13 July 2015

Teroka langkah perundangan jika status DLAP masih tiada penjelasan - Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (kiri) menunjukkan salinan undang-undang berwajib yang akan dikaji sebelum Kerajaan Negeri mengambil tindakan lanjut berhubung isu DLAP tersebut, pada sidang media bersama-sama Jerry Chan (kanan) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri mengkaji langkah perundangan sewajarnya berhubung amalan Putrajaya yang belakangan ini dilihat kian melengah-lengahkan proses kelulusan lesen pemaju dan permit iklan (DLAP) di Pulau Pinang.

“14 hari untuk mereka (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) membuat penjelasan (kerana) kita mahu tahu, apa sebenarnya yang berlaku.

“Jika tidak, kita (Kerajaan Negeri) akan meneroka undang-undang jika kita boleh mengambil apa-apa tindakan lanjut, tetapi, pada masa yang sama, pemaju juga boleh meneruskan perkara (memohon DLAP) itu,” jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini pada 24 Jun lalu.

Ketegasan itu sebagai respons pada jawapan bertulis Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Ahli Parlimen Bagan merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Parlimen baru-baru ini.

Jawapan bertulis itu antara lain menyebut, daripada 48 DLAP di Pulau Pinang yang dibuat sejak bulan Ogos 2014 hingga Februari 2015, baru 18 permohonan diluluskan.

Justeru, Jagdeep berkata, sepatutnya status satu-satu permohonan DLAP boleh diketahuai dalam tempoh dua minggu sahaja, sama ada diluluskan atau sebaliknya.

“Sekarang, mereka (kementerian) telah menangguhkan kelulusan lebih daripada setengah tahun, jika ditolak, kementerian mesti memberikan sebab penolakan.

“Apabila mereka tolak (DLAP di Pulau Pinang) kami, mereka meminta kami menunggu sehingga selepas Tahun Baru Cina, kemudian, apabila kita diikuti, mereka meminta kami menunggu sehingga selepas Raya (Aidilfitri)," tegas Jagdeep melahirkan rasa kecewa dengan layanan Putrajaya.

Bercakap pada sidang media sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan turut merayu kepada Putrajaya agar memberi layanan yang lebih adil kepada pemaju-pemaju swasta di negeri ini.

"Kenapa menghukum kami, mengapa melaksanakan hukuman terpilih ini, apa salah yang telah dilakukan oleh pemaju di Pulau Pinang sampai dihukum sebegini (melewat-lewatkan kelulusan DLAP,” tanya Jerry sambil menyatakan komitmen untuk memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Jerry dan Jagdeep pada hujung tahun lepas memberitahu Putrajaya bahawa amalan melewat-lewatkan proses kelulusan DLAP merupakan salah satu punca lebih 30 pemaju di negeri ini lewat memasarkan hartanah masing-masing.

Ditambah dengan langkah Kerajaan Pusat melaksanakan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) mulai 1 April lalu, Jagdeep dan Jerry berkata, pemaju di negeri ini terpaksa menanggung lebihan kos operasi sepanjang tempoh menanti kelulusan DLAP ini.

Pesta Durian beralih arah dari Balik Pulau, baka Ochee paling istimewa di Nibong Tebal

CHOW Kon Yeow (tengah) bersama-sama Soon Lip Chee (kanan) dan seorang pemilik dusun durian menunjukkan baka durian Ochee di sini baru-baru ini. | Foto: FB Soon Lip Chee

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Festival durian yang saban tahun diadakan di Parlimen Balik Pulau dalam Daerah Barat Daya pada musim baru-baru ini beralih arah ke Nibong Tebal.

Bertempat di tanah lapang bersebelahan stesen minyak Shell Bukit Minyak dekat Jalan Nibong Tebal di sini, macam-macam jenis durian popular boleh didapati dek pengunjung seawal jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam pada hari tersebut.

Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang memberitahu bahawa Pulau Pinang, khususnya sejak lima tahun lepas senantiasa dikunjungi pelancong daripada dalam negara mahupun luar negara apabila tiba musim durian.

“Anjung Indah (dekat Balik Pulau) akan menjadi tumpuan pelancong tiap-tiap tahun kerana pemandu pelancong akan membawa mereka ke sana untuk menikmati baka popular lain seperti Raja Musang, Ang Hae, Hor Lor, Kun Poh, 101, 600, 604, 14/19, 11, D24, 144 dan Durian Kampung.

“(Baka) Ochee atau Durian Duri Hitam yang biasa didapati di Balik Pulau, kini turut boleh didapati di Jawi.

“Jumlah pengunjung kian meningkat tiap-tiap tahun dan pada pesta durian kali ini, Pulau Pinang dikunjungi lebih 2,000 pelancong dari Hong Kong sahaja untuk menikmati durian tempatan kita,” jelas Heng Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Ochee pernah dipilih sebagai baka durian paling enak bagi tahun 2003 dan 2014, yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia.

Dan, di Jawi kini terdapat kira-kira 600 pokok di sebuah dusun dekat Sungai Baong dalam Parlimen Nibong Tebal, dikatakan lebih banyak berbanding di Parlimen Balik Pulau.

“Lebih kurang 5,000 Ochee Boss dari Nibong Tebal ada pada musim kali ini,” jelas Leow Cheok Kiang, 55, pengusaha kebun durian di Sungai Baong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dalam kenyataannya berharap Seberang Perai Selatan khususnya Jawi boleh terus menjadi destinasi pelancongan makanan, dengan penganjuran Pesta Durian Peringkat Negeri pada saban tahun kelak.

Ochee adalah antara baka popular yang ditonjolkan pada Pesta Durian anjuran Pejabat KADUN Jawi dengan Jawatankuasa Pelancongan Negeri, kerana kita mahu program ini terus menjadi produk pelancongan (makanan) di sini,” jelas Lip Chee.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada pesta tersebut.

Subsidi air rakyat 12.5 kali ganda berbanding PBAPP taja FAP - Jaseni

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperuntukan subsidi sebanyak RM74.77 juta pada tahun 2014, iaitu 12.5 kali ganda lebih besar berbanding tajaan RM6 juta yang diterima oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (PBAPP).

JASENI Maidinsa
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa berkata, perangkaan tersebut sekaligus menggambarkan bahawa pentadbirannya tetap mengutamakan kepentingan pengguna terbanyak, sungguhpun pada masa sama PBAPP melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.

Tambah beliau, RM74.77 juta itu memberi manfaat kepada 484,118 pengguna air domestik.

“Sebagai perbandingan, subsidi air domestik di 2014 adalah kira-kira 12.5 kali lebih tinggi pada angkat RM74.77 juta.

“Oleh itu tidak ada keraguan bahawa PBAPP adalah 'memberi' lebih banyak (manfaat) kepada semua isi rumah Pulau Pinang berbanding (CSR RM6 juta) kepada FAP.,” jelas Jaseni lagi.

Menurut beliau, peruntukan subsidi sejumlah RM74.77 juta itu sekaligus membolehkan pengguna hemah terus kekal menikmati kadar air terendah berbanding negeri-negeri lain, iaitu RM0.32 bagi setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama tiap-tiap bulan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan tuduhan pihak tertentu kononnya PBAPP menaikkan tarif air domestik hingga membebankan pengguna.


Katanya, mereka yang menggunakan air secara tidak berhemah sahaja akan berdepan dengan surcaj, demi memelihara bekalan air mentah dan air terawat di negeri ini pada masa depan.

Exco Kesihatan gesa Kementerian kaji risiko rokok elektronik 'vape'

CONTOH rokok elektronik Vape yang dikatakan mempenyai risiko lebih bahaya berbanding rokok biasa.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU BETONG - Kementerian Kesihatan digesa mengkaji risiko kegunaan rokok elektronik vape yang dikatakan mampu melaras naik kadar nikotin hingga membahayakan pengguna.

Menurut Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, kegunaan vape itu wajar dilihat menerusi perundangan jika nyata membahayakan pengguna.

“Jadi, kita tidak tahu, apabila seseorang pengguna itu melaras kadar nikotin yang tinggi, ianya boleh mengakibatkan masalah yang lebih serius kepada pengguna rokok elektronik berkenaan.

“Saya juga melahirkan kebimbangan jika vape ini mampu meningkatkan ketagihan anak muda pada tahap membimbangkan,” Dr. Afif berkata demikian kepada wartawan, selepas menyertai Program Mengedar Kurma Tahun Ke-3 di Hospital Balik Pulau dan Klinik Kesihatan Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

DR. Afif Bahardin (paling kanan) diiringi Dr. Norhaslina Baharkodin (dua dari kiri), Muhasdey Mohamad (paling kiri) dan Asrol Sani Abdul Razak (tiga dari kiri) menyantuni salah seorang pesakit di Hospital Kepala Batas di sini, 30 Jun lalu.

Dr. Afif dalam kenyataan berasingan turut mensyorkan Kementerian Kesihatan supaya menaik taraf infrastuktur kesihatan sedia ada di Hospital Kepala Batas demi memenuhi khidmat kepakaran berwajib.

Bahkan, beliau mengulangi sekali lagi komitmen Kerajaan Negeri untuk menawarkan tanah sekiranya Kerajaan Pusat bercadang untuk membina sebuah hospital awam yang baru di bahagian Seberang Perai.

“Kementerian juga boleh mempertimbang untuk menaik taraf perkhidmatan kepakaran di Hospital Kepala Batas, yang sebenarnya sangat diperlukan, khususnya oleh warga tempatan dari sekitar Seberang Perai.

“Kerajaan Negeri bersedia menawarkan tapak di luar Hospital Pulau Pinang sekiranya Kerajaan Pusat bersedia untuk membina hospital yang baru di negeri ini,” jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, selepas majlis mengagih sumbangan kurma kepada para pesakit dan kakitangan di Hospital Kepala Batas serta Klinik Kesihatan di sini semalam.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak dan Muhasdey Mohamad (PPK Pinang Tunggal) turut menyertai majlis ringkas tersebut, dan disambut oleh Pengarah Hospital Kepala Batas, Dr. Norhaslina Baharkodin dan Dr. Adlina Bakar (Penaung Klinik Kesihatan Kepala Batas).

TKPM RM40 juta demi penuhi keperluan makanan negeri

KEADAAN ladang penternakan ayam secara Closed Breeding Farm menggunakan teknologi tinggi bertaraf antarabangsa turut didirikan di TKPM di sini.
KETUA Menteri (paling kiri) menyempurnakan majlis menurunkan tandatangan perasmian pembukaan pada plad khas di tembuk masuk TKPM, sambil disaksikan oleh Dr. Afif Bahardin (dua dari kiri), Mohd. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) serta pemimpin Kerajaan Negeri lain di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Pembukaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Juru dengan nilai pelaburan kira-kira RM40 juta baru-baru ini demi memenuhi keperluan makanan negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah itu demi memenuhi keperluan makanan negari yang dijangka kian meningkat menjelang tahun 2020.

"Kesedaran pada pengguna terhadap makanan protein umpamanya mengakibatkan permintaan ikan tiap-tiap tahun kian meningkat, maka, penternakan ikan akaukultur dengan sokongan teknologi terkini sudah tentu diperlukan sebagai alternatif.

"Tidak ada yang mustahil untuk dicapai jika kita berusaha melaksanakan projek berskala besar, secara komersial dengan disokong oleh teknologi tinggi, membabitkan usahawan termasuk daripada sektor swasta.

"Jadi, saya berharap kemajuan aktiviti pertanian di Pulau Pinang dengan sokongan teknologi terkini mempu dilakukan supaya setanding dengan sektor perindustrian dan pelancongan negeri," ujar Guan Eng pada Majlis Perasmian Pembukaan TKPM tersebut.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut berucap pada majlis tersebut.

Guan Eng memberitahu, kesedaran pengguna pada makanan berprotien mengakibatkan permintaan ikan daripada 1.3 juta tan metrik pada tahun 2010 dijangka meninggkat kepada 1.9 juta tan metrik pada tahun 2020, dengan pertumbuhan 3.8 peratus setahun.

Lagipun, Guan Eng menjelaskan bahawa sektor pertanian negeri mencapai pertumbuhan menggalakkan sebanyak 4.7 peratus, berbanding dengan 3.0 peratus untuk seluruh Malaysia untuk tahun 2011 hingga 2013.

"Ini menyebabkan sumbangan pertanian kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) naik kepada 1.9 peratus pada tahun 2013, berbanding dengan 1.6 peratus pada tahun 2005," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Sebelum itu, Dr. Afif memberitahu bahawa TKPM yang berkeluasan 115.20 hektar itu dibahagikan kepada zon pertanian, zon perinkanan dan zon penternakan.

Tambah beliau, pengurusan TKPM ini turut disokong secara bersepadu oleh Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Perikanan peringkat negeri.

Difahamkan, penternakan ayam secara Closed Breeding Farm menggunakan teknologi tinggi bertaraf antarabangsa turut didirikan di TKPM.

Langkah komersial itu susulan Nilai Hasil Tahunan (NHT) bagi aspek pengeluaran peladangan melebihi hasil RM844.10 juta yang diperoleh pada tahun 2014, dengan 60 peratus hasil daripada pengeluaran ayam dan itik.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Dato' Abu Jamal Nordin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut hadir pada majlis tersebut.

Janji mengecat semula 26 blok rumah pangsa Taman Tun Sardon hampir dikotai - Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (tengah), R.S.N. Rayer (empat dari kiri) dan Ramkarpal Singh (paling kanan) pada acara gimik pelancaran fasa akhir program mengecat baki empat blok di Taman Tun Sardon, di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SERI DELIMA - Kerja-kerja mengecat kesemua 26 blok rumah pangsa di Taman Tun Sardon dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi, sebagai mengotakan janji bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada tahun 2013 dulu.

Anaknya, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan memberitahu, kerja-kerja berwajib yang dimulakan sejak bulan Mei tahun lepas itu menelan peruntukan kira-kira RM1 juta.

"Ini merupakan jumlah terbesar yang diperuntukkan oleh Jabatan Perumahan Negeri.

"Dua puluh dua blok telah siap pada akhir tahun 2014, dan pada hari ini, fasa terakhir baki empat blok akan bermula dengan kos RM198,000," jelas Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Seorang lagi anak Karpal, Ramkarpal Singh yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, R.S.N Rayer (ADUN Seri Delima) dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Yusoff Noor turut serta pada sidang media itu.

Jagdeep memberitahu, 80 peratus kos fasa akhir projek tersebut ditanggung oleh Kerajaan Negeri, manakala baki 20 peratus ditanggung oleh Rayer.

"Kami (Kerajaan Negeri) akan terus melaksanakan apa yang kami cakap dan menyampaikan janji-janji kami kepada rakyat, yang merupakan sesuatu yang tidak dapat dikotakan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan," jelas Jagdeep.

Beliau turur menggesa Kerajaan Pusat supaya membalas surat rasminya bertarikh 19 Jun lalu, yang menuntut penjelasan sama ada Putrajaya mahu meneruskan Projek Penyelenggaraan Tabung 1Malaysia (TP1M) atau sebaliknya.

Ini kerana, katanya, TP1M tidak lagi disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), sedangkan kelewatan meluluskan 118 lagi permohonan di bawah skim tersebut sehingga kini disebabkan amalan tadbir urus daripada Kerajaan Pusat sendiri.

"Kita tidak boleh meluluskan HAPPY (Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang) untuk membiayai kos yang sepatutnya ditanggung oleh penduduk, selagimana proses kelulusan TP1M jika masih ada (selepas RMK-11) ini terus dilewat-lewatkan.

"Terdapat 118 permohonan tertunggak (membabitkan) projek kos rendah dan sederhana rendah di Pulau Pinang di bawah TP1M ini, dengan jumlah anggaran kira-kira sekitar RM28 juta," kata Jagdeep.

Singapura, Hospital Adventist kerjasama buka Pusat Onkologi RM40 juta

KETUA Menteri (depan, tengah) dan Dr. Afif Bahardin (depan, kiri) diiringi oleh Dr. Wesley Toh See Wei (depan, kanan) serta tetamu lain merakamkan gambar di pintu masuk utama AOC, Hospital Adventist Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS - Sebuah pusat onkologi dengan nilai pelaburan kira-kira RM40 juta dibuka di Hospital Adventist Pulau Pinang (PAH) mulai 30 Jun lalu, dengan kerjasama daripada Pusat Kanser Kebangsaan Singapura (NCCS).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, langkah pengembangan perkhidmatan kepakaran di hospital tersebut sekaligus akan menggamit lebih ramai pelancong perubatan ke negeri ini.

“Orang ramai tertarik untuk mendapatkan rawatan kesihatan di Pulau Pinang disebabkan mutu perkhidmatan perubatan yang ditawarkan cukup berkualiti, harga yang begitu berpatutan, kemudahan komunikasi, keselesaan ruang rehat dengan peluang memulihkan semula kesihatan (pelancong perubatan) yang diyakini,” jelas Guan Eng pada Majlis Pembukaan Pusat Onkologi Adventist (AOC) di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut menyertai majlis tersebut.

Memetik statistik Kementerian Kesihatan, Guan Eng memberitahu bahawa sebanyak RM730 juta pendapatan negara pada tahun lepas adalah diperoleh daripada sektor pelancongan perubatan.

Di Pulau Pinang pula, jumlah pelancong kesihatan pada tahun 2014 meningkat kepada 351,673 pesakit, berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah 297,850 orang.

Secara puratanya, kira-kira 1,000 warga asing mendapatkan perkhidmatan kesihatan pada tiap-tiap hari, dengan anggaran 60 peratus mereka adalah pelancong perubatan.

Angka itu dilihat meningkat, memandangkan hasil pelancongan perubatan pada tahun 2013 berjumlah RM690 juta, berbanding RM574 juta, dengan kiraan 16 peratus bagi tahun sebelumnya.

Seramai 770,134 pesakit daripada seluruh dunia mendapatkan rawatan hospital di negara ini pada tahun 2013, berbanding 671,727 pesakit pada tahun 2012.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif PAH, Dr. Wesley Toh See Wei dalam ucapannya memberitahu, penubuhan AOC demi memastikan para pesakit kanser lebih menerima khidmat perundingan kepakaran.

"Onkologi dari NCCS juga akan menyediakan input bagi kebanyakan kes demi memastikan rancangan diagnosis dan rawatan yang kami lakukan senantiasa mengikut piawaian penjagaan kanser (yang diiktiraf) dunia," kata Dr. Wesley, sambil merakamkan penghargaan kepada Guan Eng.

Justeru, tambahnya lagi, AOC dilengkapi dengan Synergy Linac System, iaitu pemecut linear radioterapi maju.

"Linac boleh mengurangkan bilangan sel-sel yang sihat terjejas oleh radiasi kerana darjah ketepatan yang lebih tinggi dan jitu," tambah beliau.

Bercakap pada majlis sama, Pengarah NCCS, Profesor Soo Khee Chee pula memberitahu, pihaknya tidak sabar untuk membawa keluar hasil kerjasama kepakaran perubatan jitu di AOC tersebut untuk diiktiraf di kedua-dua negara berkenaan, hatta ke peringkat dunia,

"Perkongsian ini adalah lebih bermakna kerana PAH bukan sahaj (pusat pakar kesihatan yang berorientasikan) keuntungan," kata Khee Chee.

Di Malaysia, 37,000 kes kanser direkodkan pada tahun 2012, berbanding 32,000 sahaja bagi tahun 2008.

Angka itu, dijangka akan terus meningkat pada 56,900 pada tahun 2025 nanti.

Agensi Kaji Selidik Kanser Antarabangsa (IARC) mendedahkan, sebanyak 20,100 kematian direkodkan akibat sakit barah pada tahun 2008, dan meningkat pada angka 21,700 kematian pada tahun 2012.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus