05 January 2015

Siapa akan langsai hutang RM41.9 bilion 1MDB, KM tanya PM

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

AIR ITAM - Hutang modal berbayar 1Malaysian Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$1 bilion atau RM41.9 bilion daripada pihak asing yang tidak mampu dilangsaikan oleh Kerajaan Pusat kemungkinan akan ditanggung oleh rakyat.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya lebih bertanggungjawab serta memberi penjelasan berhubung isu yang dipertikai banyak pihak tersebut.

“Ini termasuk beberapa isu...termasuk isu pembelian tanah di sini (Pulau Pinang), dan menimbulkan persoalan penggunaan wang rakyat sampai 1MDB pinjam wang RM41.9 bilion.

"Jangan cakap kerajaan (pusat) tidak tanggung semua, semua orang tahu 1MDB berasal dari mana.

"Jika mereka gagal bayar, siapa yang akan bayar RM41.9 bilion.

“Jangan ingat orang asing bodoh, beri pinjaman tanpa sebarang jaminan, orang asing tidak bodoh dia lagi pandai dari(pada) orang Malaysia.

"Oleh itu, jika tidak mampu bayar RM41.9 bilion, siapa akan bayar,” soal Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih memberi respons tersebut pada satu sidang media, selepas menyaksikan majlis agihan sumbangan RM100 kepada penerima Skim Ibu Emas di perkarangan Maybank di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata beliau berharap agar pembangkang Pulau Pinang tidak memanipulasi skandal 1MDB tersebut, dengan memainkan sentimen agama atau perkauman secara melampau kelak.

Guan Eng menjelaskan, Kerajaan Pusat sewajarnya tidak berdalih bahawa aset negara berjumlah RM53 bilion mampu melangsaikan hutang modal berbayar tersebut.

Ini kerana, katanya, aset dan pinjaman merupakan satu perkara yang tidak boleh dibandingkan untuk menutup isu 1MDB ini.

Tambah beliau, bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mempertikai pentadbiran Najib, manakala, Timbalan Pengerusi UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pula membuat aduan polis ke atas 1MDB baru-baru ini.

Pada majlis sama, Guan Eng diiringi Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut menyaksikan proses pemberian sumbangan Skim Ibu Emas berjumlah RM100, kepada 922 suri rumah sepenuh masa berusia di bawah 60 tahun, dari kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dan Air Itam.

Sayang Aqilah Satira di 'Kasih Abadi'...

AQILAH Satira Mohd. Yusof (belakang, tiga dari kanan) bersama anak-anak terpilih Pusat Jagaan Kasih Abadi merakamkan gambar selepas persembahan 'tarian sufi moden; di Tesco Extra Seberang Jaya. Fotojurnalis Zainulfaqar Yaacob (belakang, paling kanan), isteri, Siti Hajjar Hassan (belakang, dua dari kanan) dan anak kami, 'Insyirah Solehah' turut sertai majlis amal di sini baru-baru ini.

INILAH Aqilah Satira Mohd. Yusof, wanita srikandi yang gigih merealisasikan falsafah kerinduannya kepada Tuhan dan Rasul-Nya, agar melimpah kasih sayang sesama manusia di maya pada ini.


BAGI yang berkunjung ke Gedung Tesco Extra dekat Seberang Jaya pada sebelah malam hari Jumaat hingga Ahad, tentu mereka terdorong melihat koreografi damai sekumpulan kanak-kanak, bersulam bait lagu indah belaka.
Semuanya secara percuma, hiburan sederhana yang sarat dengan pengajaran, yang kadang-kadang menggamit rasa rindu kepada Allah dan Rasul.
Sehinggakan ada yang bertanya, siapa mereka? Apa sebenarnya dilakukan oleh mereka ini?
FOTOJURNALIS Zainulfaqar Yaacob.
Fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB berpeluang mendekati 'orang kuat' di sebalik projek amal ini.
Beliau tak lain tak bukan adalah Puan Aqilah Satira Mohd. Yusof, 47, wanita kental dan ibu kepada sembilan anak.
"Ini, kita panggil tarian sufi moden, semua yang terlibat di atas pentas ini adalah anak-anak terpilih dari rumah pelindungan Pusat Jagaan Kasih Abadi yang dibimbing oleh remaja dari Akademi Generasi Harapan.
"Tarian Sufi Moden ini membawa mesej hiburan yang memujuk kita semua untuk mencintai Allah dan merindui Rasul-Nya, melalui lagu-lagu teladan daripada terjemahan suatu suci Al-Quran, hadith, kisah-kisah sahabat dan sebagainya," ujar beliau semasa ditemui di gedung membeli-belah berkenaan.
Difahamkan, semasa itu, Aqilah Satira sedang mengikuti dari dekat rehearsal persembahan anak-anak terpilih berkenaan untuk Karnival Maulidur Rasul 1436H di gedung berkenaan yang dijadual bermula pada 12 Rabiuawwal bersamaan 3 Januari 2015.
SEPENUH MASA DAKWAH
Tahu tidak tahu, Aqilah Satira merupakan seorang graduan dari University of Essex, England daripada tahun 1988 hingga 1991, dalam bidang T.E.S.L atau Teaching of English as a Second Language.
Sejak di luar negara lagi, wanita kental berkenaan berjinak-jinak dengan pergerakan dakwah dalam dunia pendidikan kanak-kanak.
Sekembalinya ke tanah air, beliau sempat menjadi guru Bahasa Inggeris, sebelum mengambil keputusan untuk terjun sepenuh masa dalam pergerakan amal serta dakwah, sebagaimana dilihat di Pusat Jagaan Kasih Abadi yang ada pada hari ini.
Baginya, beliau mahu membawa kelainan pada Pusat Jagaan Kasih Abadi, dengan memberi penumpuan pada pendidikan hati atau rohani.
"Pusat Jagaan Kasih Abadi ini sangat mementingkan pendidikan hati atau rohani dalam tempoh 24 jam, kerana rohani yang disirami rasa yang kuat dengan Allah dan Rasul akan melahirkan keperibadian yang agung. Ia bermula dengan sembahyang yang dihayati. Sembahyang untuk membesarkan dan meng-agungkan Allah. Ini ditanam dalam jiwa anak-anakPJKA sejak mereka kecil lagi.

"Yang paling penting adalah hati kerana hati yang bersih akan mendorong pembentukan rohani, jasmani, emosi dan mental yang baik," jelas Aqilah Satira.
Katanya, Rasulullah S.A.W sendiri pernah bersabda yang bermaksud, "Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati." [Hadis sahih riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim]
Setakat ini, katanya, seramai 18 kanak-kanak terpilih yang menghuni Pusat Jagaan Kasih Abadi berusia antara enam tahun hingga 12 tahun.
Setiap hari apabila pulang dari Sekolah Kebangsaan Permatang Pauh, mereka ini menerima pembelaan, kasih sayang dan didikan yang berterusan dari tim penjaga yang berjiwa muroqib.

"Bukan tak baik institusi pendidikan hari ini tapi yang terlalu diberi fokus hanya lah pada akal seperti pencapaian akademik semata-mata, sedangkan bagaimana dengan didikan rohani?
"Kita lihat dunia barat yang membangun maju, tetapi nilai insaniah mereka hancur bukan?
"Islam memberi jalan keluar keluar iaitu membangunlah tetapi sertailah dengan keimanan iaitu rasa takutkan Allah dan rindukan Rasul, insyaAllah lahirlah tamadun manusia yang selamat dan menyelamatkan orang lain.
"Jadi, hati ini mesti dihidupkan dengan perasaan takut dan cintakan Allah serta rindukan Nabi, barulah akan wujud kasih sayang sesama manusia.
"Sebagai contoh, solat.Semua kita (umat Islam) solat, tetapi, tak semua merindui Allah dalam solatnya dan di luar solatnya.
"Islam agama kasih sayang, maka hati ini mesti dipagar dengan takut dan cintakan Allah serta rindukan Nabi , barulah lahir kasih sayang sejati sesama manusia," jelas Aqilah Satira, semasa diminta menjelaskan falsafah pendidikan yang cuba diterapkan di Rumah Jagaan Kasih Abadi.

Tambah beliau, banyak pihak sebenarnya menyokong usaha amal ini.

"Alhamdulillah, banyak pihak membantu...macam Pusat Jagaan Kasih Abadi sendiri yang tiap-tiap bulan memerlukan kira-kira RM10,050 untuk sewa rumah, keperluan sekolah anak-anak, utiliti, makan minum dan kebajikan tiga staf. Mereka dididik untuk meminta kepada Allah, maka ada sahaja hati yang tampil menyumbang," jelas beliau.

DUNIA KORPORAT
Menurut Aqilah Satira, Rumah Pusat Jaaan Kasih Abadi merupakan salah satu projek amal di bawah GISB Holdings Sdn Bhd.
Selain mengurus pusat pelindungan tersebut, beliau juga mengurus kilang memproses ayam Ikhwan di Seberang Perai Utara.
"Kilang ayam Ikhwan adalah salah sebuah kilang di bawah GISBH yang sangat menitik beratkan hal taharah (kesucian) sumber makanan yang dimakan oleh kita tiap-tiap hari.
"Saya sebenarnya salah seorang tim pengurusan kilang memproses ayam Ikhwan di Lahar Yooi atas nama (syarikat) Cahaya NM Sdn Bhd.
"Selain kilang memproses ayam, GIHSB ini turut mempunyai rangkaian kafe di tiap-tiap negeri di Malaysia dan juga di luar negara, seperti di Manchester (United Kingdom), Frankfurt di Jerman, Istanbul (Turki) dan di beberapa negara dekat Timur Tengah dan Asia Tenggara.
"Ramai orang yang hendakkan Islam akan ke masjid, tetapi, kita cuba membawa kongsikan keindahan Islam di luar masjid sepert di gedung membeli belah ini, di kilang kita, ke Rumah Jagaan Kasih Abadi dan di restoran-restoran yang dibuka di tanah air dan luar negara," jelas Aqilah Satira lagi.
HARAPAN
Aqilah Satira merakamkan penghargaan kepada Cik Hajar dari pihak Tesco Seberang Jaya di atas peluang yang mereka berikan sehingga berlaku kerjasama indah atas nama Program Masyarakat Penyayang untuk membawa anggota masyarakat samada korporat atau individu untuk lebih prihatin lagi dengan tanggungjawab sosial masing-masing terhadap program amal yang dilakukan melalui Pusat Jagaan Kasih Abadi.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana GISBH turut ditaja satu booth pameran oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang atas nama Usahawan pada Penang International HALAL Expo & Conference 2015 (PIHEC) yang dijadual selama tiga hari mulai 30 Januari ini di Penang International Convention and Exhibition (SPICE) dekat Bayan Baru.
"Insya-Allah, kita akan menyertai PIHEC untuk mempromosi produk halal lagi suci jenama Ikhwan ini.
"Hati yang cintakan Allah dan rindukan Rasul-Nya, akan melimpah kasih sayang sesama insan," jelas Aqilah Satira.


__________________
Zakat atau Sumbangan Cek bolehlah atas nama Pusat Jagaaan Kasih Abadi melalui akaun 557447501562 (Maybank) atau 105600008488 (Affin Bank). Info lanjut, Aqilah Satira Mohd. Yusof melalui whatsapp 0132639029.

Harap Nicol pecah rekod dunia Susan Devoy

NICOL Ann David (tengah) bergambar kenangan bersama-sama ahli-ahli keluarganya, sambil ditemani Lim Siew Khim (tiga dari kanan) di sini baru-baru ini. | Foto: Alissala Thian (Buletin Mutiara)

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN LEPAS - Datuk Nicol Ann David baru-baru ini merangkul kejuaraan kelapan apabila berjaya menewaskan wakil Mesir, Rabeem El Waleily pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014 di Wadi Degla Club dekat negara berkenaan.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng, yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim dalam satu kenyataan berkata, Nicol Ann diharap mampu memecah rekod dunia yang dipegang oleh Susan Devoy kelak.

“Kini, beliau menguasai pemain skuasy wanita dunia nombor satu selama 100 bulan dan saya amat berharap beliau mampu memecahkan rekod yang dipegang pemain New Zealand, Susan Devoy selama 105 bulan," respon Siew Khim kepada wartawan, ketika menyambut Nicol Ann di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus turut hadir pada majlis tersebut.

Tambah Siew Khim lagi, rekod kejayaan Nicol Ann itu diharap menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet lain di Malaysia, khususnya di negeri ini.

Sebelum itu, Nicol Ann dalam reaksi spontan kepada wartawan berkata, kejayaan tersebut merupakan detik paling manis dalam kariernya sebagai pemain skuasy negara.

“Saya seakan tidak percaya dapat mengharungi perlawanan yang getir itu kerana cabaran yang diberikan sungguh sengit tambahan pula beliau bermain ditempat sendiri,” ujar beliau.

Nicol Ann mengambil masa selama 66 minit sebelum menumpaskan Raneem dengan kiraan 5-11, 11-8, 7-11, 14-12 dan 11-5, lantas melayakkan beliau membawa pulang hadiah kejohanan AS$150,000.

“Selain itu saya juga tidak menjangkakan akan mencapai kemenangan ini tetapi kuatkan semangat untuk merangkul kejuaraan ini demi Malaysia, keluarga dan rakan-rakan yang menyokong saya,” tambah Nicol Ann lagi.

Ditanya mengenai perancangan cuti di Pulau Pinang, Nicol Ann sempat berseloroh dengan menyatakan bahawa beliau akan makan sepuas-puasnya di 'syurga makanan' ini.

Rai TMM 2015 P.Pinang Feb. menarik!

KETUA Menteri (kiri) diiringi Ooi Chok Yan turut melancarkan logo khas Tahun Melawan Malaysia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN - Pesta Belon Udara Panas di Padang Polo pada 21 dan 22 Februari ini mungkin akan dijadikan acara tahunan kelak, jika mendapat sambutan luar biasa pada sambutan Tahun Melawat Malaysia 2015 (TMM2015) di negeri ini pada bulan Februari depan.

Menurut Pengurus Besar Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan, pihaknya dengan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan menganjurkan beberapa acara tahunan menarik, seperti Pertandingan Tarian Singa Antarabangsa Malaysia, Pesta Chingay dan Pesta Sr. Anne, demi menggandakan lagi tarikan pelancongan ke negeri ini.

“Dijangkakan juga February akan menjadi satu bulan yang paling meriah dengan banyak sambutan bakal diadakan seperti Tropfest Southeast Asia, Thaipusam, Tahun Baru Cina, Pesta Belon Udara Panas dan Tahun Baru Hokkien,” ujar beliau kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Selain itu, katanya lagi, Penang Anime Matsuri Party turut akan diadakan pada 23 dan 24 Mei depan.

Pada sidang sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng diiringi Chok Yan turut melancarkan logo khas Tahun Melawan Malaysia 2015 Peringkat Negeri.

Penarafan kawasan riadah Taman Berjaya Jawi dihargai

LIM Guan Eng merakamkan gambar bersam-sama pergerakan wanita setempat di sini baru-baru ini.


LIM Guan Eng (tengah) diiringi Soon Lip Chee (depan tiga dari kiri) bergambar dengan penduduk setempat, selepas selesai majlis di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyempurnakan majlis pecah tanah untuk tujuan penarafan padang Taman Berjaya, serentak dengan acara perasmian pembukaan gelanggang berbumbung bola keranjang dan sepak takraw di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dalam ucapannya berkata, kos penarafan gelanggang berbumbung yang telah siap itu menelan belanja RM200,0000 daripada peruntukan Ketua Menteri.

"Ini merupakan suatu sumbangan yang besar daripada Ketua Menteri di mana ia memberi peluang kepada muda-mudi kerana dapat main bola keranjang dan sepak takraw dengan lebih selesa di sini," ujar beliau pada majlis tersebut.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng dan Yang di-Pertua Majlis Perbadaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, perwakilan Persatuan Bola Keranjang Seberang Perai Selatana di sini.

Menurut Lip Chee, gelanggang yang berusia lebih lapan tahun itu turut tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna.

"Maka, saya berharap dengan kelengkapan yang lebih sempurna dapat dimanfaat olah penduduk yang begitu padat di sini, serta NG) (pertubuhan bukan kerajaan)," ujar Lip Chee sambil mengharap komuniti setempat dapat mencegah amalan vendelisme di kawasan riadah tersebut kelak.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam mewujudkan gaya hidup yang bersih, sihat, hijau dan selamat di kalangan rakyat di negeri ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus