27 January 2015

Bundle Festival KL 20,000 penghujung ke Kulim 21 Feb.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Kejayaan KL Bundle Festival di Dataran Merdeka pada November tahun lepas yang menerima lebih 20,000 pengunjung akan dibawa ke Dataran Sejahtera Kulim, Kedah pada 21 Februari depan.

Ini, salah satu program di bawah pesta ria yang dikenali sebagai Keydean Project Festival.

"Soopa Doopa, Buskers Unite, Bundle Festival, Car Booth Sale, Karnival Jualan, Bazzar Borong Kemboja, Oldskoll Car Gathering antara program yang akan dianjurkan serentak pada hari itu.

"Ini percubaan kita di Utara, sasar 5,000 pengunjung, 300 tapak dibuka untuk peniaga bandle dengan sewa RM20 setapak," kata penganjur.

Info lanjut, layari facebook KEYDEAN PROJECT, hubungi KhairuddinAhmad di talian 0174000204.

Banyak hospital boleh jadikan P.Pinang bandar perubatan - Guan Eng

PARA jururawat Hospital Pantai Pulau Pinang turut mengambil peluang merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Ketua Menteri di sini baru-baru ini. | Foto: Arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Pembangunan lebih banyak hospital persendirian berkualiti di negeri ini sekaligus akan menjadikan Pulau Pinang sebagai bandar perubatan pilihan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Wad Pemulihan Jantung di Hospital Pantai Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan sebuah bandar perubatan di rantau ini, yang menggalakkan pembangunan semua hospital persendirian secara sendiri, dengan kualiti penjagaan kesihatan standard,” kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada wartawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings, Datuk Khairil Anuar dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Pulau Pinang, Lai Yeu Kong turut menyertai majlis perasmian tersebut.

KETUA Menteri melawat salah satu Wad Pemulihan Jantung di Hospital Pantai Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Malaysia khususnya Pulau Pinang mempunyai prospek industri pelancongan perubatan yang memberansangkan, dengan catatan RM295 juta hasil bagi tahun 2013, berbanding RM262 juta bagi tahun sebelumnya.

“Peningkatan kira-kira 11 peratus daripada tahun sebelumnya (2012).

“Pulau Pinang menyumbang dua pertiga daripada pendapatan pelancongan perubatan di negara ini,” jelas Guan Eng lagi.

Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan hasil pelancongan perubatan pada tahun 2013 berjumlah RM690 juta, berbanding RM574 juta, dengan kiraan 16 peratus bagi tahun sebelumnya.

Seramai 770,134 pesakit daripada seluruh dunia mendapatkan rawatan hospital di negara ini pada tahun 2013, berbanding 671,727 persakit pada tahun 2012.

Di Pulau Pinang pula, jumlah pelancong kesihatan pada tahun 2014 meningkat kepada 351,673 pesakit, berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah 297,850 orang.

Harap semakan kehakiman beri keadilan kepada PPS, kata Guan Eng

LIM Guan Eng bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri serta anggota PPS pada sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dekat George Town, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Fail semakan kehakiman yang dibuat pagi ini berhubung pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengharamkan penubuhan Pertubuhan Peronda Sukarela (PPS) di bawah Kerajaan Negeri diharap dapat memberi keadilan kepada 157 mangsa tangkapan polis.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pengumuman Ahmad Zahid yang dibuat kira-kira dua bulan selepas insiden tangkapan beramai-ramai 157 anggota PPS terbabit pada 31 Ogos tahun lepas adalah tidak mengikut prinsip keadilan sejagat.

“Kalau nak ambil tindakan, buat perintah dahulu dan barulah ambil tindakan.

“Permohonan (semakan kehakiman) ini diharap dapat mengembalikan keadilan untuk semua ahli PPS, lebih-lebih lagi apabila perintah pengharaman dibuat selepas 157 ahli PPS ditahan,” ujar Guan Eng kepada wartawan selepas selesai proses mengfail semakan kehakiman berwajib di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut menyertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Ramkarpal Singh, yang masing-masing merupakan peguam.

Guan Eng memberitahu Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh selaku Pengerusi PPS akan bertindak sebagai plaintif, mewakili Kerajaan Negeri.

Wakil kepada tiga pihak defenden, iaitu Menteri Dalam Negeri, Ketua Inspektor Polis dan Kerajaan Malaysia sebagaimana dinamakan dalam fail afidavid Kerajaan Negeri masing-masing tidak kelihatan di sini.

Menurut Guan Eng, peguam yang akan mewakili Boon Poh kemungkinan adalah Dato' S. Amibga, Dato' Malik Imtiyaz Sarwar, Tommy Thomas dan Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos tahun lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang, kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang oleh dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini.

Seramai 157 anggota PPS kemudiannya ditangkap pada 31 Ogos tahun lepas, sejurus selesai menyertai perarakan rasmi Sambutan Hari Merdeka Peringkat Negeri di Padang Kota Lama di sini, sebelum direman semalaman dalam lokap polis.

Guan Eng dalam beberapa kenyataannya menegaskan bahawa PPS ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri serta tidak perlu didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS), seperti amalan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di Pulau Pinang serta di negeri-negeri lain sebelum ini.

Guan Eng kemudiannya mengumumkan keputusan rasmi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, iaitu 'merehatkan' keseluruhan operasi PPS sehingga ada deklarasi daripada mahkamah.

Pada 4 November tahun lepas, Ahmad Zahid mengumumkan PPS sebagai pertubuhan haram, serta mengarahkan aset rasmi pasukan sukarelawan tersebut dirampas.

Sehari kemudian, Guan Eng pula mengumumkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengfailkan semakan kehakiman (judicial review) ke atas Ahmad Zahid dan dua pihak lain, atas pengumuman Menteri berkenaan yang didakwa berniat jahat atau mala-fide.

'Hero' mesti berani nasihat ketua pecat jubah perkaumannya!

Bukan Umno sahaja sedang mempunyai perbalahan dalaman parti sampai didakwa berpunca oleh kelemahan pemimpin. PAS pun sedang mengalami perbalahan dalaman, tetapi, Tuan Ibrahim dilihat seakan tak berani menasihat Abdul Hadi hingga kini.

Hentikan serang menyerang, rakyat sudah muak, kata naib presiden PAS.

Mula, saya ingat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sahaja macam mahu dilihat sebagai 'hero', rupa-rupanya kelaku sebegini dalam Umno pun ada.

Shahidan mahu jadi ‘pendamai’ kemelut perang saraf Najib-Dr Mahathir.

Niat menjadi hero adalah niat yang mulia, dengan syarat, antaranya, mesti berani menasihat ketua yang salah.

Wala' bukan lesen untuk berdiam diri daripada beri nasihat atas kelaku ketua.

Sesungguhnya punca Yahudi sesat kerana anggap pendapat ketua serta syura mereka mutlaq.

Rasulullah S.A.W pun larang 'pilih bulu', sebagaimana mafhum hadith di bawah:

"Sesungguhnya umat terdahulu sebelum kamu telah binasa kerana apabila golongan atasan dan bangsawan dalam kalangan mereka melakukan kesalahan, mereka dibiarkan. Apabila golongan bawahan dan rakyat biasa melakukan kesalahan, hukuman yang ditetapkan oleh Allah (Hudud) dilaksanakan ke atas mereka. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya pasti aku akan memotong tangannya."

*Terjemahan daripada hadith sahih riwayat Imam Al-Bukhari (No. 6,788) & Imam Muslim (1,688).

Kita selalu baca sirah Khalifah Umar Al-Khattab dinasihat secara terbuka oleh seorang muslihat dalam isu mas kahwin.

Muawiyah bin Abu Sufian semasa menjadi Gabenor Syam pun pernah dikritik secara terbuka oleh Ubbadah bin al-Somit.

Mungkin persepsi saya terhadap Tuan Ibrahim salah, jika saya kata pemimpin sederhana tersebut hanya berani tegur Umno, bukan Abdul Hadi, seperti gambar keratan akhbar di atas.

Sebab itu, semalam lagi saya menulis  mampukah Abdul Hadi tanggalkan jubah perkaumannya dengan nasihat Kit Siang?

Apa komen pembaca sekalian....

Haron Din jangan pandai ajar PAS berebut kerusi Kerajaan Tempatan sahaja sampai Putrajaya terlepas lagi ke tangan Umno


Saya pun ada terbaca  Melayu hilang kuasa dengan pilihan raya PBT, kata timbalah mursyidul am PAS. 

Utusan dipetik, Tuan Guru Dr Haron Din dilaporkan berkata, "Sebarang isu yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman akan mengundang padah."

"Kalau tidak segera, maka masa mendatang akan lebih mencabar, kerana itulah isu pilihan raya PBT ini elok dihentikan segera," kata Haron.

Tidak lama dahulu, segelintir pemimpin PAS turut berdalih kononnya Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat dibiarkan merampas Putrajaya daripada rejim Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.

Mereka dilihat senada dengan Umno, kononnya Cina akan menentukan kuasa politik pada PRU13, jika PAS tidak meneruskan idea mirip Kerajaan Perpaduan (UG) dengan Umno.

Lim Kit Siang pernah menulis Mengapa pengundi Cina tidak akan menjadi faktor penentu dalam PRU13? 

"Saya telah menyangkal kenyataan ini dengan mengatakan bahawa kaum Cina Malaysia bukan faktor penentu dan tidak mahu menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke 13.

"Saya juga telah menekankan bahawa 'realiti' keadaan adalah dengan melihat bilangan pengundi Cina di Malaysia, adalah mustahil untuk pengundi Cina menjadi faktor penentu dalam PRU13.

"Biar kita meneliti dengan melihat kepada nombor dan bilangan, mengapa pengundi Cina tidak boleh menjadi faktor penentu dalam pilihanraya umum ke-13.

"Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Walaupun Pakatan Rakyat (PR) memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini ianya hanya akan memenuhi 15% kerusi parlimen.

"55 kerusi Parlimen dimana pengundi Cina membentuk 30% hingga 50% bilangan pengundi.

"Walaupun PR mampu memperoleh 80% undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia masih memerlukan diantara 35% hingga 40% sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi-kesrusi ini.

"Secara keseluruhannya, ini bererti hanya ada 89 kerusi parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30% jumlah keseluruhan pengundi.

"Andaikata PR memenangi kesemua kerusi parlimen ini, ianya hanya akan membentuk 40% jumlah kerusi parlimen, yang jelas tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti kerusi parlimen.

"Tetapi, apa yang dilihat adalah satu situasi dimana Barisan Nasional ditolak oleh pengundi dari pelbagai kaum, termasuklah majoriti kaum Melayu serta kerusi 'campuran' etnik yang dahulunya kubu kuat BN."

Kalau lihat daripada jendela fiqh, hujah Kit Siang lebih mendekati maksud ghalabatuz dzon (sangkaan kuat) atau dzon (sangkaan berasas).

Manakala dalih Haron Don menyokong Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula dilihat lebih mendekati maksud waham (sangkaan tidak berasas), yang sepatutnya ditolak dari segi fiqh Islam sendiri.

Hujah saya begini:

"Macam mana Hadi boleh percaya pilihan raya Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang kelak mampu mencetus Tragedi 13 Mei, sedangkan pilihan raya Kerajaan Tempatan terakhir menurut sejarah pada tahun 1964, iaitu lima tahun sebelum tercetus peristiwa 13 Mei 1969."

Apabila dibaca balik dakyah waham Haron Din ini, saya berharap Timbalan Mursyidul Am PAS jangan pula ghairah mengajar parti berebut kerusi ahli majlis PBT di Pulau Pinang, sampai terlepas lebih 60 kerusi Parlimen yang ditandingi di PRU14 nanti ke tangan Umno.

Perlu ingat Haron Din antara pemimpin PAS yang tak pernah banyak idea mengheret parti bergabung dengan Umno atas nama UG sejak dahulu lagi.

Setuju?

Fail semakan kehakiman Menteri umum PPS haram di Mahkamah P.Pinang 9.00 pagi ini

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan Negeri akan memfailkan semakan kehakiman berhubung pengumuman  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di negeri berkenaan sebagai pertubuhan haram di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dekat George Town pada jam 9.00 pagi ini.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta pemimpin Kerajaan Negeri yang lain dijadual hadir, sebelum mengadakan sidang media berwajib.

Guan Eng pada 5 November tahun lepas mengumumkan langkah Kerajaan Negeri memfailkan semakan kehakiman kerana kenyataan Ahmad Zahid berniat jahat atau mala-fide.

Menurut Guan Eng, PPS ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri serta tidak perlu didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS), seperti amalan menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di Pulau Pinang serta di negeri-negeri lain sebelum ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang, kerana tidak pernah ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan, 1966.

Dakwaan itu, selepas insiden ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mengaku diserang oleh dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini.

Seramai 157 anggota PPS kemudiannya ditangkap pada 31 Ogos lalu sejurus selesai menyertai perarakan Sambutan Hari Merdeka Peringkat Negeri di Padang Kota Lama di sini, sebelum direman semalaman dalam lokap polis.

Guan Eng kemudiannya mengumumkan keputusan rasmi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, iaitu 'merehatkan' keseluruhan operasi PPS sehingga ada deklarasi daripada mahkamah.

Pada 4 November lepas, Ahmad Zahid mengumumkan PPS sebagai pertubuhan haram, serta mengarahkan aset rasmi pasukan sukarelawan tersebut dirampas.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus