13 December 2014

Barah 1MDB menunggu Pecah, kata Husam Musa

1MDB sebagai satu skandal terbesar era Najib dan katalis kejatuhan Najib nampaknya kian menjadi kenyataan.

Laporan polis oleh salah seorang pemimpin UMNO bahagian sendiri dan kabinet turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan baru bakal membawa impak yang besar.

Timbalan Ketua UMNO Batu Kawan, Pulau Pinang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dalam laporan polisnya, antara lain memohon siasatan dijalankan mengenai;

a. Pembelian tanah seluas 234 ekar di Air Itam, Pulau Pinang pada harga RM1.38 billion, yang dikatakan melebihi harga pasaran semasa (dari dua pemilik)

b. Pelaburan misteri sebesar US$1.2 billion dalam sebuah syarikat dikenali PetroSaudi International Ltd.

c. Pembelian sebidang tanah dari syarikat Tadman Resources Bhd di Pulau Indah dengan harga RM317 million

d. Pembayaran bunga pinjaman yang lebih tingi dari kadar pasaran

e. Pembayaran yuran kepada Goldman Sachs International yang dikira berlebihan

f. Pembelian aset janakuasa IPP seperti Powertek Energy dan Sanyen Power Sdn Bhd pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran

g. Pelaburan misteri di Pulau Cayman

Rabu lalu, ketika kabinet bersidang tanpa PM yang berada di luar negara, seorang Menteri dilaporkan membangkitkan isu 1MDB . Kabinet yang dipengerusikan oleh Muhyidin selaku TPM, telah mengambil kesempatan membincangkan isu ini.

Ia sudah tentu akan diminitkan dan sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam mesyuarat akan datang?

Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM?

Bagaimana pula perbincangan sulit kabinet mengenai isu ini boleh sampai kepada media?

Tentulah dengan niat yang tertentu.

Tidakkah Najib mula terasa panasnya bahang 1MDB dengan tindakan-tindakan baru ini?

Sama juga dengan keberanian tiba-tiba seorang pemimpin UMNO Bahagian. Bukankah menjelang PAU baru-baru ini, Presiden parti telah mengadakan perjumpaan dengan semua perwakilan dan memberikan penjelasan mengenai 1MDB?

Tidakkah dua perkembangan ini - laporan polis oleh pemimpin UMNO Bahagian dan perbincangan kabinet terjadi serentak?

Terlepas dari apa jua pertimbagan politik pihak-pihak yang terlibat, rakyat negara ini secara keseluruhannya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan yang terang tidak lain dari PM sendiri mengenai isu ini.

Samada polis berani menyiasat bos tertinggi negara ini atau tidak adalah isu yang lain. Ini adalah ujian terbesar Datuk Zahid selaku Menteri Dalam Negeri.

Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?

Namun, dari dua perkembangan terbaru ini, Najib mestilah berani memberikan penjelasan terbuka.

Siapa pemilik tanah di Pulau Pinang yang dibeli dengan harga (95% lebih mahal?) oleh 1MDB, misalnya.

Isu 1MDB melibatkan jumlah kewangan yang sangat besar. Mewajarkan PM bersikap telus.

Misalnya, bagi tahun kewangan sehingga Mac tahun ini, 1MDB mencatat kerugian sebesar RM 665.3 juta dengan hutang sebesar RM 49.1 billion. Sekalipun 1MDB dikatakan mempunyai aset sebesar RM 51.4 billion, tetapi jumlah aset di atas kertas ini kelihatan lebih besar dengan menggunakan penilaian yang lebih tinggi.

Apa lagi, seperti ditulis oleh TS A Kadir Jasin dalam blognya bahawa 1MDB telah pun memohon dan mendapat kelulusan dari Bank Negara untuk memanjangkan tempoh bagi hutang tak berbayar (non performing loan) dari tiga bulan kepada enam bulan.

Jika ini benar, memang 1MDB sudah mengerang kesakitan walaupun usianya sangat muda.

Najib bukan sahaja perlu memberikan penjelasan terbuka terhadap semua isu yang dibangkitkan berkait dengan 1MDB, tetapi juga bersedia memberikan penjelasan dalam siri-siri berikutnya apabila pertanyaan lanjutan dikemukakan nanti.

Lazimnya, sebuah Kertas Putih perlu dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen.

Sepanjang menuju penjelasan terbuka itu, saya percaya, pengkritik utama Najib seperti Tun M, sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang.

Husam Musa
13 Disember 2014

Tazkirah | Santai Tapi Sampai

"Terima kasih Abang hadiah perfume wangi."

"Hari ini kan hari lahir Sayang."

"Tapi, bukan dulu Abang kata pakai perfume haram ke?"

"Itu (hukum haram pakai perfume) masa kita belum kahwin. Sekarang, kita kan dah sah sebagai suami isteri."

ULASAN FAQAR
Mesej paling penting, antaranya, "jangan terbuka sangat sampai hanyut, jangan tertutup sangat sampai jumud."

Asal hukum (al-hukmu li zatihi) bersolek (tabbarrujj) adalah harus.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya..." [Surah Al-'Araf: 32]

Kemudian, ia boleh berubah (baca: al-hukmu li ghairihi) kepada haram, sunat, makruh dan wajib.

Perubahan hukum bergantung kepada perubahan (1) masa, (2) tempat dan (3) kondisi, sebagaimana contoh di atas.

Ini bukti hukum syarak dinamik, sebagaimana disebut dalam satu kaedah fiqh*:

Iza dhoqa al-amru ittasa'a

Maksud: Apabila sempit sesuatu, maka ia menjadi luas”

[*Kaedah fiqh daripada Imam Asy-Syafie, disebut dalam kitab Al-Mansur, hal.58]

Wallahu 'alam.

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
+60194241583

#DEKPOS: Benarlah permintaan melebihi tawaran punca 'gelembung hartanah'?

PENULIS dengan salah sekurang sahabat, yang juga jurnalis.

SESETENGAH ahli ekonomi berpendapat bahawa sistem kuota perumahan yang diwujudkan di negara ini kerana unit rumah yang dibina tidak cukup untuk memenuhi permintaan rakyat.

Malah, mereka berpendapat bahawa harga rumah yang kian melambung naik sebenarnya berpunca oleh permintaan khalayak melebihi tawaran Kerajaan.

Inilah antara logik yang seringkali keluar daripada mulut pembeli spekulatif dengan mengatakan "hartanah membelon tidak boleh dielakkan lagi."

Sebenarnya, bank akan terus menggalakkan pinjaman perumahan tidak kira sama ada rumah mencukupi atau sebaliknya.

Ini kerana, amalan sedemikian merupakan salah satu cara institusi kewangan tersebut mengaut keuntungan melalui interest atau riba pinjaman.

Setuju?

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
+60194241583

[Penulis tengah mencari anggota 'kongsi gelap ilmiah' untuk merealisasikan projek Diskusi Ekonomi Politik Sosial a.k.a #DEKPOS]

#DEKPOS: Gelembung Hartanah

PENULIS baru-baru ini ada merakamkan gambar kenangan dengan seni arca besi terunggul berhampiran Masjid Melayu Lebuh Acheh di George Town, yang dihasilkan pelukis terkenal dunia Lithuania Ernest Zacharevic.

"Anda mungkin tidak siuman atau gila publisiti untuk meramalkan apa yang bakal terjadi pada harga rumah," kata Mervyn King, Gabenor Bank of England.

Ada empat faktor berlakunya 'gelembung hartanah'.

1. Kos tanah untuk mendirikan rumah.

2. Permintaan melebihi tawaran dalam pasaran.

3. Bencana.
Contoh: Harga hartanah di kawasan banjir merudum.

4. Galakan pinjaman kerana itu keuntungan untuk bank & syarikat pinjaman kredit.

ULASAN BJ FAQAR
Nilai asrama SMKA Al-Mashoor (L) tempat saya belajar dulu tidak pernah mengalami 'gelembung hartanah' walaupun di tengah-tengah bandar George Town.

Rumah perlu dilihat sebagai (1)komoditi, atau (2)keperluan, semacam saya lihat asrama yang selesa tanpa perlu membelinya?

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang
+60194241583

[Penulis tengah mencari anggota 'kongsi gelap ilmiah' untuk merealisasikan projek Diskusi Ekonomi Politik Sosial a.k.a #DEKPOS]

Azizan Razak, Dr. Hatta mirip mantik Fadhil Noor

Cadangan menukar nama 'Yang di-Pertua Agung PAS' kepada panggilan Presiden suatu masa dulu sampai perlu mengadakan satu Muktamar Khas (EGM) dalam parti masa depan itu.

Banyak pihak, khususnya daripada sayap pemuda mengkritik tajam atas cadangan Presiden PAS Datuk Fadhil Mohd. Noor.

Fadhil digambarkan cuba menyerupai Umno kerana parti asabiah tersebut memanggil pemimpin nombor satunya sebagai 'Presiden'.

Itu, menurut mereka, menyalahi syarak kerana ada nas melarangannya.

"Sesiapa menyerupai satu-satu kaum, maka dia daripada kalangan mereka..." (mafhum hadith)

Masa sesi penggulungan, Fadhil Noor respons, "Kalau Presiden Amerika dipanggil sebagai Amirul Mukminin sekalipun nanti, kalau dia kafir dia tetap kafir."

Terkesima habis muktamirin-muktamirat dengan hujah mantik Fadhil.

Sesetengah pihak kata, logik mantik sebegitu ada sedikit banyaknya pada Tan Sri Ustaz Azizan Razak, selepas pemergian Fadhil.

Semasa isu air meledak di Kedah, Azizan atas kedudukannya sebagai Menteri Besar menerima soalan provokasi daripada seorang wartawan.

"Kamu ni mandi tak pagi ini," tanya Azizan membalas provokasi wartawan itu.

Akhirnya, wartawan itu mengaku mandi.

"Kalau macam itu, macam mana kamu kata tiada air," tanya Azizan lagi mengunci provokasi wartawan.

Selepas pemergian Azizan, Dr Hatta Ramli dikatakan mempunyai mantik berbisa mirip Fadhil.

Semasa isu PPSMI meledak di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Umno Barisan Nasional antara lain berdalih, pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebab tahap bahasa Inggeris murid khususnya Melayu lemah.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pula berhujah pelaksanaan PPSMI akan meminggir peranan bahasa kebanggaan atau bahasa Melayu, selain, mengakibatkan keciciran pembelajaran Sains-Matematik atas sebab kelemahan bahasa.

Di tengah-tengah pertikaman lidah itu, Dr. Hatta (Kuala Krai) bangun lalu menyebut, "patutlah Pejabat Peguam Negara Malaysia gagal menuntut hak kedaulatan Batu Putih daripada Singapura kerana perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa dalam bahasa Belanda."

Dewan Rakyat terkesima dan diam seketika, sebelum masing-masing gelak dipukul dek logika Dr. Hatta.

Setuju?

ZAINULFAQAR YAACOB
Fotojurnalis P.Pinang

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus