20 November 2014

"Bahasa Hokkien Bahasa Dakwah" - Azran Chan

AZRAN Chan selepas interbiu pada lewat petang tadi di perkarangan Restoran Sup Hamid dekat George Town, sedang menunjukkan modul MyHOME Kuliah yang giat digerakkannya dari satu rumah ke satu rumah saudara baru secara percuma. Semoga Allah membeli jiwanya dengan mahar rahmat-Nya.

SESETENGAH kita percaya sekolah aliran agama Islam boleh menjamin keimanan anak-anak kita.

Bagi Chan Heng Chong, 46, diburu hidayah Allah semasa belajar sekolah mubaligh St. Xavier's Institution.

"Saya suka ikut kelas Ustaz Saadan kerana dalam kelas kelakar menceritakan tujuan kita dijadikan Tuhan.

"Sebelum memeluk Islam lagi, saya sudah ikut usrah, (iaitu) bincang mengenai kepentingan kasih sayang, buat baik, berkawan," ujar Heng Chong kepada fotojurnalis Zainulfaqar Yaacob.

Heng Chong atau nama Islamnya, Muhammad Azran Chan Abdullah berkata, oleh kerana beliau semasa isu masih di bawah umur, beliau mengambil keputusan untuk merahsiakan keimanan daripada khalayak serta keluarga.

"Isu borang yang disediakan jabatan Agama Islam itu adalah suatu kesempurnaan dalam syahadah sahaja, dan tidak salah pun untuk melafazkan syahadah secara sembunyi-sembunyi.

"Banyak Sahabat Rasulullah SAW membunyikan syahadah mereka pada zaman awal Islam dahulu atas macam-macam sebab mudarat, saya menyembunyikan syahadah saya masa tahun 1985 dulu kerana saya masih bawah umur," ujar beliau yang lebih selesa dipanggil Bro Azran Chan.

Selepas tamat pengajian tingkatan lima, Azran Chan mendalami ilmu agama secara akademik di Maahad Tarbiah Islamiah Batu 8 Trong, Perak, seterusnya di Madrasah Al-Masriah As-Tsanawiah dekat Bukit Mertajam.

ANAK ANGKAT
Selepas umur genap 18 tahun, saya sekali lagi melafazkan syahadah secara rasmi lengkap dengan pendaftaran di Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP).

"Sebenarnya elok mengulangi syahadah selalu kerana dalam solat pun kita mengulangi lafaz dua kalimah syahadah.

"Jangan perkecil majlis syahadah mana-mana saudara baru kononnya cuba nak beberapa kali lagi lafaz syahadah dengan satu-satu NGO dakwah," ujar Azran Chan.

Katanya lagi, Ustaz Saadan bukan sahaja Naqib di St. Xavier's Institution, bahkan di kediaman Pak Leh atau nama sebenarnya Haji Idris Abdul Rahman.

"Ustaz Saadan dalam usrah di rumah Pak Leh lebih serius, tekun meniupkan semangat faham dakwah (fiqh ad-dakwah)," ujar Azran Chan lagi.

Pak Leh bukan sebarang orang, katanya.

Pak Leh, adalah tulang belakang utama NGO Jami'atul Da'watil Islamiah, merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS 'Pulau'.

"Pak Leh ambil saya saya jadi anak angkat dia, dia jaga saya lebih daripada dia jaga anaknya sendiri (berjumlah) 11 orang.

"Di rumah Pak Leh ini lah, tempat (Datuk) Mahfuz Omar dan Haji Zolkifly Md Lazim (Penasihat myIKUT) bergelumang dengan kerja dakwah, belajar ceramah politik dan gerak kerja parti (PAS)," jelas Azran Chan lagi.

Di bahagian Pulau, katanya, Pak Leh merupakan seorang tokoh PAS yang hebat, seperti seorang lagi yang dikenali sebagai Ibnu Hasyim.

WAKAF DIRI
Azran Chan memberitahu, macam-macam kerja dilakukan dalam tempoh 30 tahun bergelar Muslim.

Tetapi, katanya, bertugas sebagai aktivis dakwah adalah pekerjaan utama dan dianggap paling mulia di sanubari beliau.

Kini, beliau diberi taklifan sebagai 'pemudah cara' untuk kes-kes melibatkan saudara baru, di bawah kelolaan JAINPP.

Azran Chan juga merupakan prestasi aktif dalam NGO dakwah Hidayah Center Malaysia Pulau Pinang dan terbaru menyertai NGO dakwah IKUT Mewakili Suara 10,000 Revert Pulau Pinang (myIKUT).

Presiden myIKUT Nur Azley Stanley yang baru menerima Anugerah Saudara Baru Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini merupakan antara kenalannya.

MY HOME KULIAH
Azran Chan memberitahu, di bawah bimbingan Zolkifly Md Lazim, beliau menguruskan program myHome Kuliah.

myHome Kuliah ini, katanya, inisiatif myIKUT khususnya untuk pendidikan asas fardu ain kepada saudara-saudara baru secara percuma.

"Ini, projek ziarah rumah ke rumah saudara baru, serta saudara baru yang sibuk supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan asas fardu ain.

"In sha Allah, myIKUT sedang mengumpulkan tenaga pengajar profesional daripada kalangan Ustaz Ustazah JQAF yang bersedia untuk ikut program kita secara sukarela dan percuma juga, kerana permintaan ziarah kian kerap belakangan ini," jelas Azran Chan.

"BAHASA HOKKIEN BAHASA DAKWAH"
Selain itu, Azran Chan memberitahu, beliau sendiri baru membuka kelas belajar bahasa Cina, khususnya Hokkien.

Katanya, sesiapapun boleh mengikuti kelas belajar bahasa Hokkien di Kompleks Hidayah Center Malaysia Pulau Pinang dekat Taman Sungai Nibong, Bayan Baru pada hari Isnin dan Selasa tiap-tiap minggu, dengan yuran serendah RM100.

Tambahnya lagi, beliau dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi kelas belajar bahasa Hokkien di Seberang Jaya pada Rabu dan Khamis tiap-tiap mungkin kelak, memandangkan permintaan secara online memudahkan.

"Orang Islam akan lebih ramai di Pulau Pinang jika aktiviti dakwah khusus untuk bukan Islam digerakkan secara bersama.

"Orang Cina Pulau Pinang banyak tahu bahasa Hokkien, belajarlah bahasa ini supaya kita boleh tanya mereka : Apa yang orang Cina ingin tahu tentang Islam? Apa yang orang Islam begitu minat dengan orang Cina? dalam bahasa Hokkien," jelas Azran Chan.

Bahasa Hokkien adalah 'bahasa dakwah', seloroh Azran Chan sambil tersenyum.

Selebriti dakwah ini boleh dihubungi menerusi WhatsApp 0164578797 atau facebook Azran Chan Ori.

Dakwah! Kasih sayang!

Dakwah! Kenal Allah!

Dakwah! Semua saudara kita!

Itu yang basah di mulut suadara baru ini sepanjang interbiu pada lewat petang tadi.

PJ PAS Perak bimbang isu jatuhkan Abdul Hadi

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Desas-desus di dunia maya mengenai usaha menyingkirkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden melalui muktamar depan turut membimbangkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Razman dalam tulisannya di blog peribadi bagaimanapun tidak pula menyebut peribadi atau kumpulan yang dimaksudkan cuba menjatuhkan Abdul Hadi dalam parti.

"Kenapa terlalu menggilakan jawatan tersebut sehingga merancang untuk menjatuhkan Presiden yang sedia ada," ujar Razman di blognya, petang tadi.

Menurut beliau, kepemimpinan Abdul Hadi yang kian dipersoal banyak pihak sebenarnya tidaklah sampai bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar.

Bahkan, katanya lagi, konsep ketaatan di bawah kepemimpinan Abdul Hadi turut jelas berbeza dengan konsep 'wilayatul fakeh' (iaitu amalan pentadbiran politik dalam mazhab Syiah di Negara Republik Islam Iran), yang didakwanya sesat.

Kegusaran Razman ini susulan NGO mesra PAS bernama Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) berjaya menubuhkan sayap baru peringkat Negeri Perak di Ipoh beberapa minggu lepas, demi mengukuhkan posisi politik PAS dengan Pakatan Rakyat.

Keluh kesah Razman ini juga diluahkan ketika banyak anggota parti serta pemimpin tentu Pakatan Rakyat mempersoal komitmen Abdul Hadi yang digambarkan kerap tidak hadir mesyuarat Pakatan Rakyat, serta beberapa lalu membelakangkan keputusan bersama pakatan pembangkang tersebut.

Pun begitu, dalih Abdul Hadi kononnya uzur hingga tidak dapat menyertai beberapa mesyuarat penting Pakatan Rakyat dipertahan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketegasan Abdul Hadi menyebut beliau lebih berhak untuk membuat keputusan sama ada untuk hadir atau tidak mesyuarat Pakatan Rakyat akhirnya menggamit respons dingin daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Gobind Singh Deo (MP Puchong- DAP).

Manakala, Pemimpin Utama Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sendiri akan memujuk Abdul Hadi untuk mesyuarat bersama selanjutnya.

Belumpun isu ini reda, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan berasingan berkata DAP boleh meninggalkan Pakatan Rakyat jika tidak bersedia untuk menghormati kekuatan serta kelemahan parti Islam berkenaan.

Razman pula melahirkan rasa bimbang mengenai usaha menjatuhkan Abdul Hadi dari kerusi Presiden PAS pada musim saingan Muktamar depan.

RM90,000 kos bina jalan alternatif Bukit Kukus dibiayai PLB

WONG Hon Wei (enam dari kiri) menyaksikan Ong Choo Hoon (tujuh dari kiri) menyerahkan cek baki bantuan berjumlah RM54,000 kepada Chin Leong Kong (empat dari kiri) di sini, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kumpulan PLB bersetuju membiayai keseluruhan kos pembinaan jalan altenatif ke puncak Bukit Kukus dekat Paya Terubong yang berjumlah RM90,000 demi kepentingan penduduk setempat, susulan bencana tanah runtuh pada 9 September lepas di sini.

Wong Hon Wei selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian selepas mengadakan perbincangan ringkas dengan wakil penduduk dan wakil PLB.

"Ini bukan pampasan, tetapi sejenis bantuan bencana tanah runtuh daripada PLB kerana membabitkan tanah PLB, serta menyukarkan akses lima keluarga terbabit ke kawasan perumahan mereka di atas Bukit Kukus tersebut.

"RM36,000 telahpun diberikan kepada penduduk dan baki RM54,000 lagi akan PLB serahkan kepada wakil penduduk dalam bentuk cek sekarang," ujar Hon Wei yang juga ADUN Air Itam kepada wartawan di sini, petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir Addnan Mohd. Razali turut menyertai majlis tersebut.

Pada majlis tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan PLB, Datuk Seri Ong Choo Hoon sendiri menyerahkan cek berjumlah RM54,000 kepada wakil penduduk, Chin Leong Kong.

Difahamkan, kerja-kerja memajukan jalan alternatif sementara tersebut akan dilakukan sendiri oleh kontraktor yang dilantik oleh penduduk terbabit.

Sebahagian Bukit Kukus merupakan kawasan dusun durian persendirian, didiami turun temurun oleh lima keluarga besar berkenaan sejak hampir 100 tahun dulu.

Jangan takut memasak di tepi jalan – Chef Mohd. Danial Firdaus

CHEF Mohd. Danial Firdaus Shaharuddin dalam rancangan realiti masakan Master Chef Malaysia musim pertama 2012, sebelum membuka gerai masakan Barat sendiri, Dhap’s Deli’s di Tingkat Mahsuri dekat Bayan Baru. Beliau boleh dihubungi di talian 0174741471. | Foto: Google.

BAGINYA, dunia chef ini bukan hanya didominasi oleh lelaki lembut sungguhpun tanggapan awam sebegitu dengan melihat kejayaan Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan diiktiraf sebagai chef selebriti Malaysia nombor satu di Asia.

Demikian respons awal anak teruna bernama Mohd. Danial Firdaus Shaharuddin, 21, dalam wawancara bersama-sama fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB.

“Kalau masuk dapur masakan hotel, kebanyakannya tak lembut.

“Macam Chef Wan pun, diiktiraf sebagai chef nombor satu di Asia kerana bakatnya, bukan kerana lembutnya,” ujar Mohd. Danial Firdaus semasa diwawancara di gerai masakan Barat beliau, Dhap’s Deli’s di Tingkat Mahsuri dekat Bayan Baru di sini baru-baru ini.

Dalam usia muda, kini beliau mengakui bahawa kerjayanya sebagai Chef di Pulau Pinang kini berbaloi.

MINAT
Menurut Mohd. Danial Firdaus, beliau minat dunia masakan ini sejak kecil lagi kerana berpeluang membantu emak dan nenek di dapur.

“Saya datang daripada famili yang suka memasak...memang ada resepi rahsia dalam keluarga seperti memasak roti jala.

“Resepi roti jala bukan untuk niaga, dan hampir dua tahun juga saya mengambil masa untuk menyediakan resepi rahsia keluarga ini sesempurna masakan emak saya.

“Sejak kecil lagi, saya memang ada niat untuk membuka restoran masakan roti jala suatu hari nanti, niat ini yang mendorong saya untuk menjadi chef.

“Suatu hari nanti, biar dunia tengok makanan tradisional kita seperti roti jala dihidangkan lebih baik dari makanan barat di seluruh dunia,” ujar beliau lagi.  

SERTAI MASTER CHEF MALAYSIA
Mohd. Danial Firdaus selepas tamat pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut menerima tawaran melanjutkan pengajian di Kolej Universiti KDU Penang dekat Jalan Anson.

Tetapi, beliau memilih untuk menyertai rancangan realiti televisyen, Master Chef Malaysia Musim Pertama 2012 demi memburu impiannya untuk menjadi chef profesional.

Dari itu, Mohd. Danal Firdaus bersyukur kerana berjaya mendapat didikan daripada Chef Zubir Md. Zain.

“Lima enam tahun dulu, bidang Chef ini mungkin pilihan akhir di Universit sendiri, tetapi rancangan seperti Chef Selebriti Malaysia seakan telah mengubah tanggapan awam mengenai prospeks Chef di tanah air belakangan ini.

“Rancangan telefvisyen seperti ini pun lahir kerana banyak Chef anak kelahiran Malaysia berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Di luar negara, dunia kulinari sangat diiktiraf, sampai ada yang menganggap gelaran Chef macam suatu anugarah ‘Mayor’ (Datuk).

“Saya mula minat masakan Barat pun kerana saya minat masakan ‘Sifu’ saya, Chef Zubir Md. Zain, iaitu salah seorang juri rancangan realiti masakan, Chef Selebriti Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini.

“Beliau merupakan salah seorang Chef Kapten yang mewakili Malaysia ke (kejohanan) Culinary World Cup.

Macam Chef Zubir, keistimewaannya dalam masakan Barat dan bakat masakan beliau ini sukar dijangka.

“Sampai ada Mat Saleh kata ‘He is born to cook’ dan apa sahaja yang dia sentuh (memasak) memang menjadi...beliau pada usia mudanya bebrapa kali membawa pulang medal emas dari Moscow, Australia,” ujar Mohd. Danial Firdaus.

Menurut beliau kekuatan seseorang Chef terletak pada kepakaran beliau memasak satu-satu resepi sama ada dari Barat atau masakan tradisional tertentu.  
“Yang kita kenal Chef Wan antara yang pakar dalam masakan tradisional Malaysia, tetapi ramai yang tidak tahu ada anak Melayu seperti ‘Chef Jasman’ antara Chef Eksekutif di atas Kapal Layar Queen Elezabert,” ujar beliau lagi.

SUKA DUKA
Mohd. Danial Firdaus berkata, beliau tidak pernah menyalahkan pandangan awam yang mengatakan bahawa bidang kulinari dan Chef ini adalah bukan bidang akademik pilihan utama di negara ini.


Tetapi, bagi mereka yang berminat untuk terjun dalam bidang kulinari ini, seharusnya mempunyai minat serta iltizam yang kuat.

“Mentaliti kena kuat kerana pelatih akan acap kali kena ‘bancuh’ dan kena maki di dapur masakan macam teguran pedas di dapur masakan dalam rancangan realiti televisyen.

“Semua teguran itu memang berlaku di dapur masakan yang sebenar, bukan menghina pelatif tetapi untuk membina bakal chef yang berkualiti.

“Bagi saya, kalau tak kena maki dan ‘ketuk’, mungkin tak jadi seperti sekarang.

“Sebenarnya suasana di dapur masakan memang tekanan, tak semua boleh melaluinya, seperti seorang askar nak menjadi komando, tidak semua layak dipilih menjadi komendo,” seloroh Mohd. Danial Firdaus.

TUKANG MASAK ASING
Mohd. Danial Firdaus mempunyai pendapat tersendiri mengenai insiatif Kerajaan Negeri menguatkuasa tukang masak gerai jalanan mesti warganegara sahaja.

“Memang diakui ada warga asing boleh masak lebih enak masakan tempatan sebab bakat.

“Dalam dunia Chef sendiri, kekuatan seseorang chef ini adalah terletak pada resepi mereka, sebab itu di Eropah, semua menu didaftar sebagai hak milik eksklusif seseorang Chef.

“Kalau di Eropah, kalau saya minat menu Chicken Chop  seorang Chef umpamanya, macam saya perlu beli player bola. Tak boleh mencuri menu chef tersebut begitu sahaja.

“Maka, saya perlu bayar royalti untuk menu Barat tersebut kepada Chef mereka.

“Di Malaysia bukan tidak ada semua ini, tetapi bidang kulinari di negara ini tidak sampai ke tahap itu seperti dunia kulinari di Eropah,” jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, ada pro dan kontra di sebalik usaha pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menguatkuasa peraturan terbaru tersebut.

HARAPAN
“Masakan tepi jalan merupakan salah satu masakan yang cukup enak di Pulau Pinang, tapi kalau saya nak mencari kedudukan dalam dunia masakan yang lebih tinggi, saya sendiri akan pergi ke Kuala Lumpur.

“Hotel di Pulau Pinang memang banyak, tetapi di Kuala Lumpur lebih banyak, maka persaingan di Kuala Lumpur lebih banyak.

“Sesetengah orang takut dengan persaingan, tetapi saya suka persaingan yang lebih banyak agar saya lebih berusaha untuk melakukan yang lebih baik.

“Chef yang ada ‘nama’ kalau di Pulau Pinang lebih baik buka di tepi jalan kerana mentaliti kebanyakan orang Pulau Pinang percaya makanan di tepi jalan lebih sedap.

“Jangan rasa dihina kerana buka kedai makan di tepi jalan seperti Dhap’s Deli’s ini, kerana ketinggian seorang Chef itu terletak pada bakatnya dalam masakan.

“Ke depan ini, saya memang nak membuka lebih banyak Dhap’s Deli’s di astaka-astaka kecil di sekitar Pulau Pinang seperti ini, jika nak ‘naik’ (maju) kelak,” ujar Mohd. Danial Firdaus.

Kejayaan dalam industri makanan di Pulau Pinang ini, katanya, akhirnya tergantung pada rezeki yang ditentukan Allah.

“Jangan takut memasak di tepi jalan, kerana banyak yang berjaya sebagai Chef yang saya temui memang ada menjual bakatnya bermula di tepi,” ujar Mohd. Danial Firdaus.

Tandas bersih mentaliti negara maju - TKM I

MOHD. Rashid Hasnon (dua dari kiri) diiringi Chow Kon Yeow (paling kiri) bergambar kenang-kenangan dengan tiga wakil pemenang untuk kategori sekolah menengah dan sekolah rendah pada Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sunway Carnival Mall, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Rakyat Pulau Pinang seharusnya mempunyai tahap kepedulian yang tinggi terhadap kebersihan tandas awam di negeri ini kerana mentaliti sebegitu adalah salah satu identiti warga negara-negara maju.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Tantas Sedunia 2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

"Kerajaan Negeri amat menagih kerjasama dan bantuan rakyat di semua peringkat tanpa mengira latar belakang bangsa dan politik.

"Adalah tidak adil sekiranya kita (Kerajaan Negeri) membelanjakan wang rakyat bagi memberi kesedaran mengenai pri penting kebersihan tandas, namun, mentaliti masyarakat masih ditakuk yang sama," ujar Mohd. Rashid di Pusat Konvensyen Sunway Carnival Mall di sini, semalam. 

Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dr. Hasnah Bibon turut hadir pada majlis yang dihadiri hampir 500 wakil daripada pelbagai badan berkanun dan agensi kerajaan negeri. 

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow sebelum itu berkata, dianggarkan lebih 40 peratus populasi penduduk dunia kurang mempunyai kemudahan tandas awam.

Kekurangan itu, katanya, mengakibatkan kira-kira 2.6 bilion penduduk dunia terpaksa membuang najis secara terbuka, hingga mengakibatkan pencemaran alam sekitar serta mutu air sungai semulajadi.

"Akibatnya, merebaknya penyakit berkaitan air seperti diarrhea (cirit-birit, kolera (taun) dan dysentery (sakit perut kronik) yang boleh menyebabkan risiko kematian," ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Padang Kota).

Tambah beliau, kira-kira 2.2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun direkodkan meninggal dunia setiap tahun disebabkan wabak-wabak berkenaan.

Pada majlis sama, Mohd. Rashid diiringi Kon Yeow turut menyampaikan hadiah berupa wang tunai sijil penyertaan serta trofi kepada pemenang tandas awam paling bersih untuk lapan kategori yang dipertandingkan.

Pemenang antaranya, Klinik Kesihatan Penaga memenangi kategori jabatan kerajaan, Harvest Time Cafe dekat Daerah Timur Laut (restoran), cafeteria A Tu Z Wedding Haouse (kedai makan), Sarinani Kiosk Ent. dekat Daerah Timur Laut (stesen minyak), AEON Mall Bukit Mertajam (pusat membeli belah), Tandas Awam Pasar Air Itam (tandas awam milik pihak berkuasa tempatan), SMK Gemilang dekat Seberang Perai Utara (sekolah menengah) dan SK Bukit Tambun (sekolah rendah).

World Toilet Organization menetapkan tanggal 19 November setiap tahun sebagai hari keraian tandas bersih peringkat dunia, manakala, Kerajaan Negeri sejak tahun 2012 menganjurkan pertandingan tandas paling bersih di negeri ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus