan mendapat pemberian bonus sebanyak RM200 seorang. Pemberian bonus pada Disember 2014 dijangka menelan belanja sebanyak RM5 juta.

ULASAN
Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum(SRIBU) yang pernah diuruskan oleh Al-Fadhil Ustaz Yusni Mat Piah adalah antara contoh SAR yang terus mendapat manfaat bantuan daripada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri.

Kerajaan Negeri membantu SRIBU bukan disebabkan Yusni adalah Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, sebaliknya kerana Sekolah Agama Rakyat (SAR) didaftar di bawah Kerajaan Negeri.

Contoh 1:
Peruntukkan SAR bagi tahun 2008 & 2009 untuk SAR masing-masing RM1.5 juta setahun, tetapi dinaikkan ke angka RM1.75 juta tiap-tiap tahun hingga 2014.

Daripada peruntukan tahunan 2010 umpamanya tersebut, RM380,950 diberikan kepada 102 sekolah rendah agama dan RM25,000.

Contoh 2:
Peruntukan untuk tahun 2004 kepada huffaz atau para penghafal Al-Quran bernilai pada tahun 2008 berjumlah RM30,900, diikuti, RM65,000 (2009), RM90,000 (2010), RM130,000 (2011), RM175,000 (2012), dan RM202,500 (2013).

Contoh 3:
Sebagaimana diumum dalam Bajet 2015, semua guru agama berdaftar di SRIBU umumnya akan menikmati bonus RM200 lebih awal pada Disember ini kerana SAR berkenaan didaftarkan di bawah Kerajaan Negeri.

Saya bertanya, kenapa guru pasti di semua kira-kira 79 PASTI di negeri ini seakan terabai daripada menikmati bonus RM200 seorang sebagaimana guru-guru agama di SRIBU?

Takkan Yusni yang juga pengurus PASTI Pulau Pinang tidak mendaftar 79 pra sekolah terbabit di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang seperti SRIBU untuk mendapatkan bonus Bajet 2014 kali ini?

ADUN PAS bagi kawasan Pematang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man atas kedudukannya sebagai Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pun boleh memberi penjelasan mengenai kesukaran untuk membawa PASTI berdaftar sebagai TADIS di bawah Kerajaan Negeri kini.

PAS tak dapat apa-apa 'manfaat pencapaian' di sebalik pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang?

Saya mohon menyokong!

ZAINULFAQAR YAACOB
Timb. Pengerusi II
PasMa P.Pinang

Exco akui tak tahu dua kes gondol terbaru seperti di Bkt. Gambir

SHARIFUL Azhar Othman (kanan) menunjukkan beberapa  bukti  bergambar
kepada Chow Kon Yeow (kiri) mengenai dua kes penggondolan terbaru seperti
di Bukit Gambir yang dirakam pada 13 Oktober lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Shafirul Azhar Othman sekali lagi mendedahkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengenai dua aktiviti penggondolan bukit yang dikatakan kes terbaru, sama seperti pendedahannya sebelum ini dekat Bukit Gambir.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dalam kenyataannya berkata, beliau sendiri tidak tahu mengenai dua kes terbaru tersebut.

Bagaimanapun, beliau dalam sidang DUN tadi menjelaskan bahawa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telahpun menyiasat serta mengenal pihak yang terbabit menggondolkan kawasan Bukit Gambir sebelum ini, lalu, mengenakan denda berjumlah RM30,000.

"Saya sendiri tidak tahu bahawa ada dua lagi kawasan di bukit yang sama baru digondolkan, tetapi, saya akan mengarahkan MPPP untuk menyiasat dua kes yang didedahkan oleh ADUN Bertam," ujar Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota Kota pada sedang media bersama Shariful Azhar di sini, petang tadi.

Pada Julai tahun lepas, Kon Yeow dalam sesi persidangan DUN mendedahkan bahawa seorang ahli korporat bergegar 'Tan Sri' terlibat dalam aktiviti penggondolan Bukit Gambir terdahulu.

Bagaimanapun, beliau menafikan 'Tan Sri' berkenaan dirujuk kepada mahkamah, sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar harian berbahasa Cina semasa itu.

Bonus setengah bulan gaji diberi lebih awal di P.Pinang, Disember ini

LIM Guan Eng (tengah) diiring oleh Exco-Exco Kerajaan Negeri serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mokhtar Mohd. Jait (paling kanan) di lobi DUN Pulau Pinang, selepas selesai perbentangan Bajet 2015 pada Jumaat lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri mengumumkan bonus setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM700 yang sepatutnya diberikan kepada kakitangan Kerajaan Negeri mulai tahun depan akan dibayar lebih awal pada bulan Disember depan, bersekali dengan bonus serupa yang telahpun diluluskan dalam Bajet 2014.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pemberian bonus lebih awal diharap dapat menampung keperluan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun seperti kelengkapan sesi persekolahan anak-anak dan sebagainya.

“(Kerajaan Negeri) memutuskan untuk membayar bonus pada bulan Disember 2014 dan bukan pada Januari 2015 sepertimana keputusan Kerajaan Persekutuan.

“Keseluruhannya, pemberian bonus Kerajaan Negeri kepada perkhidmatan awam dalam tahun 2014 ialah bersamaan satu bulan gaji, selepas setengah bulan duit raya (bonus telahpun) diberikan,” ujar Guan Eng semasa membentangkan Bajet 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini pada Jumaat lepas.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, bonus RM300 turut akan diberikan kepada guru-guru dan penyelia Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) pada bulan Disember ini.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, bonus RM200 turut diberikan kepada setiap guru sekolah tahfiz, sekolah pondok dan Tadika Islam (TADIS).

Menurut Guan Eng, pemberian bonus keseluruhannya menelan belanja RM5 juta.

Guan Eng hasrat bawa sistem sekolah vokasional Jerman ke P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri berhasrat untuk membawa sistem pendidikan vokasional dari Jerman ke negeri ini, dengan konsep sistem persekolahan didirikan dalam kilang demi melahirkan pelatih mahir.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa membentangkan Bajet 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, Jumaat lepas.

"Perbincangan sedang dijalankan dan kalau ini berjaya, bukan sahaja ia adalah kali pertama di Malaysia, tetapi, akan membuka suatu ruang dan dunia baru kepada anak negeri Pulau Pinang," kata Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga bercadang Penang Science Cafe (PSC), Penang Tech Dome (PTD) dan Penang Learning Center (PLC) yang menawarkan STEM (Science Technology English Maths) demi meningkatkan mutu pengajian subjek-subjek berkenaan.

"PISA (Programme for International Students Assessment) menilai penguasaan sains dan matematik pelajar Malaysia berumur 15 tahun (yang) bukan sahaja tiga tahun ketinggalan dengan negara maju seperti Singapura dan Korea Selatan, tetapi juga lebih mundur daripada Thailand dan Vietnam," ujar Guan Eng lagi.

Dalam perkembangan sama, katanya, Kerajaan Negeri membina Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Kampung Buah Pala dengan kos RM5 juta dibiayai oleh ECM-Libra Faoundation untuk pengajian bersepadu ESTEEM (Engagement Teaching, Science, Technology, Engineering, English dan Mathematics).  

Faqar sah jadi panelis forum "PasMa mengukuh PAS dalam PR?" malam 15 Nov. di KL

ZAINULFAQAR Yaacob baru-baru ini ada merakamkan gambar kenangan dengan seni arca besi terunggul berhampiran Masjid Melayu Lebuh Acheh di George Town, yang dihasilkan pelukis terkenal dunia Lithuania Ernest Zacharevic.

TAZKIRAH DHUHA
===============

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Kemudian, sesiapa yang membantahmu (Wahai Muhammad s.a.w) mengenainya sesudah kamu mendapat pengetahuan yang besar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah bersama-sama kita menyeru anak-anak kami dan anak-anak kamu dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu dan (hatta) diri kami dan diri kamu; kemudian kita memohon kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh serta kita meminta laknat (daripada) Allah kepada orang-orang yang berdusta." .
(Surah Ali Iimran: 61)

===============
ASBAB AN-NUZUL
===============

13 Ahli Kitab dari Najran yang diketuai Al-'Akib atau lebih terkenal dengan panggilan Abd Al-Masih datang ke Madinah Al-Munawwarah untuk berdialog mengenai kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dulu.

Mereka mengaku Nabi Isa A.S sebagai "Anak Tuhan" atas dalih bahawa Isa dilahirkan tanpa bapa, demi merendah-rendahkan martabat Nabi Muhammad S.A.W di depan masyarakat Madinah.

Rasulullah S.A.W memberitahu bahawa Nabi Adam A.S. bukan sahaja tidak mempunyai bapa bahkan ibu, sekaligus menolak hujah 13 Ahli Kitab berkenaan.

Ahli Kitab berkenaan tidak berpuas hati dan mahu meneruskan dialog itu dengan menyebut bahawa Isa bin Maryam adalah 'Anak Tuhan' dengan alasan Isa boleh menghidupkan orang mati.

Rasulullah S.A.W. memberitahu bahawa menghidupkan orang mati adalah salah satu mukjizat anugerah Allah kepada Nabi Isa A.S.

Rasulullah S.A.W berhujah lagi bahawa Nabi Musa pun mempunyai mukjizat yang hebat seperti Nabi Isa A.S, iaitu tongkatnya bertukar menjadi ular yang besar lalu memakan ular-ular para ahli sihir di istana Firuan suatu ketika dahulu.

13 Ahli Kitab dari Najran membantah-bantah mahu berdialog dengan Rasulullah S.A.W. sungguhpun mereka tidak mempunyai hujah, sehingga turunlah satu wahyu Allah seperti di atas.

Selebihnya, boleh rujuk kitab Tafsir Ibn Kathir, jilid 2, halaman 50.

==============
ISYKAL & 'IBRAH
==============
Kaedah usul tafsir ada menyebut, "pengajaran diambil pada lafaz umum ayat, tidaklah (terbatas) pada sebab penurunan(nya)."

Rasulullah SAW atas kedudukannya sebagai Ketua Negara Moden Madinah Al-Munawwarah boleh menggunakan undang-undang, tetapi berdialog secara rasional di bawah pimpinan wahyu Allah dengan 13 Ahli Kitab berkenaan.

Rasulullah SAW ajar pertahan Islam setimpal dengan kaedah serangan mereka yang cemburu dengan dakwah Islamiah.

"Maka seranglah mereka sebagaimana mereka menyerang kamu..."

[Surah Al-Baqarah: 194]

Bekas Presiden PAS, arwah Datuk Fadhil Mohd. Noor pernah nasihat, "keset kawan keset lah" apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad guna undang-undang ke atas pemimpin PAS serta rampas kaset hujah penerangan parti masa depan itu.

Sekarang pun, ada banyak pemimpin PAS seperti Tuan Haji Mohamad Sabu (Timbalan Presiden) Datuk Haji Husam Musa, Khalid Samad (AJK Pusat), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (AJK Pusat), Hanipa Maidin (AJK Pusat), Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi (Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah), Dr Hatta Ramli (AJK Pusat) dan Zulhazmi Mohd Shariff (bekas calon Ketua Pemuda) digelar 'Jebon' terutama susulan kelahiran PasMa yang kian mewarnai landskap politik tanah air.

Gelaran 'Jebon' yang disemarakkan oleh cybertrooper pro Umno tertentu kerana mereka tidak berupaya berhujah dengan semua pemimpin PAS seperti nama di atas dalam mengukuhkan kepemimpinan parti bersama-sama Pakatan Rakyat.

Atas maksud itu, saya pun terpanggil untuk menyertai sesi dialog dan hujah dalam satu forum malam hujung minggu ini demi mempertahan usaha tajdid dalam PAS, yang dilakukan oleh beberapa pemimpin parti serta PasMa dalam lapangan ijtihad masing-masing.

===============
FORUM & DIALOG
===============

Forum: Pasma mengunguhkan Pas dalam PR?

Tarikh: 15 November 2014 (Sabtu)

Masa: 9.00 malam hingga 11.00 malam

Lokasi: Anjung Amjal Bangsar KL

Penganjur: Prime Care Malaysia

ZAINULFAQAR YAACOB
Timbalan Pengerusi II
PasMa P.Pinang

+60194241583
faqar.blogspot.com

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus