06 February 2015

Haemonetics AS labur RM150 juta, bawa 800 peluang pekerjaan

LIM GUAN ENG (kiri sekali) mendapat penjelasan mengenai salah satu peranti berkaitan darah daripada Brian Concannon (dua dari kiri), sambil disaksikan oleh Alan Ng (tiga dari kiri) dan Law Choo Kiang (kanan sekali) di sini baru-baru ini. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Selepas melabur RM150 juta untuk membina industri Haemonetics di Kawasan Perindustrian Batu Kawan di sini, syarikat pengurusan darah dan pembuat peranti perubatan yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu turut mengumumkan rancangan melabur RM50 juta lagi dalam tempoh dua tahun akan datang di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, kehadiran Haemonetics bukan sahaja membuka sehingga 800 peluang pekerjaan mahir dalam tempoh tiga tahun ini, bahkan, menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya hub pengurusan darah sedunia secara sistematik di rantau Asia Tenggara ini.

“Peluang pekerjaan yang lebih cerah, terutamanya bagi kerjaya yang berasaskan pada pengetahuan di Pulau Pinang

“Pembukaan kilang Haemonetics pada hari ini membuktikan satu lagi kejayaan Pulau Pinang yang semakin maju, serta mengesahkan komitmen jangkamasa panjang mereka (Haemometics) ke Malaysia,” jelas Guan Eng pada Majlis Pelancaran Pembukaan Kilang Haemonetics di sini baru-baru ini.

Presiden merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Haemonetics, Brian Concannon dan Naib Presiden Eksekutifnya, Kent Davies turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato' Law Choo Kiang, Datuk Lee Kah Choon (Penasihat Khas kepada Ketua Menteri), Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC), Loo Lee Lian (Pengurus Besar InvestPenang), wakil Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Alan Ng (Pengurus Besar Pasukan Operasi Malaysia Haemonatics) turut hadir pada majlis tersebut.

LAW Choo Kiang (dua dari kiri) mencermati salah satu peranti berkaitan pengurusan darah yang ditunjukkan oleh wakil Haemometics, semasa mengadakan lawatan ringkas di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam berkata, kepercayaan Kerajaan Negeri dalam mengamalkan tender terbuka, mewujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya saing, pemajuan infrastruktur sistem pengangkutan yang mudah dan maju, serta pembinaan tenaga kerja berbakat lagi mahir akhirnya seakan menjadikan Pulau Pinang terus dilihat sebagai destinasi pelaburan pilihan asing di rantau ini.

Sebelum itu, Brian Concannon berkata, pembukaan kilang Haemometics di Pulau Pinang sebenarnya untuk menampung keperluang perkhidmatan pengurusan darah sistemmatik serta pembekalan untuk rantau Asia Tenggara.

“Dengan ibupejabat komersial Asia Pasifik di Shanghai (China), dan ibupejabat edaran kami di Hong Kong, kami menyedari bahawa kemudahan pembuatan dan pengedaran (untuk) rantau Asia Pasifik di sini (Pulau Pinang) akan mempercepatkan kami mengembangkan pengkalan pelanggan kami.

“Kami telah memilih Pulau Pinang untuk pembinaan kemudahan (kilang Haemometics) kami kerana ia (Kerajaan Negeri) menawarkan kawasan terdekat yang diperlukan Haemometics untuk mengukuhkan tapak sokongan kepada pelanggan-pelanggan kami.

“Yang lebih penting, terlalu banyak kelebihan dan kemudahan ditawarkan di Pulau Pinang,” ujar Brian Concannon dalam ucapannya.

Katanya lagi, seramai 250 pekerja mahir diperlukan untuk tahun pertama ini di kilang tersebut, dan, 25 jurutera berpengalaman telahpun bekerja dengan Haemometics, kini.

“Kami (Haemonetics) akan mengeluarkan sekali peranti pakai buang di sini (Pulau Pinang), untuk digunakan dalam pengumpulan dan pemindahan darah serta produk (berkaitan pengurusan) darah dan peralatan-peralatan penting untuk memberi khidmat perubatan transfusi di peringkat global.

Pada peringkat awal, kami akan mengeluarkan 4,500 unit (peranti) boleh guna tiap-tiap hari dan (angka produktiviti) kami dijangkan berkembang kepada 17,500 unit setiap hari selepas setahun ini,” ujar Brian Concannon lagi.

Audit Negara mesti bebas bongkar skandal 1MDB, kata Guan Eng

(Dari kiri) HAN Chee Rull, Nur Jazlan Mohamed, Ketua Menteri, Zairil Khir Johari dan Steven Sim Chee Keong merakamkan gambar selepas selesai forum di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Jabatan Audit Negara mesti dibebaskan daripada kuasa eksekutif Kerajaan Pusat, demi membolehkan skandal hutang luar biasa berjumlah RM42 bilion yang membabitkan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) disiasat secara terbuka serta dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tahunan akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan Forum "Audit Kerajaan: Formaliti atau Kebertanggungjawaban?", anjuran Penang Institude (PI) di sini baru-baru ini.

Bagi Guan Eng, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato' Setia Ambrin Buang sepatutnya sudah boleh ke depan dalam menyiasat skandal 1MDB yang dibangkitkan banyak pihak belakangan ini, supaya tidak lagi mengulangi rekod kegagalan negara dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dahulu.

"Membingungkan apabila melihat Ketua Audit Negara masih enggan membuka buku 1MDB.

"Ini adalah salah satu perkara yang Ketua Audit Negara boleh membetulkan dan menyelamatkan negara daripada mengalami kerugian teruk.

"Dalam erti kata lain, mencegah satu lagi skandal yang tiga kali skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (melibatkan wang negara berjumlah) RM13 bilion," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada majlis yang dilangsungkan di Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di sini.

Mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2013 lagi, Guan Eng berkata, ketirisan dalam tadbir urus Kerajaan Pusat seperti dalam skandal 1MDB sebenarnya turut memberi kesan berantai pada rancangan pembangunan Kerajaan Negeri, termasuk di Pulau Pinang.

Memetik laporan tahun sehingga 31 Disember 2013 itu, Guan Eng berkata, hanya 58.3 peratus daripada peruntukan yang diluluskan berjumlah RM363.39 juta telahpun dibelanjakan, namun, Pulau Pinang direkodkan berjaya menyiapkan 98.4 peratus daripada sejumlah 3,516 projek yang dirancang.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sebenarnya telah kurang berbelanja, tetapi, mencapai lebih banyak (pencapaian).

“Ini, diterjemahkan sebagai bijak, selain sistem penyampaian yang berkesan dan kebergantungan pada sistem tender terbuka yang berdaya saing serta menggalakkan ketelusan dan kecekapan,” jelas Guan Eng lagi.

Tambah Guan Eng, laporan audit terbaru tahun 2013 yang dipetik turut mendedahkan kutipan hasil di Pulau Pinang menyaksikan peningkatan sebanyak 27.4 peratus, berbanding peningkatan yang dicapai Kerajaan Pusat pada angka 2.6 peratus sahaja.

Katanya lagi, lebihan kewangan saban tahun sejak 2008 yang dicapai walaupun Kerajaan Negeri mengamalkan bajet defesit, turut dipuji dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong selaku salah seorang panelis pada forum tersebut berkata, Ahli Parlimen di Dewan Rakyat atau Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) yang ditubuhkan di bawah Parlimen pun sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Ketua Audit Negara menyiasat skandal seperti 1MDB.

Justeru, katanya, Jabatan Audit Negara pada masa depan lebih wajar diletakkan di bawah Parlimen supaya lebih bebas daripada pengaruh kuasa eksekutif Kerajaan Pusat, berbanding sekarang.

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Ketua Pengarah Eksekutif PI, Zairil Khid Johari turut menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis wacana tersebut.

Ahli Parlimen Pulai merangkap Pengerusi PAC, Dato' Nur Jazlan Mohamed dan Penasihat Undang-Undang bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Han Chee Rull turut tampil sebagai panelis pada forum terbuka tersebut.

Penarafan Jalan Siram RM8.7 juta siap 9 April

KETUA Menteri (atas jentera pengorek) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Penarafan Jalan Siram, sambil diperhati oleh para pemimpin Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Peleberan Jalan Siram sepanjang 1 kilometer dalam Kawasan Parlimen Bagan di sini menelan belanja RM8.9 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 April depan merupakan satu lagi rekod komitmen Kerajaan Negeri dalam meningkatkan mutu infrastruktur kemudahaan asas rakyat di bandar dan di luar bandar dekat negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, projek penarafan itu diharap mampu mengurangkan lagi kesesakan trafik dari persimpangan Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) ke Jalan Sungai Nyior hingga persimpangan Jalan Telaga Air Tawar ke Jalan Raja Uda di sini kelak.

“Kos menaik taraf Jalan (Siram) berjumlah RM4.29 juta, manakala, kos pengambilan balik tanah pula berjumlah RM4.4222 juta.

“Ini, sebagai satu lagi buah projek Kerajaan Negeri yang akan memberikan faedah kepada penduduk setempat,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Pecah Tanah Projek Penarafan Sistem Saliran Dan Jalan Siram di sini baru-baru ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan, Dato' Abu Jamal Nordin (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Ir. Salleh Awang turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri pada tahun ini memperuntukan sejumlah RM32.7 juta untuk penarafan beberapa jalan berwajib, khususnya enam projek pembangunan infrastruktur kemudahan asas di bandar dan luar bandar, yang keseluruhan menelan belanja RM86.3 juta.

“Kita belanja RM32.7 juta pada tahun ini, dan bakinya untuk keseluruhan kos projek berjumlah RM86.3 juta akan disediakan pada tahun depan,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Penerangan, Warisan, Kesenian dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Justeru, katanya, rancangan pembangunan Kerajaan Negeri pada masa hadapan tersebut sekaligus akan membawa manfaat kepada para kontraktor Bumiputera yang berwibawa melalui amalan tender terbuka, sebagaiamana ADZ Prima Sdn. Bhd. yang dipilih melaksanakan projek penarafan Jalan Siram sejak 9 Mei tahun lepas.

“ADZ Prima Sdn. Bhd. telah menang secara tender terbuka kerana menawarkan harga paling baik dan mutu paling baik dengan menyiapkan projek ikut jadual.

“Jangan cakaplah bahawa kontraktor Bumuputera tidak mampu bersaing dalam tender terbuka, kerana memang ada kontraktor berwibawa yang mampu dipilih kerana mereka layak dan ada wibawa,” ujar Guan Eng lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng sebelum ini turut mengumumkan peruntukan RM23.9 juta bagi tahun 2015, untuk penarafan beberapa sistem saliran dan pengairan, demi mengurangkan risiko bencana banjir di negeri ini kelak.

Urus semula Line Clear dengan lesen sah, respons Guan Eng

CHOW Kon Yeow (kanan sekali) menyerahkan lesen penjaja bagi tahun 2015 kepada Abdul Latif Ali Thulkarunai (depan, tiga dari kiri), sambil disaksikan oleh Ketua Menteri (depan, tiga dari kiri), Patahiyah Ismail (dua dari kiri) dan Ang Aing Thye (kiri sekali) serta 'anggota waris keluarga' Line Clear lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Thulkarnai S. Naina Mohamed, N. Aisha Kalandar Mustan dan Rahimathollah Naina Mohamed pada 28 tahun lalu menandatangani perjanjian dalam menguruskan perniagaan warung nasi kandar Line Clear di sini secara bergilir-gilir setiap tahun, sehinggalah pengusaha berlesen terkini, Abdul Hamid Seeni Pakir merujuk perbalahan berkeluarga sesama mereka untuk mengendalikan gerai makan 24 jam itu ke mahkamah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menyerbu serta mengosongkan Line Clear sekitar jam 4.00 pagi hari kejadian baru-baru ini susulan mendapati pengendalinya berniaga tanpa lesen berwajib bagi tahun 2015.

Justeru, katanya lagi, Kerajaan Negeri tidak pernah berhasrat menutup terus Line Clear, tetapi, mahu warung nasi kandar diurus oleh pemegang lesen yang sah sahaja.

“Tindakan penguatkuasaan MPPP itu berdasarkan Undang-Undang Kecil Penjaja 1979, dan saya pun tidak faham mengapa perkara ini telah bertukar menjadi satu isu yang menghentam Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri tiada minat untuk mencampuri isu perbalahan keluarga ini dan biarlah ia diputuskan oleh mahkamah saja,” tegas Guan Eng pada sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato' Ar. Patahiyah Ismail (Yang di-Pertua MPPP) dan Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha MPPP), serta Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff (ahli korporat) turut menyertai sidang media tersebut. 

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang mana-mana operasi perniagaan yang mengikut peraturan atas sentimen kaum atau agama sebagaimana digambarkan oleh pihak pembangkang Pulau Pinang, apatah lagi seperti warung Line Clear yang berusia lebih 60 tahun dan menjadi salah satu ikon pelancongan makanan di negeri ini.

Justeru, katanya, MPPP bersetuju memberikan lesen penjaja khas untuk tahun 2015 sahaja atas nama 
Abdul Latif Ali Thulkarunai sehinggalah ada suatu deklarasi baru daripada mahkamah. 

Sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, Abdul Latif berkata, pihaknya bersedia berkongsi hasil keuntungan dengan tiga pihak berwajib yang lain, sebagaimana dalam perjanjian penggiliran berkeluarga untuk tahun ini.

Dalam dokumen yang ditandatangani Thulkarnai S. Naina Mohamed, N. Aisha Kalandar Mustan dan Rahimathollah Naina Mohamed pada 28 tahun lepas, perjanjian mengesahkan ketiga-tiga mereka berhak sebagai pemilik berdaftar gerai jalanan di lorong sebelah 161 Penang Road.

Dokumen menunjukkan tiga pihak setuju dengan terma penggiliran, iaitu setiap pihak akan menguruskan dan menyelenggara kedai setahun sekali bermula 1 Januari 1988 bermula dengan Thulkarnai, diikuti Aisha, dan Rahimathollah.

Dokumen juga mengandungi perjanjian bagaimana kerja pembaikan perlu dibayar.

Pengusaha terkini adalah Abdul Hamid Seeni Pakir, dan anak lelakinya Hashim Abdul Hamid dilaporkan enggan memberikan komen ketika diminta menunjukkan dokumen berwajib.

Pun begitu, Abdul Hamid mengaku bahawa dirinya sebagai salah seorang saksi dalam dokumen tersebut, yang membabitkan ketiga-tiga penama berkenaan.

Malah, Abdul Hamid turut dilaporkan mengaku datuknya, Seeni Pakeer sebenarnya memulakan gerai menjual nasi dan makanan ala India-Muslim di lorong yang dahulunya dinamakan Lorong Jamban, kerana berdekatan dengan tandas awam yang terletak di hujung lorong.

Selepas itu, jalan bersejarah itu secara tidak rasmi dinamakan pula sebagai Lorong Seeni Pakeer Coffeeshop, sebelum dinamakan N Aishah Nasi Kandar dan kemudian, Line Clear.

Restoran itu pernah dikunjungi oleh chef Anthony Bourdain pada tahun 2012, terkenal secara tradisi kerana juruwang akan berteriak "line clear" selepas pelanggan selesai makan dan membayar makanan.

MPPP, pada 2 Jun tahun lalu mengeluarkan Lesen Penjaja Gerai Lorong berkata, pihaknya akan mengeluarkan semula lesen tapak bagi memastikan gerai itu beroperasi mengikut undang-undang.

Pengarah bahagian perlesenan MPPP, Azman Sirun berkata, lesen diberikan kepada tiga individu pada tahun 2012 untuk menjalankan aktiviti komersial.

Tiga yang terlibat adalah Abdul Latiff Thulkurnai, Sahubarali China Mohd Hanibah dan Pathumah Iskandar, ketiga-tiganya sepupu, dan mempunyai kaitan dengan tiga individu yang menandatangani perjanjian asal pada tahun 1987.

Bagaimanapun Azman berkata, pemegang lesen tidak boleh menjalan perniagaan kerana kawasan lorong itu sudah dikuasai Abdul Hamid.

Tambah Azman, Sahubarali yang sepatutnya mengambil alih operasi pada tahun 2011 lagi, tetapi, tidak dapat haknya kerana Abdul Hamid enggan menyerahkan hak penggiliran sehingga ke hari ini.

Justeru, serbuan baru-baru ini dibuat kerana MPPP berniat untuk mengambil alih tapak dengan mengosongkan kawasan sedia ada Line Clear, selain, mahu menyusun semula aktiviti perniagaan gerai selaras dengan undang-undang yang baru dikuatkuasakan.

Azman berkata, serbuan baru-baru ini di Line Clear juga demi memastikan tahap kebersihan dan penjagaan makanan kembali dipelihara.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus