10 December 2014

Exco Kesihatan perjelas punca wad Hospital Sbrg. Jaya sesak

DR. AFIF Bahardin (dua dari kiri) dan isteri, Dr, Mardhiah Zakaria (empat dari kiri) bersama-sama beberapa jururawat berinteraksi dengan salah seorang ibu bayi baru lahir di katil tambahan dekat laluan tengah salah satu wad bersalin Hospital Seberang Jaya di sini, Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap rancangan Kerajaan Pusat untuk menaik taraf hospital-hospital di negeri ini dapat disegerakan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyampaian cenderamata serta edaran borang permohonan Sumbangan 'Bayi Emas' RM200 kepada waris bayi baru lahir di Hospital Seberang Jaya di sini, Sabtu lepas.

"Setakat ini memang ada rancangan untuk membina sebuah bangunan bertingkat di sini (Hospital Seberang Jaya), dan memang kita telahpun meminta Kementerian (Kesihatan) untuk mempercepatkan.

"Macam hari ini, sepatutnya ada 28 katil sahaja (dalam wad bersalin), tetapi ada pertambahan sampai 20 katil," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada wartawan.

Isterinya, Dr. Mardhiah Zakaria turut menyertai majlis tersebut.

Katanya, lambakan pesakit di wad bersalin Hospital Seberang Jaya kini mungkin memakan masa dalam dua hingga tiga tahun, memandangkan wad bersalin Hospital Pulau Pinang dekat Datuk Keramat terpaksa ditutup dalam satu tempoh untuk kerja menaiktaraf menjadi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang baru.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Afif turut mensyor Kerajaan Pusat supaya menjelaskan status terkini mengenai rancangan menaik taraf Bahagian Forensik di Hospital Balik Pulau, sebagaimana diumumkan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya. 

Terdahulu, Dr. Afif pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town baru-baru ini turut menjelaskan bahawa bilangan katil yang dibekalkan di kesemua hospital kerajaan di negeri ini adalah mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, ruang wad yang sedia ada menjadi sesak dengan katil-katil tambahan mengikut keperluan pesakit.

Menurut beliau, Hospital Pulau Pinang mempunyai 1,107 katil, Hospital Seberang Jaya (314 katil), Hospital Bukit Mertajam (242 katil), Hospital Kepala Batas (108 katil), Hospital Sungai Bakap (105 katil) dan Hospital Balik Pulau (71 katil).

Memetik Rancangan Malaysia Ke-10, katanya lagi, Kerajaan Pusat turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak dekat Jalan Residensi, serta blok bertingkat baru Hospital Sebarang Jaya.

7,458 terima bantuan persekolah ZPP

MOHD. Salleh Man (dua dari kiri) saling berinteraksi dengan pelajar terpilih pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Sesi 2015 daripada Sumber Zakat Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Seramai 7,458 murid terpilih daripada 150 sekolah di negeri ini menerima sumbangan baju seragam serta beberapa kelengkapan lain daripada sumber zakat, untuk sesi persekolahan tahun depan.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, lebih ramai pelajar sekolah menengah dan rendah mendapat sumbangan pada kali ini disebabkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) mendapat lebih banyak sumber daripada pembayar zakat fitrah serta zakat komersial.

"Umat Islam bertambah ramai membayar zakat kepada kita (ZPP) kerana keyakinan mereka pada usaha kita mengagihkan sumber zakat kepada asnaf-asnaf yang layak.

"Tahun-tahun akan datang, in sya Allah lebih banyak murid akan menerima sumbangan daripada sumber zakat seperti hari ini jika jumlah kutipan tahunan zakat kita bertambah," ujar Mohd. Salleh pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan 2015 ZPP Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Millenium di sini baru-baru ini.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata pihaknya berharap ZPP berjaya memungut RM90.5 juta pada tahun ini, memandangkan sebanyak RM80.07 juta berjaya dikutip pada tahun lepas.

Sebelum itu, Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Somat menjelaskan, RM3.2 juta daripada sumber zakat akan diagihkan dalam bentuk kelengkapan persekolahan kepada 15,000 pelajar terpilih sepanjang tahun 2015.

"Kelengkapan seorang pelajar kita anggarkan lebih RM200 dan waris penerima seharusnya bersyukur kepada Allah kerana terpilih menerima bantuan daripada sumber zakat ini," ujar Azman.

Bekas Mufti Pulau Pinang, Tan Sri Hassan Ahmad, Ustaz Rosli Othman (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan bagi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP) serta beberapa Ahli Lembaga Pengarah ZPP lain turut menyertai majlis tersebut.

ROZITA Mat Ribi (tengah) bersama-sama dua anaknya, Muhammad Shafiq Che Rizal (kiri) dan Ainul Mardhiah Che Rizal (kanan) pada majlis di sini baru-baru ini.

Sementara itu, waris, Rozita Mat Ribi, 32, melahirkan rasa terharu kerana kedua-dua anaknya, Muhammad Shafiq Che Rizal, 9, Ainul Mardhiah Che Rizal, 8, turut dipilih menerima bantuan persekolahan daripada sumber zakat.

"Dua kali dah (menerima bantuan dari sumber zakat), iaitu pada tahun ini dan tahun lepas (2013).

"Alhamdulllah, saya bersyukur kerana Sekolah (Kebangsaan Pinang Tunggal dekat Kepala Batas) dan Kerajaan Negeri memberi perhatian pada keadaan anak-anak saya ini," ujar beliau.


Menurut beliau, kesemua empat anaknya bersekolah dan sumbangan tersebut dapat mengurangkan kos persiapan persekolahan pada hujung tahun ini.

Kuatkuasa Cukai Taksiran baru 1 Jan. minimum – YDP MPSP

MAIMUNAH Mohd. Shariff (berbaju biru) bergambar dengan warga MPSP selepas perhimpunan korporat di sini, petang tadi.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (berbaju biru) pada sidang media di lobi Kompleks Ibupejabat MPSP di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG PERAI - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akhirnya melaksanakan kadar tahunan baru cukai taksiran berkuatkuasa pada 1 Januari tahun depan, selepas Kerajaan Negeri sejak tahun 2010 sebanyak dua kali mengabaikan syor Putrajaya untuk menaikkan cukai pintu di Seberang Perai.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif bagaimanapun berkata, Kerajaan Negeri bersetuju menaikan kadar peratusan cukai tersebut sahaja berdasarkan Senarai Nilaian sedia ada, demi meminimumkan risiko beban hidup rakyat.

"Kerajaan Negeri ambil keputusan untuk menaikan kadar peratus sahaja, tetapi, nilai tahunan masih lagi (mengikut) kadar Nilai Tahunan 2005 lagi.

"Jadi, dari segi kenaikkan (cukai taksiran) itu adalah paling minimum," ujar Maimunah kepada wartawan, selepas berucap pada Perhimpunan Korporat di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini, pagi tadi.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan Ahli Majlisnya, Tan Cheong Heng turut menyertai sidang media itu.

Menurut Maimunah, Senarai Nilaian yang diguna pakai MPSP sekarang berkuatkuasa pada 1 Julai 2005 dan sepatutnya tamat pada 30 Jun 2010 lagi.

Justeru, katanya, penilaian semula cukai taksiran yang ditetapkan kini berdasarkan Seksyen 137(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 71).

Seksyen tersebut antara lain menyebut, "Senarai Nilaian baru hendaklah disediakan dan disiapkan sekali tiap-tiap lima tahun atau dalam tempoh yang dilanjutkan sebagaimana ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri."

Dalam perkembangan sama, Maimunah menjelaskan prestasi tunggakan cukai taksiran saban tahun kian menurun sejak tahun 2009.

Jumlah cukai taksiran tertunggak pada tahun 2007 berjumlah RM47.87 juta, dan meningkat pada RM48.37 juta pada tahun 2008.

Pun begitu, jelasnya, cukai taksiran tertunggak pada tahun 2009 menurun pada angka RM45.92 juta, diikuti RM42.62 juta (2010), RM34.32 juta (2011), RM27.43 juta (2012) dan RM21.85 juta (2013).

Cheong Heng dalam reaksi berasingan memberitahu bahawa MPSP wajar menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai kira-kira peratusan kenaikan cukai taksiran baru yang ditetapkan berdasarkan Nilai Tahunan 2005 itu, demi mengelakkan kekeliruan di kalangan pelanggan Seberang Perai.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus