06 January 2015

Guan Eng umum nama Ahli Majlis MPPP, MPSP 2015

(Dari Kiri) P. Ramasamy, Mohd. Rashid Hasnon, Lim Guan Eng dan Chow Kon Yeow pada sidang media di Komtar, tadi. | Foto: Facebook Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan senarai 24 nama Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk sesi pentadbiran 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini.

Kata, istiadat angkat sumpah sebagai Ahli Majlis MPSP dijadual pada 7 Januari, manakala, MPPP pada 8 Januari.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) turut menyertai sidang media tersebut.

Senarai nama Ahli Majlis yang akan dilantik serta digugurkan bagi kedua-dua PBT tersebut adalah seperti di bawah.





Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa P.Pinang 9 Jan.



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang selama tiga hari mulai 9 Januari ini di Penang International Convention and Exhibition (SPICE) dekat Bayan Lepas dijangka menerima lebih 30,000 pengunjung.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Sing Deo dilaporkan berkata, 120 perwakilan daripada pemaju, juru perunding hartanah dan bank-bank akan menyertai persidangan, yang turut membuka 48 gerai pameran hartanah.

"Ini adalah kali pertama, kita mempunyai pameran pada sidang kemuncak, seperti yang kita mahu (berbincang) untuk menangani tiap-tiap isu global, melalui satu majlis (secara bersama)," kata Jagdeep, dipetik dari media online arus perdana.

Justeru, katanya, persidangan itu diharap memberi ruang kepada semua perwakilan untuk berkongsi pendapat dengan Kerajaan Negeri dalam mendepani beberapa cabaran bersama kelak.

Sementara itu, Naib Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) Micheal Geh berkata kuasa membeli hartanah pada suku pertama tahun ini dijangka menggalakkan, sebelum pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan pada bulan April depan.

Katanya, pembeli rumah akan mengambil kesempatan untuk membeli ruma idaman mereka melalui pameran hartanah ini, yang disertai lebih 70 syarikat pemaju.

1,850 sertai perarakan Maulidur Rasul sanggah dakyah pembangkang P.Pinang

(Dari kiri) Mokhtar Mohd. Jait, Dr. Afif Bahardin, Abdul Malik Abu Kassim, Mohd. Rashid Hasnon dan Rozali Mohamud kelihatan di barisan hadapan perarakan Maulidur Rasul 1426H/2015M ke perkarangan Masjid Jamek Abdul Fahim dekat Kepala Batas di sini, Sabtu lepas.  | Gambar: Ahmad Adil Mohamad

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM – Seramai 1,850 orang daripada 41 kontinjen menyertai perarakan Maulidur Rasul dari Taman Vision ke perkarangan Masjid Jamek Abdullah Fahim di sini baru-baru ini, sungguhpun Kerajaan Negeri terus digambarkan oleh penyokong pembangkang Pulau Pinang kononnya menghalang aktiviti berkenaan di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dalam ucapannya menasihatkan seluruh umat di negeri ini supaya mengukuhkan tali persaudaraan Islam, serta tidak melayan dakyah politik pihak pembangkang Pulau Pinang.

"Bukan sahaja perarakan sejauh 1 kilometer dianjurkan pada pagi ini, malah Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengisi program sambutan Maulidur Rasul dengan solat (sunat) Dhuha berjemaah," ujar beliau pada Majlis Himpunan Ummah di masjid berkenaan di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pula menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1426 Hijrah kepada "Cikgu Azmi" atau nama sebenarnya Mohd. Azmi Abdul Hamid.

Mohd Rashid turut menyampaikan Anugerah Kategori Inovasi kepada penerima, Md. Fauzi Osman, Abdul Rhaffor Mahmod (Anugerah Kategori Kemasyarakatan), dan Setiausaha Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakat) Dr. Mazzan bin Md Issa @ Mat Desa (Anugerah Kategori 'Shabab' atau Pemuda).

Setiasaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Datuk Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri) serta Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis keraian tersebut.

Manakala, selebriti dakwah terkenal, Dr. Zahazan Mohamed menyampaikan tazkirah khas, selepas acara marhaban dan berzanji.

"Cikgu" MOHD. Azmi Abdul Hamid
Mohd. Azmi yang ditemui kemudian berharap anugerah yang diberikan kepadanya mampu menyemarak lagi semangat keagamaan dalam kalangan muda-mudi di negeri ini.

Difahamkan, Mohd. Azmi dipilih menyertai anugerah utama pada kali ini, antaranya, atas rekod penyertaan beliau dalam misi kemanusiaan ke Palestin, Syiria, Filipina dan Myanmar, selain peranannya dalam seminar peringkat antarabangsa.

"Antara pengalaman berharga yang saya perolehi adalah di Gaza bila mana peluru dan bom meletup dimana-mana sahaja ketika menjalanlan misi kemanusiaan, menjadikan pengorbanan kepada mereka hingga lupa akan kepentingan diri.

"Selain itu saya pernah berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana ketika itu saya dapat rasakan betapa kecilnya suara negara kita ini namun berpuas hati dapat mengemukakan idea pendapat perspektif Islam kepada perwakilan dunia," ulas Mohd Azmi lagi.

'Qudwah Al-Rasul Sirat Ahli-Sunnah Wa Al- Jamaah' merupakan tema sambutan Maulidur Rasul 1426 Hijrah / 2015 Masihi.

AS, Jerman pelabur utama 2013 di Pulau Pinang

KETUA Menteri menyampaikan cenderahati kepada salah seorang wakil agensi yang hadir ke seminar Hari Pembekal di sini baru-baru ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

BATU UBAN - Pelaburan Amerika Syarikat berjumlah AS$115 juta atau RM507 juta pada tahun 2013 direkodkan kedua terbesar di negeri ini, diikuti Jerman dengan AS$69 juta atau RM228 juta jumlah perlaburan.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, syarikat multinasional kekal sebagai penyumbang terbesar di Pulau Pinang sejak tahun 1972.

"Mengikut agregat, 40 peratus daripada pelaburan asing (FDI) Pulau Pinang datang dari Amerika Syarikat & Jerman, terutamanya di sektor elektrik dan elektronik (E & E)," ujar Guan Eng dalam satu seminar sempena Hari Pembekal di sini baru-baru ini.

Berdasarkan perkembangan itu, katanya, Pulau Pinang mempunyai lebih kemampuan menggamit minat pelabur asing ke negeri ini, serta mengembangkan potensi pasaran eksportnya ke peringkat global.

Katanya lagi, infrastuktur muda, geografi dan modal insan yang berkualiti merupakan antara faktor penyumbang pada tarikan pelaburan ke negeri ini.

Itu, katanya lagi, disokong oleh faktor pembukaan jambatan baru yang dikenal Jambatan Sultan Abdul Halim Muad'dzam Shah yang menghubungkan dua kawasan perindustrian di Batu Kawan dan Bayan Lepas.

“Pulau Pinang dilihat mampu menarik banyak pembekal global yang terbaik dalam sektor pembuatan  memandangkan kita sedang menuju ke jalan transformasi ekonomi,” jelas beliau lagi.

Seminar bertemakan "Kembangkan Perniagaan Anda Melalui Rakan Kongsi Antarabangsa" tersebut dihadiri wakil-wakil syarikat domestik danasing, wakil-wakil agensi kerajaan pusat, serta pemain-pemain industri pembekalan. -WatawanNatafZulkifli

Peniaga Uptown Perda hantar bantuan bencana ke Terengganu Rabu!


GIMIK majlis penyerahan sumbangan oleh salah seorang sukarelawan kepada Tuan Zolkifly Md Lazim (depan, kanan) sambil disaksikan oleh Azhar Mat (belakang, kanan) dan Nasorudin Shah Mat (belakang, kiri) dekat Uptown Perda Seberang Jaya-Bukit Mertajam di sini pada malam tadi.



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Konvoi bantuan kemanusiaan pasca banjir anjuran komuniti Uptown Perda Seberang Jaya-Bukit Mertajam ke beberapa kawasan bencana sekitar Terengganu dijadual bertolak pada Rabu dalam jam 2.00 dari sini.

Penaungnya, Tuan Haji Zolkifly Md Lazim berkata, seramai 12 sukarelawan daripada pelbagai pihak akan menyertai konvoi darat tersebut

"Pelbagai barang kelengkapan seperti pakaian seragam sekolah, pakaian, makanan dan macam-macam lagi akan dibawa, hasil inisiatif peniaga di sini (Uptown), Ropewalk Bagan (dekat Taman Selat Butterworth) dan beberapa penyumbang perseorangan.

"Tetapi, fokus konvoi kali ini lebih pada aktiviti pasca banjir, seperti mencuci kediaman terpilih di kawasan bencana," ujar Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang kepada wartawan di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) berkata, konvoi lalu ini adalah yang ketiga disertainya, susulan konvoi kemanusiaan ke Bota dekat Perak, dan Kuala Perai dekat Kelantan.

Wakil perniaga Uptown Perda Seberang Jaya-Bukit Mertajam, Nasorudin Shah Mat berkata, anggotanya setakat malam tadi berjaya mengumpul sumbangan hampir RM4,000 untuk dibawa menerusi konvoi tersebut.

"Berapa pun duit yang kita dapat, kita akan beli dan tukarkan dengan barang-barang keperluan mangsa bencana sebelum ke sana (Terengganu)," ujar Nasorudin.

Beliau yang juga Pengerusi Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) berkata, pihaknya turut mendapat bekalan pakaian seragam sekolah baru daripada komuniti guru-guru yang enggan identiti mereka diketahui khalayak.

Penganjur Uptown setempat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat Permatang Batu, Azhar Mat turut memberitahu bahawa jawatankuasanya menyumbang RM600 melalui konvoi ini, manakala, baki RM500 lain melalui Yayasan Aman Malaysia Pulau Pinang.

Dalam perkembangan sama, ikon aktivis Pulau Pinang "Abu Nawas" atau nama sebenarnya Rosly Yusop berkata, lebih 40 muda-mudi menyertai konvoi bantuan pasca banjir berasingan ke Kelantan, pada waktu sama.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus