25 May 2015

RMK-11: Berapa unit rumah mampu milik untuk P.Pinang, Jagdeep tanya Putrajaya

JAGDEEP Singh Deo memberitahu wartawan bahawa beliau kesal dengan layanan dingin Putrajaya yang enggan membina PR1MA untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia di Pulau Pinang, di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT - Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas hanya menyebut sejumlah 653,000 rumah mampu milik akan dibina di tanah air ini dalam tempoh lima tahun, tetapi masih tidak menyebut rancangan pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Pulau Pinang.

Justeru, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menggesa sekali lagi Kerajaan Pusat supaya tidak terus menganaktirikan rakyat Malaysia di Pulau Pinang, sebagaimana pada perbentangan Bajet 2015 pada bulan Disember tahun lepas.

Katanya, Bajet 2015 memperuntukan sejumlah RM1.8 bilion untuk membina 80,000 unit perumahan mampu milik di tanah air, namun, sehingga kini tiada pembangunan PR1MA di negeri ini.

Manakala, RMK-11 menyebut pembangunan PR1MA di empat bandar utama yang diklasifikasikan sebagai bandar-bandar berdaya saing, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Berapakah daripada jumlah 80,000 dan 653,000 unit rumah mampu milik ini yang akan dibina di negeri Pulau Pinang,” ujar Jagdeep kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Jagdeep sekali lagi mendedahkan bahawa agensi Persekutuan sejak tahun 2012 langsung tidak pernah mengemukan permohonan rasmi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sama ada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atau Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), untuk pembinaan PR1MA di negeri ini.

Tambah Jagdeep, pembangkang Pulau Pinang sepatutnya turut mempengaruhi Putrajaya agar menghentikan layanan dingin ke atas rakyat Malaysia di negeri ini.

Ini kerana, katanya, ADUN Telok Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-13 baru-baru ini, antara lain mengaku bahawa beliau akan memujuk Putrajaya untuk menunaikan janji membina PR1MA di negeri ini.

“Diharapkan bahawa warga Pulau Pinang tidak akan dianaktirikan dari segi pembekalan perumahan mampu milik di bawah PR1MA,” tegas Jagdeep lagi.

Sebelum itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyerahkan lima keping cek yang setiap satu berjumlah RM500 kepada lima mangsa ribut di Flat Taman Nusantara dekat Jalan Perak di sini baru-baru ini.

Beliau turut menyerahkan sumbangan berupa lima biji tong sampah yang dimohon oleh komuniti Flat Taman Abidin, dalam satu program berasingan di sini.

Hock Seng respons Menteri isu peruntukan persekutuan selenggara jalan P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Peruntukan tahunan Kerajaan Pusat sehingga 31 Mac lalu untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan di negeri ini direkodkan sebanyak RM23.61 juta, bukanlah RM27.37 juta sebagaimana disebut oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof pada 5 Mei lepas.

LIM Hock Seng
Exco Kerja Raya, Pengakutan dan Utiliti, Lim Hock Seng berkata, Kerajaan Negeri melalui beberapa agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebenarnya telahpun membelanjakan sebanyak 66.79 peratus atau RM15.77 juta.

Justeru, katanya lagi, Kerajaan Negeri bukanlah membelanjakan RM12.819 juta sahaja, seperti disebut Fadillah.

“Kenyataan Yang Berhormat Menteri Kerja Raya tersebut mungkin hanya merujuk kepada JKR sahaja dan tidaklah menyeluruh, kerana tidak dimasukkan butiran peruntukan-peruntukan yang disalurkan oleh agensi pelaksana yang lain seperti PBT, JPS, kedua-dua PBT (Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MBPP dan MPSP) dan (kelima-lima) Pejabat Daerah,” jelas Hock Seng dalam kenyataan bertulisnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Tambah Hock Seng, baki peruntukan persekutuan berjumlah kira-kira RM10.84 juta adalah dalam tanggungan bagi projek-projek berwajib yang masih dilaksanakan di negeri ini.

“Pembayaran (bagi baki projek penyelenggaraan yang sedang dibuat) akan hanya dibuat setelah projek disiapkan dan disahkan kesempurnaan,” jelas Hock Seng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Sementara itu, Hock Seng turut memberi penjelasan pada kenyataan Fadillah yang mendakwa Jabatan Audit Negara pada tahun lepas menegur Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kononnya hanya membelanjakan RM52.69 juta daripada keseluruhan RM63.47 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri.

Daripada pembentangan Laporan Ketua Audit Negara, Hock Seng memberitahu bahawa peruntukan MARRIS atau Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya pada tahun 2014 kepada Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM94.62 juta, manakala sebanyak RM100.57 juta bersamaan 106.3 peratus telahpun dibelanjakan.

“Daripada laporan Ketua Audit Negara tersebut juga, dan exit conference pada 28 April 2015, telah memuji keupayaan agensi-agensi Negeri dalam melaksanakan projek-projek penyelenggaraan jalan-jalan negeri, dan bukan seperti kenyataan membidas (oleh) Yang Berhormat Menteri Kerja Raya,” respons Hock Seng.


P.Pinang sokong langkah Kedah pulihara kawasan tadahan Ulu Muda

Bangunan PBAPP.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kira-kira 3.8 juta penduduk yang mendiami negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia akan mendapat manfaat jika kawasan tadahan sekitar Ulu Muda dipulihara oleh Kerajaan Negeri Kedah kelak.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pihaknya menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri Kedah memohon pembiayaan daripada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

“Langkah ini turut memberi manfaat kepada 3.8 juta orang di Kedah, termasuk Pulau Langkawi, dan juga Pulau Pinang dan Selatan Perlis.

“Oleh itu, (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang akan menyokong penuh permohonan (Kerajaan Negeri) Kedah untuk pembiayaan Persekutuan bagi melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda,” ujar Guan Eng yang juga Pengerusi Perbadangan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, kontroversi Kerajaan Negeri Kedah menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya membayar caj bagi air mentah yang diambil daripada Sungai Muda dalam sempadan negeri ini dijangka akan menjadi isu utama dalam Mesyuarat Agung Tahunan PBAPP pada 28 Mei ini.

Guan Eng memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Kedah sepatutnya tidak membuat tuntutan sedemikian memandangkan Sungai Muda jelas adalah ciri geografi semulajadi yang mentakrifkan sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, selaras dengan 'hak riparian' atau hak air, satu-satu pemilik tanah berhampiran sumber air mentah semula jadi mempunyai hak ke atas aliran semulajadi, asalkan atas penggunaan yang munasabah serta kegunaan yang bermanfaat.

“Dengan itu, Pulau Pinang berhak untuk mengekstrak air dari Sungai Muda selaras dengan hak airnya, Kedah juga melakukan perkara yang sama.

“Oleh sebab itulah, tiada apa-apa caj selama 40 tahun, demikian juga tiada keperluan untuk apa-apa caj hari ini atau pada masa akan datang,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Terdahulu, Guan Eng mempertikai respons Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili yang meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang berunding sendiri dengan Kerajaan Negeri Perak dalam pelaksanaan cadangan Skim Pemindahan Air Menterah Sungai Perak (SPRWTS).

SPRWTS penting demi memastikan sumber kedua air mentah ke negeri ini mencukupi pada tahun 2050 nanti, tetapi Putrajaya berpendapat cadangan itu “terlalu awal” serta Pulau Pinang dinasihatkan untuk menangani masalah kegunaan air berlebihan.

Lanjutan itu, Kerajaan Negeri mengabaikan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tarif air, demi menampung kelewatan pelaksanaan SPRWTS tersebut.

Manakala, Kerajaan Negeri melalui PBAPP terus melakukan pelbagai langkah penjimatan sumber air hingga tiada langkah catuan seperti di beberapa negeri lain pada awal tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, PBAPP turut diarahkan mengekalkan purata tarif terendah dan “paling mesra rakyat” berbanding negeri-negeri lain, iaitu hanya RM0.32 bagi setiap 1,000 liter bagi pengguna domestik sehingga 35,000 liter sebulan.

“Pada tahun 2014 dan 2015, negeri-negeri lain seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor, dan juga Taiping (dekat) Perak yang merupakan 'bandar paling basah' di negara ini terpaksa melaksanakan catuan air.


“(Namun,) tiada iada sebarang catuan di Pulau Pinang (kerana) Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBAPP untuk mengelakkan catuan walau apa cara sekalipun,” jelas Guan Eng.

Kuasa internet mampu tenggelamkan sokongan PAS di PRU14 jika bersendirian selepas Muktamar, nasihat PasMa P.Pinang

ZOLKIFLY Md. Lazim (berdiri) berdialog menyakinkan komuniti umat Islam setempat bahawa PAS lebih untung jika terus bersama Pakatan Rakyat di negeri ini, pada majlis terbuka di sini Sabtu lepas.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BALIK PULAU - 68 peratus undi popular di Pulau Pinang kepada Pakatan Rakyat dalam Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, yang kuat dikaitkan dengan pengaruh media baru internet dijangka akan menggamit impak yang lebih besar pada PRU14 nanti, jika PAS mengambil langkah bersendirian selepas muktamar ini.

Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Tuan Zolkifly Md. Lazim dalam nasihatnya memberitahu, struktur sokongan rakyat mula diapung melalui media baru seperti whatsapp, instagram serta facebook, dan bukan lagi melalui sayap-sayap parti yang sedia ada.

"Pembangkang di Singapura pada pilihan raya lalu pun bertambah kuat walapun parti PAP ketat kuasai internet di negara itu.

"Kalau kita (PAS) percaya bahawa struktur parti kita bertambah kuat jika bersendirian, sebenarnya salah kerana sokongan dan bangkangan sedang diapung melalui whatsapp dan facebook," jelas Zolkifly yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pulau Pinang pada Majlis Dialog Komuniti Peniaga di Pekan Pulau Betong di sini, Sabtu lepas.

Justeru, Zolkifly mengumumkan penubuhan jawatankuasa penaja ke-12 daripada kesemua 13 Parlimen di negeri ini, bagi Kawasan Balik Pulau, sebagaimana diarahkan oleh Presiden PasMa Dato' Phahrolrazi Mohd. Zawawi sebelum Muktamar PAS pada awal bulan Jun depan.

Sementara itu, Zolkifly yang juga Penaung Koperasi Pasar Aneka Taman Selat Butterworth Berhad (KPATSBB) atau Koperasi 'Ropewalk Bagan' turut menggesa komuniti peniaga Melayu setempat supaya menubuhkan koperasi demi meluaskan prospek peniagaan masing-masing di negeri ini.

Terdahulu, PAS dalam pilihan raya umum yang berlangsung pada 5 Mac 2013 bertanding dua kerusi Parlimen bagi kawasan Kepala Batas dan Tasek Gelugor, serta lima kerusi Dewan Undagan Negeri (DUN) bagi kawasan Permatang Pasir, Penaga, Permatang Berangan, Sungai Dua dan Bayan Lepas.

Manakala KADUN Sungai Acheh menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang membabitkan bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Ustaz Yusni Mat Piah sendiri, hatta mengakibatkan pembangkang Umno BN kekal memenangai kerusi 'berpotensi menang' tersebut.

"Dalam keadaan 'tsunami politik' dengan 68 peratus undi popular pergi kepada Pakatan Rakyat pun, PAS hanya mampu pertahan satu kerusi sedia ada (Permatang Pasir yang disandang oleh Dato' Mohd. Salleh Man), bayangkan semasa PAS sendiri.

"Saya bimbang kuasa internet seperti WhatsApp dan Facebook akan menenggelamkan sokongan rakyat kepada kita (PAS) pada PRU14 nanti, walaupun PAS masih percaya yang ia masih mempunyai kekuatan tersendiri dari segi ahli dan Islam sebagai teras parti," jelas Zolkifly.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus