07 September 2015

Bai'ah Ta'liq: Ulama tegur politik melampau Pas

BAIAH TAKLIQ TALAK TIGA: KEGAGALAN GERAKAN ISLAM AKIBAT GANGGUAN SIFAT "GHULUW" ATAU MELAMPAU DALAM BERTINDAK

Oleh: USTAZ ABD GHANI SHAMSUDIN
(Pengerusi Kesatuan Ulama' Muslimin Sedunia Cawangan Malaysia)

Di antara sebab kegagalan beberapa gerakan reformasi Islam di dunia Arab dan bukan Arab, selaian daripada gangguan kuasa besar musuh dari kalangan penjajah baru dan lama serta Zionist ialah sifat "Ghuluw" atau melampau dalam bertindak dan mencapai tujuan tertentu. Sedangkan Islam mengajar umatnya bersifat sederhana , berhati-hati dan tidak gopoh dan tidak cenderung bersikap keras dan “tasyaddud”. (Lihat hurain terpeinci dalam Kitab Dr Ala’ Mohamad Said “ Muhawalat Al Islah Wa Al Taghyir Fi Alam Al Arabi Al Mu’asir Thesis Phd Cet Muaassasah Al Syuruq , Mesir,2007)

Allah berfirman dalam Surah Al Maidah 77

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُواْ فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلاَ تَتَّبِعُواْ أَهْوَاء قَوْمٍ قَدْ ضَلُّواْ مِن قَبْلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرًا وَضَلُّواْ عَن سَوَاء السَّبِيلِ
Hai orang Ahlul Kitab (orang yang beriman) jangan kamu 
bersikap melampau dalam agama dengan menyimpang dari kebenaran. Jangan kamu ikut hawa nafsu kaum yang sedia sesat dan telah menyesatkan ramai kalangan dari jalan yang lurus.

Allah menegaskan lagi dalam Surah Al Baqarah 143

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Demikianlah kami jadikan kamu umat yang perdana (sederhana) agar kamu menjadi saksi kepada manusia lain manakala Rasul menjadi saksi terhadap kamu
Rasulullah bersabda:

اياكم والغلو في الدين

Awas kalian; jangan bersikap melampau dalam agama.
Rasulullah berpesan lagi: 

هلك المتنطعون قالها ثلاثا

“Celakalah orang yang berdegar-degar melampau.”Baginda mengulangnya sampai tiga kali.

Menurut Imam Al Nawawi "Al Mutanatti’un" ialah mereka yang beria-ia, melampau dan extrim dalam bertutur-kata dan bertindak.

Perjuangan Rasulullah adalah perjuangan yang paling utama dan penting untuk memastikan Islam survive atau tidak kecundang di peringkat awal Islam. Baginda memang menerima bai’ah positif dalam berbagai bentuk. Tapi baginda tidak pernah membuat bai’ah dan mengikatkan ketaatan pengikut baginda dalam perjuangan dengan sumpah ta’liq perceraian isteri dengan talak satu atau tiga apabila dilanggar sumpah berkenaan. Sedangkan kaedah itu bukannya tidak boleh dilakukan oleh baginda waktu itu demi memastikan kemenangan perjuangan baginda .

Oleh itu melakukan apa yang tidak dibuat oleh baginda bukan sahaja bid’ah tetapi menyusahkan diri , pengikut dan orang ramai. Lebih-lebih lagi dalam kajian mutakhir menyifatkan bahawa berbilang parti dalam politik Islam adalah suatu yang dibenarkan dengan beberapa syarat sampingan.

Parti bukan satu ketumbukan tentera yang berjihad di medan perang. Parti adalah produk dan instrument madani dalam kaedah politik demokrasi yang dibenarkan oleh para alim ulama Islam mutakhir .Asalkan dasarnya ialah Islam dan tidak bercanggah dengan asas-asas Islam samaada disebut perkataan Islam pada nama parti berkenaan atau tidak. 

Oleh itu gambaran yang lumrah yang boleh disimpulkan ialah bahawa orang ramai boleh mengikut mana mana parti Islam yang baik program pembangunan atau manifestonya untuk merealisasi cita-cita Islam . Parti juga mempunyai perlembagaan atau undang-undang dasarnya yang tersendiri. Mana-mana parti yang tidak membenarkan ahlinya keluar dari parti berkenaan atau mengenakan cerai talak tiga kepada isteri orang berkenaan apabila keluar daripada parti adalah bercanggah dengan perlembagaannya dan menyempitkan pilihan orang ramai untuk membuat pilihan dalam suasana politik demokrasi atau shura seperti yang dijelaskan oleh ulama yang membincangkan politik Islam masa kini.

Tindakan ini juga adalah menghakis kebebasan asas warga negara dan menggugat kelansungan institusi keluarga. Ia memamirkan menifestasi ghuluw dan tasyaddud yang ditentang oleh Islam.

Ketelanjuran perbuatan seperti ini tidak boleh diperkukuh dengan dakwaan adanya Iijma’ Sukuti” . Bagaimana mungkin boleh dikatakan adanya kesepakatan ulama dalam hal ini pada hal ia adalah peraturan bid’ah yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah dalam perjuangan para sahabat leluhur silam. (Kalau adapun mungkin di zaman Hajjaj yang zalim). Tidakkah kepentingan membina dan melindungi Negara serta pemerintahan Islam pada waktu itu memang sangat memerlukan instrument seperti ini demi kelangsungan perjuangan Islam. Tetapi mengapa hal ini tidak dilakukan oleh Rasulullah?

Untuk mengurangkan musibah ketelanjuran seperti ini – buat masa kini - maka pendapat yang menyebutkan perlunya penutur sumpah berkenaan membatalkan sumpahnya seperti yang dihuraikan oleh syara’ adalah lebih relevan dari yang lain. Manakala cerai ta’liq itu dianggap lagha kerana ia lebih merupakan tatacara yang dipaksakan untuk bertanding mewakili parti berkenaan dengan tidak ada niat penutur untuk menceraikan isterinya begitu rupa ketika itu dan Fiqh Islam tidak menjadikan kaedah seperti itu sebagai suatu kaedah yang normal dan rasmi dalam merungkai perkahwinan pasangan yang berkahwin dan malah kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan perlembagaan parti itu sendiri. Ini adalah untuk mengutamakan kepentingan keluarga sebagai institusi yang amat dilindungi oleh Islam.

Pengertian Jama’ah dalam hadith Rasulullah perlu difahami dalam kontek perbincangan politik semasa . Selaras dengan pendirian gerakan Islam induk di Mesir bahawa Ikhwan hanyalah salah satu dari jamaah muslim dan bukan satu-satunya jamaah Islam di persada politik Mesir. Bahawa jamaah yang dimaksudkan oleh hadith berkenaan lebih kepada Imamul Uzma atau khalifah.

Trend semacam membolot sendiri perjuangan Islam dan ketaksuban terhadap sesuatu jamaah sebagai dia sahaja satu-satu satunya jamaah pembela dan pejuang Islam adalah bertentangan dengan pandangan ulama Islam mutakhir tentang boleh dan dibenarkan berbilang parti dalam perjuangan politik Islam demi memberi ruang kepada activist dan rakyat terlibat mengushakan kebaikan untuk umat Islam menurut lunas, kaedah-kaedah dan peraturan madani yang menyusun atur gerak kerja berpolitik.

Perkataan jamaah yang disebutkan dalam hadith rujukan lebih merujuk kepada keseluruhan umat dan pemerintah yang berlegitimasi yang sedang berkuasa berlandaskan Islam. Ia bukan merujuk kepada sesuatu parti yang bernama Islam atau tidak yang sedang terlibat dalam politik kepartaian.

Sikap ghuluw dan taassub dalam masyarakat lumrahnya tertunjul kerana kecenderungan membesarkan yang kecil, menyusahkan diri dan orang ramai , memaksakan sesuatu yang memeritkan umat dan tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ia juga disebabkan oleh fanatic terhadap pendapat sendiri dan kebanggaan diri. Dengan kata lain kerana sifat dan kecenderungan mahu menghukum kerana dendam " Al Tasyaffi" atau sifat mahu menang sendiri dan meremehkan orang lain.

Kalau pun isu sumpah ta’liq cerai talak tiga - dalam sosok seperti yang kita bincangkan ini - tidak termasuk dalam kategori bid’ah dhalalah" sebaliknya masuk dalam persoalan ijtihadiah; di mana ulama berbeda pendapat mengenainya maka dia bukan persoalan Qat’iatu al Thubut. Atau bukan pula persoalan Qat’iyatu al Dalalah. Dia adalah masalah ijtihadi di mana seseorang hendaklah memilih pilihan yang lebih melindungi maslahah umat berdasarkan kaedah “ Apabila bertembung maslahah Ibad dan Hak Allah maka hendaklah diutamakan maslahah Al "Abd” (Lihat huraian terpeinci dalam Kitab Mausu’ah Fi Qawa’idil Fiqhiyah Tulisan As Syaikh Dr Mohd Sidqi Bin Ahmad Al Burno”). 

Oleh itu seseorang itu dilarang bersikap taassub untuk memilih yang memberatkan umat dalam perkara berkenaan. Dalam hal ini pendapat pilihan kita ialah pendapat yang menerangkan sumpah talak tersebut tidak menjatuhkan talak kerana alasan yang dinyatakan oleh ulama ulama yang membahaskan hal ini , juga demi melindungi institusi keluarga dan ketenteraman awam.

Andainya sumpah ta’liq cerai talak 3 itu hendak digunapakai dan dianggap jatuh talaq juga maka hakim kes boleh bertindak bijaksana seperti yang kita cadangkan atau menurut amalan pentadbiran sebelum ini yang menggap jatuh jatuh talak satu dan tentunya ia boleh dirujuk semula oleh suami dengan segera - samaada di hadapan hakim atau tidak - dan hubungan keluarga dengan itu boleh diselamatkan. 

Tapi yang kita anggap lebih arjah di sini ialah pandangan Presiden Persatuan Ulama Muslimin Sedunia Syaikh Yusuf Al Qaradhawi dan yang telah menjadi amalan oleh beberapa mahkamah Syariah di sesetengah Negara Arab. (Lihat kajian Fatwa dan tarjih dalam isu berkenaan dalam majalah Al Wa’yu Al Islami Online).

Wallah A'lam

___________
* Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin merupakan AJK Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia(IUMS), Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama' Rantau Asia (SHURA) dan bekas Setiausaha MSU PASHu

DAP 'rendah hati' sambut cabaran PAS tanding di kawasannya, Guan Eng respons Abdul Hadi

KETUA Menteri berkata beliau percaya bahawa tadbir urus Kerajaan Negeri secara berintegriti, dengan rekod surplas tiap-tiap tahun kini mampu memujuk majoriti rakyat untuk terus menyokong kepemimpinan DAP di negeri ini pada PRU14 kelak.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Cabaran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di semua kerusi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak disambut dengan rasa rendah diri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan.

“Dalam sistem demoktrasi, mana-mana parti berhak untuk bertanding.

“Sekiranya PAS nak bertanding di Kawasan (yang diwakili) DAP, saya mula dengan menjemput mereka bertanding di kawasan saya di Air Putih dengan rasa rendah diri.

“(Ini) kerana, kita mahu merayu sokongan daripada majoriti rakyat berdasarkan prestasi yang dicapai oleh Kerajaan Negeri,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Setiausaha Agung DAP kepada wartawan di sini petang tadi.

Timbalan Pengerusi DAP Negeri merangkap Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut sertai sidang media tersebut.

Guan Eng berkata, beliau yakin bahawa rakyat di negeri ini akan kekal menyokong wakil rakyat DAP berdasarkan kemampuan Kerajaan Negeri hari ini melaksanakan tadbir urus telus.

Lagipun katanya, Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 hingga 2014 berjaya merekodkan lebihan kewangan tiap-tiap tahun, tidak seperti negeri tertentu yang dikuasai oleh PAS.

Surplas di bawah pentadbiran Guan Eng dalam tempoh 2008 hingga 2013 direkodkan berjumlah RM453 juta, berbanding RM370 juta lebihan kewangan yang direkodkan dalam tempoh enam tahun sebelumnya di bawah Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu.

Manakala, pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh tujuh tahun sehingga 2014 pun masih menunjukkan peningkatan sebanyak 93 peratus menjadi RM48,211 juta, berbanding angka RM24,932 juta yang direkodkan dalam tempoh sama sebelum tahun 2008.

“Pulau Pinang bukan 'negeri bankrap' macam negeri-negeri tertentu, ini saya rasa adalah sesuatu yang akan dinilai oleh rakyat.

“Sama ada mereka (PAS) benar-benar nak berlawan (tanding di kawasan DAP) ataupun kacau daun, untuk memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional, saya rasa rakyat akan dapat menilai.

“Kita (DAP) tidak akan ambil mudah dengan cabaran PAS ini, menang tidak ada jaminan menang, maka, kita (DAP) akan berusaha untuk memenangi setiap undi,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam perkembangan berikatan, Guan Eng turut mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali yang menjemput PAS turut menyertai usaha parti itu bersama-sama DAP dan Parti Amanah Negara (kini masih dikenali sebagai Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia) dalam menubuhkan pakatan pembangkang baru ala-ala “Pakatan Rakyat” tidak lama lagi.

“PAS akan menentang DAP...maka penyertaannya (dalam Pakatan Rakyat) sudah pasti tidak bersesuaian.

“Jika ia menentang Umno seperti DAP, maka ia tidak akan mengumumkan untuk bertanding menentang DAP.

“Dia sudah mengubah posisinya dengan tidak lagi menjadikan Umno Barisan Nasional sebagai musuh politiknya, DAP sekarang telah menjadi musuh politiknya.

“Skandal dan 'sumbangan' RM2.6 bilion (ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) pun bukan lagi menjadi isu utamanya, tetapi kami (DAP) masih menjadi isu utamanya (PAS).

“Kita buat pendirian sangat jelas di Selangor, saya fikir isu (jemputan PAS sertai Pakatan Rakyat 2.0) itu harus ditanya kembali kepada Azmin, terutamanya apabila PAS telahpun membuat pengumuman mereka (untuk menentang DAP pada PRU14 nanti),” jelas Guan Eng lagi.

Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei 2013 lalu menyaksikan DAP menang di kesemua tujuh kawasan Parlimen dan 19 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang ditandinginya di negeri ini.

Manakala, PAS mengekalkan kemenangan di DUN Permatang Pasir, sungguhpun bertanding di dua parlimen dan enam KADUN.

Patsifit Construction dipilih siapkan projek terbengkalai 30 tahun di Paya Terubong, umum Guan Eng

(Dari kiri) Lim Hock Seng, Jagdeep Singh Deo, Ketua Menteri, John Tan Kok Hooy dan Loh Aik Teong selepas majlis pemeteraian perjanjian penswastaan projek pembangunan bercampur, pada sidang media di sini petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek pembangunan bercampur di Paya Terubong yang terbengkalai sejak lebih 30 tahun lepas akan disiapkan dalam tempoh 12 bulan, dengan keseluruhan komponen pembangunan dijangka siap pada hujung tahun 2018.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri komited menyiapkan projek tersebut kerana pemaju bersetuju dengan cadangan membina 205 unit rumah mampu milik dimasukkan sebagai komponen pelan pembangunan yang baru dalam projek tersebut.

“Kerajaan Negeri telah berunding semula dengan syarikat Patsifit Construction Sdn. Bhd. yang pada asalnya telah terlibat dalam pemajuan asal projek ini dan mempersetujui supaya satu cadangan pembangunan yang baru dibina bersama-sama komponen pemajuan rumah mampu milik.

“Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang,” ujar Guan Eng kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menyaksikan majlis tandatangan perjanjian persefahaman (MOU) antara Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), S. Bharathi selaku tuan tanah dan pihak swasta, John Tan Kok Hooy (Pengarah Patsifit Construction Sdn. Bhd.).

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim Hock Seng (Exco kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Air Itam) dan Loh Aik Teong (wakil Patsifit Construction).

Dalam komponen pelan pembangunan yang setujui bersama, difahamkan, sebuah blok bangunan yang terdiri oleh 205 unit rumah mampu milik berkeluasan 850 kaki persegi beserta satu tapak parkir percuma, dengan harga siling RM280,000 seunit akan dibina di atas tanah Lot 11511.

Di atas tanah Lot 8826 pula, satu blok empat tingkat yang terdiri oleh pasar, kompleks penjaja dan pusat komuniti akan dibina, lalu diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan bayaran nominal RM1 sahaja.

Selain itu, dua blok kedai pejabat dua tingkat yang terdiri oleh 60 unit keseluruhan pemajuan berstrata turut akan dibina di atas tanah Lot 8824 dan 8825.

Justeru, Guan Eng berkata, pemaju perlu mengemukakan semula pelan berkaitan untuk kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam tempoh sebulan mulai tarikh perjanjian ditandatangani, pada 7 September 2015.

“Rundingan terus telah diadakan...ini syarikat dari Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama MBPP akan memproses permohonan bagi projek ini secara fast track untuk membolehkan kelulusan diperolehi dalam tempoh tahun ini (2015),” jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Terdahulu, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu pada 27 April 1987 memeterai perjanjian perswastaan dengan syarikat Bina Nusa Sdn. Bhd. untuk memajukan projek pembangunan bercampur di atas tanah Lot 8813 dan 8829, berkeluasan 41.1 ekar.

Komponen pembangunan asal yang terdiri oleh 1,570 unit rumah kos rendah, 1,420 unit kos sederhana rendah berjaya disiapkan dan telah diduduki.

Baki, 224 rumah kos sederhana rendah yang lain masih belum dibina serta tertangguh, memandangan blok perumahan tersebut di atas tanah cuma dan berbukit.

Kompleks perdagangan tiga tingkat yang terdiri oleh 16 lot kedai, 18 flatted factories serta pasar awam kering dan basah di bawah komponen asal projek tersebut turut terbengkalai sehingga kini, susulan syarikat Bina Nusa diisytiharkan muflis.

Langkah menyiapkan projek terbengkalai selama hampir 30 tahun tersebut sekaligus komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus