09 October 2015

PP batal perintah hapus anjing liar, vaksinasi anti-Rabies diteruskan, umum Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Pulau Pinang) 2015 yang dikuatkuasakan sejak 15 September lalu dimansuhkan mulai hari ini, dengan arahan menghapus anjing liar atau anjing tidak bertuan dihentikan serta-merta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bagaimanapun berkata, perintah vaksinasi anti-Rabies ke atas semua anjing bertuan kekal dikuatkuasakan seperti biasa.


“Penghapusan anjing liar sebelum ini kerana ada perintah, dan setelah berbincang dengan Pengarah Perkhidmatan DVS Pulau Pinang (DVSPP), Dr. Siti Salmiyah (Tahir), pada hari ini, saya mansuhkan perintah ini.

“Tetapi, perintah untuk pencegahan penyakit anjing gila masih diteruskan dan semua anjing-anjing bertuan mesti mendapatkan vaksin,” katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Justeru, beliau menasihatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya memahami sebab utama langkah Kerajaan Negeri menghapuskan anjing liar tidak bertuan, sebelum ini.

“Macam mana kita nak melakukan vaksinasi kalau kita tiada (dibekalkan) vaksin.

“Sekarang kita (Kerajaan Negeri) sudah boleh menjaga (membekalkan vaksi) pada anjing-anjing bertuan, kita harap NGO boleh membuat vaksinasi untuk anjing-anjing liar.

“Saya harap janganlah ada lagi (NGO) yang membuat tohmahan dan fitnah bahawa saya ada makan daging anjing,” jelas Guan Eng sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut membeli 5,000 vaksin tambahan sementara menunggu agihan bekalan vaksin anti-Rabies yang baru secara percuma daripada Kerajaan Pusat, sebelum ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Dato' Patahiyah Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) dan Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha Majlis MBPP) turut menyertai sidang media itu.

Terdahulu, Guan Eng mengarahkan tangkapan semua anjing terbiar di Pulau Pinang untuk dilupuskan, selepas dua kes Rabies akibat gigitan anjing gila disahkan positif baru-baru ini.

Tegasnya, Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 diwartakan di bawah subseksyen 42(4) Akta Binatang 1953 [Akta 647], demi membolehkan seorang Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan arahan itu.

Langkah itu mengundang kritikan banyak pihak, antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save Our Starys Penang (SOS) dan badan antarabangsa Mission Rabbies.

Rabies adalah penyakit zoonotik atau virus yang merebak daripada haiwan kepada manusia, melalui gigitan atau pemindahan mukus (saliva) serta boleh mengakibatkan kematian.

Demam dan sakit otot merupakan petanda awam, sebelum berakhir dengan serangan sistem saraf yang mengakibatkan keresahan, insomnia, gangguan mental seterusnya bertindak agresif lalu kematian.

Kes Rabies mula dikesan di Negeri Perlis pada 17 Ogos lalu selepas disahkan oleh Veterinary Research Institute (VRI), disusuli kes serupa di Pulau Pinang pada 14 September lalu.

Dilaporkan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendedahkan kes gigitan anjing pada manusia meningkat kepada 137 pada tarikh 28 September, berbanding 133 pada hari sebelumnya, dengan Pulau Pinang mencatatkan jumlah tertinggi (82), diikuti Perlis (34) dan Kedah (21).

Di samping itu, 2,669 ekor anjing dimusnahkan di tiga negeri terbabit yang diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies pada 17 September lepas.

Sebanyak 1,624 anjing dimusnahkan di Kedah, 748 di Pulau Pinang dan 297 di Perlis.

Bilangan anjing yang divaksinkan sehingga 28 September lalu kekal 2,570 ekor.

Sehingga kini, kekal tiga kes Rabies positif di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus