16 January 2015

Hukuman dua kontraktor JKSB “terlalu ringan”, kata MP Bayan Baru

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BATU MAUNG - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menganggap denda RM50,000 dan RM35,000 ke atas syarikat kontraktor Cergas Murni Sdn. Bhd. dan Giga Engineering Construction Sdn. Bhd. atas suatu insiden di tapak pemajuan jambatan kedua Pulau Pinang sebagai hukuman yang “terlalu ringan” daripada Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini..

“Hukuman tersebut sangat ringan dan tidak memberi keadilan yang setimpal ke atas mangsa insiden Encik Tajuddin Zainal Abidin yang kehilangan nyawa akibat insiden tersebut,” ujar Tze Tzin, sambil memberitahu bahawa beliau bertanggungjawab berkata demikian kerana insiden tersebut berlaku dalam kawasan Parlimen yang diwakilinya.

Katanya, Syarikat Jambatan Kedua Pulau Pinang (JKSB) sepatutnya mendedahkan punca sebenar insiden runtuhan ramp tersebut hingga menghempap mangsa sampai mati, yang kini masih dianggap misteri bagi pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“Selepas 18 bulan, punca kemalangan masih menjadi misteri.

“Kita nampak CEO MRT Corp Datuk Azhar Abd Hamid meletak jawatan akibat keruntuhan struktur di tapak kerja Kota Damansara....(namun) kita masih tidak nampak sebarang kebertanggungjawaban daripada pihak JKSB.

“Saya menyeru Ketua Pengarah (Eksekutif) DOSH (Pulau Pinang) Ir. Mohtar bin Musri untuk declassify laporan penyiasatan,” tegas Tze Tzin lagi.

Justeru, beliau mencadangkan pihak pendakwaan supaya membuat rayuan ke mahkamah tinggi atas hukuman yang didakwa “terlalu ringan”.

Terdahulu, Mohd Anuar dipetik berkata, kedua-dua syarikat tersebut dijatuhkan hukuman mengikut seksyen 17 dalam akta Occupational Safety and Health Act 1994.

Cergas Murni Sdn. Bhd. dan Giga Engineering Construction Sdn. Bhd. merupakan syarikat kontraktor JKSB.


Padah lewat salur peruntukan Projek Tebatan Banjir – Jagdeep Singh

KELIHATAN kanak-kanak melakukan persembahan pentas pada majlis rumah terbuka Hari Natal dan Tahun Baru 2015 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat, anjuran Jagdeep Singh Deo di sini baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, risiko bencana seperti 'bah merah' di Kelantan baru-baru ini mungkin boleh dikurangkan sekiranya Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan untuk projek tebatan banjir berwajib mengikut jadual pentadbiran yang ditetapkan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkenaan, Pulau Pinang sendiri masih belum menerima peruntukan tebatan banjir yang telahpun diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) daripada Putrajaya, walaupun RMK10 dijadual berakhir pada bulan Mei depan.

Katanya lagi, perkara berbangkit tersebut sekaligus mengakibatkan rancangan Kerajaan Pulau Pinang untuk memperluas serta memperdalam sungai dari Sungai Pinang ke Sungai Air Itam di bawah Fasa Dua Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang yang menelan belanja RM150 juta turut tergendala.

“Kerajaan Pusat perlu mengambil langkah yang lebih holistik untuk menangani masalah banjir ini, kerana ini adalah masalah berbangkit sejak dahulu lagi.

"Saya amat marah kerana terdapat 22 projek tebatan banjir di seluruh Malaysia yang menelan belanja lebih daripada satu bilion Ringgit Malaysia, antaranya ialah di Pantai Timur.

“Kerajaan Pusat perlu memberi keutamaaan pada masalah ini, tetapi mereka seolah-olah begitu sibuk dengan pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan sebagainya,” tegas Jagdeep semasa berucap pada majlis rumah terbuka Hari Natal dan Tahun Baru 2015 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya segera memindahkan keupayaan kewangan, tenaga manusia serta kepakaran Putrajaya untuk usaha-usaha memulihkan semula Kelantan pasca banjir, bukannya asyik cakap-cakap politik menerusi media semata-mata.

Tambah Jagdeep, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya segera mengumumkan pelan pemulihan pasca bencana banjir dengan lebih jelas untuk Kelantan, seperti rancangan membina semula sistem jalan raya yang lebih selamat serta pemajuan rumah mampu milik secukupnya untuk seluruh mangsa bencana di negeri tersebut.

Jagdeep turut mencadangkan Kerajaan Pusat mengemukakan rancangan persiapan menghadapi bencana seperti diamalkan di negara-negara maju, memandangkan kebarangkalian malapetaka seperti 'Bah Merah' di Kelantan sudah mampu diramal menggunakan peralatan teknologi tinggi, kini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Pulau Pinang pada Disember tahun lepas telahpun meluluskan Bajet 2015 berjumlah RM13.9 juta serta tambahan RM10 juta lagi untuk projek tebatan banjir serta menaik taraf sistem perparitan, demi mengurangkan risiko bencana di negeri ini kelak. 

RM12.6 juta agar JKKK tingkat mutu pelanggan

KETUA Menteri (depan, dua dari kiri) diiringi Anwar Ibrahim (depan, tiga dari kiri), Mohd. Rashid Hasnon (depan, dua dari kiri), Lim Hock Seng (depan, paling kiri) dan Amir Md. Ghazali (depan, paling kanan) bergambar dengan anggota JKKK bagi Kawasan Parlimen Permatang Pauh di sini baru-baru ini.

BAYAN LEPAS - Mutu 291 perkhidmatan Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri ini wajar dipertingkatkan memandangkan Kerajaan Negeri pada tahun ini meluluskan sejumlah RM12,594,480, termasuk untuk kenaikan elain Pengerusi, Setiausaha serta elain kehadiran mesyuarat berwajib jawatankuasa berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membuat gesaan sedemikian pada Majlis Penyampai Watikah Pelantikan JKKK Penggal 2015/2016 bagi Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya di sini baru-baru ini.

“Jadilah pemimpin masyarakat yang mampu menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kerajaan Negeri mahu JKKK menjadi perantaraan antara kerajaan dengan rakyat dan sebaliknya,” tegas beliau pada pada majlis tersebut.

Tambah Guan Eng, JKKK juga seharusnya mencari jalan untuk mengupaya pergerakan Briged Wanita Pulau Pinang di kawasan masing-masing, dengan melantik sekurang-kurangnya seorang wanita dalam jawatankuasa komuniti berkenaan.

“Kerajaan Negeri mengharapkan sekurang-kurangnya 15 wanita dilantik sebagai Pengerusi JKKK pada masa hadapan.

“Ini, bukan sahaja membuktikan kita memartabatkan wanita tetapi juga meyakini sifat kepimpinan yang dimiliki oleh mereka,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya mengingatkan kesemua JKKK yang dilantik supaya menyempurnakan kerja-kerja 'profiling' data demografi serta kemudahan asas berwajib dalam masa 100 hari pertama ini, demi memudahkan proses khidmat pelanggan kelak.

“JKKK bukan sahaja merupakan mata dan telinga Kerajaan Negeri tetapi juga menjadi jentera penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran,” kata Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak.

Terdahulu, Guan Eng turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Warikan Pelantikan JKKK bagi tiga daerah lain, iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menggesa Kerajaan Pulau Pinang supaya belajar daripada kelemahan Kerajaan Pusat melalui Majlis Keselamatan Negera (MKN) dalam memulihkan semula perbandaran Kelantan pasca bencana 'bah merah' baru-baru ini.

“Kita harus tegas menegur sama ada (Kerajaan) Persekutuan atau (Kerajaan) Negeri yang ada kelemahan dalam menguruskan bencana tersebut.

“Macam Pulau Pinang yang Alhamdulillah terpelihara daripada bencana teruk seperti di Kelantan, Pahang, Terengganu, beberapa kawasan di Perak seharusnya belajar untuk meningkatkan keupayaan kita, termasuk peringkat JKKK dalam menyelesaikan masalah bencana ini dengan lebih cepat dan berkesan,” ujar Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JKKK Peringkat Seberang Perai.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Md. Ghazali.

MPSP sasar 220 sekolah sertai Anugerah Sekolah Hijau 2015

MAIMUNAH Mohd. Sharif (lima dari kiri) menyempurnakan gimik majlis penyerahan pasu bunga kepada salah seorang guru sekolah di sini baru-baru, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PADANG LALANG - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MSPS) mensasarkan pertandingan Anugerah Sekolah Hijau 2015 pada tahun ini akan disertai 50 buah sekolah menenga, 100 buah sekolah rendah serta 70 buah pra sekolah daripada ketiga-tiga Daerah Seberang Perai.

Untuk itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif berkata, 36 buah sekolah yang pertama kali menyertai Anugerah Sekolah Hijau 2014 masing-masing akan diberi 15 pokok telah siap ditanam dalam pasu, sumbangan Kilang Guppy Plustic Industries Sendirian Berhad (Guppy).

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, juri pertandingan pada tahun ini akan menambah 10 lagi pasu bunga kepada sekolah-sekolah yang dikenal pasti berjaya melaksanakan program kebersihan dan penghijauan dengan baik.

“Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 220 buah sekolah, sasaran kita (MPSP) untuk tahun ini (2015),” kata Maimunah di perkarangan Bangunan MPSP Jalan Betik di sini, semalam.

Dua Ahli Majlis MPSP, Mohd. Sharmizan Mohamad Nor dan Nur Shazreen Mohd. Jilani, Pengurus Besar Guppy, Tan Teik Huat, dan Ketua Jabatan Lanskap MPSP, Shaqhroni Jamaluddin turut menyertai Majlis Penyerahan Pasu Bungan Kepada Sekolah-Sekolah Seluruh Seberang Perai tersebut.

Difahamkan, Anugerah Sekolah Hijau yang diperkenalkan sejak tahun 2010 antara lain bertujuan untuk menyuburkan budaya amalan hijau di sekolah serta dalam kehidupan seharian generasi masa depan Seberang Perai.

Direkodkan, sebanyak 30 buah sekolah menyertai Anugerah Sekolah Hijau pada tahun 2010, diikuti, 36 buah (2011), 53 buah (2012), 84 buah (2013) dan 106 buah (2014).

Maimunah memberitahu, Guppy sejak tahun 2013 lagi menaja pasu bunga untuk program tersebut.

Kali ini, katanya, syarikat tersebut menaja 540 buah pasu, manakalan, MPSP menyumbang pokok bunga.

Dalam perkembangan lain, Maimunah mengumumkan bahawa Pertandingan Melukis Poster “Kempen Makan Sampai Habis” dilanjutkan sehingga 29 Januari ini, dan hadiah lumayan setinggi RM2,000 ditawarkan kepada sekolah dan RM500 kepada murid yang menjuarai saingan tersebut.

Katanya, poster-poster peserta akan dipaparkan untuk proses mengundi daripada kalangan pembayar cukai mulai 1 Februari hingga 28 Februari depan, sebelum 10 poster terbaik bagi setiap kategori akan dikemukakan pada saingan peringkat negeri.

Exco Perumahan syor bank longgar syarat pinjaman

(Dari kiri) ONG Ban Seang, Maimunah Mohd. Sharif, Rosli Jaafar, Jagdeep Singh Deo dan Chow Kon Yeow di salah sebuah gerai pameran hartanah di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK -  Pembinaan rumah mampu milik yang dikatakan tidak mencukupi untuk menampung permintaan penduduk di negeri ini merupakan salah satu isu malar segar berbangkit dalam Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang 2015 di sini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bagaimanapun berkata pihak bank sewajarnya mencari jalan untuk melonggarkan syarat pinjaman demi membolehkan lebih ramai layak membeli rumah mampu milik di negeri ini.

"Daripada REDHA (Pertubuhan Pemaju Hartanah & Perumahan Malaysia), kadar penolakan sehingga 70 peratus.

"Itu bermakna 10 orang yang pergi kepada bank untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli rumah kos rendah atau kos sederhana rendah atau rumah mampu milik, tujuh ditolak.

"Kerajaan Negeri dan REHDA khuatir dengan perkembangan ini kerana ia akan menghalang tujuan dan niat kita membina rumah supaya sampai kepada tangan mereka yang perlu," ujar Jagdeep kepada wartawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato' Jerry Chan (Pengerusi REDHA Pulau Pinang), Ong Ban Seang (Pengarah Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang), Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC) dan Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut menyertai sidang media itu.

Tambah Jagdeep, syor Bank Negara Malaysia (BNM) melonggarkan syarat pinjaman bukan sahaja menguntungkan rakyat, bahkan institusi perbankan sendiri.

"Apabila saya membeli rumah (kos rendah) berharga RM42,000 umpamanya, bank pun tahu bahawa harga rumah itu akan meningkat hampir RM100,000 kelak.

"Dah segi keselamatan, harga rumah ini akan meningkat...mengapa bank tidak mahu membantu Kerajaan Negeri," soal Jagdeep yang jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Jerry Chan pada sidang media sama turut mengaku bahawa pemaju sukar menjual rumah mampu milik berharga RM200,000, RM300,000 dan RM400,000 disebabkan permohonan pinjaman perumahan sukar diluluskan oleh bank.

Sebelum itu, Kon Yeow mewakili Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng merasmikan persidangan dan ekspo hartanah selama dua hari itu.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus