06 May 2015

MP Batu Kawan gesa BORR segera bina pagar pembahagi jalan

P. Kasthuriraani (dua dari kiri) pada sidang media selepas melawat kawasan kejadian yang meragut seorang pekerja asing berwarganegara Nepal di sini baru-baru ini. | Foto: internet  

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani menggesa pengendali Lingkaran Luar Butterworth (BORR) supaya segera membina pagar di sepanjang pembahagi jalan raya berwajib di sini.

Kasthuriraani berkata demikian semasa melawat lokasi kejadian, yang meragut nyawa seorang lagi pekerja asing berwarganegara Nepal baru-baru ini.

"Walaupun terdapat dua jejambat dibina untuk pejalan kaki melintas jalan di sini, mereka tidak digunakan (kemudahan tersebut) kerana ia tidak terletak di lokasi yang strategik.

"Dalam tempoh dua tahun ini, saya difahamkan lima kemalangan maut telah berlaku di kawasan ini dan terbaru pada Sabtu lepas (11 April 2015), apabila seorang pekerja asing dilanggar sebuah kenderaan semasa melintas jalan ini," jelas Kasthuriraani kepada pemberita.

Menurutnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Chai Leng telah beberapa kali membangkitkan isu tersebut, tetapi seakan tidak diendahkan oleh pengendali.

"Ia (pembinaan pagar di pembahagi jalan) adalah kewajipan moral bagi Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji ciri-ciri keselamatan untuk kesejahteraan pengguna jalan raya.

"Surat terkini (daripada JKKK Taman Chai Leng) adalah pada 25 September tahun lepas, tetapi jawapan yang diberikan oleh BORR tidak memuaskan," katanya.

Justeru, Kasthuriraani berkata bahawa beliau akan membawa perkara itu di Parlimen.

Pengerusi JKKK Taman Chai Leng, M. Turaisingam dan setiausahanya, Lee Eng Leong turut melawat lokasi kejadian tersebut.

Difahamkan, pejalan kaki yang rata-rata adalah pekerja asing seringkali melintas terus jalan raya tersebut tanpa menggunakan jejantas yang ada apabila tiada kenderaan kerana ia lebih mudah, sama ada untuk ke Taman Emas atau Taman Chai Leng di sini.

Seorang penduduk Taman Emas, Tan Bak Sun, 64, dilaporkan berkata bahawa pengurusan BORR sepatutnya segera menyelesaikan masalah ini tidak lama dahulu.

"Setakat ini, lima orang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di sini.

"Adakah mereka menunggu lebih kematian," tanya Bak Sun, dipetik dari sebuah akhbar elektronik arus perdana.

Ahli Perniagaan SP Devan, 64, pula dilaporkan berkata pengurusan BORR sepatutnya lebih serisu untuk membina sebuah jejambat strategik di tempat yang betul, untuk kemudahan rakyat di sini.

BORR yang menelan belanja RM480 juta dibina pada tahun 2003 dan mula dibuka empat tahun kemudian kepada orang ramai, demi kemudahan trafik dari Bukit Mertajam ke Butterworth.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus