02 January 2015

Peranan Jawatankuasa Kariah bukan di masjid sahaja, kata Mohd. Salleh Man

ANTARA penerima yang hadir pada Majlis Bayaran Saguhati Pengurusan Qaryah 2014 di sini baru-baru ini.

MOHD. Salleh Man (tiga dari kiri) menyerahkan saguhati kepada salah seorang penerima (paling kiri), sambil disaksikan Ustaz Rosidi Hussain (empat dari kiri) dan dua Ahli Majlis ZPP lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man berkata, peranan sebenar Jawatankuasa Kariah antaranya termasuk menyalurkan maklumat anak-anak qaryah yang layak dipertimbang untuk menerima bantuan asnaf daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Justeru, katanya lagi, mereka yang dilantik wajar lebih prihatin dengan perihal kebajikan anak-anak kariah sama ada yang sering berkunjung ke masjid atau sebaliknya.

"Kadang-kadang ada anak kariah yang layak mendapat bantuan zakat, tetapi maklumat mereka ini tidak sampai kepada kita (ZPP) kerana jarang nampak (bersolat jamaah) di masjid.

"Sebab itu, kita sebut Jawatankuasa Kariah, kita tak sebut Jawatankuasa Masjid sebab banyak perkara sepatutnya dimainkan oleh jawatankuasa ini meliputi tiap-tiap anak qaryah, bukan hanya meliputi mereka yang datang ke masjid sahaja," kata Mohd. Salleh pada Majlis Bayaran Saguhati Pengurusan Qaryah 2014 di sini baru-baru ini.

Timbalan Yang di Pertua MAINPP, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ustaz Rosidi Hussain (Pengeurusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid & Hal Ehwal Kariah MAINPPP) turut berucap pada majlis tersebut.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menyampaikan bayaran saguhati daripada sumber zakat kepada 791 penerima dari 207 kariah, yang keseluruhannya berjumlah RM395,200.

Difahamkan, penerima terdiri oleh pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari bagi tiap-tiap jawatankuasa kariah yang dilantik.

Sebelum itu, Rosidi memberitahu bahawa jawatankuasanya akan menguruskan proses melanjutkan tempoh pelantikan Jawatankuasa Kariah yang sepatutnya pada bulan Jun tahun ini ke April 2016.

Bantuan pukat kali ketiga bukti Kerajaan P.Pinang kotakan janji

PENERIMA bantuan pukat percuma merakamkan gambar kenang-kenangan dengan pemimpin Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

DR. Afif Bahardin (berdiri) menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Pukat & Bekas Simpanan Ikan Kepada Nelayan Berdaftar Dengan Kerajaan Negeri, yang turut disertai Mohd. Rashid Hasnon (duduk, kiri) dan P. Kasturiraani (duduk, kanan) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Kerajaan Negeri buat kali ketiga memberi sumbangan pukat kepada nelayan berdaftar, sejak dijanjikan dua kali untuk tiap-tiap tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.

"Jika dipilih sekali lagi selepas PRU13, kami (Kerajaan Negeri) berjanji untuk memberi bantuan pukat sebanyak dua kali tiap-tiap tahun.

"Kita kotakan janji kita, saya ingat ini sumbangan kali ketiga kita beri sumbangan pukat sejak tahun lalu (2013)," ujar Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Perasmian Majlis Penyerahan Bantuan Pukat & Bekas Simpanan Ikan Kepada Nelayan Bahagian Seberang Perai disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid, serta diiringi Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.

Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Rohani Hassan, serta wakil bagi kedua-dua Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).

AMZAR Cat.

Penerima, Amzar Cat, 57, nelayan di Sungai Semilang yang ditemui kemudian melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, dengan menganggap bantuan seumpama ini mengurangkan kos kerjaya sebagai nelayan pantai.

"Ini kali ketiga saya dapat bantuan pukat...berasa lega sedikitlah apabila mendapat bantuan seperti ini," ujar Amzar, sambil berharap dipilih menerima bekas simpanan ikan daripada Kerajaan Negeri kelak.

K. Kumar

K. Kumar, 55, pula berkata, sumbangan pukat ini sekaligus menyerlahkan Kerajaan Negeri prihati dengan jasa nelayan di negeri ini.

"Selepas menjadi nelayan masuk (selama) hampir 40 tahun, ini kali ketiga saya terima bantuan daripada Kerajaan Negeri," ujar Kumar, yang juga nelayan pantai di perairan Bukit Tambun.

Nada sama turut diluahkan oleh Ang Chin Guan, 57, nelayan lebih 40 tahun di perairan Tok Keramat dekat Auto City di sini.

"Saya baru dapat dua kali bantuan pukat kerana terlambat daftar, tetapi, seronok kerana bolehlah nak kurang kos cari makan sebagai nelayan ini," jelas beliau, ditemani rakan penerima, Khor Kwang Ching, 60.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencadangkan pihak penguatkuasaan berwajib supaya mencegah aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan pukat harimau, yang diakui turut menjejaskan hasil tangkapan rata-rata nelayan pantai di sini.

"Dulu tangkap ingat banyak senang di Pulau Aman khususnya, sekarang nak dapat ikan bawal hitam dan senangin pun susah, bawal putih pun kalau dapat tangkap sedikit sahaja," jelas Chin Guan, sambil menggesa penguatkuasaan daripada Jabatan Laut Malaysia (Marin) Pulau Pinang.

ANG Chin Guan (kanan) dan Khor Kwang Ching (kiri).

Jambatan bertol dikecualikan GST disambut baik Guan Eng, tetapi...

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

LIM Guan Eng
GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyambut baik pengumuman terbaru berhubung pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dikenakan ke atas Jambatan Pulau Pinang dan Johor, namun, dinafikan sendiri oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia kemudiannya.

Respons Guan Eng itu merujuk pada kenyataan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Khazali Ahmad pada 18 Disember lepas di bawah Perintah GST (Pembekalan Dikecualikan) 2014, dilaporkan berkata, lebuh raya bertol di jalan awam adalah termasuk jambatan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada pelaksanaan cukai itu yang bermula 1 April 2015.

"Yang penting keputusan muktamad iaitu tidak akan kenakan GST ke atas jambatan. Kerajaan negeri terima perkara ini sebagai selesai," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, pelaksanaan GST dijangka akan memberi kesan berantai yang buruk ke atas pengguna Jambatan Pertama Pulau Pinang dan jambatan baru yang dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Malah, katanya lagi, langkah Kerajaan Pusat tersebut turut akan memberi kesan berantai kepada pengguna lebuh raya bertol di Tambah Johor-Singapura yang menghubungkan Tanjung Kupang dekat Johor ke Tuas di Singapura, berusia 92 tahun.

KHAZALI Ahmad
Dalam reaksi susulan, Khazali menafikan bahawa pihaknya mengumumkan pengecualian cukai GST sebagainya kenyataan Guan Eng yang disiarkan dalam beberapa media.

"Jabatan Kastam tidak pernah pada bila-bila mengeluarkan kenyataan rasmi menarik balik pengecualian GST," jelas Khazali.

Difahamkan, senarai asal yang dikeluarkan Kastam antara lain menyebut jambatan serta lebuh raya bertol dikecualikan GST, tetapi, tidak disebut lagi dalam senarai terbaru yang dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan di bawah Kerajaan Pusat.

Yuran penyelenggaraan dikecualikan GST disambut empat pertubuhan, kata Exco Perumahan

 JAGDEEP Singh Deo menyampaikan ucapan perasmian seminar anjuran RISM di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Institut Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Utara digesa memanjangkan permohonan Kerajaan Negeri supaya yuran penyelenggaraan yang membabitkan 235,000 rumah flat di negeri ini dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian pada satu seminar RISM di sini baru-baru ini.

"Secara prinsipnya, yuran penyelenggaraan dikutip daripada penduduk untuk menyelenggarakan kawasan rumah flat, bukan untuk tujuan keuntungan atau membabitkan pembelian komersial untuk dikenakan GST.

"Justeru, kita (Kerajaan Negeri) merayu sekali lagi supaya RISM membawa pendirian kita ini kepada Kerajaan Pusat, agar GST tidak akan dikenakan ke atas yuran penyelenggaraan rumah flat, bukan sahaja di negeri ini, malah di Malaysia," tegas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan.

Selain RISM, katanya, tiga pertubuhan nasional iaitu Persatuan Penilai dan Perundingan Harta Swasta Malaysia (PEPS), Institut Pengurus Harta Profesional Malaysia (MIPPM), Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) masing-masing turut bersetuju untuk memanjangkan petisyen yang senada dengan Kerajaan Negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Keempat-empat pertubuhan ini telahpun bersetuju untuk menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri supaya kesemua rumah kos rendah dan sederhana rendah serta pangsapuri mampu milik berstrata dikecualikan GST atas yuran penyelenggaraan mereka.

"Saya sendiri masih menunggu dan tidak pasti, apakah reaksi terbaru Kerajaan Pusat berhubung memorandum yang akan dipanjangkan oleh RISM melalui seminar tersebut," jelas Jagdeep lagi.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan berkata, GST dikenakan terhadap syarikat pengurusan flat atas dalih perkhidmatan dan keuntungan yang diperolehi mereka.

"Bayaran yuran penyelenggaraan daripada penduduk dikenakan bagi tujuan perkhidmatan penyelenggaraan kondominium dan mereka mempunyai keuntungan daripada yuran berkenaan," jelas beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam reaksi spontan berkata, pengumuman Khazali itu dijangka akan memberi impak berantai pada 16 peratus populasi rakyat Malaysia di Pulau Pinang, khususnya penghuni rumah flat.

Nada yang sama turut diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Hartanah dan Perumahan Pulau Pinang (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan.

"Jika GST dikenakan ke atas 100 unit umpamanya, tetapi yang berjaya dikutip (yuran penyelenggaraan) meliputi 60 hingga 70 penghuni flat sahaja, maka, penghuni bukan sahaja membayar pada kadar enam peratus (GST), malah, terpaksa membayar lebih daripada itu semata-mata untuk membiayai (GST atas keseluruhan 100 unit rumah pangsa tersebut," ujarnya lagi.

Tambah beliau, pengecualian GST ke atas yuran penyelenggaraan penghuni adalah wajar memandangkan penempatan mereka bukanlah membabitkan jual beli barangan atau perkhidmatan.

Pelaksanaan GST pada kadar 6 peratus dijadualkan bermula pada 1 April depan.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus