09 September 2015

'Bayar balik' biasiswa dengan kejayaan - Hon Wai

SALAH seorang penerima menerima Biasiswa Kecil Negeri daripada Wong Hon Wai (tiga dari kiri), sambil disaksikan oleh Ahmad Tarmizi Abdullah (kiri sekali), Lay Hock Peng (dua dari kiri) dan Zahar Zainol (kanan sekali) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM
- Seramai 132 penerima Skim Biasiswa Kecil Negeri peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua, Pinang Tunggal dan Penaga menerima sumbangan biasiswa RM600 atau RM840 yang keseluruhannya berjumlah RM95,520 daripada Kerajaan Negeri.

Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap, sumbangan itu dapat digunakan sebaik mungkin untuk keperluan pengajian di sekolah semata-mata.

"Biasiswa ini adalah peluang anda membantu diri sendiri dengan belajar bersungguh-sungguh, untuk mengubah masa depan keluarga.

"Jangan lupa 'bayar balik' biasiswa ini dengan kembali membawa kejayaan dalam pelajaran, dan berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang suatu hari nanti," jelas Hon Wai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam di Kompleks Sukan MPSP di sini, petang tadi.

Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainal, Ahmad Nazar Sharin (Penghulu KADUN Pinang Tunggal), Lay Hock Peng (pengurus sementara KADUN Penaga, Pinang Tunggal dan Sungai Dua) serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Ahmad Tarmizi Abdullah dan Mohamad Shaipol Ismail turut sertai majlis pemberian sumbangan tersebut.

AURUZ Wahab dan anaknya, Nurul Izzati Auruz (kanan) selepas majlis sumbangan Biasiswa Kecil Negeri di Kompleks Sukan Bertam di sini baru-baru ini.

Sementara itu, waris penerima , Auruz Wahab, 55, melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana anak bongsunya, Nurul Izzati Auruz, 14, murid dari Maahad Al-Imam An-Nawawi.

“Ini kali pertama untuk anak bongsu saya dapat biasiswa kecil daripada Kerajaan Negeri.

“RM600 ini banyak bagi keluarga kami, dapatlah menampung keperluan belajar anak saya ini,” ujar Auruz kepada wartawan.

Difahamkan, seramai 1,591 pelajar terpilih menerima sumbangan tahunan kira-kira RM1.2 juta, di bawah skim biasiswa tersebut setakat ini.

'Rumah ganti rumah' untuk 14 penghuni tanah wakaf Abdul Kader masih dibuka – Abdul Malik

ABDUL Malik Abul Kassim menunjukkan satu salinan keratan akhbar yang melaporkan MAINPP didakwa mengusir penduduk asal terbabit dari Tanah Wakah Abdul Kader, pada sidang media di sini baru-baru ini.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) masih menawarkan pampasan berupa “rumah ganti rumah”, sungguhpun tarikh akhir untuk kesemua 14 pemilik rumah di atas tanah Wakaf Abdul Kader dekat Butterworth adalah pada 31 Ogos lepas.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata, langkah itu atas perikemanusiaan sungguhpun MAINPP mahu projek tanah wakaf tersebut dimulakan sesegera mungkin.

“Rancangan projek pembangunan di atas tanah wakaf itu telah terbantut meskipun pada tahun 2010, agensi Kerajaan Pusat, iaitu Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) telahpun memperuntukan sejumlah RM50 juta untuk membina 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah setinggi 22 tingkat.

“Ia, dirancang bagi tujuan penempatan semula sejumlah 46 pemilik rumah yang terlibat juga,” jelas Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Dato' Sazali Hussein.

Mewakili Yang di-Pertua MAINPP Dato' Abdul Malik Abul Kassim, Abdul Malik berkata, kesemua 46 pemilik rumah terlibat pada 1 September 2010 telahpun ditawarkan “rumah ganti rumah” berkeluasan 1,000 kaki persegi.

Katanya lagi, MAINPP turut bersedia untuk menanggung kos bayaran sewa rumah sementara berjumlah RM500 sebulan bagi tempoh masa sehingga projek pemajuan tanah wakaf tersebut siap.

Selain itu, katanya lagi, RM4,000 elaun pindah keluar dan RM3,500 elaun pindah masuk akan dibayar kepada mereka yang terbabit, dengan RM4,000 elaun pindah keluar akan dibayar kepada keluarga berkelamin sahaja.

“Setelah tempoh penerimaan tawaran yang berakhir pada 15 September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju dengan tawaran ini, manakala, 14 penghuni lain masih enggan atas pelbagai alasan,” jelas Abdul Malik yang juga Ahli Majlis bagi MAINPP.

Pada 25 Oktober 2010, MAINPP memutuskan untuk mengambil tindakan perundangan ke atas mereka yang enggan mengosongkan tanah wakaf Lot 208, Seksyen 2 Jalan Mengkuang, Butterworth.

MAINPP melalui Peguam Panelnya pada 31 Mac 2011 telahpun menghantar notis berwajib supaya 14 penghuni terbabit mengosongkan tanah wakaf tersebut dalam tempoh tiga bulan, namun, masih diingkari oleh mereka berkenaan.

Susulan itu, MAINPP pada 6 April 2011 mengfailkan saman pemula.

Pada tarikh sama, satu kuasa tindakan yang difailkan oleh salah seorang penduduk terhadap MAINPP di Mahkamah Tinggi Syariah, namun ditolak, serta tiada rayuan susulan dikemukankan oleh pihak terbabit.
Mahkamah Sesyen pada 28 Februari 2014 memihak kepada MAINPP, dengan kos RM1,000 perlu dibayar oleh kesemua penghuni kepada MAINPP.

Penduduk kemudiannya mengfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi, namun ditolak pada 28 Oktober dengan mereka diarah membayar kos RM2,000 kepada MAINPP, serta tiada rayuan lain dibuat hingga tempoh rayuan luput selepas itu.

Rentetan keputusan penghakiman bertarikh 28 Februari 2014, MAINPP pada 10 Fabruari lepas mengfailkan Writ Milikan Kosong ke atas lot tanah wakaf tersebut pada 9 April dan 10 April 2015.

Namun, mesyuarat MAINPP kemudiannya menangguhkan pelaksanaan Writ Milikan Kosong atas rasa perikemanusiaan dan timbang rasa.

Ekoran itu, MAINPP sekali lagi menawarkan sesalinan surat tawar bertarikh 29 Jun 2015 dan diserahkan kesmeua penghuni tersebut.

Abdul Malik pada 12 Ogos lepas mengadakan rundingan dengan 14 penduduk terbabit, dengan menawarkan sekali lagi surat tawaran sama, sebagaimana diterima oleh 32 pemilik rumah asal terdahulu pada bertarikh 1 September 2010.

31 Ogos lepas adalah tarikh akhir untuk 14 penghuni terbabit untuk menerima pampasan “rumah ganti rumah”  yang ditawarkan oleh MAINPP, tetapi sehingga kini tiada maklum balas lanjut.

“Tawaran 'rumah ganti rumah' masih dibuka kepada 14 pemilik asal rumah terbabit atas rasa timbang rasa dan perikemanusiaan, sehinggalah suatu tarikh baru akan ditetapkan oleh MAINPP untuk melaksanakan Writ Milikan Kosong dalam masa terdekat ini,” jelas Abdul Malik.


Guan Eng umum panel bebas, mahu projek 'special span' dipercepatkan

KETUA Menteri (tengah) pada sidang media, selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan wakil JKR dan UEM Builders Berhad di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri mengumumkan lima nama Panel Jurutera Pakar Bebas untuk memastikan aspek keselamatan pembinaan rentang tuju istimewa (special span) bagi projek menaiktaraf Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) dari Batu Maung ke Queensbay, Sungai Nibong tetap menjadi keutamaan, sungguhpun Kerajaan Negeri mahu projek tersebut dapat disiapkan sesegera mungkin.

Mereka, Pengerusi G&P Professionals Group, Dato' Ir. Dr. Gue See Sew, Ir. Hew Yoon Leong (Pintar Jurutera Perunding), Dato' Ir. Lim Kok Khong (M.E.I Project Engineers Sdn. Bhd.), Ir. Tham Kam Weng (T. Corp. Engineering Sdn. Bhd.,) dan Ir. Addnan Mohd. Razali (Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP).

“Susulan daripada insiden kesesakan lalulintas pada 17 Ogos lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik Panel Jurutera Pakar Bebas.

“Panel tersebut akan meneliti pelan pengurusan lalulintas oleh pihak UEM Builders Berhad untuk menangani masalah lalulintas pada masa-masa lebuh raya ditutup pada aliran lalulintas.

“Oleh itu, perintah henti kerja ke atas 'Special Span' akan ditarik balik untuk setiap hujung minggu dari jam 11.00 malam Jumaat (hari) Jumaat hingga 5.30 pagi (hari) Isnin, selepas semua kos bayaran dibuat oleh UEM Builders Berhad.

“Apabila Panel Jurutera Pakar Bebas ini dilantik, bukanlah bermakna kita mahu melengah-lengahkan projek yang memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang ini.

“Kita pun mahu projek ini disiapkan sesegera mungkin, tetapi aspek keselematan tetap mesti diutamakan.

“Ini langkah pertama, kita (Kerajaan Negeri) boleh pertimbangkan cadangan-cadangan lain (daripada JKR dan UEM Builders Berhad), asalkan projek ini boleh berjalan lancar,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, Panel Jurutera Pakar Bebas turut mengkehendaki Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik firman Jurutera Penyemakan Bebas sepanjang tempoh pembinaan sehingga projek disiapkan, dengan kos bayaran ditanggung oleh agensi persekutuan tersebut.

Langkah itu, katanya, demi mengelak insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan raya tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi.

Ketetapan itu dibuat selepas Guan Eng berbincang dengan Pengarah Kanan Cawangan Jalan JKR Persekutuan, Datuk Hasnol Mohamad Salleh, Mohd. Yusup Zahidin (Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Projek Khas Zon Utara JKR), Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.), dan Ahmad Fauzi Ali (Pengurus Projek UEM Builders Bhd.).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) turut menyertai majlis perbincangan tersebut.

Kerja-kerja pemajuan projek yang menelan belanja RM337 juta itu secara rasminya bermula pada 1 April 2014 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan pada tarikh 31 Mac 2016.

Panjang lebuh raya yang akan dinaiktarafkan tersebut adalah 4.4 kilometer.

Difahamkan, tiga bahagian rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah terpanjang di Malaysia, dengan ketinggian 390 meter, sepanjang 170 meter, selebar 18 meter, serta berat keseluruhannya 14,000 tan atau 6,400 berat berat minimum satu-satu bahagian konkrit tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus