05 May 2015

Jangan zalimi petani Permatang Pauh, Dr. Afif nasihat Menteri Pertanian

DR. Afif Bahardin (depan, lima dari kiri) diiringi Ahmad Munir Yusoff (depan, enam dari kiri) dan Chan Meng Kai (depan, paling kanan) merakamkan gambar dengan semua penerima insentif input pertanian di sini, petang tadi. 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERMATANG PAUH - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin petang tadi menasihatkan Kerajaan Pusat supaya tidak mengancam kaum petani yang kemungkinan akan mengundi calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh kali ini.

Beliau berkata demikian, sebagai reaksi pada kenyataan berterus-terang Menteri Petanian & Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri yang mengingatkan pengundi berwajib supaya melupakan terus peruntukan daripada kementeriannya, jika masih memenangkan calon Pakatan Rakyat berkenaan.

"Sebagai sebuah Kerajaan, baik Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) atau Kerajaan Pusat, program bantuan, kebajikan atau sumbangan serta dasar yang kita buat kena ambil kira semua orang, tanpa mengira perbezaan pandangan politiknya, bangsanya, beza agamanya dengan kita.

"Mana boleh sebuah kerajaan yang pemimpinnya berkata jika begini-begini berlaku pada pilihan raya, maka, mereka (pengundi Permatang Pauh) tak dapat apa-apa (peruntukan pertanian).

"Sesiapapun (Ahli Parlimen) yang akan dipilih orang orang Permatang Pauh, jangan ada ugutan kepada mereka (petani), itu, zalim namanya," tegas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian kepada sekumpulan petani berwajib di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh di sini, petang tadi.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Ahmad Munir Yusoff turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Indera Kayangan, Perlis, Chan Meng Kai.

Semalam, Ismail dilaporkan berjanji akan meluluskan kesemua peruntukan pertanian bagi Parlimen Permatang Pauh, jika calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin berjaya menewaskan calon PKR, Dr. Wan Azizah yang lebih mesra dipanggil "Kak Wan".

"Soal pertanian, calon kita akan boleh bangkitkan di Parlimen. Tambahan pula ini adalah kawasan pertanian.

"Saya pasti akan luluskan semua yang diminta Suhaimi, jika beliau minta," katanya.

Tegasnya, beliau tidak berminat langsung untuk berjumpa dengan Dr Wan Azizah di pejabatnya jika calon PKR itu berhasrat merayu bantuan tersebut.

"Kalau Dr Wan Azizah, tak ada sebab pun untuk saya jumpa dia...Sampai lobi pun kita tak bagi dia masuk, sebab dia parti lain," kata Ismail sewaktu bercakap kepada lebih 100 orang penyokong BN di kawasan itu.

Ismail berkata kenyataan yang dilemparkan semalam adalah kerana wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah meminta tolong daripada menteri BN.

Katanya, atas dasar itu adalah lebih baik pengundi di Permatang Pauh memilih BN bagi melancarkan bantuan kerajaan.

"Biasanya wakil rakyat pembangkang tidak akan minta tolong dari menteri BN. Mungkin kerana ego mereka akhirnya pengundi yang rugi.

"Selama saya jadi menteri tidak ada wakil rakyat pembangkang jumpa saya untuk minta pertolongan untuk pengundi mereka walaupun sering jumpa di Parlimen.

"Jadi saya tekan jika nak pilih wakil rakyat eloklah pilih yang boleh membantu. Jadi pilih calon BN," kata Ismail lagi, hingga mengundang reaksi dingin beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, termasuk Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai). 

Pesakit buah pinggang bertambah membimbangkan - Exco Kesihatan

DR. Afif Bahardin (tiga dari kiri) menyantuni salah seorang pesakit buah pinggang, sambil disaksikan Jamaluddin Said (paling kiri), Mohd. Tuah Ismail (dua dari kiri), Abdul Halim Hussein (empat dari kiri) dan Halil Sabri (lima dari kiri) di Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang di Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU BETONG - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Kerajaan Negeri turut bimbang dengan jumlah pesakit buah pinggang yang kian meningkat saban tahun, sehingga angka 31,637 orang direkodkan pada penghujung bulan Disember tahun lepas.

Justeru, beliau mengulangi hasrat Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Pusat Dialisis CAT di semua daerah, sebagaimana yang telahpun dibuka peringkat Daerah Barat Daya di Balik Pulau.

"Kerajaan Negeri turut menyedari bahawa Pusat Dialisis CAT ini sangat diperlukan kerana kita bimbang dengan bilangan pesakit buah pinggang saban tahun meningkat.

"Bukan setakat itu sahaja, Program Saringan Mammogram Percuma Kerajaan Negeri untuk semua pengundi wanita berdaftar berusia 35 tahun dan ke atas di negeri ini, kerana kita sedar bahawa satu daripada setiap 20 wanita di negara ini turut berisiko untuk mengidapi kanser payudara," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada wartawan.

Dr. Afif berkata demikian pada Hari Bersama Pesakit 2015 Peringkat Negeri di Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang, sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di sini baru-baru ini.

Tiga Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK), Jamaluddin Said (Bayan Lepas), Halil Sabri (Telok Bahang) dan Mohd. Tuah Ismail (Pulau Betong) dan Dato' Abdul Halim Hussein (bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ) turut hadir pada majlis tersebut.

Difahamkan, kira-kira 6,000 pesakit direkodkan memulakan dialisis pada saban tahun di negara.

Bagi tiap-tiap sejuta rakyat Malaysia, dianggarkan 200 daripadanya merupakan pesakit buah pinggang, manakala, 1,065 pesakit  lain telahpun menjalani rawatan dialisis buah pinggang, diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti.

Idea penubuhan Pusat Dialisis CAT Pulau Pinang dicetuskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng selepas melihat program serupa, semasa melawat negara Jerman.

Bekas Exco Kesihatan Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh dalam tempoh tiga tahun berjaya mendapatkan lesen penuh, sebelum pusat tersebut dibuka pada 10 Jun 2013 dengan sokongan pihak swasta B'Braun hingga ke hari ini.

MPSP ada lima 'sijil' disenarai The Malaysia Book of Records - Maimunah

(Dari kiri) MANSOR Othman, Rosli Jaafar, Maimunah Mohd. Sharif, Ketua Menteri, Rozali Mohamud pada sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mendapat pengesahan disenarai dalam The Malaysia Boook of Records pada 13 April lepas, sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pertama yang menerima lima Pensijilan Sistem Pengurusan berteraskan kualiti.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Shahrif memberitahu, PBT berkenaan berjaya mendapat Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2008 (QMS), Sistem Pengurusan Alam Sekitar ISO 14001:2004 (EMS), Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan OHSAS 18001:2007 (OSHMS), Sistem Pengurusan Tenaga ISO 50001:2011 (EnMS) dan Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti 5S (QEMS).

"Selain daripada penyenaraian di dalam Malaysia Book of Records, MPSP juga telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan bandar raya Seoul di Korea mengenai dasar alam sekitar dan pertukaran teknologi pada 9 April lepas" jelas Maimunah pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Kompleks Ibupejabat MPSPS dekat Bandar Perda, di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC), Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti), Dato' Mansor Othman (Pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang) dan Omar Hassan (Ahli Majlis MPSP) serta Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada sidang media tersebut.

Hadir sama, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, iaitu ADUN Kajang yang juga isteri kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Maimunah, perjanjian bersejarah dengan Seoul itu akan menyaksikan bahawa kedua-dua bandar akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam hal ehwal pengurusan sisa, serta polisi sisa menjadi tenaga yang diperbaharui.

Maimunah memberitahu bahawa beliau pada 8 hingga 12 April lepas dipilih mewakili Asia Tenggara dengan menghadiri Kerajaan Tempatan untuk Kelestarian (ICLEI) Kongres Dunia 2015 di Korea, dengan memeterai suatu perjanjian persefahaman MOU berwajib dengan Datuk Bandar Seoul di sana.

Exco Perumahaan gesa Pengerusi PR1MA baru ‘konsistan’

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan dokumen jawapan Shahidan Kasim kepada Lim Guan Eng di Parlimen, pada sidang media di sini baru-baru.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai Pengerusi Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang baru digesa menyatakan pendirian yang lebih konsistan mengenai rancangan Kerajaan Pusat membina rumah mampu milik berwajib di Pulau Pinang.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, gesaan tersebut dibuat melalui suatu surat rasmi kepada Ali Hamsa baru-baru ini.

Jagdeep turut merakamkan ucapan takziah kepada atas pemergian bekas Pengerusi  PR1MA, Allahyarham Tan Sri Ir. Dr. Jamaluddin Jarjis yang terlibat dalam satu tragedi kamlangan udara baru-baru ini.

"Dalam surat itu, saya menuntut penjelasan mengenai status pelaksanaaan PR1MA kerana dia (Ali Hamsa) adalah Pengerusi (PR1MA) yang baru.

"Sebab utama adalah sebelum dia (Ali Hamsa), terdapat pelbagai kenyataan daripada beberapa wakil Kerajaan Persekutuan yang semuanya tak konsistan," ujar Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, dalam jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim kepada Ahli Parlimen Bagan, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 25 November tahun lepas antara lain menyebut telah mengenal pasti 201,21 hektar tanah di Gelugor, Balik Pulau dan Teluk Kumbar di mana 6,100 perumahan PR1MA, tiada ada maklumat konkrit hingga kini.

Bahkan, Shahidan dilaporkan turut mengaku bahawa suatu projek perumahana yang terdiri 267 unit PR1MA untuk rakyat Pulau Pinang telahpun mendapat kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.

"Apa yang penting ialah garis masa pelaksanaan dan penyampaian projek perumahan PR1MA untuk rakyat Pulau Pinang.

"Malangnya, apabila disemak dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tiada apa-apa permohonan dari pihak PR1MA," katanya lagi.

Justeru, katanya lagi, Ali Hamsa digesa menjelaskan secara terperinci mengenai lokasi cadangan pemajuan PR1MA, serta tempoh masa untuk Kerajaan Pusat mendapatkan kelulusan kebenaran merancang daripada PBT dan waktu memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal berwajib di negeri ini.

"Maka, saya menyeru Kerajaan Persekutuan, khususnya Pengerusi PR1MA yang baru, jika betul-betul ingin membina perumahan tersebut di Pulau Pinang, eloklah datang bersemuka dengan Kerajaan Negeri dan beritahu permasalahan yang dihadapai untuk diselesaikan demi kepentingan umum,” tegas Jagdeep.

Terdahulu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam satu mesyuarat pada 8 Februari tahun lepas turut mengesahkan Kerajaan Pusat akan akan membina unit rumah PR1MA di negeri ini, namun Kerajaan Negeri sehingga kini masih tidak mendapatkan maklum balas secara terperinci mengenai rancangan pemajuan berwajib tersebut.

Jamaluddin dalam satu pertemuan dengan Jagdeep semasa ini turut menyatakan komitmen serupa dengan Ahmad Dahlan.

Lanjutan itu, Jagdeep dalam satu surat rasmi bertarikh 14 Februari tahun lepas turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama demi memastikan rancangan Kerajaan Pusat untuk membina unit rumah PR1MA di negeri ini sesegera mungkin.

"Selepas Kerajaan Persekutuan pada pengumuman belanjawan lepas sebanyak RM1.3 bilion untuk membina 80,000 unit PR1MA di negara ini, saya berharap manfaatnya dapat dikongsi di Pulau Pinang kerana Pulau Pinang merupakan penyumbangan cukai ketiga paling tinggi untuk negara.

"Dia (Ali Hamsa) wajar bersikap adil dengan rakyat Pulau Pinang kerana rakyat Pulau Pinang pun adalah warganegara Malaysia, dan janganlah dianaktirikan dari segi pembekalan perumahan rumah mampu milik di bawah PR1MA," ujar Jagdeep pada kenyataan terbarunya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep dalam sidang media berasingan sebelum ini turut mengingatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan sindiket tertentu dalam mendapatkan rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik melibatkan kutipan wang.

Beliau berkata demikian sebagai respons pada sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan beberapa warganegara di luar negeri mengaku ditipu antara RM2,500 hingga RM7,000 untuk mendapatkan unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di negeri ini.

“Sebagai Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) yang perihatin, kita tidak mengutip satu sen pun dalam membuat permohonan bagi ketiga-tiga kategori rumah yang disebutkan,” ujar Jagdeep. 

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus