13 April 2015

Guan Eng syor PIBG rayu GST dikecualikan di sekolah mubaligh

KETUA Menteri (tengah) diiringi barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain menyerahkan cek replika RM1,175,000 kepada para wakil PBIG pada majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kesemua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) bagi 20 sekolah mubaligh yang dipilih menerima sumbangan pendidikan berjumlah RM1,175,000 daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini disyor menghantar memorandum bersama bagi merayu pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas semua projek pembangunan infrastruktur di sekolah mereka masing-masing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu wajar memandangkan Putrajaya sebelum ini telahpun menggambarkan bahawa sektor pendidikan awam tidak akan dikenakan 6 peratus GST mulai 1 April lepas.

“Kerajaan Negeri yang melaksanakan kerja-kerja perkhidmatan awam pun turut dikenakan 6 peratus GST yang membebankan, dan ini tidak adil. 

“Kamu (Kerajaan Pusat) tidak boleh memberi kepada kami dana bantuan sebagaimana dilakukan oleh Kerajaan Negeri hari ini, itu tidak merisaukan, tetapi, janganlah diambil cukai (6 peratus GST) daripada projek pemajuan infrastruktur pendidikan di sekolah-sekolah mubaligh kami.

“Maka, saya ingin mencadangkan semua sekolah mubaligh bergabung secara bersama dan cuba untuk memanghantar satu memorandum kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, untuk mengelak GST ini,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih pada Majlis Penyerahan Cek Replika Dana Sumbangan Pendidikan Kepada Sekolah-Sekolah Mubaligh Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam, bantuan pendidikan kepada sekolah agama bantuan kerajaan negeri, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, serta sekolah aliran mubaligh diagihkan berdasarkan keperluan berwajib, tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan.

Turut berucap, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng.

“Saya berharap sumbangan Kerajaan Negeri ini dibelanjakan mengikut keutamaan, yang mana projek yang mesti didahulukan, mesti didahulukan, dan yang mana projek samping, maka, mesti dikemudiankan,” jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina & Mubaligh Pulau Pinang.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sejak tahun 2010 memperuntukan RM850,000 kepada sekolah-sekolah mubaligh, diikuti, RM1,217,000 (2011), RM1,282,500 (2012), RM1,279,000 (2013), RM1,064,000 (2014) dan terbaru RM1,175,000 (2015).

Manakala, 20 sekolah mubaligh yang menerima sumbangan bantuan pendidikan pada kali ini adalah Sekolah Kebangsaan Assumption, Sekolah Kebangsaan Convent Butterworth, Sekolah Kebangsaan St. Mark Butterworth, Sekolah Menengah Convent Butterworth, Sekolah Kebangsaan Convent Green Lane, Sekolah Kebangsaan St. Mark Perai, Sekolah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal, Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal, Sekolah Kebangsaan St. Xavier Jalan La Salle, Sekolah Kebangsaan Convent Lebuh Light, Sekolah Perempuan Methodist, Sekolah Kebangsaan Pyket Methodist, Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, Sekolah Menengah Convent Lebuh Light, Sekolah Kebangsaan St. Xavier, Sekolah Kebangsaan St. Xavier Cawangan, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Pulau Tikus, Sekolah Menngah Kebangsaan St. Mark Butterworth dan Sekolah Kebangsaan St. George Balik Pulau.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), A. Thanasekaran (ADUN Bagan Dalam), Dr. T. Jayabalan (ADUN Batu Uban), Soon Lip Chee (ADUN Jawi) dan Sim Phoi Yong (Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina & Mubaligh Pulau Pinang) turut hadir pada majlis tersebut baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus