26 January 2015

Dua maut akibat denggi membimbangkan, kata Guan Eng

KOMUNiTi rumah flat Blok A Taman Tenggiri mengambil peluang mendapatkan informasi pri bahaya denggi di gerai pameran di sini, semalam. | Foto: arkib Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa bimbang berhubung dua kematian akibat denggi yang dicatatkan di Pulau Pinang pada minggu pertama tahun ini.

“Selepas satu minggu memasuki tahun baru 2015, statistik demam denggi masih belum menunjukkan tanda-tanda penurunan,” ujar Guan Eng semasa merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Membersihkan Tempat-Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes Peringkat Negeri di Blok A Taman Tenggiri di sini, semalam.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Hajah Zailan Datuk Haji Adnan turut berucap pada program di bawah projek Penang Sihat tersebut.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif.

(Dari kiri) Lim Hock Seng, Dr. Afif Bahardin, Ketua Menteri, Dr Zailan Adnan dan Maimunah Mohd. Sharif di gerai pameran bahaya Aedes, anjuran Jabatan Kesihatan Negeri di sini, semalam.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri akan terus memberi komitmen dalam membanteras penyakit itu.

Itu, katanya, termasuk melaksanakan operasi pemeriksaan tapak-tapak binaan, meningkatkan pelupusan sampah-sampah haram terutamanya di lokasi-lokasi kes dan wabak denggi, meningkatkan aktiviti-aktiviti pendidikan kesihatan seperti ceramah, hebahan awam dan nasihat individu serta, meningkatkan aktiviti penguatkuasaan ke atas mana-mana premis yang membiak nyamuk aedes.

Difahamkan, 3,141 kes demam denggi direkodkan pada tahun lepas, dengan peningkatan 200 peratus berbanding bilangan kes yang dicatatkan pada tahun 2013.

Dari angka itu, 11 kematian akibat demam denggi direkodkan pada tahun 2014, berbanding tujuh kematian pada tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon turut merasmikan Majlis Gotong Rayong Perdana di perkarangan Jalan Tengah Selatan, Flat Hamna dan Jalan Mahsuri, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban.

MOHD. Rashid Hasnon (berbaju hijau) turut turun padang menjayakan program Gotong Royong Perdana di Batu Uban, semalam.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus