20 August 2015

Shaik Hussein lafaz dua kali permohonan maaf kepada Guan Eng, kata Pegawai Undang-Undang Ketua Menteri


Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Shaik Hussein Mydin sebenarnya secara lisan memohon maaf dua kali kepada Ketua Menteri,  Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, dengan disaksikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Dato' Nordin Hassan di kamarnya, sebelum Kehakiman Persetujuan diumumkan.

Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib penyelesaian secara baik di luar mahkamah dipersetujui apabila Shaik Hussein berjanji membuat tawaran permohonan maaf secara lisan dalam Kamar Hakim Mahkamah, serta menarik balik kenyataan berunsur fitnah dalam media tanpa syarat.

"Shaik Hussein Mydin secara lisan telah dua kali memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Lim Guan Eng, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang," jelas Raja Syarafina dalam satu kenyataan bertulis pada hari ini.

Semalam, Guan Eng bersetuju menarik balik saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada bulan Oktober 2012, apabila Shaik Hussein dikatakan bersetuju menarik balik semua tuduhan yang disiarkan di beberapa media sebelum ini.

Bagimanapun, Shaik Hussein yang juga bekas Ketua Pemuda Umno pada sidang media selepas Consent Judgement menafikan pula beliau melafazkan permohonan maaf kepada Guan Eng.

Pun begitu, Guan Eng pada sidang media berasingan berharap tindak-tanduk Shaik Hussein yang sebelum ini didakwa berniat jahat itu diharap menjadi teladan kepada pemimpin pembangkang Pulau Pinang yang lain.

"Apabila Shaik Hussein Mydin (Shaik Hussein) membuat tuduhan atau membuat fitnah bahawa saya telah menerima rasuah,  itu sesuatu yang saya tidak boleh biarkan.

"Di depan Hakim Mahkamah Tinggi,  Shaik Hussein Mydin (Shaik Hussein) memohon maaf kepada saya...dan tarik balik tanpa syarat.

"Itu sebab, kita tidak memohon (tuntutan) kos kerana yang penting adalah membersihkan nama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Sebagai Ketua Menteri, tentunya saya ingin memberikan suatu teladan bukan sahaja dicontohi oleh rakan-rakan sejawat saya, tetapi juga kepada rakyat Pulau Pinang," jelasnya pada sidang media bersama-sama peguamnya, Simon Murali di luar Kamar Mahkamah Sivil 5, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Tambah Guan Eng, beliau masih belum membuat sebarang pertimbangan muktamad, sama ada mahu mengambil langkah undang-undang atau sebaliknya, ke atas beberapa media yang terbabit menyiarkan kenyataan Shaik Hussein sebelum ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, Raja Syarafina Raja Shuib (Pegawai Undang-undang kepada Ketua Menteri) dan Lim Hock Seng  (Exco Kerja Raya,  Pengangkutan dan Utiliti) turut sertai sidang media tersebut.

Salinan dokumen Penghakiman Persetujuan menyatakan bahawa defender bersetuju menarik balik kenyataan yang dibuat pada 5 Oktober 2012.

Kenyataan itu berbunyi, "Dan saya merasakan dan saya tidak menuduh, saya tidak menuduh, saya berasakan bahawa dia telah mengambil rasuah daripada Dental, Kuala Lumpur International Dental Hospital."

Katanya lagi, "To Chief Minister of Penang, please don't waste our time. We are busy untuk menepati janji. Dia busy untuk menipu. Dia memang tipu."

Dokumen Consent Judgement sama turut menyebut plaintif akan menarik balik tuntutannya ke atas defendan.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menanggung kos masing-masing, tidak akan melanjutkan sebarang tindakan baru pada masa depan, berhubung kes berbangkit tersebut.

Shaik Hussein pada 5 Oktober 2012 dilaporkan menuduh Guan Eng sebagai korup, dengan melakukan penipuan serta menerima rasuah daripada Pusat Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC), yang dikaitkan dengan suatu projek pembangunan bercampur di atas sebidang tanah berhampiran Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin.

Guan Eng dalam reaksi spontan memberitahu kenyataan Shaik Hussein itu tidak berdasarkan fakta kebenaran, serta berniat jahat terhadap dirinya.

Sambil mencanangkan tuduhan berunsur fitnah, Shaik Hussein turut berdalih untuk berdialog dengan Guan Eng bagi mencari kebenaran.

Susulan itu, Guan Eng memohon injuksi untuk menghalang Shaik Hussein dan agennya yang lain daripada mengulangi kata-kata fitnah ke atasnya.

Malah, Guan Eng ke Mahkamah Tinggi bersama-sama peguamnya, Jagdeep Singh Deo (kini Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) untuk memfailkan saman fitnah tersebut, menuntut saman ganti rugi, kos serta kenyataan terbuka disiarkan di semua media arus perdana.

Selepas memfailkan saman, Guan Eng memberitahu wartawan dalam sidang media di luar mahkamah, jika beliau tidak mengambil tindakan mahkamah, isu tersebut akan dieksploitasi oleh Barisan Nasional (BN) untuk memburukkan imejnya serta Kerajaan Negeri.

Selepas beberapa kali sesi perbicaraan dalam tempoh hampir tiga tahun, akhirnya kes tersebut diselesaikan secara Penghakiman Persetujuan.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus