16 March 2015

AIM dilantik 'amil' zakat P.Pinang

MOHD. Salleh Man (empat dari kiri) dan Yusoff Haniff (tiga dari kiri) serta dif kehormat lain menyaksikan majlis menukar dokumen MOA Pelantikan AIM Sebagai Amil ZPP, antara Azman Abdul Somat (enam dari kiri) dan Norsharizal Mashahrin (dua dari kiri) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dilantik sebagai wakil pemungut zakat atau amil di negeri ini, selepas memeterai satu memorandum perjanjian (MOA) dengan Zakat Pulau Pinang (ZPP) di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man berkata, pemeteraian perjanjian itu sekaligus membolehkan AIM mendapatkan maklumat langsung berwajib mengenai hal ehwal pungutan zakat daripada ZPP sendiri.

"AIM merupakan pihak ketiga yang dilantik sebagai wakil ZPP untuk memungut zakat gaji daripada anggotanya, selepas MoU serupa yang dibuat dengan Pos Malaysia pada tahun 2007 dan ANGKASA (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) pada tahun lepas (2014).

“Pelantikan AIM ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada semua aspek zakan, khususnya dalam kalangan ahli dan (peserta skim pinjaman mikrokredit) Sahabat AIM untuk mendapatkan maklumat zakat secara langsung daripada pegawai AIM yang dilantik sebagai wakil kutipan Zakat Pulau Pinang,” ujar Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir.

Ahli Lembaga Pengarah AIM, Datuk Yusoff Haniff turut berucap pada majlis tersebut pada Majlis Tandatangan MOA Amanah Ikhtiar Malaysia Sebagai Wakil Kutipan Zakat.

Majlis tanda tangan tersebut dilangsungkan antara Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Samat dan Pengarah Urusan AIM, Norsharizal Mashahrin.

Justeru, Mohd. Salleh berkata pihaknya lebih banyak badan korporat tampil untuk bersama-sama melakukan kerjasama stategik dalam memungut zakat, sebagaimana dilakukan oleh AIM.

Mohd. Salleh turut mengumumkan jumlah ZPP pada tahun lepas direkodkan mengutip RM82.2 juta zakat harta, dan RM4.2 juta zakat fitrah.

Sementara itu, Yusoff memberitahu, seramai 5,975 orang, terdiri oleh kaum wanita yang menyertai skim pinjaman mikrokredit kendalian AIM di negeri ini.

Daripada jumlah itu, katanya lagi, seramai 2,300 orang Sahabat AIM berkenaan direkodkan berjaya meningkatkan pendapatan kasar bulanan melebihi RM3,500.

“Pembayar zakat daripada kalangan Sahabat AIM yang kita sasar untuk tahun ini seramai 1,500 orang dulu,” ujar Yusoff.

“Sahabat AIM ini khusus untuk wanita sahaja, India ada, Cina ada dan kebanyakannya orang Islam.

“Ibu tunggal, wanita yang susah, media dan ZPP mungkin boleh bawa kepada kita (AIM) untuk kita usaha menyalurkan bantuan pinjaman mikrokredit dan membantu mereka keluar daripada hidup susah mereka,” jelas Yusoff pada sidang media selepas itu.

AIM merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan 28 tahun lepas demi memartabatkan kaum wanita supaya keluar daripada hidup susah, melalui bantuan pinjaman mikrokredit dan khidmad nasihat komersial.

2,093 rumah di Jalan SP Chelliah siap Nov. 2019, kata Guan Eng

KETUA Menteri (kiri sekali) serta pemimpin Kerajaan Negeri lain turut melihat pameran model Rumah Mampu Milik 'The Rise' di sini baru-baru ini. | Foto: Law Suun Ting

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KOMTAR – Pemajuan 2,093 unit rumah melalui agensi pelaksana Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kerjasama pemaju Zubicon Sdn. Bhd. di atas sebidang tanah milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berkeluasan 11.04 ekar dekat Jalan SP Chelliah di sini dijangka siap pada bulan November 2019.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri sanggup membina rumah mampu milik di atas tanah bernilai tinggi dalam kawasan bandar George Town di sini sebenarnya demi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

MAJLIS pecah tanah disempurnakan oleh Ketua Menteri (11 dari kiri), diiringi Lim Beng Keong (10 dari kiri) dan para pemimpin Kerajaan Negeri yang lain di sini baru-baru ini.

“Ini adalah lokasi yang paling baik, apa yang kita (Kerajaan Negeri) sebut sebagai 'tanah emas' di kawasan ini, bukan untuk meraih keuntungan tetapi untuk membina rumah untuk rakyat.

“Pemaju (Zubicon) telah berjaya (dipilih) melalui tender terbuka untuk memperoleh projek ini atas kerjasama serta semangat perkongsian sektor awam dan swasta,” ujar Guan Eng pada Majlis Pecah Tanah Skim Perumahan Awam Dan Mampu Milik 'The Rise' Di Jalan SP Chelliah di sini baru-baru ini.

Ucapan Pengarah Urusan Zubicon Sdn. Bhd., Lim Beng Keong dibaca oleh jurucakapnya.

(Dari kiri) LIM Beng Keong, Teh Lai Heng, Patahiyah Ismail, Chow Kon Yeow, Farizan Darus, Ketua Menteri, Mohd. Rashid Hasnon, P. Ramasamy, Jagdeep Singh Deo, Rosli Jaafar, Ng Wei Aik, Jeff Ooi Chuan Aun dan Lim Siew Khim di pentas utama majlis di sini baru-baru ini.
ANTARA tetamu yang hadir pada Majlis Pecah Tanah Skim Perumahan Awam Dan Mampu Milik 'The Rise' di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) dan Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Excoo Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Farizan Darus, Dato' Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Teh Lai Heng (ADUN Komtar), Lau Keng Ee (ADUN Pengkalan Kota), Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Dato' Ar. Patahiyyah Ismail (Yang di-Pertua MPPP) serta Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC).

Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada MPPP kerana sanggup menawarkan tanah bernilai tinggi tersebut untuk merealisasikan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), melalui tender terbuka dengan kerjasama pemaju swasta.

KELIHATAN beberapa pegawai PDC mencermati pameran model Rumah Mampu Milik 'The Rise' Jalan SP Chelliah yang dibuka serentak dengan majlis pecah tanah di sini baru-baru ini.

Sebanyak 770 unit rumah kos sederhana rendah (KSR) berharga RM72,500 seunit akan dibina di Jalan SP Chelliah.

Selain itu, bilangan Rumah Mampu Milik pada harga harga jualan RM200,000, RM300,000 dan RM400,000 yang akan dibina di sini masing-masing berjumlah 883 unit, 165 unit dan 275 unit.

“(Harga jualan semua rumah) ini adalah garis panduan yang bukanlah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, tetapi oleh Kerajaan Pusat di Putrajaya,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pengurusan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.
Pembinaan 2,093 rumah di Jalan SP Chelliah merupakan salah satu daripada 12 projek perumahan yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri hari ini, demi menyediakan 22,546 unit rumah meliputi kelima-lima daerah.

Lima projek utama tersebut di bahagian Pulau, iaitu dekat Jalan SP Chelliah, Teluk Kumbar, Jelutong, Pintasan Cecil dan Sandilands.

Manakala, baki tujuh projek utama lain adalah di bahagian Seberang Perai, iaitu dekat Bandar Cassia, Kampung Jawa, Ampang Jajar, Bukit Mertajam, Juru, Mak Mandin dan Ujung Batu.

“Seperti yang anda semua maklum, kerja-kerja telah dimulakan untuk dua projek sekarang, iaitu Bandar Cassia di Batu Kawan dan Teluk Kumbar,” ujar Guan Eng lagi, sebelum menyempurna majlis pecah tanah di sini.

Kelajuan Penang Free Wifi kini lima kali ganda, umum Guan Eng

KETUA Menteri (tengah) berjabat tangan dengan Shaifubahrim Shah (kiri) sambil disaksikan oleh Wong Hon Wai selepas sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Lambakan trafik hingga 20,000 pengguna Penang Free Wifi pada satu-satu masa hingga mengakibatkan kepantasan jalur lebar ke internet (backhaul bandwidth) kian lembab belakangan ini mendorong Kerajaan Negeri menaiktaraf kemudahan tersebut.

Ketua Menteri, YAB Tuan Lim Guan Eng berkata, kira-kira 600,000 penguna berdaftar di negeri ini kini boleh menikmati kemudahan wifi dengan kelajuan internet ditingkatkan hingga lima kali ganda berbanding dahulu.

“Dengan peningkatan 5 kali ganda dalam backhaul bandwidth dari 75Mbps (Megabits sesaat) kepada 375Mbps, pengguna perkhidmatan WiFi percuma sekarang akan dapat menikmati kelajuan yang lebih cepat daripada 1Mbps berbanding 512kbps (kilobit sesaat) sebelum ini,” ujar Guan Eng kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, penarafan kepantasan jalur lebar ke internet tersebut yang ditingkatkan kini adalah menyamai kadar 500 peratus berbanding sebelum ini.

Sebelum itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Perniagaan REDtone International Bhd., Shaifubahrim Shah selaku pengenali perkhidmatan Penang Free Wifi sejak enam tahun lepas turut menjelaskan punca perkhidmatan wifi tersebut diakui kurang memuaskan pengguna di negeri ini.

Menurut beliau, kepantasan jalur lebar ke internet paling sesak pada sekitar jam 11.00 pagi hingga 10.00 malam, disebabkan menerima lambakan lebih 20,000 pengguna Penang Free Wifi pada satu-satu masa.

Difahamkan, Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 secara berperingkat membangunkan kira-kira 1,550 hotspot Penang Free Wifi meliputi kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

Kini, Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM25,000 lagi atau 19.3 peratus tiap-tiap bulan, menjadi kos pembiayaan bulanan berjumlah RM154,200 berbanding RM129,200 dahulu, demi memastikan mutu perkhidmatan Penang Free Wifi lebih memberi manfaat untuk rakyat di negeri ini.

Sidang media tersebut turut disertai oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengurusan Lalulintas dan Hal Ehwal Pengguna), Chong Eng (Exco Belia & Sukan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri), Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjong) dan Lau Keng Ee (ADUN Pengkalan Kota).

Pergesaran Najib, Muhyiddin tak penting berbanding tangani hutang 1MDB, gesa Guan Eng

KETUA Menteri (tengah) menyantuni para penerima RM100 Sumbangan Warga Emas, yang disertai oleh Wong Hon Wai (dua dari kiri), Ramkarpal Singh (tiga dari kiri) dan Zairil Khir Johari (paling belakang, kiri) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SHUM JIAN-WEI

AIR PUTIH - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pergeseran politik antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kontroversi lambakan hutang syarikat pelaburan negara 1Malaysian Development Bhd. (1MDB) adalah tidak penting serta langsung tidak menguntungkan rakyat.

Justeru, Guan Eng yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menggesa Putrajaya supaya segera menangani isu tersebut dengan tidak menambah lagi beban hutang negara.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa beban hutang negara ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat, melalui pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) mulai 1 April ini.

“Wujud konflik antara Muhyiddin dengan Najib atau tidak, itu tidaklah penting.

“Yang lebih penting dalam konflik dengan Perdana Menteri adalah bagaimana untuk menangani krisis 1MDB ini,

“1MDB mengakibatkan '1Malaysia Dalam Bahaya', itu yang lebih penting,” tegas Guan Eng pada Majlis Sumbangan RM100 Warga Emas Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dekat perkarangan Maybank Cawangan Kampung Baru di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institude (PI), Zairil Khir Johari, Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri) dan Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) turut menyertai sidang media itu.

Guan Eng yang juga juga Ahli Parlimen Bagan turut mengulas mengenai gesaan Muhyiddin supaya langkah menyelamat (bail-out) 1MDB tidak menggunakan dana awam rakyat.

“Muhyiddin buat kali pertama bercakap mengenai 'bail-out' (langkah menyelamat), maka, Muhyiddin seakan bercakap sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Najib.

“1MDB merupakan ancaman pelaburan kewangan yang besar, seakan cuba ditangani melalui langkah menyelamat (bail-out),” tegas Guan Eng lagi.

Katanya, kontroversi 1MDB kini bukan sahaja diperkatakan oleh pemimpin pembangkang, khususnya Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, katanya lagi, isu konterobersi tersebut sudah sampai peringkat menggamit perhatian tokoh-tokoh yang pernah berada dalam Kerajaan Pusat, seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Tun Daim Dzainuddin (bekas Menteri Kewangan).

Respons Guan Eng ini dibuat semasa Dr. Mahathir dalam kenyataan terkini beliau meneruskan kritikan ke atas 1MDB, dengan mengaitkan kontroversi tersebut dengan kekayakan keluarga perdana menteri, terutama anak tiri Najib bernama Riza Aziz yang didedah mampu membeli hartanah mewah serta membikin filem di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Terdahulu, hutang modal berbayar 1MDB kepada pihak asing yang tidak mampu dilangsaikan oleh Kerajaan Pusat didedah sebanyak RM41.9 bilion.

Guan Eng dalam satu forum anjur PI pada bulan lepas menggesa suatu siasatan terbuka dibuat, lalu direkodkan dalam Laporan Ketua Audit Negara akan datang, tidak seperti dalam laporan terbaru sebelum ini.

“Jika mereka (Kerajaan Pusat) gagal bayar, siapa akan bayar,” tanya Guan Eng kepada Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Maslan yang dilihat ghairah membela 1MDB dilaporkan memberi jaminan bahawa lebih RM7 bilion daripada pelaburan persisiran pantai di Cayman Islands akan dipulangkan ke Malaysia pada tahun ini.

Susulan itu, dilaporkan, Muhyiddin dalam suatu reaksi berani berkata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Parlimen boleh menyiasat mengenai kontroversi 1MDB.

Respons Muhyiddin tersebut dibuat sehari selepas kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang berdalih bahawa pihaknya yakin tiada salah laku dalam 1MDB.

Muhyiddin juga dalam kenyataan lain turut menegaskan bahawa Kerajaan Pusat tidak bersedia melakukan tindakan menyelamat (bail-out) ke atas 1MDB, dengan menggunakan dana awam negara.

Dr. Mahathir pula menggesa suatu siasatan forensik polis perlu dilakukan ke atas 1MDB.

"Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun.

“Yang diperlukan ialah siasatan forensik oleh polis akan tuduhan yang dibuat terhadap beberapa orang yang terlibat dengan pengurusan wang 1MDB," kata Dr. Mahathir dipetik dari blognya.

Desakan demi desakan daripada Dr. Mahathir Mohamad, Putrajaya akhirnya mengesahkan pula pemberian RM950 juta lagi dalam bentuk 'standby credit' kepada 1MDB, kononnya demi menyelesai hutang syarikat pelaburan kontroversi tersebut yang mencecah RM42 bilion.

PAS paling untung urus RM92 juta wang zakat, melebihi bajet seorang Exco Kerajaan P.Pinang, kata PasMa

ZOLKIFLY Md Lazim (kanan) menjelaskan mengenai kepentingan PAS menghantar pakar pembangunan wakaf dalam MAINPP, dalam forum 'Untung Perkukuh Pakatan Rakyat di Pulau Pinang' bersama-sama Ustaz Taib Ahmad (tengah) dan moderator Zainulfaqar Yaacob (kiri) di sini, Sabtu lepas.
MOHAMAD Kamal Abdullah (duduk) bersama-sama sof kepemimpinan PAS Cawangan Kebun Sireh merakamkan gambar kenang-kenangan dengan pemimpin PasMa selepas selesai Forum 'Untung Perkukuh Pakatan Rakyat di Pulau Pinang' di sini, Sabtu lepas


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BATU KAWAN - PAS paling untung di Pulau Pinang kerana bekas Pesuruhjayanya Dato' Mohd. Salleh Man yang kini masih memimpin Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menguruskan kira-kira RM92 juta wang zakat bagi tahun 2014.

Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Tuan Haji Zolkifly Md Lazim berkata, angka dana zakat yang diuruskan oleh Mohd. Salleh selaku Yang di-Pertua MAINPP merangkap ADUN Permatang Pasir itu sekaligus menggambarkan bahawa wakil PAS berkenaan sebenarnya menguruskan kewangan negeri terbanyak, melebihi bajet seorang exco Kerajaan Negeri lain.

"Walaupun tiada wakil PAS dalam Exco Kerajaan Negeri, tetapi PAS paling untung kerana kita urus bajet paling besar, lebih besar daripada bajet yang diurus oleh seorang Exco Kerajaan Pulau Pinang daripada DAP dan PKR.

"DAP pun tiada wakil dalam urus zakat ini kerana paling ramai (sebagai ahli lembaga pengarah) dalam MAINPP dan Zakat Pulau Pinang (ZPP), sebagaimana wakil PAS dan PKR dalam institusi tersebut.

"Tak logik lah kalau ada pemimpin PAS Pulau Pinang kata parti rugi tak dapat apa langsung di Pulau Pinang, walaupun Pakatan Rakyat kuasai Kerajaan Negeri sejak tahun 2008," ujar Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang di sini, Sabtu lepas.

Zolkifly berkata demikian pada Majlis Dialog Bersama PasMa mengenai 'Untung Memperkukuh Pakatan Rakyat di Pulau Pinang', di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Barokah dekat Permatang Kebun Sireh dalam Kawasan Parlimen Batu Kawan.

Mewakili Presiden PasMa Dato' Phahrolrazi Mohd. Zawawi, Setiausaha Agungnya Ustaz Taib Ahmad turut hadir sebagai panelis utama, pada majlis dialog anjuran PAS Cawangan Kebun Sireh.

Zolkifly berkata, PAS sepatutnya lebih dinamik dengan menghantar lebih ramai wakil daripada tenaga pakar dalam MAINPP dan ZPP jika mahu terus berdaya saing dalam menguruskan khazanah ummah, seperti zakat dan wakaf di negeri ini.

"Harta wakaf di MAINPP seperti sebidang tanah bersebelahan Wakaf Seetee Aisha (sebelah lebuh raya Seberang Jaya) umpamanya, tak ternilai harganya, tetapi tak dibangunkan sampai sekarang walaupun wakil PAS yang memimpin jawatankuasa pembangunan wakaf ini.

"Setiap kali nak mesyuarat Perhubungan PAS Negeri, pihak berwajib hanya mampu potong rumput yang mencucuk mata di atas tanah wakaf ini, kerana takut saya bangkit isu yang sama disebabkan wakil yang PAS hantar dalam MAINPP ini bukan pakar bangunkan tanah wakaf ini," tegas Zolkifly yang juga Presiden D'BM Hospital Permatang Pauh.

Sehingga tahun 2014, menurut Zolkifly, tanah wakaf di Pulau Pinang direkodkan seluas 1,837.01 ekar melibatkan 1,555 lot meliputi kelima-lima daerah di negeri ini.

"Semua tanah ini sangat tinggi nilainya kerana berada di kawasan pulau, serta di tepi jalan, seperti di Wakaf Seetee Aisha.

"Umat Islam wajib tanya wakil PAS yang diamanahkan urus tanah wakaf ini, takkan nak kata pentadbiran Ketua Menteri YAB Tuan Lim Guan Eng pula yang halang kerja buat pembangunan tanah wakaf, sedangkan jelas-jelas wakil PAS yang dominasi MAINPP dan ZPP, bukan pemimpin non-Muslim DAP," tegas beliau.

Sebelum itu, Ustaz Taib turut mengulas mengenai isu proses pelantikan Datuk Dr Harun Din oleh Majlis Syura Ulamak (MSU), yang didakwa seakan tidak mengikut perlembagaan parti.

"Masa Datuk Asri (Muda) keluar parti, jawatan presiden parti dipangku oleh Pak Yusuf (Datuk Yusof Rawa) hingga muktamar, bukan lantik terus macam macam dibuat Setiausaha MSU ini.

"Setiausaha MSU, (Datuk) Ustaz Nik Mohamad Zawawi Salleh perlu perjelaskan proses pelantikan Ustaz Harun Din ini dibuat ikut perlembagaan atau tidak, dari segi cukupkah korum ahli mesyuarat MSU, serta ada tak notis 14  panggil mesyuarat dibuat," jelas Ustaz Taib.

Berucap di depan lebih 50 hadirin, Ustaz Taib turut mempertikai kenyataan terbaru Dr Harun Din yang menggesa jawatan Presiden PAS yang kini disandang oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya tidak dicabar oleh sesiapa pun menjelang musim saingan Muktamar PAS pada bulan Jun 2015.

"Ustaz Hadi sendiri kata jawatan Presiden PAS boleh dipertandingkan kerana beliau benar-benar faham ruh musyawarah Islam yang sebenar dalam perlembagaan parti.

"Sepatutnya seorang Mursyidul Am PAS patut dilihat bebas, iaitu tiada kepentingan atau jawatan sama ada dalam politik atau syarikat korporat serta GLC berkepentingan, barulah dilihat ada semacam doktrin pengasingan kuasa semacam sistem pentadbiran negara," respons Ustaz Taib kepada soalan yang dibangkitkan oleh bekas Pengerusi Tetap PAS Kawasan Batu Kawan, Haji Mohamad Kamal Abdullah.

Tegas Ustaz Taib, idea mirip Kerajaan Perpaduan (UG) dengan mengheret PAS bekerjasama dengan Umno seperti di Kelantan, atau percubaan membawa parti keluar daripada Pakatan Rakyat seperti di Pulau Pinang sebelum ini hanya akan memanjangkan 'hayat politik nazak Umno' pada pilihan raya umum akan datang sahaja.

Wakil PAS Kawasan bagi Kepala Batas dan Tasek Gelugor serta Padang Serai turut berdialog secara terbuka dengan wakil PasMa, pada malam tersebut.


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus