09 November 2015

Jadikan masjid medan muzakarah "Islam Rahmatun Lil 'Alamin" – Exco Agama

ISMAIL Menk ketika berucap dan mendapat perhatian penuh dari hadirin yang hadir.
ANTARA hadirin yang hadir memenuhi Dewan Seri Pinang baru-baru ini.

PADANG KOTA – Masjid seharusnya terus dijadikan medan ilmu dan muzakarah oleh tokoh ilmuan di tanah air ini, dan bukan terbatas pada aktiviti ibadah khusus seperti solat semata-mata.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata demikian semasa berucap pada malam peluncuran Konvensyen Al-Islam Rahmatun Lil 'Alamin Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

“Kita patut contohi kegemilangan Kerajaan Islam di zaman pemerintahan Khalifah, kegemilangan Islam di Andalusia (Sepanyol) dan kegemilangan zaman ilmuan Islam yang membawa manfaat kepada seluruh umat pada ketika itu.

“Dalam menuju pembangunan ummah di Pulau Pinang, kita turut akan bermuzakarah anatara masjid seluruh negeri bagi memaksimakan penggunaan masjid untuk kepelbagaian aktiviti selain ibadat semata-mata,” jelas Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Malah, katanya, penghayatan maksud "Islam Rahmat Ke Seluruh Alam" yang cuba disemarakkan oleh Kerajaan Negeri sepatutnya meliputi semua komuniti di negeri ini, bukan hanya berlegar di kalangan umat Islam sahaja.

"Sejajar dengan tema (Al-Islam) Rahmatun Lil Alamin, agama Islam tidak harus dipandang hanya kepada sesuatu komuniti sahaja, bahkan perlu menjadi contoh baik kepada seluruh umat," jelas beliau lagi.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya menamakan Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sebagai seorang pemimpin bukan Islam yang memahami nilai-nilai universal yang dituntut dalam Islam.

“Ketika beliau (Guan Eng) berucap, beliau mampu memberi contoh seperti amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan, mencegah kemungkaran) dan meneladani kepimpinan khalifah Islam Umar Abdul Aziz dalam menjalankan pentadbiran bersih serta berjiwa rakyat.

“Dari sini kita boleh melihat Rahmatun Lil Alamin itu dapat mempengaruhi bukan sahaja orang Islam bahkan orang bukan Islam turut tertarik dengan keindahan dari teladan yang dianjurkan,” ujar Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Malam kemuncak konvensyen tersebut dirasmikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas, diiringi isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Hadir sama, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afir Bahardin, Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti) serta penceramah merangkap tetamu khas, Mufti Kerajaan Zimbabwe, Ismail Menk.

Ismail, dalam pidatonya mengupas dengan lebih lanjut surah Al-Anbiya, ayat 107 yang bermaksud, "Kami tidak mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia."

Beliau turut menyatakan umat Islam pada hari ini adalah lebih penting untuk kembali kepada ajaran sebenar Islam yang sangat indah, supaya lebih dihormati oleh orang lain.

Pada sebelah petang hari sama, Ismail turut menyempurnakan majlis perasmian Muzium Haji Pulau Pinang yang terletak di 87, Lebuh Acheh, iaitu lokasi persinggahan jemaah haji sebelum berlepas menaiki kapal laut untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Konvensyen yang mengambil masa selama tiga hari turut diserikan dengan diskusi mengenai Pembelaan Hak Wanita Dalam Islam, Peranan Islam Dalam Perlembagaaan Malaysia, Fungsi Mahkamah Syariah Dalam Pembentukan Masyarakat, Masjid Sebagai Pusat Pembangunan, Hak Asasi Manusia, Urus Tadbir Yang Baik dan Pembudayaan Ilmu.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus